Thursday, December 27, 2012

Banjir

Melihat gambar2 banjir di sana sini, benar2 menggamit memori pada tahun 70an, ketika banjir melanda kampung setiap tahun.

Alah bisa tegal biasa. Persediaan awal menjadikan orang kampung tidak banyak terjejas bahkan seronok dengan air bah.

Sekarang semua sudah menjadi sejarah. Generasi yang tinggal hanya generasi yang tidak tahu bagaimana menghadapi banjir. Generasi yang tidak bersedia menghadapi banjir.


Saya sebenarnya baru pulang dari Terengganu. Hari Sabtu, saya bercakap dengan Ayah Teh, "Takdok bunyi air bah tahun ni."

Hari Ahad, saya bertolak ke KL merempuh hujan lebat sepanjang jalan hingga ke Kuantan. Hari Isnin, berita banjir mula keluar.

Sesungguhnya di sebalik kesukaran ada kesenangan.

Sabarlah menempuh ujian Tuhan. Dia maha penyayang. Semuanya untuk kebaikan kita juga.

Wednesday, November 07, 2012

Sibuk

Satu ketika, Allah sempitkan rezeki saya. Sempit sesempitnya. Tetapi Allah luaskan masa saya.

Kemudian Allah bukakan pintu rezekinya perlahan2. Tetapi Allah sempitkan pula masa saya.

Kadang2 terfikir juga, kenapa Allah tidak luaskan kedua2nya sekaligus ? Bagaimana pula kalau sebaliknya ? Kalau dua2 sempit ? Mampukah kita tempuhinya ?

Syukur, saya diberi kesihatan yang baik. Walaupun suatu ketika, saya mungkin banyak menyusahkan keluarga saya, tetapi syukur saya dikurniakan isteri dan anak yang tabah, sabar dan setia. 5 tahun bukan tempoh yang singkat.

Buntu dan tidak nampak jalan penyelesaian lagi. Tetapi Allah maha pemurah. Rezeki Allah itu luas dan Dia boleh beri rezeki tanpa kita sangka bagaimana caranya.

Friday, September 14, 2012

Dosa2 kita memang tak terhitung kan ?

Kadang2, bila teringat balik dosa2 lepas; walaupun sudah bertahun2 berlalu, walau sudah banyak kali memohon ampun denganNya, walau kita sudah taubat dan insaf, tapi masih rasa meremang dan berbekas seolah2 dosa itu belum diampunkan oleh yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf dan Maha Pengasihani.

Apatah lagi dosa dengan manusia yang kita tidak pasti apakah mereka maafkan kita ?

Sunday, August 26, 2012

Cerewet

Saya pernah tanya isteri saya, adakah saya seorang yang cerewet ? Isteri saya kata, memang cerewet, terutama soal makanan.

Semasa saya tingkatan 2, kawan baik saya kata, "Aku dok suka mung sbb mung cerewet." Kata2 yang kekal dalam ingatan saya hingga hari ini. Saya tergamam dengan kata2 itu. Saya sendiri pun tak sedar saya seorang yang cerewet pada pandangan dia.

Setiap orang, ada sifat cerewet dalam hal tertentu.

Dulu, ketika video tape baru popular di Malaysia, orang ramai suka menonton filem baru versi cetak rompak melalui video.

Tapi saya tak suka tengok video sbb kualitinya teruk. Bunyinya, gambarnya. Saya memang cerewet. Antara filem popular ialah filem Rambo, Chuck Norris dan macam2 filem hollywood. Saya tak follow pun walaupun kawan2 asyik bercakap mengulas dan bercerita semula filem itu. Kalau saya tengok, saya akan mengantuk dan tertidur.

Hari ini, filem2 baru boleh ditonton dalam versi CAM dan TS (telesync). Saya tak suka donwload filem kualiti sebegini walaupun kualitinya jauh lebih baik berbanding kualiti video tahun2 90an. Saya tunggu versi DVDRip atau BBRip juga walaupun filem itu dah basi dan dah tak hot. Download guna torrent sekejap je. Satu movie dalam 15 ke 30 minit je, bergantung kepada saiz movie dan seeders.

Betullah saya cerewet. Tapi dalam soal makan, saya rasa saya tak cerewet. Saya belasah je makanan yang biasa2 biarpun tak mahal. Tapi memang ada makanan yang saya kurang gemar sebab tak ngam dgn selera kita. Biasa lah tu. Semua orang pun sama.

