Monday, August 01, 2011
Pulau hanya ada sebatang rhu
am@hmetro.com.my
DULU jika sebut nama Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, pasti ramai jejaka terbayangkan wajah ayu gadis yang tinggal di kampung itu.
Menurut cerita orang tua-tua, gadis di situ mempunyai kulit putih gebu bak kapas serta rupa paras yang unik dan jauh lebih jelita berbanding gadis kampung lain di Terengganu.
Justeru, tidak hairan jika ramai jejaka dari kampung lain yang ingin berumah tangga sanggup pergi ke Kampung Pulau Rusa bagi mencari jodoh.
Penduduk, Mustaffa Said, 74, berkata sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957, gadis di kampung itu terkenal dengan kecantikan mereka.
“Bukan penduduk tempatan saja mengiktiraf kecantikan anak gadis kampung ini, orang luar juga beranggapan begitu sehingga dihebahkan dari mulut ke mulut, menyebabkan Kampung Pulau Rusa terkenal di seluruh Terengganu.
“Gadis kampung ini mempunyai petua tersendiri untuk kelihatan cantik. Antaranya adalah kurang berjemur di bawah cahaya matahari terik, jadi mereka tidak keluar rumah, malah ibu bapa turut melarang anak gadis mereka keluar rumah sesuka hati.
“Mereka hanya keluar rumah pada waktu Subuh dan Maghrib untuk mandi atau membasuh pakaian di sungai, manakala waktu lain dihabiskan di dalam rumah sama ada menenun kain atau membantu ibu menguruskan rumah.
“Kebetulan pula Kampung Pulau Rusa dipenuhi pokok buah-buahan, menyebabkan kawasan kampung redup dan tidak panas. Justeru, tidak hairan anak gadis di kampung ini berkulit putih,” katanya.
Mustaffa berkata, paling istimewa, gadis di situ dilarang bergaul dengan lelaki, malah tidak terdedah kepada perkara tidak elok.
“Memang gadis di kampung ini dianggap cantik oleh orang luar tetapi selepas berkahwin, biasanya si suami jarang memuji kecantikan luaran isteri kerana kecantikan dalaman lebih terserlah hasil didikan ibu bapa.
“Saya bukan anak jati kampung ini, sebaliknya berasal dari Kampung Paloh Sungai Kiat dan dibesarkan di Kampung Manir, Kuala Terengganu, tetapi dijodohkan ibu bapa dengan gadis dari Kampung Pulau Rusa dan menetap di sini sejak 1957.
“Berdasarkan pengalaman ketika dijodohkan, saya tidak berpeluang melihat wajah bakal isteri. Atas dasar percaya kepada ibu bapa, saya tidak cuba meninjau paras rupa bakal isteri, sebaliknya hanya melihatnya pada malam perkahwinan,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini Kampung Pulau Rusa dikaitkan dengan gadisnya yang cantik, malah masih ramai orang luar bertanya perihal kecantikan gadis kampung itu kepadanya.
“Sekarang, Kampung Pulau Rusa mengalami pelbagai proses transformasi seiring dengan kemodenan, malah gadis atau wanitanya turut bergerak seiring dengan arus pemodenan, tiada lagi beza antara gadis Kampung Pulau Rusa dengan gadis kampung lain kerana semuanya sama cantik dan terpelajar,” katanya.
Bercerita mengenai asal usul Kampung Pulau Rusa, katanya, kampung itu sebenarnya sebuah pulau seluas 57 hektar di Sungai Terengganu dan menggunakan perahu serta bot penambang sebagai alat hubungan dengan kampung lain sebelum jambatan dibina pada 1960.
Menurutnya, perkataan Rusa pula diperoleh daripada sebatang pokok rhu yang tumbuh di tengah kampung, menyebabkan penduduk menggelarkan kampung ini Kampung Pulau Rhu Sebatang (Pulau Rhu Se) sebelum disingkatkan menjadi Kampung Pulau Rusa sekarang.
Se mengikut loghat Terengganu bermaksud satu, bagaimanapun pokok rhu itu sudah ditebang dan tapaknya kini didirikan masjid.
“Sebelum merdeka, kampung ini dibahagikan kepada lapan nama kecil, antaranya Kampung Pulau Rhu Se Chegar, Pulau Rhu Se Haji Wan Nik, Pulau Rhu Se Masjid, Pulau Rhu Se Rang, Pulau Rhu Se Sekolah dan Pulau Rhu Se Haji Wan Chik.
“Namun selepas kerajaan membina jambatan dan jalan raya, ia dibahagikan kepada dua iaitu Kampung Pulau Rusa Hulu dan Kampung Pulau Rusa Hilir yang kekal hingga sekarang,” katanya.
“Paling unik, penduduk Kampung Pulau Rusa hanya orang Melayu selain kampung ini ada lima jambatan yang menghubungkan Kampung Pulau Rusa dengan kampung lain,” katanya.
Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu
* Sebelum merdeka, kampung ini dibahagikan kepada lapan nama kecil, antaranya Kampung Pulau Rhu Se Chegar, Pulau Rhu Se Haji Wan Nik, Pulau Rhu Se Masjid, Pulau Rhu Se Rang, Pulau Rhu Se Sekolah dan Pulau Rhu Se Haji Wan Chik.
* Kini digabungkan menjadi Kampung Pulau Rusa Hulu dan Kampung Pulau Rusa Hilir.
* Jumlah rumah di Kampung Pulau Rusa Hilir adalah 263 manakala Kampung Pulau Rusa Hulu pula 176.
* Nama asal kampung itu adalah Kampung Rhu Sebatang.
* Terletak tujuh kilometer dari Kuala Terengganu.
Wednesday, July 27, 2011
Parlimen Kedai Kopi
Ada beberapa kelas dipecahkan untuk sembang politik, am, IT, test dan beberapa lagi. Paling meriah saya kira ialah sembang politik. Memang melayu kalau sembang politik tak mahu kalah.
Antara nama yang mungkin saya masih ingat ialah Damar Wulan, Ibnu Hashim, Panji Alam, Aziz, Kinabalu, Amila, Akal (IQ+), Suri, Cencorot, Al Ustaz, Tenom, Saif, Sebol, Choyot, Adiex, Alchemey dan ramai lagi.
Masa itu, internet tak berleluasa macam le ni. Kat rumah, saya cuma pakai dial up 1511 (jaring). Chat pula guna IRC. Kat pejabat canggih sikit la.
Perbahasan di forum politik selalu hangat. Kadang2 dia orang buat gathering. Geng sokong PAS dan Geng Sokong Kerajaan BN. Saya pernah join sekali jumpa. Lepas tu tak jumpa lagi dan forum tu berkubur selepas ada hackers menyamar konon drp PDRM dan buat ugutan. Admin jadi kecut perut dan tak mahu ambil risiko.
Hari ini, pengguna internet lebih berani dan bebas. Ramai sangat pengguna internet, nak monitor pun payah. Setakat ugut2 macam dulu, mungkin kena gelak je.
Sekarang masing2 mungkin dah guna nick name lain. Yang saya masih ingat cuma Kinabalu atau Datuk Halik Zaman. Dulu totok UMNO Sabah. Sekarang sokong PR.
Monday, July 25, 2011
Kamera
Ketika ini, tak ramai orang kampung yang ada kamera. Gambar2 lama tersimpan dalam album yang kini disimpan oleh abang saya yang sulong.
Kemudian, abang saya beli kamera lebih moden, dengan saiz lebih kecil. Ada flash tetapi setiap kali flash digunakan, bulb akan terbakar. 10 kali snap, 10 biji bulb perlu digunakan. Ia juga kamera hitam putih. Saya masih ingat, selepas setiap kali ambil gambar, mata saya rasa berpinar2.
Kemudian abang saya beli pula kamera nipis jenama Canon. Filemnya bukan jenis 35mm. Entah apa saiznya, saya tak ingat. Ia adalah kamera warna pertama milik keluarga saya.
Kamera milik saya sendiri, saya beli pada tahun 1992 di Pertama Kompleks. Kamera kompak jenama Nikon berharga kira2 RM3xx ini berwarna hitam dan masih ada kini, masih boleh digunakan tetapi kami jarang gunakannya kerana kini zaman digital. Kualiti fotonya masih baik.
Kamera saya seterusnya ialah kamera digital yang saya beli pada tahun 1998, juga di Pertama Kompleks. Kamera jenama Fuji 2600Z ini adalah kamera digital dengan 2 Megapixel photo. Saiznya gemuk tapi dah kira canggih pada masa tu. Ia menggunakan Smartmedia 16MB sebagai medium storan. Harganya, RM16xx. Kamera ini juga mampu menghasilkan video tanpa suara. Ia banyak berjasa kepada saya tetapi ia hilang ketika makan angin di Pulau Pinang pada 2004.

Pada 2005, saya beli pula kamera Nikon E4200. Kamera 4 Megapixel ini dibeli di Ampang Point dengan harga RM1,2xx. Masih boleh digunakan hingga kini, cuma ada beberapa kecacatan. Video, kalau dirakam ada sedikit ganggunan bunyi. Penutup baterinya pula sudah longgar kerana ada pendakap yang patah. Baterinya sudah cepat habis. Kualiti foto kamera ini sangat memuaskan. Medium storannya ialah Secure Digital Card 512 MB.

Kamera terkini yang saya miliki ialah Fuji JZ300. Ia adalah kamera bajet dengan harga RM5xx sahaja. Dibeli di Midvalley Megamall ketika Maybank Treatsfair 2011. Ia adalah kamera 12 Megapixel dengan SDHC Card bersaiz 4 GB, mampu merakam HD Video dan boleh zoom sehingga 10x optical zoom.

Saya tak berapa gemar kamera Sony dan Canon, bagi kamera kompak. Kecuali kalau kamera Pro atau semi Pro, boleh dipertimbangkan jenama Canon. Saya suka Nikon. Selalunya, saya akan survey diinternet sebelum beli kamera. Cuma kali ini, lain yang saya survey, lain yang saya beli.
Tuesday, July 19, 2011
Cikgu Harun
Cikgu Harun suka bercerita. Selalunya, bila dah nak habis kelas, baki beberapa minit itu digunakan untuk bercerita. Murid-muridnya suka mendengar Cikgu Harun bercerita.
Selalunya, kelas yang menjadi sasaran ialah kelas darjah satu dan dua.
Cerita Cikgu Harun selalunya tak dihabiskan terus. Ketika sedang bercerita, loceng berbunyi. Cikgu tidak meneruskan ceritanya dan akan disambung pada lain hari. Murid-murid selalunya kecewa, geram dan tak sabar nak dengar kesudahan cerita. Kalau waktu nak balik, murid-murid sanggup tunggu untuk balik lewat asalkan cerita itu dihabiskan.
Hari berikutnya, cerita tak semestinya disabung. Ada murid-murid yang minta cerita disambung sebelum kelas bermula, tetapi tak diendahkan oleh Cikgu Harun. Bila dah nak habis kelas, belum sempat nak sambung cerita, loceng pula dah berbunyi. Kadang-kadang, cikgu lupa atau buat2 lupa nak sambung cerita.
Sebenarnya itu semua tektik sahaja. Begitulah cara Cikgu Harun mengambil hati pelajarnya. Cikgu Harun itu ialah ayah saya.
Semasa kami kanak2, ayah saya juga suka bercerita selepas waktu makan malam. Kami adik beradik akan duduk bersila depan kerusinya untuk mendengar cerita. Entah daripada mana dia mendapat idea cerita, saya pun tak tahu.
Dulu, rumah kami memang ada banyak buku. Abang2 dan kakak2 saya guna buku teks yang dibeli. Sukatan pelajaran pula tak sama antara satu sama lain.
Bila cuti sekolah, kami akan membaca buku2 itu walaupun sudah dibaca beberapa kali, terutama yang ada cerita di dalamnya.
Ada seorang ustaz, dulu adalah bekas pelajar ayah saya. Kini dia menjadi guru kepada saya pula (di masjid) dan guru kepada anak saya (di sekolah).
Semoga Allah memberkati ilmu yang telah disampaikan, dan semoga Allah mengampunkan dosa guru2 kita semua selagi mana mereka berpegang kepada Islam.
Monday, July 11, 2011
Warna kuning
Saya ada 3 helai baju berwarna kuning. 2 helai adalah baju batik kaftan untuk tidur sahaja. Sejuk dipakai. 1 helai kemeja T berkolar. Ia adalah baju yang diperolehi pada satu hari keluarga tempat saya kerja dulu. Kebetulan warna temanya tahun itu ialah kuning.
Walaupun tiada warna kegemaran, saya sebenarnya tak gemar dengan warna kuning. Pertama, kerana warna kuning selalu digunakan oleh bomoh2 dengan amalan khurafat. Ia juga warna kegemaran golongan agamawan yang taksub dengan tokoh2 tertentu seperti wali2 di Indonesia. Bukan salah warna kuning, bukan juga salah si wali itu.
Warna kuning juga dekat dengan tok cha Buddha. Dalam satu seminar, ada yang kata warna kuning hampir dengan penyakit manakala warna biru lebih hampir dengan penawar.
Ada satu hadis Rasulullah yang menyebut Rasulullah tidak gemar dengan warna kekuning-kuningan.
Tetapi peristiwa Sabtu lepas melonjakkan keinginan saya untuk membeli sehelai baju kuning. Tiada logo "Bersih"pun tak apa.
Selepas balik dari Kuantan pada hari Sabtu tersebut, anak saya tiba2 nak pakai baju kuning. Kebetulan rumah sukannya ialah rumah kuning. Walhal sepanjang jalan ke KL, dia asyik bertanya pasal baju kuning kepada neneknya yang kuat UMNO itu. Neneknya bersungguh2 jelaskan, tak boleh pakai baju kuning buat masa ni sebab demonstrasi haram BERSIH yang sebenarnya kotor. Kata neneknya lagi, depa nak buat kerosakan, nak buat kacau bilau dan macam-macam lagi.
Saya tak sambut perbualan anak saya sebab tak mahu cari gaduh dengan mertua. Saya memandu sambil buat tak dengar. Agaknya anak saya macam tak puas hati sebab dia kan rumah kuning. Balik rumah, selepas cuci muka, tangan dan kaki, tiba2 dia pakai baju kuning untuk tidur. Tapi sempat juga di pesan kpd saya, jangan pakai baju kuning, nanti polis tangkap.
Saya cuba terangkan, tak apa. Tapi saya tak mahu kelirukan dia lagi. Dia masih kanak2 lagi. Suatu hari nanti, dia akan faham juga InsyaAllah.
Monday, June 20, 2011
Aku anak orang "kaya"
Keluarga saya pula, dulu hanya makan nasi lauk ikan. Dulu, di Terengganu, ikanlah yang paling murah. Dapat makan ayam sekali sekala pada musim kenduri saja. Mungkin sebab kampung saya di tepi sungai dan tak jauh drp kuala sungai. Jadi senang dapat ikan.
Di sekolah, bila diedar borang buku teks, saya selalu diberikan surat, tidak layak terima pinjaman buku teks.Kononnya saya anak orang kaya. Hanya kerana ayah saya seorang guru.
Semiskin2 orang lain, ayah mereka pakai kereta. Ayah saya cuma pakai kapcai 65cc. Sebelum tu, dia pergi mengajar naik basikal je. Guru lepasan darjah 6, berapa senlah sangat gajinya nak sara 8 orang anak. Semiskin2 isteri saya, merasa juga keluarganya pakai Honda Accord, Volkswagen, Volvo, Mercedes.
Ayah saya tak pernah ceritakan susahnya dia mencari rezeki nak besarkan anak2. Pernah dibuat peraturan, tak boleh minum susu kecuali sekali sehari. Ibu saya bekerja ambil upah jahit baju. Pada masa cuti sekolah, ayah saya buat perabot dan jual atau untuk pakai sendiri.
Bila saya dah besar, baru saya tahu, itu semua adalah tanda2 keluarga kami bukan orang senang. Kalau dah senang, tak payahlah susah2 mak bersengkang mata malam2 untuk jahit baju.
Kalau kami keluarga senang, tak adalah kami pakai kasut sampai berlubang di tumit atau terkoyak ternganga di depan. Stokin pun pakai ikat dengan getah gelang. Tiap2 tahun, pakai beg yang sama sampai lunyai.
Syukurlah mak pandai menjahit. Dapat jimat belanja bila pakaian sekolah dan pakaian raya semuanya dijahit sendiri. Walaupun tak secantik pakaian orang lain, tapi bagi kami, pakaian yang mak jahit sangat cantik.
Tiap2 hari pergi sekolah bawa bekal. Sangat jarang saya beli di kantin. Anak orang lain yang "miskin" beli dua tiga jenis makanan.
Ketika tinggal di asrama Kusza pula, bila makanan di dewan makan tak sedap, orang lain makan di kafeteria. Saya pula, telan saja apa yang terhidang. Orang pakai kasut mahal2 dan berjenama, saya pakai saja kasut yang RM12 sepasang.
Tapi ayah saya pandai berjimat. Bukan kedekut tapi jimat. Kedekut tu kan haram. Jimat tu kan wajib. Dengan sifat jimatnya itulah, kami semua mampu teruskan kehidupan dengan selesa hingga tampak "macam kaya" di mata orang kampung. Dengan duit yang dijimat itulah, ayah dapat terus membantu ibu2 saudaranya yang jauh lebih miskin daripada kami ketika anak2 mereka masih kecil hingga akhirnya mereka mula bekerja dan dapat hidup lebih selesa daripada kami.
Selamat hari bapa, Ayahanda ku Harun bin Muhammad. Al Fatihah untuk mu, juga untuk bonda ku Habsah binti Abas.
Thursday, June 16, 2011
Mungkinkah keldai dadah dipukau ?
Sama seperti sihir, boleh saja guna alasan untuk tujuan yang baik tetapi hakikatnya, ia adalah haram mengikut syariat.
Ada juga terbaca dalam akhbar mengenai orang hilang, baik perempuan, mahupun lelaki dan kanak2. Saya percaya ramai antara mereka yang dipukau. Tidak mustahil, keldai dadah juga telah dipukau untuk membolehkan kegiatan jahat diletak di bahu pihak lain.
Tapi, mungkin juga ada pihak yang guna alasan dipukau untuk elak daripada didakwa atau dipersalahkan.
Oleh itu, amalkanlah membaca al Quran, terutama ayat kursi, ayat2 mu'wwizatain terutama sebelum tidur. Ada juga doa untuk elak pukau. Amalkan membaca ayat kursi setiap kali selepas solat 5 waktu.
Moga kita semua dilindungi Allah.
Friday, May 27, 2011
Busuk kohong
Kadang-kadang, solat berjemaah di masjid menjadi terganggu kerana bau nafas yang tak enak entah daripada siapa.
Tapi pagi tadi, ketika solat berjemaah subuh, bau busuk yang amat betul-betul melemaskan saya. Tak pastilah pulak, sama ada ia datang daripada sebelah kiri, kanan, atau daripada saya sendiri. Tapi selalunya, kita tak perasan bau busuk daripada diri kita sendiri.
Saya tak tahu, bau busuk itu adalah bau badan tak mandi, bau nafas, bau mulut tak gosok gigi atau bau pakaian tak berbasuh. Ia benar-benar mengganggu solat saya. Pagi jumaat pula tu. Imam buat sujud sejadah, baca surah As Sajdah dan surah Al Insaan. Lama tu nak kena tahan bau.
Oleh itu, adalah sangat penting kita membersihkan badan dan mulut lebih-lebih lagi selepas makan atau selepas bangun dari tidur. Bau badan juga sangat teruk jika kita berpeluh. Pakaian juga, pastikan berbau harum. Kita nak sujud pada Allah. Berjemaah di rumah Allah bersama ramai orang. Apa salah luangkan masa sucikan diri dan wangikan dengan haruman.
Saya dah pastikan saya gosok gigi dengan ubat gigi dan sabun dengan sabun yang harum pagi tadi. Pakaian pun bersih lagi sebab hanya digunakan untuk bersolat sahaja. Cuma tak pakai bedak badan je. Selalunya, saya pakai juga. Baru segar dan rasa selesa. Pakaian pun tak cepat berbau kalau dah pakai bedak badan.
Ingat, bersih itu sebahagian daripada iman.
Wednesday, May 25, 2011
Manfaat kematian beratus ribu ?
السلام عليكم ورحمة الله
"Nak buat apa manfaat kematian banyak-banyak ? Bukan saya yang dapat. Dapat kat orang yang hidup. Nanti suami atau isteri yang enjoy."
Kadang2, ada antara kita yang berkata begitu. Kenapa kita cenderung untuk berfikir secara negatif ?
Sepatutnya kita berfikir, kalau aku mati, macam mana anak dan isteri aku nak bayar hutang2 aku ? Bolehkah anak2 meneruskan cita2 untuk belajar demi masa depan yang lebih baik ? Atau mereka terpaksa meminta2 dengan orang lain ? Berapa ramai yang sudi membantu ? Berapa lama mereka akan dibantu ?
Berapa ramai yang anda bantu ketika orang susah ? Tiap2 bulan anda bantu keluarga yang sama ?
"dan orang-orang Yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, Iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, ..." Al Baqarah : 240
Adakah anda memperuntukkan nafkah setahun kepada anak dan isteri anda jika anda meninggal dunia atau anda bakal mewariskan hutang kepada mereka ?
Meninggalkan anak dan isteri dengan kekayaan adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta2.
Takaful bukan untuk menjadikan anda kaya raya. Anda boleh menyertai pelaburan Unit Trust umpamanya untuk merancang kekayaan. Takaful adalah untuk melindungi diri dan keluarga anda.
Namun menariknya, takafulink memberi anda ganjaran jika anda sihat sekaligus menjadi simpanan untuk masa depan anda atau menjadi simpanan untuk pendidikan anak anda. Ini kerana Takafulink adalah perlindungan barkait pelaburan. Wang caruman anda setiap bulan dilaburkan dalam jumlah tertentu ke dalam dana syariah yang dipantau oleh panel syariah.
Keluarga anda dilindungi. Simpanan anda bertambah. Menarik bukan ?
Ayuh. Jangan bertangguh lagi. Hubungi saya : 013-226 0463
![]()
Thursday, May 19, 2011
Pelaga buah getah
Selalunya, permainan pelaga buah getah popular menjelang cuti sekolah penggal pertama. Kawan2 saya selalu dapat buah getah yang kuat2. Biji2 getah ini ada nama tersendiri mengikut klonnya. Antara yang popular ialah buah getah Bbulat, anak rimau, panglima perang, bucu telur dan entah apa2 lagi. Saya tak pasti nama tu memang sudah sedia ada sejak dulu atau nama rekaan baru.
Saya selalu juga pergi cari biji getah dalam kebun getah di kampung sebelah. Tapi tak pernah saya dapat buah getah yang gagah. Semuanya jenis kulit nipis, mudah pecah. Kampung saya tak ada kebun getah.
Ada juga yang mengelat. Diisi lilin ke dalam biji getah yang sudah dikeluarkan isinya.
Ada sejenis ulat yang bila disentuh, dia menggulung, jadi bulat macam biji getah. Ia dipanggil pinang kote. Ia mudah ditemui di kebun2 getah. Kata orang tua2, pinang kote jangan dipegang, nanti dia kepit jari tangan, tak dilepaskannya hingga bunyi guruh dilangit. Begitu juga kura2 atau labi2. Kalau kena gigit, dia takkan lepas hingga bunyi guruh di langit.
Pinang kote adalah sejenis ulat dalam keluarga ulat gonggok. Tapi dia pendek dan besar. Saya jumpa gambar pinang kote dalam internet. Harap tuan punya gambar ni tak marah saya guna gambar milik dia.
Tuesday, April 05, 2011
TV hitam putih
Dulu, kebanyakan rumah tak ada TV. Kalau nak tengok tv, orang kampung akan ke kedai kopi berdekatan. Di kampung saya, ada sebuah kedai makan. Pemiliknya dipanggil Pak Dor. Bila ada perlawanan tinju atau bola sepak piala merdeka, kedai Pak Dor menjadi tumpuan. Yang ada duit, minum kopi secawan dan tonton tv sampai puas. Yang tak ada duit, berdiri saja tepi pintu. Ada juga yang mengintai dari tepi tingkap saja.
Skrin tv dilitupi plastik biru. Nak jaga mata takut rosak barang kali.
Di sekolah pula, tv pendidikan jadi sasaran cikgu untuk menonton tinju. Muhammad Ali, lagenda tinju yang cukup diminati. Oleh kerana perlawanan tinju selalunya hari Ahad dan hari Ahad, tiada siaran tv pendidikan, bolehlah enjoy. Bila ada perlawanan tinju, budak2 tak belajar. Selalunya selepas waktu rehat.
Bola sepak piala merdeka, selalu diikuti melalui radio. Suspen sungguh dengar pengulas sukan membuat ulasan. Laju macam keretapi terutama bila bola di depan gol. Hanya perlawanan separuh akhir dan akhir dapat ditonton di tv. Ketika itu, Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat. Korea Selatan pun takut dengan Malaysia. Takat Jepun tu, senang2 je kena ratah dengan Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Isa Bakar, Soh Chin Aun dan James Wong.
Air batu, juga hanya dijual di kedai Pak Dor. Air batu satu bar di gergaji menjadi 3 bahagian. Sepuluh sen satu. Kemudian dibungkus dengan surat khabar lama. Letak atas para basikal. Air batu campur juga dijual dengan harga 10 sen sebungkus.
Rumah saya hanya ada tv warna pada tahun 82. Itu pun selepas tv hitam putih kami asyik rosak.
Sunday, February 27, 2011
Bonda
Namun pada awal Fenruari lepas, saya sempat memeluk dan menciumnya, memohon ampun dan maaf kepadanya. Ketika itu dia agak lemah. Memang selepas dia makan, dia agak lemah kerana kandungan gula dalam darah yang tak menentu. Kadang2 terlebih, kadang2 terkurang. Kami suntik insulin jika perlu dan tidak jika dirasakan tak perlu. Tak ikut sangat jadual doktor sebab dia makan terlalu sikit.
Teringat juga keadaan tok saya ketika dihujung2 usia. Semuanya tak lalu makan. Nak dipaksa pun serba salah, tak dipaksa pun salah.
Bonda pergi kira2 9 tahun selepas ayahanda pergi. Disemadikan di sebelah kubur ayahanda, tempatnya dinaungi pohon duku.
Sunyilah rumah di Pulau Rusa selepas ini. Tinggal adik saya seorang diri. Adik beradik lain dah berkeluarga dan ada rumah sendiri.
Kemudian timbul pula isu pusaka tinggalan ayahanda yang belum selesai. Mengikut kata pegawai di pejabat tanah Marang dulu, waris kena selesaikan cepat2 isu pusaka demi memastikan roh arwah tidak terganggu. Walaupun anak2 tak bergaduh, tak berantakan, tak berebut harta pusaka, tapi tetap perlu diselesaikan secapat mungkin.
Masalahnya kami gagal mengesan nama waris penama lain yang turut berkongsi milik tanah tersebut. Di sinilah pentingnya kita terus mengenali dan tidak terputus hubungan dengan saudara mara. Bukan senang nak cari waris Tok tiri yang kita langsung tak kenal keluarga mereka. Dah berpindah pulak tu. Ada kemungkinan, ayahanda saya sendiri tak tahu pun pasal tanah itu. Kalau dia tahu, tentu dia dah simpan maklumat, atau meninggalkan pesan kepada anak atau biasanya dia jual terus haknya.
Wednesday, February 16, 2011
Prudential-BSN Takaful
013-336 0463 - Mohd Zaidi Harun
Monday, February 14, 2011
Tabung buluh
Tabung duit dipanggil 'celeng' oleh orang Terengganu. Mengikut bahasa bawean (boyan), 'celeng' bermakna babi (khinzir).
Dulu, saya juga ada celeng buluh. Ayah saya buat daripada sebatang buluh. Ada 3 ruas, Ruas paling atas adalah bahagian saya, ruas tengah untuk abang yg 2 tahun lebih tua dari saya dan ruas bawah adalah milik abang saya yg 4 tahun lebih tua.
Saya jarang berbelanja di sekolah. Setiap hari, ayah beri duit 20 sen untuk belanja sekolah (sek rendah). Selalunya saya bawa bekal makan dan minum. Jadi duit tu saya simpang dalam tabung.
Bila hari raya, selalunya saya dapat buat kutipan antara 10 ringgit hingga 15 ringgit sahaja. Kebanyakan rumah hanya beri 10 sen sahaja kepada kanak2. Kebanyakan saudara mara hidup susah. Mak saudara dan bapa saudara masing2 beri 2 ringgit.
Ayah akan tambah untuk cukupkan 20 atau 30 ringgit sebelum disimpan ke dalam akaun simpanan pejabat Pos. Masa tu, bank belum ada kat bandar KT kot. BSN pun tak ada.
Bila cuti sekolah, selalunya, saya berbelanja beli makanan atau aiskrim. Makanan selalu dibeli di pasar Manir. Saya berjalan ke pasar Manir dengan abang dan sepupu saya. Makanan kegemaran saya ialah apam balik yang harganya 20 sen sekeping. Abang saya pula suka rojak kateh, juga 20 sen.
Sesekali teringin nak beli mainan. Tapi takut nak beli sebab mahal, takut kena marah bila balik nanti.
Akaun simpanan pejabat pos kemudian dipindahkan ke BSN selepas negara semakin maju. Tiada lagi akaun di pejabat POS.
Monday, February 07, 2011
CNY 2011 - Beratus kenderaan tersadai di Genting Sempah
Jam 5 petang, bergerak pula ke KL. Anak nak sangat singgah makan di R&R. Saya pilih R&R Temerloh. Jalan mula sesak di Lancang sejauh 8 - 10 KM sebelum tol Karak.
Selepas tol, jalan ok sekejap sebelum sesak semula sejauh 10 - 15 KM sebelum tol Bentong.
Selepas tol Bentong, tiada tanda kesesakan berakhir. Mula niat jamak ta'khir sebab tak ada harapan sempat solat jamak taqdim.
Sepanjang jalan hingga ke terowong Genting Sempah, jalan sesak yang amat sangat. Beratus2 kenderaan rosak di laluan kecemasan, laluan tengah malah laluan laju juga. Bayangkan, bukan berpuluh lagi malah beratus. Punya teruk nya kesesakan. Ditambah dengan jalan yang menaiki bukit. Mana boleh nak tolak kereta ke tepi, tolak ke depan naik bukit, tolak ke belakang lawan arus.
Alhamdulillah, kereta saya yang dah dalam kategori kereta tua tak buat hal. Kesian kepada keluarga besar dalam kereta lain. Ada yang dipenuhi kanak-kanak, ada yang bawa baby. Bayangkan kalau kerosakan berlaku. Yang lelaki, nak terkencing, pergi je ke longkang lebuhraya, yang perempuan ? Yang dari KL nak datang beri bantuan pun pasti terperangkap juga. Khabarnya, pagi ini, masih banyak kenderaan rosak yang tersadai di tepi lebuhraya. Ada yang bermalam di tepi lebuhraya sahaja.
Ini pengalaman pertama saya melihat kesesakan sebegini teruk di lebuhraya Karak. Saya bercadang singgah solat di R&R Genting Sempah tetapi laluan ditutup. Terpaksa teruskan perjalanan. Anehnya, selepas terowong, jalan menjadi lancar hingga ke Ampang.
Saya tak singgah solat di mana2 sebaliknya solat jamak ta'khir di rumah. Saya sedar, sepatutnya kena buat di luar mukim supaya kekal dalam perjalanan tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tidak manasabah untuk saya singgah di R&R Gombak semata2 untuk solat jamak ta'khir, kena que untuk ke tandas sedang kita tengah dok tahan daripada tadi lagi. Anak pula dah tidur. Tak kan nak kena kejutkan dia untuk kita turun solat. Esok dia nak sekolah. Jam sudah hampir pukul 11 malam.
Saya ijtihad sendiri. Saya sedar, Islam tidak menyusahkan umatnya. Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim bahawa nabi s.a.w. pernah solat jamak tanpa apa2 sebab, hanya sekali sahaja. Ulama mentafsirkan bahawa baginda bertujuan menunjukkan kepada umatnya, bahawa boleh solat jamak, tetapi tidak boleh menjadi amalan.
Dalam keadaan seperti saya di atas, sudah boleh dikira darurat. Bukan menjadi amalan saya solat jamak di rumah. Namun dalam masalah di atas, solat di rumah nyata lebih selesa, khusyuk dan saya tidak menyusahkan anak dan isteri saya. Selalunya, saya akan cuba singgah di mana2 untuk solat dalam perjalanan. Cuma saya tak buat jamak qasar sebab saya yakin, qasar hanya untuk yang dalam perjalanan sahaja sedangkan saya sudah sampai di rumah. Jamak tak semestinya untuk musafir.
Sesampai di rumah, saya tidak bertangguh lagi, terus mandi dan solat. Semoga Allah mengampunkan saya jika saya salah.
Friday, January 21, 2011
Tuesday, December 21, 2010
Anak yatim
Yg pertama dikenali sebagai Pak Cik Embong. Pak Cik meninggal sekitar tahun 73. Dia meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak perempuan yang semuanya masih kecil. Pada masa itu, bukan keluarganya sahaja yang susah malah orang kampung yang lain pun hidup susah juga. Jadi terpaksalah Mak Cik berdikari mencari rezeki membesarkan anak2. Nasib baik, dia memiliki perniagaan kedai runcit. Walaupun buta huruf, dia meneruskan perniagaannya dengan bertawakal kepada Allah selain menaruh kepercayaan kepada Cina2 yang datang bawa bekalan runcit dengan van atau lori. Semua urusan kira2 diserah kepada Cina2 itu sehingga anak2nya besar dan pandai mengira sendiri, barulah urusan itu diserah kepada anak2nya. Ayahanda saya pun yg bayar secara bulanan juga kena kira sendiri bila cukup bulan. Rekod buku hutang ditulis oleh anak2nya. Tak tahulah sama ada Mak Cik pernah kena tipu atau tidak tetapi perniagaannya terus bertahan hingga hari ini.
Keluarga kedua dikenali sebagai Hj Wahab. Dulu, payah nak cari orang yg pergi haji dalam usia muda. Saya tak pasti bagaimana Hj Wahab boleh pergi haji. Hj Wahab juga meninggal sekitar tahun 73 dan dia juga meninggalkan perniagaan kedai runcit. Hj Wahab meninggalkan seorang balu, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Empat beradik ini menjadi yatim piatu selepas si ibu pula meninggal pada tahun 80. Hj Wahab dan isterinya mengidap asma.
Anak lelakinya bernama Bukhari dan Muslim. Bukhari selalu membantu ibunya membuat kerja rumah seperti membasuh kain baju di sungai. Masa tu tak ada mesin basuh. Mak saya selalu membandingkan saya adik beradik dengan kesabaran Bukhari. Kami adik beradik malas basuh pakaian sendiri, semua serah pada mak sedang Bukhari kena buat sendiri malah baju adik2nya pun dibasuh, dijemur hampir setiap hari.
Hari ini, kita dapat lihat, anak2 disuruh jemur dan angkat kain pun malu dan malas. Belum kena basuh dengan berus lagi. Bertuahlah dan bersyukurlah anda jika memiliki suami dan anak yang masih sudi membantu menjemur, mengangkat dan melipat kain baju. Bukan semua orang bertuah seperti anda.
Jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur. Ada orang lain yang nasibnya lebih malang daripada kita.
Thursday, November 25, 2010
Majlis khatam Quran
Seingat saya, saya tak pernah buat majlis khatam Quran atau tiada majlis seumpamanya dibuat khas untuk saya. Atau mak saya buat tapi saya tak tahu sebab tak ambil peduli. Tetapi saya biasa hadir majlis khatam Quran seperti khatam Quran bulan Ramadhan ketika di kampung (Terengganu).
Yang saya faham, khatam Quran bermakna seseorang itu sudah habis belajar membaca Al Quran sepenuhnya. Kalau dah habis belajar, maknanya tiada lagi masalah membaca dengan merangkak-rangkak, boleh baca sendiri dengan baik, kesilapan bacaan paling minimum.
Tetapi apa yang saya dapati, ramai yang sudah khatam Quran tetapi bila baca bukan setakat merangkak, malah banyak kesilapan tajwid bahkan makhraj huruf pun susah nak perbetulkan.
Kalau saya sendiri tak lancar bacaannya, tak hairanlah sebab saya tak pernah "khatam Quran".
Saya belajar baca Quran dengan mak dan ayahanda saya. Masa saya kecil, bacaan mak saya lebih lancar berbanding ayahanda saya. Tetapi selepas pencen, ayahanda saya tekun belajar tajwid. Tok guru kegemaran ayahanda saya ialah Ustaz Muhammad Nor Besar. Saya tak sempat berguru dengan ustaz yang popular di Terengganu ini sebab saya tinggal di asrama.
Semasa kecil juga, saya malas mengaji Quran. Selalu ponteng, mengelak dengan pergi mandi sungai berjam2.
Kaedah mak saya, sebelum baca ayat yang dipelajari, kena tadarus dahulu ayat2 yang kita sudah mahir. Quran kecil, sekurang2nya 4 helai dan Quran besar sekurang2nya 4 muka. Selalunya, saya membaca dengan laju tanpa tajwid yang betul. Mak dan tok saya selalu berleter dan marah. Kalau dengan ayahanda saya, saya tak berani. Tetapi oleh kerana ayahanda selalu sibuk, selalunya saya berguru dengan mak sahaja dan saya tahu, mak tak akan turun ke sungai unuk mencari kami adik beradik.
