Wednesday, December 30, 2009

Sakit paru-paru

Sewaktu saya kecil, makanan asasi saya ialah biskut, bukan nasi. Setiap kali nak pergi sekolah, selepas sarapan, saya mengadu sakit perut kepada mak saya.

Sebenarnya, saya bukan sakit perut. Cuma perut saya rasa tak selesa dan selalu nak termuntah selepas sarapan. Saya perlu berehat dan bertenang sekejap sebelum berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 800 meter dari rumah. Abang saya terpaksa menunggu saya dan ini menjadikan kami selalu lewat sampai.

Risaukan keadaan saya, mak saya selalu bawa saya ke hospital HKT. Ketika itu bangunan 8 tingkat hospital belum ada. Saya pergi dengan bas pada hari Sabtu. Hari Sabtu adalah hari yang ramai orang kampung ke bandar KT. Bas selalu penuh bila tiba di kampung saya sebab kampung saya dah tak jauh daripada pusat bandar.

Setiba di bandar, kami akan menaiki teksi (beca roda 3) untuk ke hospital (saya sebut pistal). Tambang teksi 80 sen. Kesian pakcik yang kayuh beca tu bila jalan menaiki bukit. Macam tak larat je. Ada yang terpaksa turun dan tolak je teksi tu bila beca dah tak bergerak. Bila turun bukit, dia boleh releks sikit.

Satu hari, doktor x-ray dada saya untuk memeriksa apa masalah sebenar saya. Ada masalah pada paru-paru saya. Doktor kemudiannya mengsyorkan saya ditahan di wad. Ini menambahkan masalah dalam keluarga saya. Adik beradik saya semua masih bersekolah. Siapa nak jaga saya di hospital. Siapa nak uruskan makan minum keluarga. Ayah saya pun bekerja, siapa nak siapkan semuanya ? Dan saya pula tak faham masalah keluarga. Saya suruh juga mak saya tunggu saya di hospital.

Ketika itu barangkali belum ada wad kanak-kanak di HKT. Saya tinggal di wad bersama-sama orang dewasa lelaki. Cuma katil kanak-kanak di kumpulkan di satu sudut.

Mak saya beri alasan, doktor tak bagi dia tidur di dalam wad, jadi dia tidur di luar. Saya rasa mak saya balik ke rumah setiap malam. Mana mungkin perempuan nak tidur di luar wad lelaki malam-malam. Pag-pagi, saya selalu marah mak saya sebab masuk lambat.

Doktor mencadangkan saya dibedah. Mungkin kerana HKT belum ada kelengkapan dan pakar, pembedahan dicadangkan dibuat di Pulau Pinang. Kami tak ada saudara mara di PP. Kalau ke sana, siapa nak temankan ? Di mana nak tinggal ? Kami juga tiada kenderaan. Semua mengharapkan pengangkutan awam. Di bandar yang asing bagi kami, tentu susah. Ayah dan mak saya menolak dan akhirnya saya dibenarkan balik tanpa rawatan lanjut.

Alhamdulillah, umur saya masih panjang sehingga kini. Cuma setiap kali saya di x-ray sebelum masuk Kusza, UTM atau bekerja, saya selalu risau takut tak lepas. Doktor pasti akan banyak soal dan saya tak tahu nak jawab.

Paling teruk, saya batuk tak berhenti pada sekitar tahun 1989/90. Ia banyak mengganggu pelajaran saya. Ketika mula nak kerja, doktor menasihatkan saya masuk chest clinic di Jalan Pahang. Klinik dada ini bersekali dengan klinik TB. Lagilah saya takut, takut tak diterima masuk kerja. Akibatnya laporan doktor saya lambat siap dan saya lambat 'confirm'. Selepas diberi sejenis antibiotik, batuk saya mula reda dan doktor menunjukkan perbezaan pada gambar xray sebelum dan selepas pengambilan antibiotik. Saya lega. Saya ingatkan umur saya masa tu dah tak panjang lagi.

Sekarang, kalau saya batuk pun tak lah seteruk dulu. Dulu, bila balik bercuti, mak selalu tegur, "Di ni batuk sokmo. Dok (tak) pernah mak dok dengar Di dok batuk." Sekarang mak tak dapat mendengar lagi kecuali dengan alat bantuan pendengaran. Moga hati mak tak risau lagi dengan kesihatan saya.

Monday, December 14, 2009

Terima kasih Indah Water

Minggu lepas, salah satu tandas dalam rumah saya tersumbat. Saya telah menghantar email aduan kepada IWK. Email saya berbentuk aduan + pertanyaan kerana saya tidak pasti, adakah saya membuat aduan kepada pihak yang betul ?

Email saya dihantar pada jam 11:28 malam 9 Disember 2009. Seperti biasa, email saya di sertakan dengan alamat, no telefon, jenis rumah dan no akaun IWK supaya mereka dapat merujuk rekod mereka.

Esok harinya, iaitu pada jam 9:37 pagi, saya menerima panggilan daripada pihak IWK. Petugas IWK menerangkan kepada saya apa yang boleh mereka bantu dan berjanji akan menghantar pekerja ke rumah saya pada hari Sabtu (12 hb) kerana 11hb adalah hari cuti umum di Selangor. Saya turut menerima email balasan daripada IWK memaklumkan kes saya telah dirujuk ke pejabat IWK Gombak.

Pada hari yang dijanjikan, seawal jam 9:26 pagi, pekerja IWK sudah menelefon saya dan memaklumkan mereka akan tiba bila-bila masa. Saya langsung tidak rasa tertunggu-tunggu kerana mereka tiba dengan cepat.

Mereka juga cekap melaksanakan tugas mereka. Sebelum jam 11 pagi, mereka sudah berjaya menyelesaikan masalah saya.

Terus terang saya katakan, saya sungguh berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. 4 perkara yang jelas menjadi budaya kerja mereka :

1. Cepat bertindak terhadap aduan pengguna.
2. Menepati janji.
3. Cekap dan cepat menyelesaikan aduan.
4. Mesra pelanggan (pekerja yang datang ke rumah mahupun yang melayani melalui telefon).

Tempoh 3 hari (2 hari jika tidak kerana cuti umum) adalah tempoh yang manasabah. Terima kasih saya ucapkan kepada Indah Water dan syabas juga kerana melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan berkesan dan cekap.

Kekalkan budaya kerja cemerlang untuk rakyat Malaysia.

.......................................................

Maybank yang perkhidmatannya HANCUS !!!

Dua minggu lepas, isteri saya membuka akaun di Maybank secara online. Dia diminta hadir ke cawangan bank terdekat yang dipilihnya selepas 3 hari.

Pada hari yang dijanjikan, isteri saya ke cawangan bank tersebut. Kelam kabut pegawai bank tersebut mancari permohonan isteri saya tapi tak jumpa pun. Macam-macam alasan diberikan sambil cuba menyalahkan pelanggan konon salah pilih cawangan bank. Dah sistem online bank yang cadangkan cawangan tersebut.

Sudahnya, isteri saya terpaksa mengisi semula borang di situ. Buang masa betul. Habis yang diisi secara online untuk apa ? Eksyen je lebih. Sistem online konon tapi tak guna.

Pernah saya mohon kad ATM baru kerana kad ATM saya rosak. Bila mesin pembaca kad pengenalan mereka gagal memadankan cop jari pada KP saya, pegawai tu boleh cakap, "Kad pengenalan awak palsu kot".

Kepala hotak dia. Macam tu cara melayani pelanggan ? Saya tiada masalah pun menggunakan IC saya hingga hari ini baik di pejabat KWSP mahupun di pejabat pendaftaran negara (Kajang).

Memang teruklah Maybank punya khidmat pelanggan.

Wednesday, December 09, 2009

Kisah pengayuh beca

Ini cerita tentang pengayuh beca. Di Terengganu, beca roda tiga dipanggil teksi.

Satu ketika dulu, di sebuah bandar di Terengganu, terdapat kira-kira 150 orang pengayuh beca. Beca yang dikayuh bukan milik mereka tetapi disewa dengan towkey dengan kadar RM 5 sehari.

Seorang ahli parlimen (MP) berazam untuk membantu kumpulan pengayuh beca tersebut. MP telah mendorong mereka menubuhkan persatuan pengayuh beca. Yurannya RM 1 setahun.

Dalam mesyuarat, MP mencadangkan supaya mereka berpakat mengumpul dana supaya satu hari nanti, mereka dapat memiliki beca sendiri. Mereka setuju. MP mencadangkan kadar RM 1 sebulan untuk mengumpul dana. Mereka mula kecoh tidak setuju. Kata mereka, "Nak bayar yuran UMNO RM 1 setahun pun payah, apatah lagi nak bayar RM 1 sebulan ?"

Lalu MP memberi cadangan mereka mengumpul duit 20 sen sehari. Anehnya, mereka telah bersetuju dengan sebulat suara. Walhal 20 sen sehari jauh lebih banyak daripada RM 1 sebulan. Akhirnya, mereka berjaya memiliki beca sendiri dan tidak perlu lagi membayar sewa kepada orang tengah. Orang tengah pula tidak dibenarkan membaharui lesen kecuali beca diusahakan sendiri.

Cerita di atas adalah kisah benar. Moralnya, fikirlah sendiri.

Wednesday, November 25, 2009

Tauliah mengajar agama dan baca khutbah

"Tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam." Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Shah Alam.


Ketika saya belajar di sebuah IPT suatu masa dulu, khatib (di masjid dalam kampus) yang menyampaikan khutbah tidak semstinya seorang ustaz. Kadang-kadang pensyarah sains komputer, kadang-kadang pensyarah pengajian tamadun Islam yang jadi khatib.

Ketika saya belajar di Kusza, kadang-kadang pelajar Kusza jadi khatib di masjid di kampung-kampung setelah mendapat kebenaran JHEAT. Bukan ada kelulusan formal lagi. Tengah belajar lagi. Yang belum dapat keputusan SPM pun boleh jadi khatib. (Ketika itu, masjid Kusza belum siap).

Yang penting, khatib boleh baca Quran dan hadith dengan lancar. Kalimah-kalimah arab disebut dengan betul. Imam-imam kampung lagi teruk bacaannya. Khutbah dalam tulisan jawi gamaknya. Selidik dibaca seledek, seberat zarrah di sebut seberat zaharah. Tapi itu di kampung, bukan bandar besar macam Shah Alam yang penduduknya berpendidikan tinggi.

Apapun, saya amat tidak setuju Ahli Parlimen tak dibenarkan menyampaikan kuliyah agama di masjid-masjid dan surau-surau. Sampaikan khutbah pun tak boleh baca. Sepatutnya wakil rakyat dibenarkan asalkan sebutannya baik dan isi penyampaiannya tidak menyesatkan. Tak kira lah dia dari parti mana. Yang penting dia Islam dan beriman. Bomba, polis dan askar pun boleh baca. Apatah lagi pensyarah. Pegawai-pegawai kerajaan pun boleh diberi tauliah sementara untuk waktu tertentu mengikut suasana dan keadaan semasa. Carilah kelainan sedikit. Zaman dah berubah. Bukan ustaz-ustaz saja yang boleh baca khutbah. Menteri dan Sultan pun boleh jika elok sebutannya.

Kalau sultan nak sampaikan khutbah atau tazkirah, macam mana ? Apa alasan nak diberi untuk diberi kebenaran atau tidak ? Tiada pendidikan formal ? Sebutan tak betul ? Ada berani ke ? Mana tahu kalau-kalau Sultan saja nak test pegawai JAIS nak tengk setakat mana ketegasan dan keberanian pegawai JAIS.

"Sebaik-baik orang adalah yang paling baik bacaan al-Qur'annya di antara mereka, orang yang paing memahami agama Allah di antara mereka, orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara mereka, orang yang paling sadar menyuruh orang kepada kebaikan, orang yang paling sadar mencegah orang lain dari kemungkaran, dan orang yang paling baik hubungan silaturrahimnya di antara mereka." (HR Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

"Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya." (Riwayat Muslim)

Doa memohon perlindungan Allah daripada wabak taun

Selain menjaga kebersihan, elok juga dihafal doa ini dan diamalkan setiap hari.
Doa ini bukan hanya untuk wabak taun tetapi untuk apa juga wabak penyakit.

Doa Elak Wabak Penyakit(2)

Monday, November 23, 2009

Taun di Terengganu

Khabarnya, kuman Taun di Terengganu pada kali ini berbeza dengan kuman taun yang biasa. Ia tidak bertindak balas dengan vaksin yang biasa digunakan.

Semasa saya kecil, saya masih ingat, bila selesai musim banjir, kementerian kesihatan akan datang menabur klorin ke dalam telaga yang menjadi sumber utama air kepada penduduk kampung ketika itu. Selain itu, kami juga dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan mencegah penyakit taun.

Pihak kementerian akan datang pada hari yang dijadualkan di satu tempat berhampiran sebuah kilang padi. Ketika itu, tiada dewan atau balai raya di kampung Pulau Rusa Hulu. Cuma ada sebuah wakaf. Kini, tapak wakaf itu telah didirikan sebuah dewan. Disitulah kami mendapatkan suntikan. Terlebih dahulu, masjid menjadi tempat untuk kementerian menyebarkan makluman tarikh dan tempat. Pengumuman dibuat pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Untuk penduduk Pulau Rusa Hilir dibuat pada hari lain dan ditempat lain.

Abang dan kakak saya menasihatkan supaya kami menyerahkan tangan sebelah kiri untuk disuntik kerana lazimnya, tangan yang disuntik menjadi lemah selama beberapa hari, nak angkat lengan pun tak larat. Nak timba air perigi tentulah payah sebab perlu guna kedua-dua tangan. Suntikan diberi percuma.

Selain itu, penduduk kampung turut berikhtiar sendiri dengan membaca tahlil "Lailaha illallah" beramai-ramai mengelilingi kampung. Solat jumaat pula disertai dengan bacaan qunut nazilah menolak taun.

Namun apa yang lebih penting ialah menjaga kebersihan. Pada masa itu, tiada tandas untuk setiap rummah. Semua membuang dalam semak je. Kalau ada pun tandas tepi sungai. Orang perempuan tentu susah nak membuang dalam semak atau dalam sungai. Bimbang kena skodeng dengan budak-budak nakal. Istinjak pun di sungai. Selamba je selak kain dan duduk tepi sungai. Memang aib sungguh, tapi barangkali alah bisa tegal biasa atau dah terpaksa. Bila saya dah semakin besar, saya pun turut rasa malu dengan pemandangan yang mengaibkan itu. Namu perlahan-lahan, budaya mula berubah dan setiap rumah mula dilengkapi dengan tandas dan air paip bersih.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Bila kita cuai menjaga kebersihan, itu ukuran iman kita taklah sebesar mana. Kata ustaz Wan Sohor, tandas awam di eropah berkilat, bersih sungguh. Kita, nak cuci tamdas rumah seminggu sekali pun malas. Sepatutnya tandas dicuci setiap hari.

Itu baru bab tandas. Belum lagi kebersihan diri, tangan, bekas makanan dan makanan itu sendiri. Jangan lupa amalkan membaca "Bismillahillazi layadhurru maasmihi syai'un fil ardh wala fissamaa' wahuassami'ul alim" sebelum makan. Semoga kita semua terpelihara daripada wabak penyakit mahupun gangguan sihir melalui makanan dan minuman. Insya Allah.

Thursday, November 05, 2009

Hobi melihat gambar

Antara hobi saya ialah melihat gambar. Saya sendiri kurang pasti, gambar yang bagaimana yang menjadi kesukaan saya. Apa yang menjadikan gambar itu menarik perhatian saya, melekakan saya, mengasyikkan saya dan menjadikan saya, tergeleng-geleng kepala dan tersenyum sendirian kerana kagum dengan kecantikan gambar itu.

Semasa kecil, saya melihat selonggok surat yang dibuang emak saya untuk dibakar. Saya tertarik dengan setem-setem pada sampul surat itu, aya ambil kesemua setem itu dan mula mengumpul setem dengan bimbingan kakak saya. Sebenarnya, saya seronok melihat gambar yang berbagai dan begitu berseni pada setem-setem itu.

Kemuncaknya ialah ketika usia 12 tahun, saya berpeluang bertukar-tukar setem dengan kawan-kawan sekolah. Kini setem-setem saya disimpan oleh abang saya yang sulong. Sebelum saya, abang saya dan kakak saya juga mempunyai hobi mengumpul setem. Semua album setem masih ada tersimpan.

Kalau nak dikatakan warna warni pada gambar yang menjadi tarikan, gambar hitam putih pun saya suka juga. Dulu saya menjadi pembeli tetap majalh Fantasi yang diterbitkan oleh Creative Enterprise. Gambar poster dalam majalah itu saya tampal di dinding bilik saya. Saya asyik dan leka melihatnya berkali-kali. Tak kisahlah walau gambar itu sudah disunting dengan photoshop. Tak kisahlah gambar kanak-kanak atau mungkin orang tua atau gambar perempuan, gambar pemandangan, tumbuhan, bangunan ataupun gambar fantasi.

Hari ini, berbagai gambar menarik boleh didapati di internet. Saya download dan simpan dalam hard disk saya. Kalau boleh, saya nak cetak dan tampal di dinding dan tengok puas-puas. Cuma kosnya mungkin agak tinggi. Memang manusia sanggup berhabis wang kerana hobi.

Wednesday, October 28, 2009

Sikap peminat bola sepak Terengganu

Peminat bola sepak di Terengganu agak kurang bijak menunjukkan sokongan kepada pasukan. Masing-masing cuba nak jadi juara. Bayangkan pasukan dikir barat, kalau ramai sangat tok juara, riuh rendah macam pasar.

Peminat di Selangor nyata lebih bijak. Mereka bersorak secara berirama. Mereka bersatu suara. Kalau menyanyi, mereka menyanyi lagu yang sama beramai-ramai menjadikan suasana bersemangat, bergemuruh dan menghiburkan. Tak kisah siapa yang mulakan. Melayukah, Indiakah, Cinakah, itu semua tak jadi soal. Bila buat mexican wave, mereka mudah lakukan. Mereka ada lagu pasukan. Bila lagu pasukan dikumandangkan, mereka turut menyanyi beramai-ramai. Kadang-kadang mereka menyanyi lagu "Inilah barisan kita". Bila dapat gol, mereka menyanyi lagu "Kesian dia". Mereka beli topi, baju dan berbagai cenderahati dengan warna pasukan tanda sokongan.

Peminat Terengganu, macam tak bersemangat, teragak-agak nak tunjukkan sokongan. Baru suku stadium buat mexican wave, dah terhenti. Kalau mexican wave pertama dah berjaya, kali kedua dah tak jadi. Tiada lagu pasukan. Tak tahu nak menyanyi lagu apa. Sayang duit nak beli cenderahati warna pasukan, atau mungkin tak ada duit, atau mungkin malu.

Hanya selepas tahun 90an, baru Terengganu ada pasukan sorak (kelab peminat). Tak pasti sekarang masih hidup lagi ke dah mati. Mereka menyanyi lagu jong-jong inai. Pun begitu tak begitu mendapat sokongan daripada penyokong yang bukan ahli kelab. Masing-masing hanya nak mengejek saja. Kelab peminat sendiripun kena ejek.

Begitulah antara sikap negatif peminat bola sepak Terengganu yang saya perhatikan. Ketika di KL, ada peminat Kelantan hadir memberi sokongan kepada Terengganu, tetapi kadang-kadang peminat ini kurang dihargai. Tak dijadikan kawan, malah ada cakap-cakap belakang, "Bukan orang kita, Mat Kelantan".

Saya bukan nak memandang rendah kepada orang Terengganu. Saya harap suasana hari ini di KT sudah berubah dan berbeza. Kali terakhir saya menonton pasukan Terengganu ialah perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di stadium Bukit Jalil. Terengganu menang. Sikap penyokong Terenganu di KL pada masa itu sudah jauh berubah. Lebih sepakat.

Hari ini, peminat bola sepak lebih beri tumpuan kepada EPL. Mungkin tak salah kalau saya katakan, ramai anak muda malu nak tonjolkan sokongan kepada pasukan tempatan kecuali kalau dah masuk final.

Oh ya, apa cerita dengan bumbung stadium di Terengganu. Terengganu memang terkenal dengan teknologi bumbungnya yang rapuh. Dah mula baiki ke belum. Laporan bumbung runtuh pun senyap je. Pembangkang pun tak mahu cucuk sikit, sekali sekala kat DUN. Itu duit rakyat tu. Rakyat nak tahu hasil siasatan. Tak kan MB beli kambing je dengan ketua pembangkang, terus senyap. Hampeh betul.

Monday, October 26, 2009

Bola sepak

Pasukan Terengganu telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2009 selepas berjaya mengalahkan Selangor.

Semasa saya di sekolah kebangsaan (tahun 70an), saya pernah dibawa oleh abang saya menonton perlawanan bola sepak di stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Saya cukup anti dengan pasukan Selangor sebab Terengganu selalu kalah dengan Selangor. Lebih kecewa lagi, menonton pasukan kita kalah di gelanggang sendiri. Ketika itu, Selangor memang pasukan yang gagah selain Singapura. Menariknya, Singapura agak alahan dengan pasukan Terengganu, mudah dijinakkan.

Kali pertama saya masuk stadium, perlawanan berlangsung siang hari. Mungkin lampu limpah stadium belum ada di KT. Ketika itu, perlawanan bola sepak piala emas raja-raja. Penonton tak lah ramai sangat. Piala emas raja-raja bukan tarikan utama kalau dibandingkan dengan Piala Malaysia. Sebab itu abang saya berani bawa saya.

Penonton dibenarkan duduk di tepi padang (atas trek olahraga yang ketika itu berwarna hitam). Setiap kali pasukan Terengganu berjaya menjaringkan gol, peminat akan serbu masuk ke stadium memeluk pemain yang menjaringkan gol. Pasukan polis bertungkus lumus mengawal keadaan, Alhamdulillah tiada perkara buruk yang berlaku.

Perlawanan akhir, antara Terengganu dengan Perlis, juga berlangsung waktu petang. Terengganu menang 3-2 tetapi permainan Perlis lebih bagus. Penjaga gol Perlis juga lebih cekap berbanding penjaga gol Terengganu, Zulkifli Abas. Rasa berdebar-debar melihat penjaga gol Terengganu tangkap bola tak kemas langsung. Penjaga gol Perlis, bola melekat di tangannya.

Kejadian bakar bas pernah berlaku ketika perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan (tak ingat tahun bila). Tahun ini, ia belaku di Kelantan pula, juga dengan Negeri Sembilan.

Pada tahun 70an, perlawanan bolasepak boleh diikuti di radio. Cara ulasan dibuat, bukan main cemas kita mendengarnya, terutama perlawanan Piala Merdeka. Ketika itu pasukan Malaysia setanding Korea Selatan. Pernah ditunjukkan di TV, perlawanan Malaysia dengan Burma (Myanmar). Malaysia belasah Burma 9-1. Hari ini, Myanmar lebih kuat daripada pasukan kebangsaan kita.

Itulah serba sikit yang saya masih ingat. Kalau ada yang tersasar sikit-sikit tu, maaf lah sebab bukan saya ingat sepenuhnya.

Friday, October 09, 2009

Dari hal makanan

Rasulullah tak pernah merungut tentang makanan. Kalau suka, makan. Kalau tak suka, tinggalkan. Tak ada nak bising-bising, tak sedaplah, kurang itulah, kurang inilah.

....................................

Saya cuba untuk tidak cerewet pasal makanan dalam Ramadhan tahun ini. Apa sahaja yang dibuat atau disediakan, saya tumpang saja. Yang saya suka, saya makan. Yang tak suka, saya tak sentuh.

Tapi, pada penghujung Ramadhan, tiba-tiba suatu hari, hidangannya ialah roti kentang. Bukan saya tak pernah cuba, tapi kata orang Terengganu, dok leh gi. Kemudian, biras saya pula belikan nasi dagang. Rupa-rupanya nasi dagang Kelantan. Dan saya tak suka nasi dagang Kelantan, baik kuahnya mahupun nasinya. Dia ingat nasi dagang Kelantan sama je macam nasi dagang Terengganu.

Dengan rasa penuh kesal, saya keluar beli nasi. Dalam hati, saya akui saya gagal menghadapi ujian ini. Saya masih cerewet pasal makanan.

....................................

Dah lama saya tak makan bubur lambuk Terengganu. Saya balik kampung, saya beli bubur lambuk di Pasar Cabang Tiga. Balik rumah, mak saudara saya pula beri bubur lambuk juga. Saya makan penuh berselera. Anak saya pun nampaknya suka dengan bubur lambuk Terengganu. Saya pernah suap dia bubur lambuk KL dan dia tak suka. Bubur lambuk Terengganu tak dicampur santan seperti bubur lambuk KL.

Isteri saya langsung tak nak cuba rasa.

....................................

Berhari raya di Terengganu, kami beli kuah kacang segera dari sebuah restoran di Taman Permata,KL. Sebelum itu, kami dah cuba kuah kacang segera di Carrefour. Kami dapat percuma sebab Carrefour cuai tidak masukkan harganya dalam komputer. Selepas jenuh menunggu, akhirnya mereka memohon maaf dan beri percuma. Rasanya tak sesedap yang biasa kita makan.

Kuah kacang Taman Permata sedap. Tapi, baru saya tahu, kuah kacang Terengganu tak sama dengan kuah kacang di Pantai Barat. Kuah kacang Terengganu dicampur santan (terbalik dengan bubur lambuk tadi). Kuah kacang KL adalah kuah sate. Kuah kacang Terengganu adalah kuah nasi kapit (nasi himpit).

....................................

Berhari raya di rumah abang saya, dia hidangkan laksa. Tiga jenis kuah disediakan. Kuah laksa penang, kuah laksa Terengganu (kuah putih) dan kuah laksa Terengganu versi mak saya (kuah kuning). Kuah putih, lebih kurang macam kuah laksam. Kuah kuning, tak sama dengan kuah merah yang biasa dibuat. Rasanya, memang sedap. Baru saya tahu, saya dah lama tak makan laksa dengan kuah macam tu. Selalunya, yang popular ialah kuah putih atau kuah merah.

....................................

Bab masak memasak ni, saya memang tak tahu langsung dan tak pernah nak cuba memasak. Isteri saya pula langsung tak nak cuba memasak masakan Terengganu walaupun dah beberapa kali dia belajar dengan mak saya dulu.

Jadi, saya simpan jelah rasa rindu saya dengan masakan Terengganu. Sebenarnya, tiada masalah kalau saya sendiri cuba memasak. Isteri saya tentu takkan biarkan saya memasak sendirian.

Isteri saya lebih suka masak spagheti daripada menggoreng keropok. Tapi bila saya nak goreng keropok, dia tak benarkan dan dia yang akan gorengkan juga.

.....................................

Perkahwinan adalah satu perkongsian dan juga pengorbanan. Bukan sekadar berkongsi yang sedap-sedap, tetapi juga berkongsi yang tak sedap. Yang tak sedap itulah pengorbanan.

Arwah ayah saya, tak suka bau tempoyak. Kalau mak saya teringin sangat nak makan nasi dengan tempoyak, kena makan sendiri-sendiri. Tunggu ayah habis makan atau makan jauh-jauh daripada ayah. Itu satu contoh pengorbanan juga.

Saya mungkin rindu masakan Terengganu, dan itu juga satu pengorbanan. Demi kasih sayang, pengorbanan kadang-kadang nampak remeh dan mudah tetapi bila kita hanya nampak seolah-olah hanya kita yang berkorban, lalu hilanglah kesabaran.

Bila berkahwin, kita selalunya hanya nampak yang sedap-sedap sahaja. Banyak harta, kita berkongsi. Tinggi pangkat, dihormati, kita kongsi (tumpang tuah). Nikmat seks, kita kongsi. Persamaan minat dan hobi, kita kongsi.

Bila susah ? Bila hilang pendapatan ? Bila sakit ? Bila dilanda musibah ? Bila berbeza pendapat, berbeza selera, berbeza hobi ? Berbeza budaya ?

Friday, October 02, 2009

Mimpi malam tadi

Malam tadi malam Jumaat. Saya bermimpi dipatuk ular.

Ketika itu saya sedang berbaring atas rusuk kanan. Seekor ular berwarna coklat datang kepada saya. Saya cuba mendiamkan diri (berpura-pura jadi objek mati). Ular itu melintasi badan saya dan tiba-tiba ia diam dibelakang badan saya. Saya mula panik dan takut, berapa lama perlu saya berdiam diri ? Tiba-tiba kepala saya mula bergerak sedikit untuk saya lari. Belum sempat lari, ular itu mematuk saya.

Saya terjaga dari tidur ketika saya cuba menjerit. Jam pukul 4.45 pagi. Sejurus kemudian, isteri saya bangun untuk bersahur. Saya ceritakan kepadanya. Dia tanya, "Ada perempuan suka kat abang ke ?".

:);)

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya



Hati-hati memandu.

Tuesday, September 08, 2009

Virus H1N1

4 September 2009, saya terima mesej daripada adik saya di Terengganu, dia disahkan dijangkiti H1N1. Mungkin keadaannya tak serious, dia diarahkan kuarantin diri di rumah. Nasib baik, mak saya sudah dihantar ke rumah kakak saya sejak awal ramadhan lagi.

Sungguhpun tak serious, bimbang la jugak. Adik saya seorang tu je. Sebatang kara pulak tu. Tak kahwin-kahwin lagi.

Semalam, saya sms dia tanya khabar. Katanya dah okey sikit, tapi masih selsema dan batuk. Demam dah baik.

Ini yang suspen ni. Tahun ni, giliran raya di Terengganu. Seperti biasa, 2 hari sebelum raya, mesti balik. Oleh kerana mak dah tak boleh masak, kenalah anak menantu buat kerja. Yang berkeluarga di Terengganu, mesti nak raya di rumah sendiri. Jadi, yang jauh di matalah kena buat semua.

Isteri saya dah risau. Maklumlah, masakan orang Terengganu dia tak mahir. He..he..he.. Sabarlah sayang.

Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan 2

Setiap bulan ramadhan, seorang makcik datang menjual cendol dari rumah ke rumah. Dia datang dengan menjunjung bakul besar atas kepalanya. Cendol disukat dengan cetong yang ditebuk dengan paku untuk keluarkan airnya. Mak saya hidangkan cendol degan santan yang sudah siap dicampur air gula tanpa ais.

Masa itu, tiada peti ais. Kalau nak minum ais, pergi beli naik basikal. Dekat jalan besar ada jual, ais diliputi habuk kayu (dipanggil habuk gergaji). Boleh juga dibeli di kedai makan Pak Ador atau Kedai Mamat. Ais dibungkus dengan surat khabar lama. Kalau lambat, ais habis.

Kadang-kadang, mak buat air cikong (laicikang). Ayah akan beli bahan-bahannya dikedai india muslim atau kedai cina muslim. Yang pasti, ada pisang kaki kering, ada halwa kundor, kismis, kurma kering, mata kucing kering, gula batu. Kami minum panas-panas.

Kadang-kadang kami berbuka dengan roti yang dibeli di kedai Israil. Nama india pemilik kedai tu, Mohd Israil. Roti cicah sekaya buatan mak. Sekaya tu tak manis sangat, pekat sikit je daripada kuah durian.

Bebrapa minit sebelum berbuka, kami sama-sama duduk menunggu di depan hidangan makanan, sambil melihat-lihat jam dan mendengar radio alunan bacaan Al Quran atau alunan muzik timur tengah.

Bila berbuka, kami tak tunggu bunyi bedil (isyarat berbuka di K.Terengganu). Kami dengar azan radio je. Pernah sekali, sebuah bot meletup di kuala sungai Terengganu ketika hampir waktu berbuka. Bunyinya sama dengan bunyi bedil. Ramai orang kampung tersilap dan berbuka awal.

Kami sekeluarga berbuka atas tikar yang dibentang kain saprah. Berebut-rebut, yang berpuasa dengan yang tak berpuasa. Yang tak puasa macam saya dan abang saya pun tunggu orang azan, baru makan sama-sama. Amalan ayah saya, yang berpuasa dengan yang tak puasa boleh berbuka bersama-sama. Yang penting mesra dan "quality time". Amalan bapa mertua saya pula, yang berpuasa sahaja makan bersama. Yang tak puasa kena tunggu orang puasa habis makan.

Malam, bila saya dah besar sikit, baru saya ikut pergi terawih. Selalu kami ke surau bawa lampu suluh sebab tak ada lampu jalan. Sebelum sampai ke surau, kena pula lintasi tanah perkuburan. Saya buat tak cukup 20 rakaat. Ikut suka je berapa nak buat. Pernah ketika kami balik surau, nampak ada kambing kat tanah perkuburan tu. Kami suluh nampak matanya bersinar. Ingatkan anjing, mencicit kami lari takut dikejar. Kampung saya tak ada orang Cina dan tak ada anjing liar sebenarnya, cuma kadang-kadang ada anjing tersesat.

Waktu sahur, saya cukup liat nak bangun. Selalu saya marah mak saya kerana kononnya tak kejutkan saya bersahur. Mak kata, dah kejutkan tetapi saya buat tak tahu atau saya cakap tak nak.

Ketika ada tok, dialah yang siapkan makanan untuk sahur. Dah siap hidang, baru dia kejutkan semua. Bila tok sakit angin ahmar, dia akan ketuk-ketuk dinding kejutkan mak dan ayah untuk siapkan sahur. Bila tok tiada, barulah kami ada jam loceng.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan

Semasa saya masih kanak-kanak, permainan yang cukup popular di kampung saya ialah Main Kapal. Semua kanak-kanak akan membina kapal masing-masing di bawah rumah. Tali rafia dipasang dari tiang ke tiang. Kertas surat khabar dipotong kecil berbentuk segitiga dan di gamkan pada tali rafia. Wakti malam, kapal akan diterangi lilin dan pelita ayan.

Selepas bermain bunga api dan mercun, kami akan masuk semula ke dalam kapal. Kadang-kadang kami pergi ke kapal kawan-kawan yang lain untuk melihat apa yang menarik dan boleh ditiru. Masing-masing dengan kreativiti sendiri.

Kapal perlu dijaga untuk mengelak serangan lanun. Lanun selalu datang menyerang bila pemilik kapal cuai meninggalkan kapal dengan lilin terpasang. Lanun akan memusnahkan kapal dan mencuri bunga api, mercun dan lilin yang tersimpan dalam kapal.

Sebelah rumah saya, ada rumah jiran yang lamannya lebih 6 kali ganda luas tapak rumah saya. Lamannya selalu diterangi lampu untuk membolehkan cucu-cucunya yang ramai bermain-main. Saya dan abang-abang saya juga sering menyertai mereka, bermain sembunyi-sembunyi, bermain kejar-kejar, toe jail dan sebagainya.

Pada masa itu, musabaqah Al Quran dibuat pada bulan ramadhan. Pak Imam yang kami panggil Ayah Ngah Lah selalu datang menonton TV di rumah saya. Dia pekak. Hanya satu telinga kirinya boleh dengar, tapi kena cakap kuat-kuat sebelah telinganya. Bila dia datang (selepas solat terawih), kami pasang radio kuat-kuat dan dia dekatkan telinga ke speaker radio sambil mata menonton TV.

Dalam sebulan, ayahanda saya akan bawa saya dan abang saya, sekali sahaja ke pasar Cabang Tiga atau pasar Manir untuk beli makanan dan barang dapur. Ayah saya hanya naik Honda Cub. Jadi seorang saja yang boleh ikut pada satu-satu masa. Ada pasar Kuala Bekah yang dipanggil pasar lalat. Ia hanya beroperasi sejam dua sahaja setiap hari, sebab tu dipanggil pasar lalat. Macam lalat hurung ... bila habis lalat tak ada. Pasar Kuala Bekah dah tak ada lagi kini.

Kali terakhir saya bawa ayah ke pasar ramadhan pula ialah pada tahun 2001, sekali ke pasar Cabang Tiga dan sekali ke pasar Manir. Ayah saya sudah agak lemah ketika itu. Dia sudah lama tak ke pasar kerana tak larat.

Selalunya, surau dan masjid akan adakan majlis berbuka sekali saja dalam sebulan, dinamakan Nnamat (penamat/khatam Quran). Untuk masjid, orang Pulau Rusa Hulu hanya hantar kuih dan orang Pulau Rusa Hilir hantar lauk nasi. Mak saya selalu buat jala emas, agar-agar dan mas sejemput. Kadang-kadang majlis bertembung antara surau dan masjid kampung sebelah (Kuala Bekah). Wakil akan dihantar sebagai menghormati jemputan. Hari minggu (jumaat) menjadi pilihan untuk diadakan majlis. Ayam kampung atau itik disembelih sendiri oleh ayah. Ayam disiang oleh abang saya. Saya cuma bantu cabut bulu je.

Mak saya selalu juga masak bubur lambuk. Bubur lambuk Terengganu tak sama dengan bubur lambuk Kg Baru. Bubur lambuk Terengganu diletakkan daun kesum dan berbagai-bagai pucuk daun. Juga diletakkan ikan kembong panggang yang dihancurkan. Bubur lambuk KL tiada daun kecuali ditabur daun bawang. Tiada ikan, tetapi ayam dan daging yang dipotong halus/hancur. Selera saya tentulah bubur lambuk Terengganu. Bubur lambuk Kg Baru pun tak sesedap bubur lambuk Terengganu. Kalau nak cari resepi di google, cari "bubur lambuk Paloh" atau "bubur lambuk Pahang".

Bertukar-tukar makanan adalah lumrah. Rumah yang selalu dipilih ialah jiran sebelah, rumah Che (tok) dan rumah Che De (mak saudara). Dalam sebulan, 2 atau 3 kali makanan dihantar.

Abang saya biasa bantu mak masak didapur. Sebab tu, bila abang dah kahwin dan balik kampung, dia boleh minta mak masak masakan yang dirinduinya. Dia akan belikan bahannya dan bantu mak masak. Saya tak berani nak minta sebab nanti yang penat buat kerja, mak seorang. Walaupun mak tak pernah merungut, tetapi sendiri mau ingat la.

Saturday, August 08, 2009

Jambu

Ini pantun yang selalu dilagukan oleh emak saya suatu masa dahulu.

Buah jambu masak
Masak hujung julai
Apa jamu kakak
Nasi dengan gulai

Dulu, sebelah rumah saya ada sepohon jambu batu. Kami panggil jambu butir banyak. Isinya merah jambu, lembut dan manis. Buahnya sebesar telur ayam sahaja. Jambu batu isi putih tidak digemari sebab keras dan tak manis.

Belakang rumah saya, dekat sungai ada sepohon pokok jambu arang. Bila tiba musimnya, kami kutip buah-buah yang luruh atas tanah, basuh dan makan. Buah nya berwarna hitam, isinya merah jambu dan bijinya putih. Saiznya sebesar buah (biji) getah. Rasanya masam manis. Selalu dimakan terus atau cicah dengan air garam kasar.

Dekat rumah saudara saya pula, ada sepohon jambu air kulit hijau. Jambu air merah jarang saya temui. Jambu air kulit hijau rasa masam jika bijinya putih, manis jika bijinya hitam. Sedap dimakan dengan kicap yang dicampur sedikit gula. Cikgu sains saya ajar formula untuk ingat warna-warna pelangi, "Makan Jambu Kulit Hijau Bau Ia Ucuk" = "Merah Jingga Kuning Hijau Biru Indigo Ungu". Formula Inggerisnya, "Ramlah Orang Yang Gemuk Banyak Isap Vitamin".

Satu lagi jambu yang banyak tumbuh di kawasan berpasir ialah jambu golok. Jambu golok ialah nama tempatan bagi buah gajus. Buah yang masak, kulitnya kuning. Rasanya kelat-kelat manis. Semasa di Kusza, kami kutip dari pohon-pohon dalam kawasan Kusza, hiris nipis-nipis, makan cicah garam. Perghhh.. sedap.