Pakar masakan macam Chef Wan tentu cerewet pasal cara menyediakan makanan sebab dia tahu macam mana nak buat jadi sedap dan kenapa masakan jadi tak sedap.

Saturday, July 14, 2012

Kerja

Minggu ini, saya mula bekerja bersama polis semula.

Saya pernah bekerja bersama polis kira-kira 7 dan 8 tahun lepas.

Moga Allah permudahkan segala urusan.

Monday, July 02, 2012

Keraian di surau


Antara amalan tradisi di kampung saya satu ketika dahulu ialah meraikan malam nisfu syaaban.

Orang kampung kebanyakannya jarang solat di surau. Hanya 5-6 orang lelaki sahaja yang jadi jemaah. Selebihnya ialah kaum muslimat.

Bila tiba malam nisfu syaaban, surau menjadi penuh. Orang kampung datang dengan kopiah putih yang kuning dan berjagat hitam. Telekung muslimat pun tak kurang usangnya.

Masing-masing bawa surah yasin yang kecil dan hampir hancur. Surah yasin kadang2 tak cukup sebab tidak menjadi budaya dalam masyarakat membaca yasin di malam jumaat mahupun ketika tahlil kematian.

Bacaan yasin tidak dibaca secara serentak tetapi dibaca sendiri2 macam bunyi lebah. Siapa cepat, dia habis dulu.

Seperti di kebanyakan tempat, Yasin dibaca 3 kali disertai doa2 tertentu.

Selain Nisfu Syaaban, keraian lain ialah sambutan maulid nabi. Selalunya, dibuat sebelah petang, selepas asar. Ada bacaan berzanji dan makan2. Tiada kuliah atau ceramah. Satu ketika, ada juga anak muda yang usahakan ceramah tetapi kini orang berkenaan sudah membeli rumah di tempat lain dan berpindah.

Satu lagi ialah Namat yang dibuat pada bulan puasa selepas khatam tadarus. Tadarus diadakan selepas solat witir setiap malam. Namat dibuat sejurus sebelum buka puasa.

Saya tak pasti adakah amalan di atas masih diteruskan atau tidak kerana tiada "mujahid dan mujtahid" di surau.

Kalau dulu, orang kampung tak bersungguh dan tak berlumba2 ke surau, nampaknya, kini keadaan belum menjadi semakin baik. Apatah lagi hanya tinggal orang tua2 sahaja dan orang muda yang satu ketika dulu (ketika muda dan kanak2) mesra surau tidak tinggal di kampung lagi.

Thursday, May 17, 2012

Solat subuh


Sejak saya remaja, saya memang hadapi satu masalah paling besar iaitu sukar bangun solat subuh.
Mungkin ia bermula kerana tiada kesungguhan ketika itu. Tetapi, bila umur semakin meningkat, walaupun kita bersungguh mahu bangun, ia masih tidak terbuat.

Pernah saya pasang 3 jam loceng di keliling saya tetapi masih gagal menyedarkan saya hingga terbit matahari.

Pernah saya menghukum diri sendiri dengan tidur di atas papan plywood, buangkan keselesaan tilam yang tebal lagi lembut tetapi masih juga tak berjaya. Jangan kata nak bangun tahjjud, bangun bersahur pun payah. Bangun untuk makan dan bola pun tak terbuat.

Nak kata, tidur lewat, tak juga. Saya dalam kategori tidur agak awal walaupun tak awal sangat.
Wuduk sebelum tidur, doa, zikir, 4 qul; semua saya amalkan tetapi masih tak berjaya.
Selepas kahwin, saya masih liat bangun subuh walau ditegur oleh isteri.

Namun tahun2 kebelakangan ini, saya jadi mudah terjaga waktu subuh malah kadang2 sebelum waktu subuh pun dah terjaga.

Lama-kelamaan, saya terfikir, mungkin usaha dan doa aku selama ini sudah dimakbulkan Allah. Dia mahu aku solat subuh di awal waktu, atau jemaah di masjid atau bangun tahjud.
Jadi saya ringankan badan, bangun, mandi dan ke masjid.

Di masjid, rupanya ramai budak2 yang solat subuh di masjid. Malu rasanya tengok budak2 sekolah pun solat subuh di masjid sedang kita baru nak berjinak.

Solat subuh di masjid rupa-rupanya menyeronokkan. Malas cuma ketika nak bangun. Selepas mandi, badan jadi ringan dan rasa rugi pula kalau tak ke masjid. Keseronokannya paling terasa bila kita tiba di masjid. Rasa macam kita sedang mengecapi satu kejayaan pada masa itu. Lagi seronok kalau sempat solat sunat fajar (qabliyah subuh). Terasa rugi atau sedikit kesal kalau tak sempat solat sunat.

Di masjid Ampang, muat kira2 60 orang satu saf. Solat subuh, boleh dapat hampir 3 saf. Campur jemaah muslimat, ada lebih kurang 150 - 200 orang jemaah subuh. Kadang2 boleh dapat lebih daripada itu. Hari Ahad, selepas kuliyah subuh, ada sarapan pula. Memang menarik dan murah rezeki.

Sekarang ni, jam 5 pagi je, otomatik terjaga. Dah tak payah kunci jam atau alarm phone lagi. Tapi set alarm juga la kot2 terlepas karang, menangis dibuatnya.

Mungkin faktor usia. Tapi syukurlah kerana masih diberi nyawa, kesihatan dan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah dengan lebih khusyuk dan sempurna.

Kalau nak beri tips, saya tak tahu apa tips nya. Dah terjaga tu, bangun saja lah. Gosok gigi dan mandi. Kesegaran terasa selepas gosok gigi lagi.

Solat subuh di masjid rupanya lebih mudah berbanding solat2 fardhu yang lain. Masa lain, kita sibuk dengan urusan dunia, jauh daripada masjid atau diganggu dengan benda2 lain termasuk kesesakan. Subuh, mudah saja. Tiada kesesakan, tiada gangguan tetamu, kawan, anak isteri, urusan kerja, makan minum dan sebagainya.

Kalau anda tak punya cukup kekuatan untuk bangun solat, berpakatlah dengan teman yang lebih kuat, Insya Allah.

Wednesday, May 16, 2012

Nikmat mengaji & mengingat Al Quran

Pagi tadi, anak saya yang berumur 8 tahun mengungkit tetang bacaan surah As Syams yang saya baca dalam solat maghrib malam tadi. Saya perasan, saya ada terulang baca ayat 2 kali.

Saya ingatkan, dia tak perasan sebab dia tak kata apa2 selepas selesai solat. Rupanya, pagi ni ketika nak hantar dia ke sekolah, baru dia sebut.

Satu ketika ketika saya bujang, saya lupa surah Al Fil. Bukan panjang mana pun. Lima ayat je. Tapi lupa dan tak boleh nak sudahkan. Saya terpaksa baca surah lain. Lepas solat, kawan saya gelakkan saya. Baca surah mudah macam tu pun tak ingat. Kantoi !!!

Pernah satu ketika dalam satu solat Jumaat, seorang bilal gagal azan dengan betul. Bilal itu bukan orang baru. Hampir setiap minggu, dia lah muazzin solat jumaat. Tapi hari itu, dia tesilap, ditegur imam, mengulang semula dan tersilap lagi. Berulang kali dia cuba tapi tetap silap. Akhirnya di teruskan juga walaupun silap.

Macam tak manasabah. azan pun boleh lupa. Tapi bila Allah takdirkan kita lupa, bila Allah tarik sedikit ingatan kita, habis ...

---------------------------------

Dulu, seawal darjah 2, kebanyakan budak2 kampung dah mengaji Quran besar. Cuma saya agak lewat sedikit sebab selalu ponteng. Ada beberapa orang guru Al Quran termasuk jiran sebelah rumah saya.

Ada yang berjaya khatam awal. Tapi bila mengaji semula, mereka tak mampu baca dengan lancar. Setakat boleh baca sendiri, merangkak2.

Kata anak saya, di sekolah dia, tak ramai rakan sebayanya yang pandai baca Quran dengan lancar. Mereka semua sekolah agama. Hari ini, budak2 pun banyak komitmen menyebabkan mereka kekurangan masa untuk mengaji Al Quran.

Alhamdulillah, anak saya antara yang boleh baca dengan lancar walaupun belum khatam muqaddam. Ada juga yang lebih baik daripada dia. Anak ustaz2 lah tu.

Berapa baris Al Quran yang mampu anda baca setiap hari ? Jika anda kekal mendampingkan diri dengan Al Quran, ia akan menjadi syafaat kepada anda ketika di alam kubur hingga anda diiring ke syurga. Wow. Best nya. Ia juga akan membawa manfaat kepada kedua ibu bapa anda walaupun amalan mereka sedikit. Yang penting mati dalam husnul khatimah, mati dalam iman.