Kaedah tadarus sebegini menjadikan saya mampu membaca dengan lancar sehingga 5 juzuk pertama Quran. Muqaddam pula, saya hampir hafal seluruhnya kecuali beberapa surah yang saya selalu confuse. Naumun untuk juzuk2 berikutnya, saya seperti juga orang melayu yang kebanyakan, mampu baca secara merangkak2 sambil mengeja. Kadang2 lancar dan ada tempat tersangkut2.
Belajar di SMK(A) dan KUSZA menjadikan saya mampu membaca dengan tajwid yang lebih baik. Tetapi saya dapati kawan2 saya masih ramai yang bila baca Quran, lebih teruk daripada saya termasuk tajwidnya (ketika di tingkatan 4). Saya percaya, hari ini kawan2 saya sudah mampu membaca Quran dengan lancar dan bertajwid sebab kebanyakan kawan saya menjadi ustaz. Ramai yang berkelulusan daripada universiti Timur Tengah.
Kini giliran saya mengajar anak saya mengaji Al Quran. Saya guna kaedah yang sama dengan mak saya. Untuk surah yang saya kurang lancar, saya akan ulang baca banyak kali, mendengar MP3 beberapa orang Qari secara berulang2 dalam kereta sehingga saya mampu baca dengan lancar berserta tajwid yang betul. Hukum2 tajwid, ada yang saya masih ingat (belajar di SMKA) di samping saya juga hadir kuliah tajwid di masjid berdekatan.
Seperti saya semasa kecil, anak saya akan menguap banyak kali bila mengaji. Setakat ini, alhamdulilah, saya yakin anak saya mampu membaca dengan lancar setiap surah yang dibaca berulang2 setiap kali mengaji. Saya juga sentiasa memastikan anak saya menyebut dengan betul tajwid bacaannya supaya bila dah besar, lidah dah keras, tak lagi mejadi masalah untuknya.
Monday, November 15, 2010
Baca Quran setiap hari
Semua sekolah di Terengganu dikehendaki memula:kan sesi persekolahan harian mereka dengan bacaan al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.
Semasa zaman persekolahan, ada seorang ustaz saya yang selalu tanya pelajar secara rawak, "Baca Quran tak kelmarin ?" "Kalau baca, berapa ain ?" Ain adalah ukuran atau tanda dalam Quran yang boleh menjadi ukuran berapa banyak yang dibaca. Quran hari ini, ada tanda hizib dan rubu' atau paling mudah muka surat saja.
Saya tak pasti sama ada saya pernah ditanya. Kalau ada pun, mungkin kebetulan saya ada baca. Kalau tak baca, tak pula kena tanya.
Rancangan ini sangat elok dan perlu disokong. Beberapa hari lepas, dalam satu forum khas sempena korban di masjid Ampang, seorang panel (tetapi bertukar secara tak dirancang menjadi pengerusi) bernama Ustaz Azhar Yaakob mendedahkan, pada paginya, beliau hadir satu program anjuran sebuah sekolah di Gombak. Kehadiran pelajar sekitar 1200 orang berusia antara 13 - 17 tahun. Bila dianya secara jujur, siapa yang tak solat subuh pagi tadi, sila angkat tangan, kira-kira separuh atau 600 orang pelajar mengangkat tangan.
Inilah produk Islam di Malaysia yang akan membentuk masyarakat dan menjadi pemimpin negara satu hari nanti.
Mungkin satu hari nanti, PLKN boleh menyelitkan program memahami isi kandungan al Quran untuk peserta muslim.
Thursday, October 28, 2010
Kalau dah tahu baki umur tak panjang
Ada sebuah hadith menyebut, "Bekerjalah kamu seolah2 kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah kamu seolah2 kamu akan mati esok hari."
Tapi kalau dah tahu kematian itu sudah dekat, tapi masih berani tinggal solat, apa makna nya tu?
Monday, September 20, 2010
Raya 2010
Dua kali kami ke klinik, demamnya tak juga baik. Risau kalau kena cikungunya atau denggi, kami ke klinik kali ke 3 dan meminta surat sokongan untuk ke hospital ketika dia menggigil2 selepas makan pagi. Akhirnya dia dimasukkan ke wad. Susahnya Allah sahaja yang tahu. Anak masuk wad ketika hanya beberapa hari sahaja lagi nak raya. Sibuk nak kejar terawih lagi, nak beli barang rumah dan nak balik kampung. Akhirnya Allah beri kelegaan kepada kami.
Kalau ikut giliran, tahun ni beraya di Ampang. Tetapi plan ditukar disaat2 akhir. Beraya di Terengganu juga. Adik beradik yg lain hanya balik pada hari raya pertama. Seorang anak saudara menjemput seorang mat saleh beraya bersama keluarganya.
Abang ipar sebelah isteri saya pula (ayah kandung anak saya) dikunjungi 2 org anak saudaranya, warga Australia. Kedua2 mek saleh ni tak reti cakap melayu. Mereka dah kematian ayah (melayu) sejak kecil. Nak juga mereka datang cari saudara di Malaysia. Seorang bernama Rohani. Seorang lagi dah lupa pulak. Dulu kakaknya bernama Khatijah ada datang pada tahun 1998. Dia orang masih Islam tapi kurang bimbingan. Jadi anak saya ada sepupu mek saleh.
Raya tahun 2010 biasa2 sahaja. Tak meriah sangat, tapi tak lah muram. Ala kadar. Saya agak terkejut, arah kiblat surau kampung saya sudah berubah beberapa darjah. Semuanya bermula selepas pihak masjid mengumumkan tarikh ketika matahari berada di atas kaabah. Pihak surau masing2 membuat semakan dan itulah hasilnya.
Beberapa berita tak menarik dari kampung termasuklah, kematian rakan sekampung secara solo (mayat dah berbau) angkara dadah. Seorang saudara (anak sepupu kot) juga sudah meninggal dunia kerana dadah. Lain2, 2 orang saudara (bukan adik beradik) dipenjara kerana mengedar dadah. Ada juga yang lahirkan anak luar nikah. Apa nak jadi dengan anak2 Terengganu ni ? Ada antara mereka yang mak bapak memang nakal tetapi ada juga yang mak bapaknya baik. Kenapa jadi begitu ? Sebab itu kita kena hati2 kalau nak kondem pasal orang lain, kot2 terkena diri sendiri pula. Jangan fikir kita rajin ke masjid, anak kita mesti jadi baik. Benda macam ni memang diluar jangkaan punya. Iman bukan boleh diwarisi.
Kualiti kamera saya pula dah makin merosot. Photo2 kurang menarik. :(
Monday, August 16, 2010
Minggu 1 puasa 2010
2 Ramadhan, dia berpuasa lagi. Kali ini lebih bersedia dan lebih kuat. Tengah hari, ketika saya dan isteri tidur (isteri cuti sakit), di abeberapa kali datang menganggu mahu berbuka. Selepas dibenarkan bermain laptop, dia nampak ceria dan segar. Saya tanya, "Farah makan ke ?" Dia kata, "mana ada makan apa2 ?" Saya kata kenapa air masak tinggal sikit ? Saya sengaja cuba memerankapnya. Dia senyum dan berkata, "Farah minum tadi." Saya tak pasti dia maksudkan minum waktu siang atau minum malam tadi. Tetapi di terus berpuasa hingga waktu berbuka.
3 - 5 Ramadhan, dia berpuasa penuh.
Tiap2 petang kami bawa dia ke pasar ramadhan (pasar iftar). Macam2 dimintanya. Nak karipap, nak ayam goreng 2 ketul, nak bubur jagung, nak agar2, nak milo ais. Makannya tak seberapa.
Tahun ini, umurnya baru 6 tahun, malah belum sambut hari jadi ke 6 lagi pun. Saya bukan mahu memaksa untuk berpuasa penuh, tetapi kalau diberi kelonggaran untuk tidak bersahur, alamat dia mungkin makin malas bersahur. Jadi sama ada berpuasa atau tidak, bersahur perlu dipaksa. Sehingga hari ini, dia nampak sihat.
Tiada janji duti raya atau apa2 upah untuknya. Cuma saya kata, kalau nak masuk syurga, kena rajin2 puasa. Upin & Ipin turut merangsang dia untuk terus berpuasa. Saya yakin, dia mampu berpuasa banyak hari tahun ini.
Wednesday, June 30, 2010
Tuesday, June 29, 2010
Bola sepak piala dunia
Macam-macam komen yg saya dengar tentang Jerman. Main tak best lah. Tak menghiburkan lah. Main kasar. Tapi saya tetap sokong Jerman. Walau saya cuba tukar sokongan kepada Belanda, saya dapati saya cuba menipu diri sendiri. Hakikatnya saya lebih terhibur dengan permainan Jerman.
Piala Dunia 2010, saya seronok dengan 2 pasukan iaitu Jerman dan Argentina. Messi, Higuain dan Di Maria sangat menarik perhatian. Takdirnya, kedua2 pasukan akan bertembung di suku akhir. Saya rasa, salah satu pasti akan menjadi juara kali ini.
Saya tak pernah bangun malam menonton bola sepak sejak dulu. Rasa malu dan bersalah pada Tuhan sebab hampir tak pernah bangun malam untuk tahajjud, kenapa bola pula jadi keutamaan ? Setakat sampai pukul 12 mlm okey lah. Pukul 2 pagi, kirim salam je lah. Utk tahun ini, tengok lah dulu. Mungkin bangun jugak kot. ehehehe..
Tuesday, March 23, 2010
Cubaan menipu kad kredit
Suara wanita mendakwa dia daripada Customer Service Centre dan mahu membuat pengesahan kad kredit saya. Dia bertanya sama ada saya masih menggunakan kad kredit Maybank. Dia kemudian membacakan 8 digit pertama kad kredit saya dan meminta saya membaca 8 digit berikutnya. Saya baca tanpa mengesyaki apa-apa. Saya sangkakan Maybank mahu berikan kad debit percuma kepada saya.
Seterusnya, dia meminta saya bacakan nombor di belakang kad (cvc code) dengan berkata, "Cuba encik tengok belakang kad tu, encik pengguna yang ke berapa ratus." Saya teringat pernah baca di internet penipuan seumpama ini. Meminta kod cvc bermakna mereka mahu membuat potongan daripada kad saya. Saya minta dijelaskan apa tujuan dia. Diterangkan kononnya untuk buat pengesahan dan saya akan dapat itu ini, insuran percuma, kad percuma dan entah apa2 lagi.
Sekali lagi dia cuba dapatkan cvc code saya dan saya menolak. Dia kata, sama ada saya terima atau tidak, dia akan tetap buat potongan sebanyak RM299 daripada akaun saya. Saya kata, mana boleh potong duit saya tanpa kebenaran saya. Dia kata potongan sudah dibuat sebentar tadi dan saya akan terima surat dan dokumen seperti yang dia sebut tadi. Dia meletakkan telefon.
Bimbang duit saya mungkin dipotong walaupun saya tidak beri kod cvc, saya terus hubungi Maybank dan minta supaya bank block kad saya dan gantikan dengan yang baru.
Keesokan hari, sekali lagi saya terima panggilan daripada Customer Service Centre dan kali ini suara seorang lelaki pula. Dia juga meminta no kad kredit saya walaupun saya katakan, kad saya sudah kena block. Saya kata, saya sudah hubungi Maybank dan Maybank nasihatkan supaya jangan beri no kad kredit kepada sesiapa pun. Terus dia letak telefon.
Berhati-hatilah. Ramai penipu termasuk dari kalangan orang Melayu sebab mereka percaya cara haram itu lebih banyak membawa keuntungan yang cepat. Sebab itu tauke judi, tauke arak, tauke babi, ibu dan bapak ayam dan tauke dadah semua kaya raya dan hidup mewah.
Sebagai orang Islam, carilah redha Allah.

Monday, March 01, 2010
Kempunan nasi dagang Kak Pah
Satu pagi, sehari sebelum balik KL, saya ajak isteri saya pergi cari nasi dagang di Batu Burok. Gerai No 30, medan selera pantai Batu Burok. Pukul 8 pagi dah sampai dah. Orang dah beratur panjang. Maklumlah musim cuti CNY, kira peak time lah tu.
Oleh kerana tak tahu nak beratur belah mana, saya terjah je sebelah kanan. Ada sorang makcik bagi tahu, belah kanan nak bungkus, belah kiri nak makan. Punya lama saya tunggu, rupanya saya sudah salah que.
Bila adu kat tokey kedai, dia pulak marah-marah. "Saya buat molek doh. Belah sini nak bungkus, belah sana nak makang. Awak gi beratur salah."
Tapi nak makan ke, nak bungkus ke, orang sama je yang layan. Cuma yang nak makan diutamakan. Sudahnya dia lebih utamakan yang datang kemudian sebab beratur sebelah kiri. Yang belah kanan menunggu penuh kesabaran.
