Monday, September 24, 2007

Overheat


Apa perkataan mudah dalam Bahasa Melayu untuk overheat ? Sebenarnya yang nak diceritakan, sejak aku balik dari Perlis tempoh hari, suhu enjin kereta aku asyik tinggi melampau je. Dah isi semula air, masih meninggi juga. Dah hantar ke bengkel, ditukar radiator, pun masih sama selepas beberapa hari elok. Akhirnya aku hantar lagi ke bengkel dan tukar meter suhu. Sah meter suhu dah rosak.

Ini adalah kali ke 3 aku hadapi masalah suhu melampau ni. Kali pertama dengan kereta lama. Masa tu aku dalam perjalanan ke utara juga, ada kematian di Pulau Mutiara. Terpaksa aku berhenti beberapa kali. Sampai satu tahap, enjin kereta mati sendiri kerana terlalu panas. Nasib baik enjin mati, kalau buatnya kereta terbakar, Wal'iyazubillah. Lepas kejadian tu, aku banyak berhabis duit untuk perbaik kereta tu. Akhirnya aku tukar pakai kereta baru. Masa tu, aku boleh dikatakan mampu lah juga walaupun kereta tu dah elok semula.

Kali ke dua, selepas balik daripada Cameron Highland dengan kereta baru tu la. Masa tu masih dalam jaminan lagi. Aku hantar ke pusat servis EON dan satu alat ditukar baru kerana yang asal sudah retak. Macam mana boleh retak, aku pun tak tahu. Yang pasti, suhu enjin mula meninggi ketika mendaki ke CH.

Alhamdulillah, masalah yang tu dah selesai sekarang. Harap tak timbul masalah baru sebab aku pun bukan berduit sangat sekarang ni. Nak raya lagi ni. Semalam dapat berita, abang aku yang kerja kat bandar AMBS, Trg pun dah kerja kat Johor sebab kilang lama dia, Permint Plywood dah tutup. Terpaksa dia tinggalkan anak dan isteri di pekan terpencil tu. Tahniah untuk kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya memajukan negeri dan menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya. (Patutla laporan menyebut kadar pengangguran di Terengganu meningkat sejak BN perintah.)

Thursday, September 13, 2007

Selamat Hari Jadi

Semalam Hari Jadi aku. Tapi oleh kerana sibuk dengan tender dan kerja-kerja keluarga, aku tak sempat nak pos ke internet.

Pagi, aku hantar isteriku ke klinik, periksa tekanan darah yang didakwa terlalu tinggi oleh doktor. Memang tinggi pun, 170 ! Tapi bila balik rumah dan check dengan alat yang dibeli sendiri, tak sampai 140 pun. Ish boleh caya ke doktor ni ?

Pagi semalam juga aku dan kawan sepejabat sibuk siapkan tender yang perlu dihantar sebelum jam 12 t/hari. Setengah jam sebelum tender ditutup, ketika kami dok kelam kabut, tiba-tiba dapat panggilan, tarikh tutup tender dilanjutkan ke 14hb. Sabar je la. Kawan aku tu siap tak tidur malam sebab nak siapkan tender. Aku percaya ramai lagi petender-petender lain pun sama. Mungkin ramai yang dah hantar pun. Ini yang buat aku bengang dengan pegawai kerajaan ni. Dah la dokumen tender banyak yang salah. Bayangkan hanya sehari sebelum tender ditutup, masih ada pembetulan baru dihantar melalui email.

T/hari, aku dan isteri ke KWSP untuk urusan rumah dan petang ke bank pula. Letih aku.

Monday, September 10, 2007

Taklimat tender di Beseri, Perlis dan Hari Keluarga

Minggu lepas, aku dan dua orang kawan aku menghadiri satu taklimat tender di IKM Beseri, Perlis. Aku pandu kereta aku dan kami menginap di sebuah hotel cikai di Alor Star memandangkan hotel di Perlis semuanya dah penuh.

Perjalanan drp KL ke Alor Star memakan masa lebih 6 jam kerana kami berhenti rehat agak lama di R&R Tapah dan Gurun. Perjalanan drp Alor Star ke Beseri mengambil masa hampir 1 jam. Seperti biasa, aku tak berani pandu laju-laju. Santai je.

Selepas taklimat, kami terus ke Bukit Kayu Hitam. Tak ada apa sangat. Nampak kurang meriah je, tak macam masa aku pertama kali datang pada 1994 dulu. Khabarnya, di Padang Besar lagi teruk. Sebab tu kami tidak ke Padang Besar.

Dalam perjalanan pulang, kereta aku ada masalah suhu tinggi ketika tiba di Tanjung Malim. Terpaksa kami berhenti di Hulu Bernam. Selepas solat dan makan, kami isi air ke tangki kereta yang dah hampir kontang. Masalah tak berapa nak selesai. Suhu tetap lebih tinggi drp biasa.

Hari Sabtu, aku hantar kereta ke bengkel. Tukar terus radiator sebab radiator lama tu nampak teruk. Agaknya, selepas kemalangan pada tahun 2003, radiator kereta tu diganti dgn radiator 2nd hand yang dah bocor tetapi dipatri di sana-sini.

Hari minggu, kami sekeluarga ke Nur Lembah Pangsun di Hulu Langat. Ada hari keluarga anjuran pejabat isteriku. Aku tak rasa enjoy sangat. Entah lah. Tak macam dulu. Dulu aku pernah join Hari Keluarga dia orang, memang best. Sekarang semuanya dah berlalu. Suasana dah tak semesra dulu.





Monday, September 03, 2007

Bayar hutang dan hiburkan hati



Selepas dapat gaji hari tu, aku banyak habiskan untuk bayar hutang. Maklumlah, dah berbulan-bulan tak dapat gaji. Bayar hutang adik 2 ribu, hutang kad kredit 3 ribu. Sebahagian lagi aku guna untuk belanja sendiri; bawa keluarga ke Pulau Pinang, jalan-jalan makan angin.

Lima hari di P.Pinang, tak lah puas. Seronok tengok anak aku bukan main ceria dan mesra dengan abang dan kakak kandung dia. Jalan-jalan, makan-makan. Memang seronok. Farah paling suka aku bantu dia naik basikal. Teringin benar dia nak naik basikal. Tak puas-puas asyik nak naik basikal. Aku janji dengan dia nak belikan basikal pada hari jadi dia yang ke 3, bulan November nanti.

Gambar di atas dirakam daripada satu tempat makan dekat Queensbay.