Tahlil tu tak penting. Yang penting, kekalkan mendampingi Al Quran setiap hari. Baca, dengar, teliti maknanya, belajar dan mengajar Al Quran. Ibu bapa anda di alam kubur pasti beroleh manfaat kerana ia termasuk amalan soleh.

Tuesday, May 08, 2012

Bila anak mahu bercakap pasal politik


Satu hari di Pulau Pinang bersama keluarga kandung Farah


Satu hari, anak saya bertanya pasal politik. Anak saya bersekolah di sekolah agama swasta yang diusahakan oleh aktivis PAS. Rata-rata anak2 di situ mengikut kata ibu ayah mereka. Mereka "orang PAS".

Saya kurang selesa nak bercakap pasal politik dengan anak saya. Saya rasa dia belum cukup bersedia untuk memahaminya.

Mungkin tak jadi masalah kalau kebanyakan ahli keluarga anda sokong satu parti politik yang sama. Masalahnya, ayah dan ibu kandung anak saya adalah aktivis UMNO P.Pinang. Anak saya akrab dengan keluarga kandungnya. Mertua saya pula aktivis UMNO di K. Lumpur.

Tahun lepas, ketika Bersih 2.0, kami dalam perjalanan pergi dan balik Kuantan. Dalam kereta, anak saya di "basuh" oleh neneknya bahawa Bersih itu kotor, jahat dan macam2 lagi. Saya malas nak berperang dengan mertua saya. Saya diam je. Tak mahu anak saya jadi keliru.

Kali ini, bersih 3.0, anak saya dapat tahu, kawan2 sekolahnya semua sokong Bersih. Dia jadi keliru. Mak saudaranya pula kata bersih itu orang gila.

Jadi dia tanya saya. Saya kata, "Papa sokong Bersih." Dia tanya pasal PAS. Saya kata, "Papa orang PAS."

Ketika saya darjah 2 (usia anak saya sekarang), bila saya bercakap pasal politik, ayah saya senyum dan sesekali ketawa kecil. Dia tak cakap pun pendirian politiknya. Ketika itu, tak lah rumit sangat  (tahun 1976). PAS dan UMNO sama2 dalam BN.

Tahun 77, berlaku pergolakan politik hebat. Bukan sekadar PAS vs UMNO tetapi PAS vs PAS terutama di Kelantan. UMNO juga bergolak di Melaka, Perak dan beberapa negeri lagi. Komponen BN lain juga bergolak seperti di Sabah. Dalam erti kata lain, berada dalam satu parti BN bukan bermakna orang Melayu sudah bersatu dan rakyat boleh bernafas lega. Itu hanya khayalan yang di reka untuk rakyat bermimpi. Hakikatnya, orang politik tetap akan bergasak untuk berebut kuasa.

Anak saya suka bertanya. Kalau saya jawab, dia akan bertanya dan bertanya. Nak cerita detail, nanti dia tak faham atau keliru dan makin banyak bertanya.

Saya cuma beritahu dia, "Papa sokong PAS. Nenek dan ayah sokong UMNO. Farah jangan cakap banyak pasal PAS depan nenek sebab Papa tak mahu bergaduh." Dia jawab, "Alaa... pasal PAS dengan UMNO pun nak gaduh."

Saya kata, "Nanti bila Farah dah besar sikit, baru kita boleh cakap pasal ni." Anak saya dah pandai baca. Hari2 dia boleh baca fitnah akhbar Utusan yang dilanggan mertua saya. Hari2 dia boleh dengar hasutan TV3. Tak mudah nak jelaskan. Tak mudah untuk berkata polis itu jahat, zalim dan sebagainya. Polis sebenarnya hanya jalankan arahan pihak atasan.

Harapan saya, Pakatan Rakyat akan menang besar dalam PRU akan datang. Supaya senang saya nak jelaskan kepada anak saya. Supaya apa yang saya kata selari dengan laporan TV tertentu. Kita tunggu pilihan raya. Mungkinkah akan jadi begitu ? Atau keadaan akan bertambah rumit ?
Posted by Picasa

Monday, April 30, 2012

Bangunan baru belum siap

Masa saya belajar di sekolah kebangsaan, tiada bangunan moden kecuali satu block bangunan batu setingkat. Yang lain hanyalah bangunan kayu berlantai simen.

Selepas saya tinggalkan sekolah itu, pembinaan bangunan baru dimulakan dan siap beberapa tahun kemudian.