Selepas sejam menunggu, saya fed-up. Saya belah dan cari nasi dagang lain. Sehari sebelum tu, saya ternampak papan tanda nasi dagang di Kuala Ibai. Dlm perjalanan ke sana, saya nampak sign nasi dagang warisan di sebelah stesen Shell dekat simpang Jalan Budiman, Batu Burok. Singgah dan beli je kat situ. Yang buat kerja sorang. Yang nak makan di layan dulu. Tapi tak apa lah. Boleh lah makan juga cuma kena sabar lagi.
Sebelum balik, saya cari nasi kapit sambal. (Nasi himpit cicah sambal nyiur+ikan). Mak nak makan. Oleh kerana tak jumpa, saya beli nasi kerabu dekat simpang Jalan Budiman (sebelah car wash, setentang nasi dagang warisan).
Ternampak pula kedai Nasi Dagang Kak Yani Bukit Besar.
Malamnya, saya cerita kpd Abang ipar saya. Dia kata, nasi dagang Kak Pah bukan lagi no 1 di Terengganu. Yang no 1 ialah nasi dagang Bukit Besar dekat Jalan Budiman, sebelah car wash. Kat situ orang tak ramai sangat sebab sedikit tersorok dan ramai yang belum tahu. Saya teringat yang saya nampak pagi tadi.
Tak apalah. Dok dang doh nak makan nasi dagang lagi. Apapun, nasi dagang warisan tu sedap jugak.
Nasi dagang K. Yani Bkt Besar = RM2.50 sehidang.
Nasi dagang Kak Pah = RM3 sehidang.
Nasi dagang Warisan = RM2.50 sehidang.
Nasi dagang Akah (AU5 Keramat/Tmn Permata) = RM8 sehidang.
Sorry. Tak bawa kamera utk snap photo.

Tuesday, February 23, 2010
Foto kampung
Telaga ini sedalam 12 kaki, baru jumpa air. Airnya pula sedalam 4 - 6 kaki. Bagaimanapun ia berubah mengikut musim kemarau atau musim hujan. Setakat ni, belum pernah kering lagi. Airnya sejuk dan sangat jernih.
Dulu, ada lorong (denai) menuju ke sungai. Di belakang rimbunan semak ialah Sungai Kiat (Sg. Paloh). Sungai ini hanya pernah dibersihkan sekali oleh kerajaan iaitu ketika PAS memerintah (tahun 2000). Dahulu, airnya jernih dan berpasir. Sungai ini tidak digunakan lagi sejak pengusaha batik mencuci batik yang dihasilkan di sungai hingga airnya tercemar dan berbau. Warna cat batik menjadikan airnya kemerahan.
Pokok rengas di tepi sungai. Pernah dahannya sekah dan melintang ke sungai. Kami mandi dan bermain-main di situ hingga seluruh badan kami berbintik-bintik merah dan gatal. Seluruh badan dan muka menjadi bengkak. Getah rengas sangat berbisa. Kata orang tua2, rengas ubatnya binjai dan binjai pula ubatnya rengas.
Pernah seorang ahli keluarga saya jadi bengkak badan dan sembab selepas makan buah binjai. Ubatnya, embunkan air di bawah pokok rengas semalaman. Mandi dengan air itu.
Sebatang pokok nyiur yang sungguh tinggi di belakang rumah. Saya tak berani panjat pokok nyiur. Gayat. he..he....

Wednesday, February 03, 2010
Kenangan di Dungun
Dulu, hampir setiap tahun saya ke Dungun. Ada saudara mara di sana. Sekarang, masih ada tapi selalu jumpa sepupu di KT sahaja.
Selalunya, pada hari raya ke 2, kami akan ke Dungun. Ada mak saudara di Kg Seberang Pintasan, ada tok saudara di Sura, ada mak sepupu di Kg Pak Sabah dan ada besan mak saya di Jalan Pejabat. Semua dah meninggal dunia walaupun waris mereka masih ada.
Semasa kecil, saya ke Kg Seberang Pintasan menaiki bot atau sampan besar. Naik bas di bandar KT dan turun di stesen bas Dungun. Belum ada jambatan ke Seberang Pintasan. Sepupu saya akan bawa saya berjalan-jalan di Pantai Teluk Bidara. Ada gua kecil di situ. Masa itu, kami tiada kenderaan sendiri. Jadi memang jarang sangat saya dapat melihat pantai.
Pernah juga saya lihat kapal besar terdampar di pantai Sura, Dungun pada satu musim tengkujuh. Tak salah saya, kapal itu akhirnya hancur begitu sahaja, tidak diselamatkan.
Ketika di sekolah menengah, baru ada abang ipar yang ada kereta sendiri. Dapatlah beraya di Dungun. Kenal saudara mara. Mak memang tak mahu anak-anaknya putus hubungan saudara. Tapi sekarang ni dah mula nak terputus juga. Kalau jumpa, rasanya tak kenal. Mungkin seorang dua je yang kenal lagi. Cuma sepupu yang tinggal di seberang pintasan je masih kenal sebab salah seorang nya dah jadi abang ipar saya.
Sekarang, kalau nak pergi sendiri, saya tak kenal jalan. Yang tahu jalan ialah yang di Kg Pak Sabah sebab selalu lalu jalan tu bila berulang KL-KT. Tapi tak tahu rumah yang mana satu. Kalau tak pergi dengan abang-abang atau kakak-kakak, memang tak sampai lah jawabnya.
Tuesday, February 02, 2010
Awas bahaya syirik
Media massa tempatan kadang-kadang turut berperanan menyesatkan akidah umat Islam di Malaysia menjadikan umat Islam sebagai umat yang lemah dan tidak disegani lagi.
Ia juga menunjukkan betapa kepercayaan yang syirik seperti ini masih berleluasa di Malaysia. Tak hairanlah histeria sering berlaku termasuk di sekolah-sekolah agama kerana kita taksub dengan mempercayai perkara misteri dan mistik.
Nak hairan apa ? Istana ratu balqis pun jin boleh pindahkan dalam sekelip mata, ini kan pula setakat nak tukar telur jadi buah limau, atau menaikkan seri dan aura orang tertentu.
Sampai bila orang kita nak percaya dengan benda syirik ni ?
BAGI sesetengah pengumpul barangan mistik, raja kayu putih adalah antara yang menjadi dambaan lantaran kesukaran untuk menemuinya apatah lagi memilikinya.
Diberi gelaran ‘Raja Segala Kayu’ oleh orang tua-tua, nilai mistik kayu yang memiliki diameter sekitar 12 sentimeter (sm) ini dikatakan mujarab sebagai pendinding, penunduk, pelaris, pengasih dan berbagai lagi.

Thursday, January 21, 2010
Orang Pulau Rusa comel-comel
Bila saya di sekolah menengah, pun begitu juga. Bila jumpa orang, baik di kedai atau ketika menunggu bas, orang tanya, "Mung orang mana wang ?" (Wang = awang). Bila jawab Pulau Rusa, mereka pasti akan kata, orang Pulau Rusa comel-comel.
Bagi saya orang Pulau Rusa ke, Paloh ke, Manir ke, Besut ke, Kemaman ke, kalau dah masuk alam remaja, mulalah kita nak kelih dua tiga kali bila nampak perempuan muda. Orang mana yang hodoh-hodoh ?
Biasa juga kita dengar, orang Kelantan comel-comel. Habis tu orang negeri kamu tak cantik ke ?
Bila sudah berkahwin, dan umur pun dah makin banyak, saya mula lebih memahami bahawa kecantikan itu sangat sementara sifatnya. Apa perasaan anda jika anda atau orang yang anda kasihi tiba-tiba menjadi tidak cantik kerana kemalangan atau sakit dan sebagainya ? Apakah anda akan tinggalkan dia ? Anda malu untuk mengaku dia adalah anak atau isteri atau kekasih anda ?
Walaupun kecantikan itu sudah ditarik balik oleh Allah daripada kita dan pasangan kita, ia mungkin dipinjamkan pula oleh Allah kepada nak-anak kita. Yang penting akhlak, sopan susila dan budi bicara yang cantik. Juga akal dan iman yang sempurna.
Berkahwin bukan untuk hidup bersama sehari dua atau setahun dua. Kita membesar dibawah jagaan ibu kita mungkin selama 20 atau 30 tahun sahaja. Itu pun sebahagian besar kita merantau, di asrama atau rumah sewa. Tempoh sebenar mungkin tak sampai pun 15 tahun. Tetapi kita mahu sebumbung dengan isteri sehingga akhir hayat. Mungkin memakan masa 30, 40 atau 50 tahun. Dan kita tak mahu berjauhan dengan pasangan kita berbulan-bulan seperti kita tinggalkan ibu kita dulu.
Saya pernah kena outstation selama 2 bulan. Alangkah sunyinya rasa. Baru 2 bulan. Hidup rasanya benar-benar tak terurus. Makan minum, pakaian, teman berbual. Keadaan mungkin berbeza kalau kita lakukan atas kerana minat sendiri. Hakikatnya, saya tidak selesa berjauhan dengan isteri.
Berbalik kepada orang comel-comel. Saya pernah turun makan di bandar Cukai, Kemaman. Kebetulan, semua budak-budak perempuan yang keluar masuk kedai tu semuanya cantik-cantik. Daripada pekerjanya hinggalah kepada pelanggannya. Jadi saya pun buat kesimpulan mudah, semua orang Kemaman comel-comel belaka.
He..he..he.. Na Na Na Na Na Terengganu Kite....

Tuesday, January 19, 2010
Pulau Kapas
Kami pergi pada hari Jumaat kerana pada masa itu, hanya hari Jumaat sahaja cuti mingguan. Memang ramai muda-mudi pergi berkelah pada hari Jumaat dan meninggalkan solat Jumaat dengan selamba.
Kami bawa jaring yang kemudiannya digunakan untuk menangkap ikan. Ikan laut cepat mati, bukan macam ikan darat. Letak je dalam bekas plastik, kejap lagi dah mati. Saya seronok main di pantai. Saya jumpa satu tin minuman dan saya bermain-main dengan tin itu yang bertulis Anglia-Shandy tanpa mengetahui ianya adalah tin arak.
Abang saya menyelam dan memetik batu karang dan kemudiannya dibawa balik. Saya tak pasti apakah masa itu, undang-undang memelihara alam yang melarang kita merosakkan hidupan laut sudah wujud. Yang pasti, kehidupan pada masa itu agak jahil. Kami tinggalkan solat Jumaat, kami mandi di pantai Pulau Kapas bercampur lelaki dan perempuan dan tak ada seorangpun yang memakai tudung. Budaya memakai tudung belum ada.
Tak puas rasanya saya ke sana. Selepas itu, saya bercita-cita untuk ke sana lagi tetapi hingga hari ini, saya tak pernah ke sana semula.
Tuesday, January 12, 2010
Lakum deenukum, waliadeen
Dalam Islam, Allah adalah Tuhan. Tuhan adalah Allah. Tiada Tuhan selain Allah.
Allah is God. God is Allah. There is no God but Allah.
Jadi kenapa kita benarkan kristian guna perkataan God atau Tuhan tetapi tidak Allah ?
Kita heboh kerana kristian mahu guna perkataan Allah sebagai Tuhan. Alasan kita kristian mempunyai niat jahat untuk menyesatkan umat Islam. Selama ini kristian tidak begitukah ? Atau kita baru sedar begitu ? Atau kita saja baru nak buat kecoh ? Bukankah kristian dan yahudi akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat manusia terutama yang muslim ?
Selama ini, kita boleh terima perbezaan akidah dengan kristian. Kristian tolak kenabian Muhammad s.a.w. Kristian tolak Al Quran sebagai kalam Allah. Semua itu bukan penghinaan ? Semua itu bukan menyesatkan ? Semua itu tidak berniat mengelirukan umat Islam ?
Saya rasa kita semakin cenderung menggunakan kuasa untuk mengekang kristian (dan ajaran sesat). Tetapi kita masih mengabaikan aspek memperkuatkan akidah. Aspek memperkuatkan akhlak. Aspek memperkuatkan iman. Aspek mempertingkatkan ketaqwaan.
Sebab itu kita alpa dengan anak isteri kita yang tidak menunjukkan keteguhan syariah. Kalau akidahnya kuat, tak mungkin syariahnya lemah.
Thursday, January 07, 2010
Fraud email
Inilah sebahagian daripada fraud email yang kerap kita semua terima. Kononnya daripada pihak bank. Ada yang letak logo Trust Verisign, Ada yang letak logo BNM dan macam-macam lagi.
Walaupun kebanyakan kita dah tahu ianya adalah penipuan, tapi masih ada yang kadang-kadang macam terpukau. Selalunya terus dibakulsampahkan, entah kenapa suatu hari kita jadi macam bengong, lalai dan terus klik.