Akhir sekali, apa beza gadis merah jambu dengan gadis jambu merah ? Gadis yang jambu kah atau Jambu yang merah ? Atau Gadis merah yang jambu ? Atau merah jambu itu warna ?

Friday, July 31, 2009

Selsema babi

Wabak selsema babi nampaknya semakin merebak. Saya tertanya-tanya, adakah memberi cuti seminggu satu langkah yang praktikal ? Habis kalau selepas beberapa minggu kemudian, timbul semula simptom di situ, nak kena cuti seminggu lagi ke ? Lepas tu cuti lagi dan lagi. Ish..

Semasa saya kecil dulu, bila wabak taun melanda, masjid akan mengadakan qunut nazilah, khas untuk memohon perlindungan daripada Allah dalam menghadapi wabak. Orang kampung pula (lelaki) akan keliling kampung sambil bertahlil (La Ilaha illaLlah) secara berlagu.

Saya tak pasti adakah amalan itu satu sunnah atau bidaah. Tapi saya yakin, ia tidak salah atau berdosa. Ia hanya satu lagi ikhtiar selain ikhtiar kerajaan dengan menyuntik vaksin dan menabur klorin ke telaga-telaga. Maklumlah, masa itu, orang kampung guna telaga sebagai suber air selain air sungai.

Setakat ini, belum ada qunut nazilah dibuat untuk mengekang wabak selsema babi ini walaupun isu ini sudah ada disebut dalam khutbah Jumaat.

Bermohonlah kepada Allah, langkah keluar rumah dengan kaki kanan, bacalah ayat pelindung seperti Bismillaahi tawakkaltu alaLlah dan seumpamanya. Jangan pandang ringan aspek kebersihan diri, keluarga dan persekitaran. Ingat, "Kebersihan itu sebahagian daripada Iman". Siapa yang tak endah dengan kebersihan, maknanya imannya KURANG. (Tapi jangan pula kata orang yang terkena jangkitan itu sebab kurang iman.)

Semoga kita semua mendapat perlindungan daripada Allah selalu. Amin.

Tuesday, July 21, 2009

Amalan syirik dan jahiliyah

Semalam, akhbar melaporkan Kerajaan Terengganu akan menghidupkan semula Pesta Main Pantai sebagai tarikan pelancong. Mengikut kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za'abar Datuk Mohd. Adib, pada masa lampau, ia merupakan perhimpunan keluarga petani-petani pada setiap tahun di tepi pantai untuk melepaskan penat lelah selepas menuai padi.

Benarkah begitu ? Exco tu tak tahu sejarah ke atau buat-buat tak tahu ? Sebenarnya, Main Pantai adalah satu tradisi syirik amalan nenek moyang terdahulu terutama daripada kaum petani dan nelayan, memohon kepada semangat pantai, hantu laut atau menyemah pantai. Hantu Laut dijamu dengan daging korban untuk menenangkan semangatnya, tidak mengganggu petani dan nelayan dengan bencana, dan membawa rezeki kepada mereka.

Sebab itulah, ia kemudiannya telah diubah (oleh kerajaan negeri) kepada Pesta Pantai yang tiada kena mengena dengan Hantu Laut, tiada semahan korban dan bukan lagi untuk petani dan nelayan sahaja. Ia hanya satu pesta untuk suka-sukaan, membantu peniaga meningkatkan pendapatan melalui jualan dan tarikan pelancong.

Kerajaan negeri boleh menghidupkan pesta ini tetapi asal usul sejarah Pesta Pantai perlu dijelaskan kepada rakyat, kewujudan unsur syirik perlu dijelaskan supaya rakyat sedar dan menjaga diri dan keluarga daripada terjerumus kepada amalan sedemikian. Unsur syirik perlu dielakkan sama sekali dan tidak perlu dijadikan persembahan untuk tarikan pelancng pula. Rujuk http://ms.wikipedia.org/wiki/Pesta_Puja_Pantai

Esok, dikhabarkan akan berlaku gerhana matahari. Suatu masa dulu, mengikut cerita arwah ayahanda saya, orang kampung saya akan mengetuk-ngetuk tin, kayu, pokok, tempurung atau apa-apa sahaja bila berlaku gerhana. Ia bertujuan menghalau hantu. Ayah saya yang baru datang ke kampung itu merasa pelik bercampur lucu melihat gelagat orang kampung yang jelas jahil.

Pernah ayah saya mengusik sekumpulan pemuda kampung pada suatu senja dengan membaling pasir ke arah rimbunan pokok. Bunyi derauan pasir mendorong seorang pemuda bangkit melaungkan azan. Ayah saya terus melemparkan pasir sehingga akhirnya pemuda-pemuda tersebut bertempiaran lari sebelum sempat azan dihabiskan.

Pernah juga ayah saya menjolok tikar menggunakan ranting kayu melalui lubang lantai yang agak jarang ketika itu. Melihat tikar tiba-tiba menggelembung naik dan bergoyang-goyang, bertempiaranlah budak-budak dalam rumah kerana ketakutan. Kira nakal jugak lah arwah ayah saya semasa mudanya dulu.

Akhir kata, jangan kita lupakan sejarah sebaliknya belajarlah daripadanya.

Tuesday, July 14, 2009

Sekolah

Sekolah Keb. Pulau Rusa asalnya adalah sekolah untuk perempuan sahaja. Ia mula dibuka kepada lelaki pada tahun 1972. Sebelum itu, warga kampung akan menghantar anak-anak ke sekolah Paloh atau sekolah Manir. SK Pulau Rusa amat daif dan serba kekurangan. Hanya pada tahun 70an, ia mengalami perkembangan pesat. Sekolah ini pernah menerima peruntukan daripada pinjaman kewangan Bank Dunia untuk membina bangunan dan prasarana pembelajaran (tak pasti tahunnya - saya pernah terlihat iklan tender di suratkhabar). Sebelumnya, pelajar menumpang di kantin dan balai raya selain sebuah bangunan kayu.

Dulu ada sekolah Kuala Bekah. Kerana keluasan tanah yang sempit, sekolah gantian dibina di kg Sungai Rengas lalu diberi nama SK Rengas Bekah (kompromi 2 kampung). Sempadan Sungai Rengas sebenarnya ialah kg Pulau Musang dan bukan kg Kuala Bekah.

Kakak-kakak dan abang-abang saya bersekolah dibandar. Ada yang bersekolah di sekolah Inggeris Pasir Panjang dan ada ke sekolah Pusat Chabang Tiga. Mereka ke sekolah dengan basikal atau naik teksi (beca roda tiga - dipanggil teksi).

Sekolah menengah pula, mereka bersekolah di Sekolah Tun Telanai, Tengku Bariah dan sekolah Sains KT (kini SM Tengku Mahmud). 3 beradik lelaki dihantar ke SMKA Tok Jiring.

Sekolah Tok Jiring asalnya adalah sekolah pondok yang diusahakan oleh Datuk Tok Guru Hj Abas. Kerajaan negeri kemudiannya mengambil alih dan kemudian diserahkan pula kepada Kementerian Pelajaran.

Saya tidak diterima untuk bersekolah di SMKA Tok Jiring. Pada masa itu, belum ada SMKA kerajaan persekutuan di KT selain SMKATJ. Jadi ayahanda saya pergi merayu kepada guru besar, Nik Mustapha dan akhirnya diterima. Tiada syarat 5A untuk masuk ke sekolah itu pada masa tersebut.

Monday, June 22, 2009

Kelahiran dan Keturunan

Semalam adalah hari bapa. Saya tidak pernah meraikan hari bapa mahupun hari ibu. Kita mengingati ibu dan bapa kita secara tidak bermusim, bukan hanya pada hari tertentu sahaja.

Sambutan hari ibu dan bapa adalah budaya barat. Ini kerana dalam budaya barat, bila si anak mencecah umur 21 tahun, ibu dan bapa seakan-akan hilang hak untuk terus memimpin anak kesayangannya. Lalu terputuslah hubungan kerana si anak merasakan dia sudah bebas dan merdeka. Jika tiada sambutan sebegini, makin teruklah hubungan antara ibu bapa dan anak. Mungkin tak berhubung langsung walaupun pada hari perayaan atau hari jadi.

Saya taklah mengatakan sambutan hari ibu dan hari bapa itu haram. Ia adalah baik dan saya tidak fikir ia bertentangan dengan syariat. Cuma budaya kita, sentiasa berhubung dengan ibu dan bapa itu lebih besar maknanya daripada hanya mengingati pada hari tertentu sahaja. Lagipun budaya meraikan hari ibu dan hari bapa hanya terasa kemeriahannya sejak akhir era 90an hingga sekarang. Dulu mana ada.

Saya tak tahu tarikh lahir sebenar ibu dan bapa saya. Kalau ikut kad pengenalan, tarikhnya sama. Ayah saya hanya setahun lebih tua daripada emak saya. Hakikatnya tak lah begitu. Dulu, negeri Terengganu masih mundur. Orang tak lapor kelahiran kepada pihak berkuasa. Tarikh lahir saya pun bukan seperti yang tercatat pada surat beranak, 12 September. Ada yang kata, saya lahir pada hari Ahad. Ada yang kata saya lahir pada bulan Ogos. Kalau saya, anak ke 7 pun tak dilapor kelahiran pada tarikh sebenar, bagaimana pula dengan abang-abang dan kakak-kakak saya ?

Sistem perhubungan masa dulu menghalang orang ramai untuk ke bandar atau pekan dengan kerap. Selalunya, kelahiran dilapor ke balai polis Manir atau Cabang Tiga. Nak ke sana, kena naik bot, perahu, berjalan atau bagi yang berkemampuan, berbasikal. Tak ramai orang mampu beli basikal.

Ayah saya mulakan kerjaya guru dengan gaji 30 ringgit sebulan. Dengan pendapatan tetap semewah itu, bolehlah dia beli basikal untuk berulang alik pergi mengajar atau ke bandar.