Di sekolah menengah juga hampir serupa. Saya belajar dalam kelas kayu berlantai simen. Ada satu block bangunan batu setingkat dan satu block lagi bangunan 2 tingkat tetapi bersaiz agak pendek.

Pembinaan bangunan baru bermula pada tahun berikutnya tetapi hanya siap dan digunakan selepas saya tinggalkan sekolah itu.

Di Kusza juga lebih kurang saja. Walaupun bangunannya moden, tetapi pembinaan yang lebih lengkap hanya bermula sebelum saya tinggalkan "sekolah" itu.

Kesian, saya selalu belajar di sekolah yang serba kekurangan. Di Kusza, makmal sains terpaksa guna makmal sekolah lain, pergi naik bas Kusza. Masjid pun pergi naik bas ke masjid di kampung2 berdekatan. Tapi best jugak dapat solat di berbagai2 masjid.

Ada imam kampung yang sebut "seberat zarrah" menjadi "seberat zaharah", "selidik" menjadi "seledek". Teks dalam jawi gamaknya. Kami sengeh sesama kami.

-----------------------------------------------------

Dulu, di kampung saya, kebanyakan rumah tiada bilik. Hanya ada pemidang kayu yang ditutupi kain. Nasib baik tiada elektrik, jadi pasangan suami isteri tak lah bermasalah sangat nak bersama :). Lagi pula orang kampung tidur awal sebab gelap.

Ada rumah yang berlantaikan batang pinang yang dibelah2. Lantai jadi berlekuk2 dan tak rata. Susah dan tak selesa bila saya berjalan atasnya (kaki budak2 kecik lagi). Nak duduk apa tah lagi. Tangga pun agak ngeri dan menggayatkan.

Beberapa keping gambar lama kampung saya ada dalam simpanan abang saya yang sulong dan bapa saudara saya. Saya tak sempat nak tangkap satu.

Monday, April 23, 2012

Sukan sekolah


Sekolah saya (sekolah kebangsaan) bukanlah sebuah sekolah yang hebat dalam acara sukan. Selalu menjadi pasuan belasahan.

Antara sebabnya, bilangan pelajar yang tak ramai, padang yang hanya bersaiz separuh drp saiz sebenar, kelengkapan sukan yang serba kurang dan tiada guru sukan.

Saya diletakkan dalam rumah hijau. Rumah hijau dan rumah biru selalu bersaing untuk menjad juara.

Saya masih ingat, pasukan bola sepak rumah hijau dan biru selalu bergilir2 menjadi juara. Acara lain lebih kepada sukaneka untuk pelajar darjah 1 - 3. Maklumlah, rata2 pelajar sekolah miskin. Tiada pakaian sukan. Tampal je kain perca warna hijau di dada. Main bola pun pakai kasut sekolah je.

Pasukan bola sekolah selalu kalah. Saya selalu tengok perlawanan diadakan di padang sekolah Teluk Pasu, padang Sekolah Manir atau padang sekolah Paloh. Pergi dengan basikal. Sekolah kami kalah sokmo. Yang paling saya ingat, kalah 10-0 dgn sekolah Manir.

Sekolah menengah pun hampir sama. Ketika itu, sekolah dalam pembinaan bangunan baru. Padang tak ada. Guru sukan pun tak ada. Pelajar2 jadi lemau dan lembik. Tapi masih sempat juga ada rumah sukan. Saya rumah hijau juga.

Nama2 rumah diambil drp nama pejuang Islam seperti Khalid Al Walid, Zubair Al Awwam, Hamzah dan ....(lupa).

Acara sukan kurang menonjol. Malah ada yang seakan menganggap sukan sebagai melalaikan walaupun berkali2 ustaz cuba perbetulkan. Hmmm lebih alim drp ustaz la pulak. Remaja.... Krisis identitilah katakan.

Anak saya tahun ni, dalam rumah biru, UHUD nama rumahnya. Tahun lepas rumah kuning dgn nama Syed Qutb. Hai, mcm mana rumah sukan boleh berubah2 setiap tahun pulak ni.

Lantak la. Janji dia seronok dan bersemangat.
 
Posted by Picasa

Tuesday, April 17, 2012

Permainan era 70an

Antara permainan rakyat di era 70an ialah Toe Jail, Toe Dduduk, Jit Takua, Mak Jah Belacan, Tapak Anjing, tarik upih. Kami sering bermain ketika saya berumur kurang 8 tahun.

Sukar nak ceritakan disini bagaimana permainan itu berjalan.

Permainan pada usia lebih besar termasuklah baling selipar, baling tin susu yang disusun piramid, main guli, tayar basikal keliling kampung, laga biji getah, laga ikan.

Sukan yang lebih moden pula ada musimnya. Bila hoki piala dunia berlangsung, kami pun sibuk bermain hoki. Bila kemuncak Piala Malaysia, kami bermain bola. Bila badminton muncul di kaca tv dan akhbar, kami pun main badminton.

Yang pasti, permainan2 itu ada musimnya. Musim laga ikan selalunya pada cuti penggal ke 3 sekolah. Kemudian diikuti musim laga biji getah.

Di kampung saya juga ada aktiviti laga ayam. Kami turut seronok melihatnya tanpa tahu hukum halal haram. Dia orang tu sebenarnya berjudi. Permainan itu akhirnya hapus perlahan2 selepas kesedaran makin meningkat selain dipatahkan pihak polis.

Saya masih ingat, ketika seekor ayam laga milik seorang jiran yang dilepaskan kerana sudah tua. Ayam ini suka membuli. Semua ayam dan itik dibulinya. Ayam ini selalu berlaga dengan itik serati jantan saya. Berjam2 bila berlaga, kadang2 pagi sampai petang. Pernah juga ia berlaga dengan ayam belanda jantan saya.

Kesian tengok ayam belanda yang punya daging2 bergantungan di kepala dan leher ditarik ayam laga tu. Tapi ayam belanda tu tak mahu kalah juga. Dah lah besar dan berat, dipijak2nya ayam laga tu bila dah letih.

Saya selalu leraikan dan hambat ayam laga tu tapi kejap nanti dia pasti datang balik. Dendam kuat juga ayam tu. Benci betul saya dengan ayam tu.

Ayam garang cukup ditakuti kanak2 termasuk saya. Masa kecil, nenek saya ada seekor ayam jantan besar yang suka kejar kanak2. Kalau ayam ibu yang ada anak pun tak kurang garangnya. Saya pernah lawan ayam garang ni dengan kaki. Sbenarnya, ayam2 ni, kalau kita mengalah, memang dia berani. Bila kita lawan, dia takut juga akhirnya. Tampar sekali ayam tu, lepas tu tak de lagi dia berani datang. Dia kenal kita pernah tampar dia. he.. he.. Brutal jugak tu.

Bila ada yang tebang pohon kelapa, kami bermain kabor gajah, sejenis kumbang yang ada warna oren dikepalanya. Ia mudah didapati pada pokok kelapa yang tumbang. Kakinya diikat dengan benang dan kami biarkan ia terbang. Dah tua2 ni, rasa macam menyiksa binatang pulak.

Tuesday, March 27, 2012

Baca Al Quran

Dulu, saya juga tidak gemar membaca Al Quran, ketika zaman kanak-kanak. Saya selalu mengelat dan mengelak. Bila ayah suruh, selalunya, saya segara patuh. Tapi kalau ayah sibuk, ada saja akal untuk tidak mengaji Al Quran. Kalau mak suruh, masih boleh bertangguh-tangguh, buat-buat lupa dan menyelinap lari. Pergi mandi di sungai berjam2, atau pergi ke sekolah yang jauhnya lebih 800 meter dari rumah. Kalau bacapun, laju macam keretapi ekspress. Tak peduli tajwid walaupun ditegur berkali2.

Tapi ayah dan ibu saya ada caranya sendiri. Mereka baca Al Quran setiap hari, sebelum tidur dan selepas solat subuh. Hari2, dipasang kaset bacaan Al Quran kuat2. Dihantarnya kami ke sekolah agama.

Lama kelamaan, hati kami jadi lembut juga. Walaupun sudah agak lama tak baca Quran, sesekali rindu itu datang juga.

Bila usia makin bertambah, perasaan nak membaca, nak memahami, nak lancar membaca malah nak hafal datang menghambat. Mungkin berkat usaha ibu bapa, mungkin berkat doa mereka.

Kini, anak saya juga agak liat bila disuruh baca Al Quran. Saya sebut kelebihan membaca Quran. Saya paksa dia baca Quran. Saya paksa dia dengar bacaan Quran dalam kereta, surah sama berulang2.

Sesekali, kedengaran juga dia baca Quran ketika dia leka bermain2. Seperti menyanyi2. Bacaannya agak baik. Kadang2, bila mengajar anak mengaji, dia tanya, "Apa maknanya ni Papa ?". Kena stand by tafsir di sebelah.

Saya mula tertarik membaca tafsir ketika usia saya belasan tahun, pada satu bulan Ramadhan. Saya baca Quran dengan tafsir pimpinan Ar Rahman. Surah yang saya baca ketika itu ialah surah Al Kahfi. Kebetulan pula, cerita arab di TV1 ketika itu berkenaan ashabul kahfi.

Hari ini, saya rasa malu bila gagal membaca Quran dengan lancar. Sebab saya pernah belajar di SMKA. Rasanya, tak sepatutnya saya tergagap2 membaca Al Quran.

Ketika di tingkatan 4, bila ustaz suruh tulis tahiyyat di papan hijau, saya terkejut melihat beberapa rakan2 saya menulis dengan kesalahan ketara termasuk syahadat. Macam mana sekolah agama tapi bacaan dah tentu tak betul kalau ejaannya jelas salah.

Kesimpulannya, pelajar SMKA sebenarnya tak hebat dalam agama, termasuk saya. Sekurang2nya hebat setakat belajar 3 atau 5 tahun itu. Hanya sebahagian kecil yang boleh dibanggakan. Yang tak sekolah agama mcm mana gamaknya ?

Berilmu itu satu hal. Punya kesedaran agama lain halnya pula.

Tuesday, February 14, 2012

Masalah tak backup

Masa belajar dulu2, kami diberi assignment, buat program komputer guna BASIC programming.

Masa tu, kami simpan program kami dalam floppy disc bersaiz 360K. Mana ada yang mampu beli PC sendiri, semua kena guna komputer di makmal. Nak guna pun kena beratur, tulis nama dan priority kepada pelajar final year. Kami cuma boleh guna sejam saja, lepas tu kena booking semula.

Ada kawan saya, ayahnya jual lembu untuk belikan PC.

Satu hari, program komputer saya ter"delete". Dah la program tu panjang, tak ada backup pulak. Due date dah dekat sangat2. Terpaksa saya salin semula daripada hard copy. Itupun bukan yang terkini.

Kelam kabut nak siapkan, sampai tidur pun mimpi programming.

Sekarang, senanglah. Dah ada USB. Portable HD pun muah je. Semua ada laptop masing2. Cuma kadang2 masalah bila program tu ter"overwrite".

Program baru jadi lebih teruk daripada program asal. Nak "trace" balik macam asal bukan senang. Nak recover pun dah tak boleh sebab program guna nama sama.

Kalau anda hadapi masalah seperti ini, saya syorkan anda guna software "Genie Timeline". Percuma je. Ada features yang dipanggil versioning. Anda boleh backup dokumen, foto, music, movies dan macam2 lagi. Tak payah pening2 fikir nak schedule backup.

Masalah hard disk rosak, partitioning problem, overwrite, undo editing, recover deleted files dan macam2 boleh settle. Tapi janganlah hilangkan backup HD tu pula.

Friday, February 10, 2012

Komputer

Komputer pertama yang saya miliki ialah komputer clone yang dibeli di Imbi Plaza (1992). Saya buat pinjaman RM5000.

Komputer itu menggunakan CPU 486 DX 33MHz dengan memory 4MB. Hard disknya 250 MB. Monitor jenis TVM. Lengkap dengan printer Canon BJ230 (boleh print kertas A3).

Masa tu, komputer tu kira dah canggih. Tiada internet lagi masa tu. Tapi pernah kena virus Die Hard 2. Habis semua file deleted. Terpaksa format semula. Install Windows 3.1 dengan disket. CD belum ada walaupun Macintosh dah lama guna CD.

Virus pertama pernah serang disket saya ialah jenis DENZUK (1987). Bila nak reboot (Ctrl-Alt-DEL), keluar graphic tertulis DENZUKO. Rasa macam bagus sangat. Rupa2nya virus. Disket label ditukar oleh virus menjadi Y.C.1.E.R.P dan tak boleh ditukar lagi dengan cmd DOS.

Wednesday, January 11, 2012

Nama dia Asalamu'alaikum

Ketika sedang menikmati minum petang di Kg Baru, Kuala Lumpur, seorang lelaki duduk semeja dengan saya. Entah kenapa, ramah pula saya menegurnya. Saya jarang tegur orang lain.

Dia seorang pemandu teksi. Dia perkenalkan dirinya. "Nama saya ASALAMU'ALAIKUM".

Terkedu saya. Belum pernah saya jumpa orang bernama sebegitu. Orangnya simple berkopiah, pemandu teksi lah katakan.

Kami sempat bertukar2 no telefon dan kami merancang untuk berjumpa semula di lain hari.

Thursday, January 05, 2012

SMKA Tok Jiring

SMKA Tok Jiring adalah sekolah saya dari tahun 1981 - 1983. Ketika itu, sekolah ini baru diambil alih oleh kerajaan persekutuan daripada kerajaan negeri Terengganu. SMKA TJ adalah satu2nya SMKA milik kementerian pelajaran di Terengganu ketika itu.

Satu ketika sebelum itu, sekolah ini menjadi pilihan ibu bapa untuk anak2 yang bermasalah, terutama masalah pencapaian akademik yang kurang memuaskan. Memang, satu ketika dahulu, sekolah agama dan sekolah pondok hanya menjadi pilihan terakhir. Ia berbeza sama sekali dengan hari ini.

Bila kerajaan negeri ambil alih, guru2 yang terlatih serta kemudahan pembelajaran mula dipertingkatkan. Orang ramai mula berminat dengan sekolah ini apatah lagi ia asalnya adalah sekolah pondok. Ruh nya ialah sekolah pondok yang dimodenkan.

Ada yang kata, pada tahun 1981, pelajar yang nak masuk SMKA Tok Jiring mesti pandai baca surah Al Fatihah. Saya tak tahu menahu pun, hanya pada tahun 1984, baru saya dengar daripada seorang rakan daripada Besut. Itu pun, dia bukan pelajar SMKA Tok Jiring.

Saya tak pernah dipanggil untuk di temuduga sebelum masuk. Ketika itu sekolah ini bukan sekolah pilihan. Keutamaan adalah untuk pelajar tempatan yang berhampiran. Permohonan saya ditolak dan saya diminta melapor diri di SMK Sultan Ahmad, sekolah menengah paling hampir dengan rumah saya ketika itu. SMKA TJ letaknya kira2 6.5 km daripada rumah saya. Saya diterima juga akhirnya selepas ayahanda saya merayu.

Beberapa tahun selepas saya tinggalkan SMKA TJ, sekolah itu sudah dinaik taraf kepada sekolah gred A. Ia menjadi sekolah pilihan. Kemasukan pelajar disyaratkan lulus cemerlang dalam penilaian darjah 5 atau UPSR tahun 6. Sebelum itu, pelajar yang cemerlang dalam SRP / PMR diekspot keluar menyebabkan pencapaian SPM menurun berbanding SRP / PMR. Bila sudah berada dalam gred A, pelajar cemerlang tidak lagi diekspot secara borong, membolehkan pencapaian SPM meningkat mendadak, sekaligus menjadi kebanggaan pelajar, guru dan negeri Terengganu.

Beberapa tahun berikutnya, ia diturunkan pangkat kepada gred B, mungkin kerana permintaan yang tinggi oleh penduduk setempat. Bayangkan, penduduk berhampiran tak diterima masuk, rakyat yang jauh2 diterima kerana faktor cemerlang selain faktor politik lobi. Ketika itu, sekolah agama gred A mungkin diberi kepada SMKA Sheikh Malek di KT.

Kini, SMKA TJ tidak secemerlang dahulu. Ramai bekas pelajar tertanya2, kenapa jadi begitu. Saya kira, jabatan pendidikan negeri dan Kementerian Pelajaran lebih tahu sebab musababnya kerana mereka mengatur perancangan pendidikan negeri.

Sekolah ini banyak kenangannya kepada saya walaupun hanya 3 tahun menuntut ilmu di situ. Saya berjalan kaki di bawah terik matahari daripada Bt 6 kerana masalah pengangkutan. Saya balik sekolah malam2 dengan hiking, tahan je mana2 kenderaan yang sudi beri simpati. Bukan salah sesiapa, salah saya sendiri yang degil tak mahu tinggal di asrama. Sedang ayahanda saya enggan melayan kehendak saya minta tukar sekolah kerana dia yang bersusah payah merayu dengan guru besar supaya saya diterima masuk, tiba2 saya senang2 nak tukar sekolah ikut selera sendiri pula.

Bila dah dewasa, baru saya faham dengan keputusan ayahanda saya sengaja membiarkan saya bersusah payah supaya dapat dipelajari sesuatu daripada kepayahan itu.

Moga ayahanda saya tenang di alam barzakh dan moga diampun segala dosanya.