Tuesday, June 16, 2020

Pokok hiasan dalam rumah


Baru-baru ini, ada viral mengatakan tanam pokok lidah jin dalam rumah boleh mengurangkan masalah habuk dalam rumah.

Kemudian, muncul pula viral mengatakan pokok lidah jin boleh membahayakan jika ditanam dalam rumah.

Info lain mengatakan tanah untuk tanaman sebenarnya yang boleh membahayakan kesihatan jika ada dalam rumah.

Kalau rumah jenis tertutup, tak banyak tingkap atau asyik pasang pendingin hawa saja, saya kira manasabah untuk mengambil kira cakap-cakap di atas.

Di kampung, rumah saya dulu memang banyak pokok dalam rumah. Mak saya suka tanam pokok dalam pasu sebagai hiasan dalam rumah. Alhamdulillah, kami tiada penyakit yang berkait masalah pernafasan atau keracunan.

Tapi rumah saya ada banyak tingkap. Di Terengganu, tingkap disebut pintu. Pasu pokok diletakkan hampir di setiap sudut rumah dan di sebelahnya ada tingkap. Pokok jenis buluh jepun (buluh kecil macam rumput), jenis keladi, jenis memanjat (ada kayu berbalut sabut) dan ada juga keladi jepun yang sememangnya cantik tetapi mempunyai getah beracun ditanam dalam rumah. Setiap hari, mak menyiramnya.

Pokok keladi jepun yang beracun itu akhirnya dibuang. Pernah anak saudara saya dan sepupu saya yang masih kanak-kanak bermain dan cuba memakan daun yang beracun itu. Saya hanya menyedari selepas melihat mereka tiba-tiba asyik berkumur dan ada yang menangis, mungkin  menahan rasa pedih.

Bila saya tanya, pada mulanya mereka tidak mengaku tetapi akhirnya ada yang mengaku cuba memakan daun beracun itu. Alhamdulillah, tiada kejadian serius yang berlaku selepas itu.

Saya cuba matikan pokok itu dengan mencincang, membakar dan menjemur di tengah panas tetapi pokok itu ternyata masih boleh bertunas hanya selepas hujan beberapa hari.

Bagi saya, pokok dalam rumah adalah selamat tetapi rumah mestilah mempunyai sistem aliran udara yang baik dan cukup cahaya. Namun kena hati-hati dengan pokok yang beracun terutama kepada anak-anak kecil. Kalau kanak-kanak yang dah faham bahasa, kita boleh didik mereka. Kalau masih bayi, tetap bahaya di situ. Kepada yang ada anak kecil, janganlah mengambil risiko. Pilihlah jalan yang lebih selamat.

No comments: