Tuesday, June 16, 2020

Pokok hiasan dalam rumah


Baru-baru ini, ada viral mengatakan tanam pokok lidah jin dalam rumah boleh mengurangkan masalah habuk dalam rumah.

Kemudian, muncul pula viral mengatakan pokok lidah jin boleh membahayakan jika ditanam dalam rumah.

Info lain mengatakan tanah untuk tanaman sebenarnya yang boleh membahayakan kesihatan jika ada dalam rumah.

Kalau rumah jenis tertutup, tak banyak tingkap atau asyik pasang pendingin hawa saja, saya kira manasabah untuk mengambil kira cakap-cakap di atas.

Di kampung, rumah saya dulu memang banyak pokok dalam rumah. Mak saya suka tanam pokok dalam pasu sebagai hiasan dalam rumah. Alhamdulillah, kami tiada penyakit yang berkait masalah pernafasan atau keracunan.

Tapi rumah saya ada banyak tingkap. Di Terengganu, tingkap disebut pintu. Pasu pokok diletakkan hampir di setiap sudut rumah dan di sebelahnya ada tingkap. Pokok jenis buluh jepun (buluh kecil macam rumput), jenis keladi, jenis memanjat (ada kayu berbalut sabut) dan ada juga keladi jepun yang sememangnya cantik tetapi mempunyai getah beracun ditanam dalam rumah. Setiap hari, mak menyiramnya.

Pokok keladi jepun yang beracun itu akhirnya dibuang. Pernah anak saudara saya dan sepupu saya yang masih kanak-kanak bermain dan cuba memakan daun yang beracun itu. Saya hanya menyedari selepas melihat mereka tiba-tiba asyik berkumur dan ada yang menangis, mungkin  menahan rasa pedih.

Bila saya tanya, pada mulanya mereka tidak mengaku tetapi akhirnya ada yang mengaku cuba memakan daun beracun itu. Alhamdulillah, tiada kejadian serius yang berlaku selepas itu.

Saya cuba matikan pokok itu dengan mencincang, membakar dan menjemur di tengah panas tetapi pokok itu ternyata masih boleh bertunas hanya selepas hujan beberapa hari.

Bagi saya, pokok dalam rumah adalah selamat tetapi rumah mestilah mempunyai sistem aliran udara yang baik dan cukup cahaya. Namun kena hati-hati dengan pokok yang beracun terutama kepada anak-anak kecil. Kalau kanak-kanak yang dah faham bahasa, kita boleh didik mereka. Kalau masih bayi, tetap bahaya di situ. Kepada yang ada anak kecil, janganlah mengambil risiko. Pilihlah jalan yang lebih selamat.

Monday, June 15, 2020

Solat hajat sebab kecurian

Ketika di SMKATJ, orang pakai kasut "Warrior" yg berharga RM 12 sepasang, saya cuma pakai kasut Bata Badminton Master dengan harga RM 6 sepasang.

Ketika di Kusza, pelajar daripada keluarga kaya memakai kasut berjenama yang harga ratusan ringgit, saya cuma pakai kasut "Warrior". Paling canggih pun kasut "Aliph" yang harganya tak sampai RM 30.

Ketika di Kusza pada tahun 1984/85, telah berlaku kecurian kasut. Kasut mahal jenama Adidas dilaporkan hilang. Selepas solat maghrib (semua pelajar wajib solat berjemaah di musolla), ustaz membuat pengumuman meminta supaya pencuri memulangkan semula kasut itu.

Ustaz memberi amaran kepada semua pelajar, "Esok kita akan adakan solat hajat berjemaah selama 3 malam berturut2 selepas maghrib. Kita akan sediakan sebaldi besar air kat depan ni dan minta semua pelajar minum airnya. Kita minta Allah tunjukkan siapa pencurinya kecuali kasut itu dipulangkan."

Keesokan harinya, solat hajat tidak diteruskan. Saya dimaklumkan, kasut itu sudah dipulangkan. Ia tersimpan atas siling asrama.

Saya teringat kes ini bila Ustaz Ahmad Awang kata nak buat solat hajat kerana rasa tertipu dengan sikap ahli parlimen tertentu. Ada yang melihat ia sebagai doa minta diturunkan musibah atau bala kepada seorang muslim yg lain. Sebhgan lain melihat ia sebagai mengadu kpd Allah kerana amanah yang diberikan telah dikhianati. Terserahlah kepada Allah hendak kenakan apa2 kpd si pengkhianat itu.

Kembali menulis di sini

Rindu untuk menulis.

Tulisan saya mungkin straight to the point. Janji apa yang terbuku di hati atau yang bermain di fikiran diluahkan.

Menulis sebebasnya. Asal terlintas dan sempat ditulis, ceritakan saja.

Sekurang-kurangnya untuk bacaan sendiri satu hari nanti.

Seronok juga bila baca semula tulisan lama kita. Ada kenangan dan sebabnya kita menulis walaupun bukan hal penting pun.

Tulisan tanpa gambar mungkin kurang daya tarikan. Tetapi sementara ada perkara yang nak ditulis, tuliskan saja.

Zaman sekarang, tak ramai yang masih rajin membaca buku tetapi ia masih dikira ramai berbanding dengan yang rajin menulis. Ada orang boleh membaca berpuluh-puluh buku setahun tetapi tak pernah menulis walau satu muka surat pun.

Jika anda mempunyai bakat menulis, tulislah walaupun tidak diterbitkan dalam bentuk buku.