Saya pernah sengaja klik hyperlink yang diberi dan masukkah user id dan password palsu. Misalnya user name saya letak “KauIngatAkuBodoh” dan passwordnya “TipahTertipu”. Boleh login juga. Cuma tak boleh tengok baki akaun je. Dia hanya minta masukkan password baru.
Berhati-hatilah selalu.Wednesday, December 30, 2009
Sakit paru-paru
Sebenarnya, saya bukan sakit perut. Cuma perut saya rasa tak selesa dan selalu nak termuntah selepas sarapan. Saya perlu berehat dan bertenang sekejap sebelum berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 800 meter dari rumah. Abang saya terpaksa menunggu saya dan ini menjadikan kami selalu lewat sampai.
Risaukan keadaan saya, mak saya selalu bawa saya ke hospital HKT. Ketika itu bangunan 8 tingkat hospital belum ada. Saya pergi dengan bas pada hari Sabtu. Hari Sabtu adalah hari yang ramai orang kampung ke bandar KT. Bas selalu penuh bila tiba di kampung saya sebab kampung saya dah tak jauh daripada pusat bandar.
Setiba di bandar, kami akan menaiki teksi (beca roda 3) untuk ke hospital (saya sebut pistal). Tambang teksi 80 sen. Kesian pakcik yang kayuh beca tu bila jalan menaiki bukit. Macam tak larat je. Ada yang terpaksa turun dan tolak je teksi tu bila beca dah tak bergerak. Bila turun bukit, dia boleh releks sikit.
Satu hari, doktor x-ray dada saya untuk memeriksa apa masalah sebenar saya. Ada masalah pada paru-paru saya. Doktor kemudiannya mengsyorkan saya ditahan di wad. Ini menambahkan masalah dalam keluarga saya. Adik beradik saya semua masih bersekolah. Siapa nak jaga saya di hospital. Siapa nak uruskan makan minum keluarga. Ayah saya pun bekerja, siapa nak siapkan semuanya ? Dan saya pula tak faham masalah keluarga. Saya suruh juga mak saya tunggu saya di hospital.
Ketika itu barangkali belum ada wad kanak-kanak di HKT. Saya tinggal di wad bersama-sama orang dewasa lelaki. Cuma katil kanak-kanak di kumpulkan di satu sudut.
Mak saya beri alasan, doktor tak bagi dia tidur di dalam wad, jadi dia tidur di luar. Saya rasa mak saya balik ke rumah setiap malam. Mana mungkin perempuan nak tidur di luar wad lelaki malam-malam. Pag-pagi, saya selalu marah mak saya sebab masuk lambat.
Doktor mencadangkan saya dibedah. Mungkin kerana HKT belum ada kelengkapan dan pakar, pembedahan dicadangkan dibuat di Pulau Pinang. Kami tak ada saudara mara di PP. Kalau ke sana, siapa nak temankan ? Di mana nak tinggal ? Kami juga tiada kenderaan. Semua mengharapkan pengangkutan awam. Di bandar yang asing bagi kami, tentu susah. Ayah dan mak saya menolak dan akhirnya saya dibenarkan balik tanpa rawatan lanjut.
Alhamdulillah, umur saya masih panjang sehingga kini. Cuma setiap kali saya di x-ray sebelum masuk Kusza, UTM atau bekerja, saya selalu risau takut tak lepas. Doktor pasti akan banyak soal dan saya tak tahu nak jawab.
Paling teruk, saya batuk tak berhenti pada sekitar tahun 1989/90. Ia banyak mengganggu pelajaran saya. Ketika mula nak kerja, doktor menasihatkan saya masuk chest clinic di Jalan Pahang. Klinik dada ini bersekali dengan klinik TB. Lagilah saya takut, takut tak diterima masuk kerja. Akibatnya laporan doktor saya lambat siap dan saya lambat 'confirm'. Selepas diberi sejenis antibiotik, batuk saya mula reda dan doktor menunjukkan perbezaan pada gambar xray sebelum dan selepas pengambilan antibiotik. Saya lega. Saya ingatkan umur saya masa tu dah tak panjang lagi.
Sekarang, kalau saya batuk pun tak lah seteruk dulu. Dulu, bila balik bercuti, mak selalu tegur, "Di ni batuk sokmo. Dok (tak) pernah mak dok dengar Di dok batuk." Sekarang mak tak dapat mendengar lagi kecuali dengan alat bantuan pendengaran. Moga hati mak tak risau lagi dengan kesihatan saya.

Monday, December 14, 2009
Terima kasih Indah Water
Email saya dihantar pada jam 11:28 malam 9 Disember 2009. Seperti biasa, email saya di sertakan dengan alamat, no telefon, jenis rumah dan no akaun IWK supaya mereka dapat merujuk rekod mereka.
Esok harinya, iaitu pada jam 9:37 pagi, saya menerima panggilan daripada pihak IWK. Petugas IWK menerangkan kepada saya apa yang boleh mereka bantu dan berjanji akan menghantar pekerja ke rumah saya pada hari Sabtu (12 hb) kerana 11hb adalah hari cuti umum di Selangor. Saya turut menerima email balasan daripada IWK memaklumkan kes saya telah dirujuk ke pejabat IWK Gombak.
Pada hari yang dijanjikan, seawal jam 9:26 pagi, pekerja IWK sudah menelefon saya dan memaklumkan mereka akan tiba bila-bila masa. Saya langsung tidak rasa tertunggu-tunggu kerana mereka tiba dengan cepat.
Mereka juga cekap melaksanakan tugas mereka. Sebelum jam 11 pagi, mereka sudah berjaya menyelesaikan masalah saya.
Terus terang saya katakan, saya sungguh berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. 4 perkara yang jelas menjadi budaya kerja mereka :
1. Cepat bertindak terhadap aduan pengguna.
2. Menepati janji.
3. Cekap dan cepat menyelesaikan aduan.
4. Mesra pelanggan (pekerja yang datang ke rumah mahupun yang melayani melalui telefon).
Tempoh 3 hari (2 hari jika tidak kerana cuti umum) adalah tempoh yang manasabah. Terima kasih saya ucapkan kepada Indah Water dan syabas juga kerana melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan berkesan dan cekap.
Kekalkan budaya kerja cemerlang untuk rakyat Malaysia.
.......................................................
Maybank yang perkhidmatannya HANCUS !!!
Dua minggu lepas, isteri saya membuka akaun di Maybank secara online. Dia diminta hadir ke cawangan bank terdekat yang dipilihnya selepas 3 hari.
Pada hari yang dijanjikan, isteri saya ke cawangan bank tersebut. Kelam kabut pegawai bank tersebut mancari permohonan isteri saya tapi tak jumpa pun. Macam-macam alasan diberikan sambil cuba menyalahkan pelanggan konon salah pilih cawangan bank. Dah sistem online bank yang cadangkan cawangan tersebut.
Sudahnya, isteri saya terpaksa mengisi semula borang di situ. Buang masa betul. Habis yang diisi secara online untuk apa ? Eksyen je lebih. Sistem online konon tapi tak guna.
Pernah saya mohon kad ATM baru kerana kad ATM saya rosak. Bila mesin pembaca kad pengenalan mereka gagal memadankan cop jari pada KP saya, pegawai tu boleh cakap, "Kad pengenalan awak palsu kot".
Kepala hotak dia. Macam tu cara melayani pelanggan ? Saya tiada masalah pun menggunakan IC saya hingga hari ini baik di pejabat KWSP mahupun di pejabat pendaftaran negara (Kajang).
Memang teruklah Maybank punya khidmat pelanggan.
Wednesday, December 09, 2009
Kisah pengayuh beca
Satu ketika dulu, di sebuah bandar di Terengganu, terdapat kira-kira 150 orang pengayuh beca. Beca yang dikayuh bukan milik mereka tetapi disewa dengan towkey dengan kadar RM 5 sehari.
Seorang ahli parlimen (MP) berazam untuk membantu kumpulan pengayuh beca tersebut. MP telah mendorong mereka menubuhkan persatuan pengayuh beca. Yurannya RM 1 setahun.
Dalam mesyuarat, MP mencadangkan supaya mereka berpakat mengumpul dana supaya satu hari nanti, mereka dapat memiliki beca sendiri. Mereka setuju. MP mencadangkan kadar RM 1 sebulan untuk mengumpul dana. Mereka mula kecoh tidak setuju. Kata mereka, "Nak bayar yuran UMNO RM 1 setahun pun payah, apatah lagi nak bayar RM 1 sebulan ?"
Lalu MP memberi cadangan mereka mengumpul duit 20 sen sehari. Anehnya, mereka telah bersetuju dengan sebulat suara. Walhal 20 sen sehari jauh lebih banyak daripada RM 1 sebulan. Akhirnya, mereka berjaya memiliki beca sendiri dan tidak perlu lagi membayar sewa kepada orang tengah. Orang tengah pula tidak dibenarkan membaharui lesen kecuali beca diusahakan sendiri.
Cerita di atas adalah kisah benar. Moralnya, fikirlah sendiri.
Wednesday, November 25, 2009
Tauliah mengajar agama dan baca khutbah
"Tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam." Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Shah Alam.
Ketika saya belajar di sebuah IPT suatu masa dulu, khatib (di masjid dalam kampus) yang menyampaikan khutbah tidak semstinya seorang ustaz. Kadang-kadang pensyarah sains komputer, kadang-kadang pensyarah pengajian tamadun Islam yang jadi khatib.
Ketika saya belajar di Kusza, kadang-kadang pelajar Kusza jadi khatib di masjid di kampung-kampung setelah mendapat kebenaran JHEAT. Bukan ada kelulusan formal lagi. Tengah belajar lagi. Yang belum dapat keputusan SPM pun boleh jadi khatib. (Ketika itu, masjid Kusza belum siap).
Yang penting, khatib boleh baca Quran dan hadith dengan lancar. Kalimah-kalimah arab disebut dengan betul. Imam-imam kampung lagi teruk bacaannya. Khutbah dalam tulisan jawi gamaknya. Selidik dibaca seledek, seberat zarrah di sebut seberat zaharah. Tapi itu di kampung, bukan bandar besar macam Shah Alam yang penduduknya berpendidikan tinggi.
Apapun, saya amat tidak setuju Ahli Parlimen tak dibenarkan menyampaikan kuliyah agama di masjid-masjid dan surau-surau. Sampaikan khutbah pun tak boleh baca. Sepatutnya wakil rakyat dibenarkan asalkan sebutannya baik dan isi penyampaiannya tidak menyesatkan. Tak kira lah dia dari parti mana. Yang penting dia Islam dan beriman. Bomba, polis dan askar pun boleh baca. Apatah lagi pensyarah. Pegawai-pegawai kerajaan pun boleh diberi tauliah sementara untuk waktu tertentu mengikut suasana dan keadaan semasa. Carilah kelainan sedikit. Zaman dah berubah. Bukan ustaz-ustaz saja yang boleh baca khutbah. Menteri dan Sultan pun boleh jika elok sebutannya.
Kalau sultan nak sampaikan khutbah atau tazkirah, macam mana ? Apa alasan nak diberi untuk diberi kebenaran atau tidak ? Tiada pendidikan formal ? Sebutan tak betul ? Ada berani ke ? Mana tahu kalau-kalau Sultan saja nak test pegawai JAIS nak tengk setakat mana ketegasan dan keberanian pegawai JAIS.
"Sebaik-baik orang adalah yang paling baik bacaan al-Qur'annya di antara mereka, orang yang paing memahami agama Allah di antara mereka, orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara mereka, orang yang paling sadar menyuruh orang kepada kebaikan, orang yang paling sadar mencegah orang lain dari kemungkaran, dan orang yang paling baik hubungan silaturrahimnya di antara mereka." (HR Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)
"Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya." (Riwayat Muslim)
Doa memohon perlindungan Allah daripada wabak taun
Doa ini bukan hanya untuk wabak taun tetapi untuk apa juga wabak penyakit.
Doa Elak Wabak Penyakit(2)
Monday, November 23, 2009
Taun di Terengganu
Semasa saya kecil, saya masih ingat, bila selesai musim banjir, kementerian kesihatan akan datang menabur klorin ke dalam telaga yang menjadi sumber utama air kepada penduduk kampung ketika itu. Selain itu, kami juga dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan mencegah penyakit taun.
Pihak kementerian akan datang pada hari yang dijadualkan di satu tempat berhampiran sebuah kilang padi. Ketika itu, tiada dewan atau balai raya di kampung Pulau Rusa Hulu. Cuma ada sebuah wakaf. Kini, tapak wakaf itu telah didirikan sebuah dewan. Disitulah kami mendapatkan suntikan. Terlebih dahulu, masjid menjadi tempat untuk kementerian menyebarkan makluman tarikh dan tempat. Pengumuman dibuat pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Untuk penduduk Pulau Rusa Hilir dibuat pada hari lain dan ditempat lain.
Abang dan kakak saya menasihatkan supaya kami menyerahkan tangan sebelah kiri untuk disuntik kerana lazimnya, tangan yang disuntik menjadi lemah selama beberapa hari, nak angkat lengan pun tak larat. Nak timba air perigi tentulah payah sebab perlu guna kedua-dua tangan. Suntikan diberi percuma.
Selain itu, penduduk kampung turut berikhtiar sendiri dengan membaca tahlil "Lailaha illallah" beramai-ramai mengelilingi kampung. Solat jumaat pula disertai dengan bacaan qunut nazilah menolak taun.
Namun apa yang lebih penting ialah menjaga kebersihan. Pada masa itu, tiada tandas untuk setiap rummah. Semua membuang dalam semak je. Kalau ada pun tandas tepi sungai. Orang perempuan tentu susah nak membuang dalam semak atau dalam sungai. Bimbang kena skodeng dengan budak-budak nakal. Istinjak pun di sungai. Selamba je selak kain dan duduk tepi sungai. Memang aib sungguh, tapi barangkali alah bisa tegal biasa atau dah terpaksa. Bila saya dah semakin besar, saya pun turut rasa malu dengan pemandangan yang mengaibkan itu. Namu perlahan-lahan, budaya mula berubah dan setiap rumah mula dilengkapi dengan tandas dan air paip bersih.
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Bila kita cuai menjaga kebersihan, itu ukuran iman kita taklah sebesar mana. Kata ustaz Wan Sohor, tandas awam di eropah berkilat, bersih sungguh. Kita, nak cuci tamdas rumah seminggu sekali pun malas. Sepatutnya tandas dicuci setiap hari.
Itu baru bab tandas. Belum lagi kebersihan diri, tangan, bekas makanan dan makanan itu sendiri. Jangan lupa amalkan membaca "Bismillahillazi layadhurru maasmihi syai'un fil ardh wala fissamaa' wahuassami'ul alim" sebelum makan. Semoga kita semua terpelihara daripada wabak penyakit mahupun gangguan sihir melalui makanan dan minuman. Insya Allah.
Tuesday, November 10, 2009
Thursday, November 05, 2009
Hobi melihat gambar
Semasa kecil, saya melihat selonggok surat yang dibuang emak saya untuk dibakar. Saya tertarik dengan setem-setem pada sampul surat itu, aya ambil kesemua setem itu dan mula mengumpul setem dengan bimbingan kakak saya. Sebenarnya, saya seronok melihat gambar yang berbagai dan begitu berseni pada setem-setem itu.
Kemuncaknya ialah ketika usia 12 tahun, saya berpeluang bertukar-tukar setem dengan kawan-kawan sekolah. Kini setem-setem saya disimpan oleh abang saya yang sulong. Sebelum saya, abang saya dan kakak saya juga mempunyai hobi mengumpul setem. Semua album setem masih ada tersimpan.
Kalau nak dikatakan warna warni pada gambar yang menjadi tarikan, gambar hitam putih pun saya suka juga. Dulu saya menjadi pembeli tetap majalh Fantasi yang diterbitkan oleh Creative Enterprise. Gambar poster dalam majalah itu saya tampal di dinding bilik saya. Saya asyik dan leka melihatnya berkali-kali. Tak kisahlah walau gambar itu sudah disunting dengan photoshop. Tak kisahlah gambar kanak-kanak atau mungkin orang tua atau gambar perempuan, gambar pemandangan, tumbuhan, bangunan ataupun gambar fantasi.
Hari ini, berbagai gambar menarik boleh didapati di internet. Saya download dan simpan dalam hard disk saya. Kalau boleh, saya nak cetak dan tampal di dinding dan tengok puas-puas. Cuma kosnya mungkin agak tinggi. Memang manusia sanggup berhabis wang kerana hobi.
Wednesday, October 28, 2009
Sikap peminat bola sepak Terengganu
Peminat di Selangor nyata lebih bijak. Mereka bersorak secara berirama. Mereka bersatu suara. Kalau menyanyi, mereka menyanyi lagu yang sama beramai-ramai menjadikan suasana bersemangat, bergemuruh dan menghiburkan. Tak kisah siapa yang mulakan. Melayukah, Indiakah, Cinakah, itu semua tak jadi soal. Bila buat mexican wave, mereka mudah lakukan. Mereka ada lagu pasukan. Bila lagu pasukan dikumandangkan, mereka turut menyanyi beramai-ramai. Kadang-kadang mereka menyanyi lagu "Inilah barisan kita". Bila dapat gol, mereka menyanyi lagu "Kesian dia". Mereka beli topi, baju dan berbagai cenderahati dengan warna pasukan tanda sokongan.
Peminat Terengganu, macam tak bersemangat, teragak-agak nak tunjukkan sokongan. Baru suku stadium buat mexican wave, dah terhenti. Kalau mexican wave pertama dah berjaya, kali kedua dah tak jadi. Tiada lagu pasukan. Tak tahu nak menyanyi lagu apa. Sayang duit nak beli cenderahati warna pasukan, atau mungkin tak ada duit, atau mungkin malu.
Hanya selepas tahun 90an, baru Terengganu ada pasukan sorak (kelab peminat). Tak pasti sekarang masih hidup lagi ke dah mati. Mereka menyanyi lagu jong-jong inai. Pun begitu tak begitu mendapat sokongan daripada penyokong yang bukan ahli kelab. Masing-masing hanya nak mengejek saja. Kelab peminat sendiripun kena ejek.
Begitulah antara sikap negatif peminat bola sepak Terengganu yang saya perhatikan. Ketika di KL, ada peminat Kelantan hadir memberi sokongan kepada Terengganu, tetapi kadang-kadang peminat ini kurang dihargai. Tak dijadikan kawan, malah ada cakap-cakap belakang, "Bukan orang kita, Mat Kelantan".
Saya bukan nak memandang rendah kepada orang Terengganu. Saya harap suasana hari ini di KT sudah berubah dan berbeza. Kali terakhir saya menonton pasukan Terengganu ialah perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di stadium Bukit Jalil. Terengganu menang. Sikap penyokong Terenganu di KL pada masa itu sudah jauh berubah. Lebih sepakat.
Hari ini, peminat bola sepak lebih beri tumpuan kepada EPL. Mungkin tak salah kalau saya katakan, ramai anak muda malu nak tonjolkan sokongan kepada pasukan tempatan kecuali kalau dah masuk final.
Oh ya, apa cerita dengan bumbung stadium di Terengganu. Terengganu memang terkenal dengan teknologi bumbungnya yang rapuh. Dah mula baiki ke belum. Laporan bumbung runtuh pun senyap je. Pembangkang pun tak mahu cucuk sikit, sekali sekala kat DUN. Itu duit rakyat tu. Rakyat nak tahu hasil siasatan. Tak kan MB beli kambing je dengan ketua pembangkang, terus senyap. Hampeh betul.
Tuesday, October 27, 2009
Monday, October 26, 2009
Bola sepak
Semasa saya di sekolah kebangsaan (tahun 70an), saya pernah dibawa oleh abang saya menonton perlawanan bola sepak di stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Saya cukup anti dengan pasukan Selangor sebab Terengganu selalu kalah dengan Selangor. Lebih kecewa lagi, menonton pasukan kita kalah di gelanggang sendiri. Ketika itu, Selangor memang pasukan yang gagah selain Singapura. Menariknya, Singapura agak alahan dengan pasukan Terengganu, mudah dijinakkan.
Kali pertama saya masuk stadium, perlawanan berlangsung siang hari. Mungkin lampu limpah stadium belum ada di KT. Ketika itu, perlawanan bola sepak piala emas raja-raja. Penonton tak lah ramai sangat. Piala emas raja-raja bukan tarikan utama kalau dibandingkan dengan Piala Malaysia. Sebab itu abang saya berani bawa saya.
Penonton dibenarkan duduk di tepi padang (atas trek olahraga yang ketika itu berwarna hitam). Setiap kali pasukan Terengganu berjaya menjaringkan gol, peminat akan serbu masuk ke stadium memeluk pemain yang menjaringkan gol. Pasukan polis bertungkus lumus mengawal keadaan, Alhamdulillah tiada perkara buruk yang berlaku.
Perlawanan akhir, antara Terengganu dengan Perlis, juga berlangsung waktu petang. Terengganu menang 3-2 tetapi permainan Perlis lebih bagus. Penjaga gol Perlis juga lebih cekap berbanding penjaga gol Terengganu, Zulkifli Abas. Rasa berdebar-debar melihat penjaga gol Terengganu tangkap bola tak kemas langsung. Penjaga gol Perlis, bola melekat di tangannya.
Kejadian bakar bas pernah berlaku ketika perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan (tak ingat tahun bila). Tahun ini, ia belaku di Kelantan pula, juga dengan Negeri Sembilan.
Pada tahun 70an, perlawanan bolasepak boleh diikuti di radio. Cara ulasan dibuat, bukan main cemas kita mendengarnya, terutama perlawanan Piala Merdeka. Ketika itu pasukan Malaysia setanding Korea Selatan. Pernah ditunjukkan di TV, perlawanan Malaysia dengan Burma (Myanmar). Malaysia belasah Burma 9-1. Hari ini, Myanmar lebih kuat daripada pasukan kebangsaan kita.
Itulah serba sikit yang saya masih ingat. Kalau ada yang tersasar sikit-sikit tu, maaf lah sebab bukan saya ingat sepenuhnya.
Friday, October 09, 2009
Dari hal makanan
....................................
Saya cuba untuk tidak cerewet pasal makanan dalam Ramadhan tahun ini. Apa sahaja yang dibuat atau disediakan, saya tumpang saja. Yang saya suka, saya makan. Yang tak suka, saya tak sentuh.
Tapi, pada penghujung Ramadhan, tiba-tiba suatu hari, hidangannya ialah roti kentang. Bukan saya tak pernah cuba, tapi kata orang Terengganu, dok leh gi. Kemudian, biras saya pula belikan nasi dagang. Rupa-rupanya nasi dagang Kelantan. Dan saya tak suka nasi dagang Kelantan, baik kuahnya mahupun nasinya. Dia ingat nasi dagang Kelantan sama je macam nasi dagang Terengganu.
Dengan rasa penuh kesal, saya keluar beli nasi. Dalam hati, saya akui saya gagal menghadapi ujian ini. Saya masih cerewet pasal makanan.
....................................
Dah lama saya tak makan bubur lambuk Terengganu. Saya balik kampung, saya beli bubur lambuk di Pasar Cabang Tiga. Balik rumah, mak saudara saya pula beri bubur lambuk juga. Saya makan penuh berselera. Anak saya pun nampaknya suka dengan bubur lambuk Terengganu. Saya pernah suap dia bubur lambuk KL dan dia tak suka. Bubur lambuk Terengganu tak dicampur santan seperti bubur lambuk KL.
Isteri saya langsung tak nak cuba rasa.
....................................
Berhari raya di Terengganu, kami beli kuah kacang segera dari sebuah restoran di Taman Permata,KL. Sebelum itu, kami dah cuba kuah kacang segera di Carrefour. Kami dapat percuma sebab Carrefour cuai tidak masukkan harganya dalam komputer. Selepas jenuh menunggu, akhirnya mereka memohon maaf dan beri percuma. Rasanya tak sesedap yang biasa kita makan.
Kuah kacang Taman Permata sedap. Tapi, baru saya tahu, kuah kacang Terengganu tak sama dengan kuah kacang di Pantai Barat. Kuah kacang Terengganu dicampur santan (terbalik dengan bubur lambuk tadi). Kuah kacang KL adalah kuah sate. Kuah kacang Terengganu adalah kuah nasi kapit (nasi himpit).
....................................
Berhari raya di rumah abang saya, dia hidangkan laksa. Tiga jenis kuah disediakan. Kuah laksa penang, kuah laksa Terengganu (kuah putih) dan kuah laksa Terengganu versi mak saya (kuah kuning). Kuah putih, lebih kurang macam kuah laksam. Kuah kuning, tak sama dengan kuah merah yang biasa dibuat. Rasanya, memang sedap. Baru saya tahu, saya dah lama tak makan laksa dengan kuah macam tu. Selalunya, yang popular ialah kuah putih atau kuah merah.
....................................
Bab masak memasak ni, saya memang tak tahu langsung dan tak pernah nak cuba memasak. Isteri saya pula langsung tak nak cuba memasak masakan Terengganu walaupun dah beberapa kali dia belajar dengan mak saya dulu.
Jadi, saya simpan jelah rasa rindu saya dengan masakan Terengganu. Sebenarnya, tiada masalah kalau saya sendiri cuba memasak. Isteri saya tentu takkan biarkan saya memasak sendirian.
Isteri saya lebih suka masak spagheti daripada menggoreng keropok. Tapi bila saya nak goreng keropok, dia tak benarkan dan dia yang akan gorengkan juga.
.....................................
Perkahwinan adalah satu perkongsian dan juga pengorbanan. Bukan sekadar berkongsi yang sedap-sedap, tetapi juga berkongsi yang tak sedap. Yang tak sedap itulah pengorbanan.
Arwah ayah saya, tak suka bau tempoyak. Kalau mak saya teringin sangat nak makan nasi dengan tempoyak, kena makan sendiri-sendiri. Tunggu ayah habis makan atau makan jauh-jauh daripada ayah. Itu satu contoh pengorbanan juga.
Saya mungkin rindu masakan Terengganu, dan itu juga satu pengorbanan. Demi kasih sayang, pengorbanan kadang-kadang nampak remeh dan mudah tetapi bila kita hanya nampak seolah-olah hanya kita yang berkorban, lalu hilanglah kesabaran.
Bila berkahwin, kita selalunya hanya nampak yang sedap-sedap sahaja. Banyak harta, kita berkongsi. Tinggi pangkat, dihormati, kita kongsi (tumpang tuah). Nikmat seks, kita kongsi. Persamaan minat dan hobi, kita kongsi.
Bila susah ? Bila hilang pendapatan ? Bila sakit ? Bila dilanda musibah ? Bila berbeza pendapat, berbeza selera, berbeza hobi ? Berbeza budaya ?
Friday, October 02, 2009
Mimpi malam tadi
Ketika itu saya sedang berbaring atas rusuk kanan. Seekor ular berwarna coklat datang kepada saya. Saya cuba mendiamkan diri (berpura-pura jadi objek mati). Ular itu melintasi badan saya dan tiba-tiba ia diam dibelakang badan saya. Saya mula panik dan takut, berapa lama perlu saya berdiam diri ? Tiba-tiba kepala saya mula bergerak sedikit untuk saya lari. Belum sempat lari, ular itu mematuk saya.
Saya terjaga dari tidur ketika saya cuba menjerit. Jam pukul 4.45 pagi. Sejurus kemudian, isteri saya bangun untuk bersahur. Saya ceritakan kepadanya. Dia tanya, "Ada perempuan suka kat abang ke ?".
:);)
Tuesday, September 15, 2009
Tuesday, September 08, 2009
Virus H1N1
Sungguhpun tak serious, bimbang la jugak. Adik saya seorang tu je. Sebatang kara pulak tu. Tak kahwin-kahwin lagi.
Semalam, saya sms dia tanya khabar. Katanya dah okey sikit, tapi masih selsema dan batuk. Demam dah baik.
Ini yang suspen ni. Tahun ni, giliran raya di Terengganu. Seperti biasa, 2 hari sebelum raya, mesti balik. Oleh kerana mak dah tak boleh masak, kenalah anak menantu buat kerja. Yang berkeluarga di Terengganu, mesti nak raya di rumah sendiri. Jadi, yang jauh di matalah kena buat semua.
Isteri saya dah risau. Maklumlah, masakan orang Terengganu dia tak mahir. He..he..he.. Sabarlah sayang.
Wednesday, August 26, 2009
Ramadhan 2
Masa itu, tiada peti ais. Kalau nak minum ais, pergi beli naik basikal. Dekat jalan besar ada jual, ais diliputi habuk kayu (dipanggil habuk gergaji). Boleh juga dibeli di kedai makan Pak Ador atau Kedai Mamat. Ais dibungkus dengan surat khabar lama. Kalau lambat, ais habis.
Kadang-kadang, mak buat air cikong (laicikang). Ayah akan beli bahan-bahannya dikedai india muslim atau kedai cina muslim. Yang pasti, ada pisang kaki kering, ada halwa kundor, kismis, kurma kering, mata kucing kering, gula batu. Kami minum panas-panas.
Kadang-kadang kami berbuka dengan roti yang dibeli di kedai Israil. Nama india pemilik kedai tu, Mohd Israil. Roti cicah sekaya buatan mak. Sekaya tu tak manis sangat, pekat sikit je daripada kuah durian.
Bebrapa minit sebelum berbuka, kami sama-sama duduk menunggu di depan hidangan makanan, sambil melihat-lihat jam dan mendengar radio alunan bacaan Al Quran atau alunan muzik timur tengah.
Bila berbuka, kami tak tunggu bunyi bedil (isyarat berbuka di K.Terengganu). Kami dengar azan radio je. Pernah sekali, sebuah bot meletup di kuala sungai Terengganu ketika hampir waktu berbuka. Bunyinya sama dengan bunyi bedil. Ramai orang kampung tersilap dan berbuka awal.
Kami sekeluarga berbuka atas tikar yang dibentang kain saprah. Berebut-rebut, yang berpuasa dengan yang tak berpuasa. Yang tak puasa macam saya dan abang saya pun tunggu orang azan, baru makan sama-sama. Amalan ayah saya, yang berpuasa dengan yang tak puasa boleh berbuka bersama-sama. Yang penting mesra dan "quality time". Amalan bapa mertua saya pula, yang berpuasa sahaja makan bersama. Yang tak puasa kena tunggu orang puasa habis makan.
Malam, bila saya dah besar sikit, baru saya ikut pergi terawih. Selalu kami ke surau bawa lampu suluh sebab tak ada lampu jalan. Sebelum sampai ke surau, kena pula lintasi tanah perkuburan. Saya buat tak cukup 20 rakaat. Ikut suka je berapa nak buat. Pernah ketika kami balik surau, nampak ada kambing kat tanah perkuburan tu. Kami suluh nampak matanya bersinar. Ingatkan anjing, mencicit kami lari takut dikejar. Kampung saya tak ada orang Cina dan tak ada anjing liar sebenarnya, cuma kadang-kadang ada anjing tersesat.
Waktu sahur, saya cukup liat nak bangun. Selalu saya marah mak saya kerana kononnya tak kejutkan saya bersahur. Mak kata, dah kejutkan tetapi saya buat tak tahu atau saya cakap tak nak.
Ketika ada tok, dialah yang siapkan makanan untuk sahur. Dah siap hidang, baru dia kejutkan semua. Bila tok sakit angin ahmar, dia akan ketuk-ketuk dinding kejutkan mak dan ayah untuk siapkan sahur. Bila tok tiada, barulah kami ada jam loceng.
Tuesday, August 25, 2009
Ramadhan
Selepas bermain bunga api dan mercun, kami akan masuk semula ke dalam kapal. Kadang-kadang kami pergi ke kapal kawan-kawan yang lain untuk melihat apa yang menarik dan boleh ditiru. Masing-masing dengan kreativiti sendiri.
Kapal perlu dijaga untuk mengelak serangan lanun. Lanun selalu datang menyerang bila pemilik kapal cuai meninggalkan kapal dengan lilin terpasang. Lanun akan memusnahkan kapal dan mencuri bunga api, mercun dan lilin yang tersimpan dalam kapal.
Sebelah rumah saya, ada rumah jiran yang lamannya lebih 6 kali ganda luas tapak rumah saya. Lamannya selalu diterangi lampu untuk membolehkan cucu-cucunya yang ramai bermain-main. Saya dan abang-abang saya juga sering menyertai mereka, bermain sembunyi-sembunyi, bermain kejar-kejar, toe jail dan sebagainya.
Pada masa itu, musabaqah Al Quran dibuat pada bulan ramadhan. Pak Imam yang kami panggil Ayah Ngah Lah selalu datang menonton TV di rumah saya. Dia pekak. Hanya satu telinga kirinya boleh dengar, tapi kena cakap kuat-kuat sebelah telinganya. Bila dia datang (selepas solat terawih), kami pasang radio kuat-kuat dan dia dekatkan telinga ke speaker radio sambil mata menonton TV.
Dalam sebulan, ayahanda saya akan bawa saya dan abang saya, sekali sahaja ke pasar Cabang Tiga atau pasar Manir untuk beli makanan dan barang dapur. Ayah saya hanya naik Honda Cub. Jadi seorang saja yang boleh ikut pada satu-satu masa. Ada pasar Kuala Bekah yang dipanggil pasar lalat. Ia hanya beroperasi sejam dua sahaja setiap hari, sebab tu dipanggil pasar lalat. Macam lalat hurung ... bila habis lalat tak ada. Pasar Kuala Bekah dah tak ada lagi kini.
Kali terakhir saya bawa ayah ke pasar ramadhan pula ialah pada tahun 2001, sekali ke pasar Cabang Tiga dan sekali ke pasar Manir. Ayah saya sudah agak lemah ketika itu. Dia sudah lama tak ke pasar kerana tak larat.
Selalunya, surau dan masjid akan adakan majlis berbuka sekali saja dalam sebulan, dinamakan Nnamat (penamat/khatam Quran). Untuk masjid, orang Pulau Rusa Hulu hanya hantar kuih dan orang Pulau Rusa Hilir hantar lauk nasi. Mak saya selalu buat jala emas, agar-agar dan mas sejemput. Kadang-kadang majlis bertembung antara surau dan masjid kampung sebelah (Kuala Bekah). Wakil akan dihantar sebagai menghormati jemputan. Hari minggu (jumaat) menjadi pilihan untuk diadakan majlis. Ayam kampung atau itik disembelih sendiri oleh ayah. Ayam disiang oleh abang saya. Saya cuma bantu cabut bulu je.
Mak saya selalu juga masak bubur lambuk. Bubur lambuk Terengganu tak sama dengan bubur lambuk Kg Baru. Bubur lambuk Terengganu diletakkan daun kesum dan berbagai-bagai pucuk daun. Juga diletakkan ikan kembong panggang yang dihancurkan. Bubur lambuk KL tiada daun kecuali ditabur daun bawang. Tiada ikan, tetapi ayam dan daging yang dipotong halus/hancur. Selera saya tentulah bubur lambuk Terengganu. Bubur lambuk Kg Baru pun tak sesedap bubur lambuk Terengganu. Kalau nak cari resepi di google, cari "bubur lambuk Paloh" atau "bubur lambuk Pahang".
Bertukar-tukar makanan adalah lumrah. Rumah yang selalu dipilih ialah jiran sebelah, rumah Che (tok) dan rumah Che De (mak saudara). Dalam sebulan, 2 atau 3 kali makanan dihantar.
Abang saya biasa bantu mak masak didapur. Sebab tu, bila abang dah kahwin dan balik kampung, dia boleh minta mak masak masakan yang dirinduinya. Dia akan belikan bahannya dan bantu mak masak. Saya tak berani nak minta sebab nanti yang penat buat kerja, mak seorang. Walaupun mak tak pernah merungut, tetapi sendiri mau ingat la.
Saturday, August 08, 2009
Jambu
Buah jambu masak
Masak hujung julai
Apa jamu kakak
Nasi dengan gulai
Dulu, sebelah rumah saya ada sepohon jambu batu. Kami panggil jambu butir banyak. Isinya merah jambu, lembut dan manis. Buahnya sebesar telur ayam sahaja. Jambu batu isi putih tidak digemari sebab keras dan tak manis.
Belakang rumah saya, dekat sungai ada sepohon pokok jambu arang. Bila tiba musimnya, kami kutip buah-buah yang luruh atas tanah, basuh dan makan. Buah nya berwarna hitam, isinya merah jambu dan bijinya putih. Saiznya sebesar buah (biji) getah. Rasanya masam manis. Selalu dimakan terus atau cicah dengan air garam kasar.
Dekat rumah saudara saya pula, ada sepohon jambu air kulit hijau. Jambu air merah jarang saya temui. Jambu air kulit hijau rasa masam jika bijinya putih, manis jika bijinya hitam. Sedap dimakan dengan kicap yang dicampur sedikit gula. Cikgu sains saya ajar formula untuk ingat warna-warna pelangi, "Makan Jambu Kulit Hijau Bau Ia Ucuk" = "Merah Jingga Kuning Hijau Biru Indigo Ungu". Formula Inggerisnya, "Ramlah Orang Yang Gemuk Banyak Isap Vitamin".
Satu lagi jambu yang banyak tumbuh di kawasan berpasir ialah jambu golok. Jambu golok ialah nama tempatan bagi buah gajus. Buah yang masak, kulitnya kuning. Rasanya kelat-kelat manis. Semasa di Kusza, kami kutip dari pohon-pohon dalam kawasan Kusza, hiris nipis-nipis, makan cicah garam. Perghhh.. sedap.
Akhir sekali, apa beza gadis merah jambu dengan gadis jambu merah ? Gadis yang jambu kah atau Jambu yang merah ? Atau Gadis merah yang jambu ? Atau merah jambu itu warna ?




