Wednesday, January 11, 2012

Nama dia Asalamu'alaikum

Ketika sedang menikmati minum petang di Kg Baru, Kuala Lumpur, seorang lelaki duduk semeja dengan saya. Entah kenapa, ramah pula saya menegurnya. Saya jarang tegur orang lain.

Dia seorang pemandu teksi. Dia perkenalkan dirinya. "Nama saya ASALAMU'ALAIKUM".

Terkedu saya. Belum pernah saya jumpa orang bernama sebegitu. Orangnya simple berkopiah, pemandu teksi lah katakan.

Kami sempat bertukar2 no telefon dan kami merancang untuk berjumpa semula di lain hari.

Thursday, January 05, 2012

SMKA Tok Jiring

SMKA Tok Jiring adalah sekolah saya dari tahun 1981 - 1983. Ketika itu, sekolah ini baru diambil alih oleh kerajaan persekutuan daripada kerajaan negeri Terengganu. SMKA TJ adalah satu2nya SMKA milik kementerian pelajaran di Terengganu ketika itu.

Satu ketika sebelum itu, sekolah ini menjadi pilihan ibu bapa untuk anak2 yang bermasalah, terutama masalah pencapaian akademik yang kurang memuaskan. Memang, satu ketika dahulu, sekolah agama dan sekolah pondok hanya menjadi pilihan terakhir. Ia berbeza sama sekali dengan hari ini.

Bila kerajaan negeri ambil alih, guru2 yang terlatih serta kemudahan pembelajaran mula dipertingkatkan. Orang ramai mula berminat dengan sekolah ini apatah lagi ia asalnya adalah sekolah pondok. Ruh nya ialah sekolah pondok yang dimodenkan.

Ada yang kata, pada tahun 1981, pelajar yang nak masuk SMKA Tok Jiring mesti pandai baca surah Al Fatihah. Saya tak tahu menahu pun, hanya pada tahun 1984, baru saya dengar daripada seorang rakan daripada Besut. Itu pun, dia bukan pelajar SMKA Tok Jiring.

Saya tak pernah dipanggil untuk di temuduga sebelum masuk. Ketika itu sekolah ini bukan sekolah pilihan. Keutamaan adalah untuk pelajar tempatan yang berhampiran. Permohonan saya ditolak dan saya diminta melapor diri di SMK Sultan Ahmad, sekolah menengah paling hampir dengan rumah saya ketika itu. SMKA TJ letaknya kira2 6.5 km daripada rumah saya. Saya diterima juga akhirnya selepas ayahanda saya merayu.

Beberapa tahun selepas saya tinggalkan SMKA TJ, sekolah itu sudah dinaik taraf kepada sekolah gred A. Ia menjadi sekolah pilihan. Kemasukan pelajar disyaratkan lulus cemerlang dalam penilaian darjah 5 atau UPSR tahun 6. Sebelum itu, pelajar yang cemerlang dalam SRP / PMR diekspot keluar menyebabkan pencapaian SPM menurun berbanding SRP / PMR. Bila sudah berada dalam gred A, pelajar cemerlang tidak lagi diekspot secara borong, membolehkan pencapaian SPM meningkat mendadak, sekaligus menjadi kebanggaan pelajar, guru dan negeri Terengganu.

Beberapa tahun berikutnya, ia diturunkan pangkat kepada gred B, mungkin kerana permintaan yang tinggi oleh penduduk setempat. Bayangkan, penduduk berhampiran tak diterima masuk, rakyat yang jauh2 diterima kerana faktor cemerlang selain faktor politik lobi. Ketika itu, sekolah agama gred A mungkin diberi kepada SMKA Sheikh Malek di KT.

Kini, SMKA TJ tidak secemerlang dahulu. Ramai bekas pelajar tertanya2, kenapa jadi begitu. Saya kira, jabatan pendidikan negeri dan Kementerian Pelajaran lebih tahu sebab musababnya kerana mereka mengatur perancangan pendidikan negeri.

Sekolah ini banyak kenangannya kepada saya walaupun hanya 3 tahun menuntut ilmu di situ. Saya berjalan kaki di bawah terik matahari daripada Bt 6 kerana masalah pengangkutan. Saya balik sekolah malam2 dengan hiking, tahan je mana2 kenderaan yang sudi beri simpati. Bukan salah sesiapa, salah saya sendiri yang degil tak mahu tinggal di asrama. Sedang ayahanda saya enggan melayan kehendak saya minta tukar sekolah kerana dia yang bersusah payah merayu dengan guru besar supaya saya diterima masuk, tiba2 saya senang2 nak tukar sekolah ikut selera sendiri pula.

Bila dah dewasa, baru saya faham dengan keputusan ayahanda saya sengaja membiarkan saya bersusah payah supaya dapat dipelajari sesuatu daripada kepayahan itu.

Moga ayahanda saya tenang di alam barzakh dan moga diampun segala dosanya.