Orang melayu dulu-dulu tidak begitu ambil berat soal tarikh dan keturunan. Ini berbeza dengan orang Arab yang jauh lebih maju. Sebab itu orang Arab boleh sebut tarikh-tarikh penting dalam sejarahnya sejak lebih 1000 tahun dulu. Orang Arab boleh sebut salasilah keturunannya hingga beberapa keturunan.

Saya, hanya tahu nama saya bin Harun bin Muhammad bin Muhammad Amin bin Abdullah. Itupun, ayah saya sendiri tidak tahu datuknya, Muhammad Amin bin Abdullah. Hanya abangnya yang tahu. Keturunan saudara mara juga kurang jelas. Kita nak tanya, takut luka lama berdarah kembali. Maklumlah, ada nenek moyang yang kahwin cerai, kahwin empat dan sebagainya. Ramai tok-tok sedara yang berstatus adik beradik tetapi bukan seibu sebapa. Salasilah tidak ditulis walaupun saya dapati, datuk-datuk saya semuanya pandai menulis dan membaca. Yang saya tahu, keturunan saya berasal daripada Pattani, Selatan Siam.

Islam sangat menjaga soal keturunan terutama kesucian keturunan itu. Peliharalah zuriat dan keturunan kita dan jangan cemari dengan nafsu yang menipu daya. Peliharalah perhubungan dengan ibu bapa dan adik beradik serta saudara mara yang lain walaupun kita semakin berjauhan kini kerana mabiliti yang semakin mudah.

Friday, June 19, 2009

Zaman kanak-kanak


Gambar darjah 1 di Sekolah Rendah Tengku Bariah bersama Cikgu Mrs Wong.


Gambar darjah 6 di Sek Keb Pulau Rusa bersama Cikgu Wan Hasnah (Cikgu Wan Mek)


Gambar nasyid ala-ala UMNO.

Wednesday, June 17, 2009

Istana dan rakyat

Dulu, Terengganu pernah menjadi tuan rumah persidangan raja-raja, atau mesyuarat majlis raja-raja. Kami, budak-budak sekolah rendah diminta berdiri di tepi jalan, melambai-lambai bendera Malaysia dan bendera Terengganu untuk menyambut ketibaan raja-raja dan sultan.

Kami rasa sungguh seronok dan tak sabar nak melihat wajah raja-raja melayu. Cikgu kata, nanti nampak raja lalu. Berdirilah kami di tengah panas terik, di tepi jalan raya. Cikgu kata, bila nampak motosikal peronda polis lalu dengan siren, boleh kibar-kibarkan bendera.

Lalu kami kibarkan bendera dengan penuh rasa teruja nak tengok wajah sultan. Kereta mewah melintasi kami. Yang mana satu kereta sultan ? Sultan negeri mana yang dah lalu? Raja mana yang belum. Nak kena tunggu lagi ke ? Ada lagi ke raja yang belum sampai ? Tak nampak sultan pun ? Beberapa minit kemudian lalu lagi rombongan seterusnya. Serupa juga. Semua sama. Nampak kereta mewah dengan cermin gelap je.

Alahai, rasa kena tipu betul. Ingatkan sultan akan lalu sambil lambai-lambai tangan macam ratu queen kat tv. Masa kami dibazirkan berejam-jam. Kami berjemur di tengah panas, air mineral pun tak diberi. Buang masa betul. Tapi masa tu kami di sekolah rendah, tak pandai kondem apatah lagi raja-raja. Tak berani kami nak kondem.

Ketika sultan Terengganu (Sultan Ismail) mangkat, saya masih di sekolah rendah. Zaman tu, sekolah rendah pakai seluar pendek. Budak sekolah menengah pun masih ada yang pakai seluar pendek. Rakyat diminta pakai songkok dengan lilitan kain putih tanda berkabung. Kami pun nak pakai jugak. Pakai seluar pendek, pakai songkok. Rasa macam bagus sangat. Yang perempuan, pakai seragam sekolah yang berskirt pendek dengan tudung putih. Isyhh... lawak jugak tu.

Masa pertabalan Sultan Mahmud, saya ikut mak saudara saya ke bandar KT. Ada pertunjukan kereta berhias. Semua pakat tak solat maghrib. Nak tunggu kereta berhias punya pasal. Meriah sungguh bandar KT dengan lampu neon. Kami berdiri di kaki lima kedai dekat Jalan Paya Bunga menghala ke Kedai Binjai. Balik, bas malam disediakan khas untuk rakyat, tapi tiket tetap kena bayar. Berhimpit-himpit kami dalam bas macam sardin.

Sultan Mahmud pernah datang solat jumaat di kampung saya. Sultan Mahmud memang suka solat jumaat dari kampung ke kampung setiap minggu. Habis segenap kampung baginda pergi. Sempat saya bersalam dengan baginda. Tangan baginda lembut sungguh. Tak pernah saya rasa tapak tangan selembut itu.

Hari ini, adakah sultan masih dekat di hati rakyat ? Kalau sultan masih turun bertemu rakyat, memang rakyat akan sayang kepada sultan. Tapi kalau terlalu keras dengan protokol samapai rakyat tak bepeluang nak tengok muka pun, ....hmmmmph...

Tuesday, May 26, 2009

Semak arah kiblat lagi

Setiap tahun, kita berpeluang untuk membuat semakan semula arah kiblat melalui panduan matahari. Semakan boleh dibuat pada 27 Mei jam 5:18 petang dan 15 Julai jam 5:27 petang. Pada masa tersebut, matahari berada di atas kaabah. Bayang tiang tegak akan menunjukkan arah kiblat (arah matahari jatuh jika di Malaysia).

Cuma beberapa tahun lepas, saya tak berpeluang kerana cuaca hujan. Difahamkan, semakan juga boleh dibuat sehari sebelum dan sehari selepas arikh di atas. Mungkin ada perbezaan beberapa darjah sahaja yang boleh dimaafkan. Apapun, yang tepat ialah pada tarikh dan jam seperti di atas.

Ayuh manfaatkan saat yang hanya tiba setahun dua kali, dan hanya bila cuaca mengizinkan sahaja (maksudnya dengan izin Allah kerana Allah yang mengatur cuaca).

Monday, May 25, 2009

Dari Streamyx ke P1 Wimax



Saya buat keputusan untuk teruskan mengguna P1 Wimax. Saya upgrade langganan ke pakej 1.2 Mbps. Saya akan batalkan langganan streamyx.

Saya mula melanggan Streamyx 512 Kbps sejak 2005. Masalah utama dengan streamyx ialah slow download. Dengan Streamyx, saya download dengan kelajuan purata 17 KB/s. Kalau bernasib baik, boleh mencecah kepada 40 KB/s. Download selepas solat subuh selalunya lebih laju. Nasib tak baik, kelajuan merosot kepada kurang 10 KB/s. Di pejabat, dengan pakej SOHO 1.0 Mbps, kelajuan boleh mencecah 90 KB/s.

Dengan P1 Wimax pakej 400 Kbps, saya boleh download sehingga 47 KB/s. Dengan pakej 1.2 Mbps, kelajuan melonjak kepada 140 KB/s, jauh berbanding 17 KB/s yang biasa saya perolehi dengan streamyx. Setakat ini, tiada masalah dengan internet sharing menggunakan wireless router D-Link DIR-300. Performance memuaskan hati.

Masih ingat lagi ketika internet mula dipopularkan di Malaysia ? Dengan modem 14.4 Kbps sahaja. Sebelum itu, saya pernah gunakan modem yang lebih perlahan. Seorang kawan yang kerja di Telekom membawa balik modem dan kami rasa canggih kerana dapat akses maklumat harga saham di BSKL.

Dari 14.4 Kbps, meningkat kepada 22 Kbps, kemudian 36 Kbps dan akhirnya 54 Kbps. ISDN dengan 128 Kbps tak sempat popular, DSL (streamyx) pantas mencuri hati peminat internet. Beberapa kali permohonan streamyx saya ditolak sebab coverage tak sampai. Hanya tahun 2005, baru ada streamyx di Kg Melayu Ampang. Itupun dengan kelajuan maksimum 512 Kbps.

Saya terpaksa berpuas hati dengan streamyx kerana tiada alternatif lain yang lebih baik ketika itu.


Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru, apatah lagi yang pernah mengajar saya, termasuk juga pensyarah-pensyarah, guru-guru agama di surau-surau dan masjid, juga cikgu memandu saya, Abang Maha.

Guru pertama saya ialah ayah saya sendiri. Saya panggil ayah saya ayahanda. Tapi bunyi Ayahde, macam pak sedara pula. Di sekolah, saya tetap panggil ayahde, bukan cikgu.

Guru kelas,
darjah 1 - Mrs. Wong
2 - Wan Hasnah (dipanggil Cikgu Wan Mek)
3 - Fatimah Ibrahim (dipanggil Cikgu Ani)
4 - Fatimah Awi
5 - Mohd Zain
6 - Wan Hasnah (Wan Mek)

Guru besar, Hasnah Abdullah dan kemudian, Cikgu Zulkifli.
Guru besar sekolah menengah, Nik Mustapha.

Kalau suruh pilih satu nama cikgu yang paling saya suka, saya tak boleh nak namakan. Semua cikgu saya suka, sama rata.

Guru sekolah menengah pun, Cikgu Chong, Cikgu Yusof (math), Cikgu Ibrahim (math), Ustaz Abd Rahman, Ustaz Saidi, Cikgu Hashim, Cikgu Azizul, Albadri, Maryam, Siti, Halimah, Ahmad Ramli, Sulaiman, Mad Deraman dan ramai lagi.

Guru Kusza, Cikgu Zaki, Al Arikah, Azizah (3 org), Ust Othman, Mustapha, Rusli, Wan Dagang, Wan Kuntum dan ramai lagi.

Bila kenang kesemuanya, kadang kadang rasa terharu dan pilu. Di mana mereka hari ini ? Sihatkah ? Mungkin ada yang sudah mendahului kita ke alam kubur. Kejayaan kita kecapi hari ini adalah hasil usaha gigih guru kita. Pernah pukul kita, rotan, marah, denda, puji dan ada juga yang merajuk. Bila terdesak, kita pernah juga sanggup menipu guru.

Semoga jasa guru akan dibalas Allah dengan ganjaran yang besar. Selamat Hari Guru.

Tuesday, May 12, 2009

Jambatan Manir

Orang Terengganu bahasakan jambatan sebagai gghetok. Nama sebenar jambatan Manir ialah Jambatan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Jambatan ini menghubungkan kampung Pulau Rusa dengan Kg. Manir. Ia sekaligus menjadi penghubung utama K.Trg Utara dengan K.Trg Selatan. Sebelum itu, penghubungnya ialah feri yang beroperasi di Kg.Losong Feri, dan juga bot penambang.

Jambatan ini dibina pada tahun 60an. Ia telah siap dan dirasmikan pada tahun 1969 oleh Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu ketika itu. Pada hari perasmian, ramai orang kampung berdiri ditepi Sungai Terengganu yang direntasi jambatan. Ada pelbagai acara sukan air termasuk acara lumba perahu dan kejar itik. Ketika itu, umur saya baru setahun jagung. Maklumat ini saya perolehi melalui sebuah buku yang diterbitkan khas sempena keputeraan atau pertabalan Sultan Ismail. Ada beberapa keping gambar dalam buku tersebut menunjukkan suasana pada hari perasmian. Saya difahamkan, ketika dirasmikan, ia adalah jambatan ke 3 terpanjang di Malaysia.

Semasa zaman kanak-kanak, saya diberitahu, jambatan itu dibuat menggunakan kepala orang. Ada orang datang dari kampung ke kampung mencari kepala. Mati-mati, saya ingatkan kepala manusia dibubuh dalam jambatan tu. Rupanya, yang dimaksudkan "pakai kepala" ialah "tenaga kerja manusia". Macam cukai kepala, bermaksud cukai bagi setiap manusia yang hidup.

Ketika itu, saya percaya jambatan itu berhantu, apatah lagi kemalangan jalan raya sering berlaku di situ. Sebenarnya, jambatan itu agak sempit. Tiada lampu dipasang pada jambatan menjadikan suasana sungguh gelap. Lampu mula dipasang pada awal tahun 80an.

Pernah sekali, seorang abang saya tersesat/hilang ketika kami hadir mendengar ceramah Prof. Dr. Hamka di padang sekolah Manir. Ia berlaku pada waktu malam. Abang saya ditemui di atas jambatan yang merupakan satu-satunya jalan pulang, menunggu kami. Ketika itu saya tak tahu siapa Hamka dan saya mungkin sibuk dengan belon dan aiskrim sahaja.

Pada musim banjir, saya seronok bermain di atas jambatan itu, melihat air mengalir deras membawa bersama sampah sarap, pokok-pokok mati malah kayu balak hanyut. Bila ada yang tersangkut pada tiang jambatan, kren akan cuba alihkannya untuk mengelakkan jambatan runtuh.

Mungkinkah jambatan itu akan digantikan dengan jambatan baru yang lebih besar dan kukuh tidak lama lagi ? Selalunya, pembinaan di Terengganu mengambil masa yang panjang. Kontraktor efisyenlah katakan. Jambatan Kuala Ibai dulu pun mengambil masa yang sangat lama untuk dinaik taraf.

Tuesday, April 21, 2009

Pulau Wau dan Sungai Terengganu

Dulu, di tahun 70an, saya selalu juga ke Pulau Wau. Pada masa itu, pulau itu ada orang menghuninya. Sekarang, saya rasa tak ada siapapun yang tinggal di situ. Tiada kemudahan air, elektrik dan jalan raya. Kena pergi dengan perahu. Siapa nak duduk di situ ? Anak-anak nak sekolah pun susah.

Tok ki saya ada tanah di situ. Kadang-kadang, kami akan kutip buah kelapa, bawa balik dengan sampan. Ada pokok sentul. Warnanya kuning oren. Isinya putih manggis. Rasanya masam. Buah ini selalu dibuat sayur masak lemak, tapi kami makan mentah je. Kami kopek kulitnya dengan gigi saja. Berebut-rebut kami kutip buahnya yang jatuh dalam air sungai yang keruh. Kami kait buahnya atau baling (pelekong) kayu. Kalau buah jatuh dalam selut, basuh lebih kurang je dalam sungai, kherkah kulitnya dan makan isinya.

Ada nilai ke tanah di Pulau Wau hari ini ? Pulau itu dah semakin membesar. Dulu, pasir memutih ditengah-tengah sungai Terengganu. Pulau Wau tempat kami bermain dan mandi manda. Air di kawasan berpasir cukup jernih dan deras. Ada musim kami cari etak-etak dan tijah. Tijah ni macam etak juga tapi kulitnya nipis dan panjang macam Lala. Saiznya lebih kecil.

Musim kemarau, air sungai terasa payau. Malam hari, kami pergi suluh udang di tepi sungai. Mata udang merah bila disuluh. Kami tajamkan lidi basikal dan ikat getah. Kami tikam udang untuk dimakan. Kalau udang kecil, kami makan mentah, hidup-hidup. Kalau besar, kami bakar dengan sabut kering.

Sungai juga menjadi tempat peraih ikan menjaja ikan. Peraih menjerit, Ooooooooo; isyarat mereka berada di pangkalan sungai. Selepas dibeli, kaum wanita akan terus menyiang ikan disitu.

Kini pasir yang memutih semuanya sudah menjadi pulau, ditumbuhi rumput rampai. Berselut dan berlumut. Tanah tok ki kini sudah menjadi milik Ayah Teh. Nak buat apa dengan tanah tu ? Jual pun tak laku. Nak buat rumah pun tak boleh. Kecuali kerajaan buat idea gila-gila macam Idris Jusoh majukan Pulau Wan Man yang tak berpenghuni tu.

Hampir tak ada orang mandi sungai lagi. Tak ada penjaja di sungai. Sungai sudah mati. Namun masih ada juga orang kampung tangguk udang sedana. Dulu pasir bersih sebab setiap tahun, banjir akan membersihkan sungai. Dalam setahun, sekurang-kurangnya 3-4 kali air melimpah mengalir deras. Kini tiada banjir. Sekali air bah, sekali pasir berubah.

Friday, March 27, 2009

Lagi: Dulu dan kini

Bila aircond kereta rosak, hari pula hujan, alamat cermin dalam kereta terpaksa dilap sebab pemeluwapan berlaku. Hari ini, bila aircond rosak, kita cepat-cepat baiki.

Dulu, sekitar tahun 70an, tak banyak kereta pakai aircond. Ada juga kereta yang dipasang kipas angin kecil. Macam lori daa.. Kita tak kisah dengan bunyi kipas tu yang bising. Habis bojeng jambul rambut rosak dek angin kipas. Tapi semua tu kita tak kisah.

Tahun 80an dan awal 90an, bas juga tak ada air-cond. Bila cuaca hujan, terpaksa pula bersesak-sesak naik bas, rimas semacam. Tambah pula waktu balik kerja. Dengan bau peluhnya. Rasa nak pitam dalam bas pun ada. Kena pulak bas mini di KL. Kondukter asyik memerintah je, "Masuk lagi, masuk lagi dalam". Boleh marah-marah penumpang pulak. Dah la satu kerusi boleh muat seorang setengah je. Tingkap pula terpaksa ditutup. Yang perempuan mungkin ada yang kena raba dek lelaki gatal.

Tahun 70an, kereta tak pakai kaset saiz kecil tapi bersaiz katrij besar gedabak. Kalau ada 10 buah katrij dalam kereta, penuh, tak ada ruang nak letak dah. Saiz katrij lebih kurang saiz video tape tahun 80-90an. Le ni kita pakai USB. Dari KL ke KT dan balik semula ke KL, tak habis dengar semua lagu lagi. Macam macam lagu ada, dari lagu nasyid, sampai lagu arab, bollywood, hollywood. Entah bila nak dengar tak tahu la. Jumpa lagu baru, muat turun, lagu lama pun muat turun.

Ayahanda saya dulu begitu berminat nak beli kaset 30 juzuk bacaan Al Quran. Akhirnya, dapat juga dia beli satu set. Le ni tak ada siapa nak dengar. Orang dah tak pakai kaset lagi. Muat turun MP3 je. Macam-macam qari ada. Sayang, ayahanda dah tak ada lagi. Bila dengar bacaan Al Quran qari arab, terasa nak perdengarkan kepada ayahanda. Teringat senyuman dia. Seperti terdengar-dengar suara dia memuji-muji sedapnya alunan suara qari Mekah, Madinah atau Mesir. Mak pula dah tak boleh dengar lagi sebab sakit.

Monday, March 16, 2009

Balik kampung 3 hari

Hari Jumaat, saya balik kampung di Terengganu. Hari Ahad, dah balik ke KL. Sebenarnya, saya merancang untuk ke Pulau Pinang pada cuti sekolah kali ini. Nak selesaikan isu dokumen anak angkat. Saya tak ada anak kandung. Anak saya ialah anak saudara isteri saya. Dah beribu wang dibelanjakan, tiada rezeki kami di situ, setakat ini.

Emak saya sudah seminggu lebih di hospital KT. Selasa lepas, mak mertua pula masuk wad di HKL. Akhirnya, orang PP yang turun ke KL. Jadi saya sekeluarga balik ke KT. Kak Dah (kuantan) kata, emak rindukan kita, anak-anak. Saya memang dapat rasakan mak rindukan anak-anaknya.

Kebetulan pula, Kak N dan Kak Har yang menetap di Trg ke Langkawi. Kursus dan sekaligus ambil peluang makan angin bersama keluarga masing-masing. Abang Ki, Kak Syam dan adik saya bergilir-gilir menunggu. Kebetulan juga anak saudara saya, Lukman yang bekerja dengan Qatar Airways balik bercuti dua tiga hari. Sempat lah jumpa. Hari Sabtu, saya ambil peluang menjaga emak di HKT sepanjang hari. Kalau tidak, adik saya yang menjaga setiap hari. Malamnya, Kak Dah Kuantan balik dan mengambil tugas menjaga emak.

Emak ada masalah pendengaran dan penglihatan. Nak ke tandas pun terpaksa dipimpin. Sebab itu, emak perlu pemerhatian yang rapi. Dua hari di Trg, hujan tak berhenti. Macam musim tengkujuh. Di Trg, tempat saya hanya HKT dan kampung. Penat, sedih, risau bercampur-campur.

Semasa kecil, saya memang manja dengan emak. Paling manja. Sebelum diambil alih oleh adik saya selepas 9 tahun menjadi anak bongsu. Teringat semasa saya masuk wad di zaman kanak-kanak, emaklah yang saya paksa suruh jaga saya. Hari ini, saya hanya sempat jaga emak beberapa jam sahaja.

Walaupun saya manja dengan emak, saya bukan orang yang boleh diharap untuk buat kerja. Siang sembelihan, kopek kelapa, panjat pokok duku, semua saya tak reti. Abang-abang saya yang akan lakukan. Malah mereka boleh bantu mak buat kerja dapur bila ada kenduri atau masa hari raya. Saya hanya boleh tolong beri makan ayam itik je. Musim banjir, saya tak tahan sejuk untuk bantu tangkap ayam itik untuk dikuarantin ke reban. Abang saya lah yang akan lakukan semuanya. Kudrat mereka kuat. Saya memang tak ada kudrat untuk buat kerja berat.

Terfikir, betapa tak adilnya saya. Adik saya walaupun manja dengan emak, tapi boleh diharap untuk buat kerja. Hari ini, adik saya jaga emak setiap hari. Dalam sibuk-sibuk bekerja, dia luangkan masa menjaga emak. Saya, nak balik tiap-tiap minggu tak mampu. Duit bukan masalah bagi emak. Emak perlukan perhatian.

Memang, anak yang ramai kadang-kadang masih tak mampu untuk jaga emak seorang. Teringat saya seorang saudara kami yang ibunya sakit angin ahmar, lumpuh selama 26 tahun. Bayangkan 26 tahun, nak ke tandas pun dipapah. Satu tempoh yang lama. Banyak masa perlu dikorbankan. Bukan senang nak bersabar selama itu. Memang dia ibu kita. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Alhamdulillah, adik saya sabar. Melayan kerenah orang sakit bukanlah mudah. Apatah lagi ibu kandung. Mudah sensitif dan tersinggung. Saya selalu berdoa semoga saya dapat balik selalu untuk berbakti semula kepada emak.

Wednesday, March 11, 2009

Pembangunan kampung

Bekalan elektrik mula masuk ke kampung saya (Pulau Rusa Haji Wan Nik) pada tahun 1969. Itu cerita arwah ayahanda saya. Sebelum itu, abang dan kakak saya semua belajar dengan lampu spirit. Selepas tamat waktu belajar, lampu spirit dipadamkan dan diganti dengan pelita ayan. Bermakna sudah sampai waktu tidur. Jadi mudahlah ayahanda mengatur jadual harian anak-anak.

Ketika elektrik mula dibawa masuk, terdapat segelintir penduduk membantah. Saya tidak pasti kenapa ada bantahan. Anti pembangunankah ? Atau sebab politikkah ? Ayahanda saya keberatan untuk menceritakan. Sebagai seorang guru, ayahanda turut berperanan cuba memujuk dan mempengaruhi orang kampung supaya menerima pembangunan. Mungkin ada sekaki dua tanah perlu dikorbankan untuk dibina tiang elektrik.

Selepas banyak rumah sudah ada elektrik, rumah puak yang menentang akhirnya juga turut dipasang elektrik tetapi melalui rumah jiran. Beberapa tahun kemudian, barulah masing-masing dapat menerima elektrik adalah satu keperluan dan masing-masing ada meter elektrik sendiri.

Ketika jalan dibina merentasi kampung pun, ada bantahan. Masing-masing tidak mahu mengorbankan tanah masing-masing. Jalan dibina diatas sempadan. Khabarnya, kerajaan ambil tanah tersebut tanpa membayar pampasan pun. Ye lah. Tanah orang Melayu. Senanglah main ambil macam tu je. Cuba kalau kawasan Cina. Mana kerajaan berani rampas tanpa pampasan. Kadar pampasan pula mesti tinggi.

Sebelum jalan diturap dengan tar, keadaan sangat teruk terutama musim banjir. Musim kemarau pula, jalan berdebu. Pada pilihanraya tahun 1978, penduduk mula menuntut jalan tar. Pemuda pula menuntut padang bola. Padang bola sudah ada di Kampung Manir dan Kampung Paluh. Akhirnya kerajaan setuju dengan tuntutan itu. BN menang di situ. Tambah pula PAS baru dipecat daripada BN malah berpecah dengan lahirnya BERJASA.

Selepas dua tahun, tiada tanda-tanda janji hendak ditunaikan, penduduk merentang sepanduk menyindir wakil rakyat. Lalu kerja menurap jalan dimulakan pada tahun 1980. Serentak dengan itu, padang bola juga mula dibina. Bila semua dah siap, pilihanraya 1982, sempadan kawasan telah ditukar dan PAS pula yang menang :).

Tuesday, March 10, 2009

TV pertama yang pernah saya tonton

Saya masih ingat hari ayah saya beli TV. Walaupun pada masa itu, saya tak tahu tahun berapa, umur saya berapa tahun dan hari apa. Yang pastinya, ketika TV mula dipasang, keluar gambar Taufik Latif membaca intisari rancangan. Masa tu belum lewat petang lagi. Mungkin Hari Sabtu atau Ahad. Hari Jumaat ialah hari cuti umum, dan selalunya kedai-kedai di bandar KT banyak yang tutup.

Pada masa itu, hanya hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja yang ada siaran jam 3 petang. Hari-hari lain, siaran bermula jam 5 petang. Hanya ada 2 saluran iaitu saluran 5 dan saluran 8. TV tersebut jenama Toshiba, 20 inci, ada kaki dan ada pintu yang boleh dikunci. Tak ramai orang kampung yang ada TV. Hanya rumah cikgu-cikgu je yang ada. Cikgu Taha, Cikgu Awang dan ayah saya Cikgu Harun.

Waktu petang, ramai budak-budak datang menonton cerita jepun yang dialih bahasa iaitu "Giant Robot". Habis air setempayan depan rumah (dicebok dengan cetong) digunakan untuk cuci kaki. Rancangan Ultraman juga diminati. Setiap malam Sabtu, disiarkan Tayangan Gambar Melayu. Kadang-kadang ada cerita seram. Memang betul-betul seram sebab masa itu semak samun masih banyak dan tiada lampu jalan. Selain menonton di rumah ke tiga-tiga cikgu ini, orang kampung terutama yang lelaki juga menonton di kedai makan Pak Dor.

Ayah saya selalu kunci TV pada waktu maghrib. Kadang-kadang, ketika kami leka menonton, tiba-tiba ayah saya tutup TV. Ia selalunya bila kami tidak hiraukan jadual rutin, sama ada pergi mandi, mengaji, solat atau dah nak maghrib. Bila dia tutup, tak ada siapa yang berani membantah. Semua segera bersurai, dan ayah saya tidak membebel. Dia cuma tutup dan kunci je. Sepatah pun dia tak kata.

Satu hari dalam tahun 1982, saya jumpa "warranty card" TV Toshiba tersebut dan tercatat tarikh beli 10 Oktober 1970. Bermakna pada masa itu, umur saya 2 tahun :).

Antara rancangan yang saya suka tengok waktu petang ialah Toto. Rupanya ia adalah rancangan judi. Ada juga rancangan Ganda Wang Anda yang kemudiannya dihentikan selepas diketahui ia juga satu bentuk judi. Semua rancangan berbentuk judi ditamatkan siarannya selepas PAS menyertai BN. Iklan arak seperti Guiness Stout juga dihentikan selepas pembentukan BN. Itulah antara hikmahnya. Cuma PAS gagal menghentikan loteri kebajikan masyarakat walaupun hebat dibahaskan. Loteri itu ditamatkan pada zaman Mahathir.

TV itu mula rosak pada tahun 1980. Hampir setiap tahun ia terpaksa dibaiki. Seorang anak muda kampung saya bernama Najah (anak ustaz ??? - dah lupa) datang membaiki TV.

Tahun 1982, ayah saya beli TV baru, TV warna jenama Panasonic 16 inci. TV warna mula dilancarkan pada Disember 1978 oleh Tun Hussein Onn. Intisari rancangan di surat khabar akan memaklumkan rancangan-rancangan yang disiarkan dalam warna. Saya masih ingat, saya baca waran sebab ejaannya "wau"+"ra"+"nun" (akhbar Utusan Melayu). TV Singapura lebih dulu ada siaran warna.

Friday, March 06, 2009

Genting

Kedudukan saya pada masa sekarang agak genting. Saya cuba sebaik mungkin untuk bertahan tanpa bantuan orang lain. Saya mungkin mampu bertahan untuk seminggu lagi. Selepas itu, terpaksa menggunakan talian hayat.

Harap keadaan ini tidak berpanjangan. Saya sudah mengambil tindakan perlu untuk bertahan lebih lama.

Wednesday, March 04, 2009

Koperasi adik kakak (KODIKA)

Kodika adalah singkatan nama kepada Koperasi Adik Kakak Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Koperasi ini pada asalnya ditubuhkan dengan nama Tabung Simpanan dan Pinjaman Pulau Rusa (TSPPR). Abang saya yang sulung adalah antara yang terawal menyertai TSPPR. Masa tu, saya masih sekolah lagi.

Selepas menyedari, TSPPR beroperasi menyalahi undang-undang, pihak AJK telah berusaha mendapatkan nasihat perundangan dan akhirnya tertubuhlah Koperasi Kodika. Di akhir hayat TSPPR, dana sudah mencecah RM600,000. Saya sempat buat pinjaman sekali dalam TSPPR.

Dinamakan koperasi adik kakak sebab ahlinya yang boleh dikatakan semuanya bersaudara walaupun mungkin hanya bau-bau bacang. Operasi utama Kodika ialah dalam urusan pinjaman wang. Kini, dana Kodika sudah mencecah RM5 - 6 juta. Sebagai sebuah koperasi yang ditubuhkan oleh orang kampung, saya rasa Kodika adalah sebuah koperasi yang berjaya.

Setiausahanya seorang yang rajin dan tekun. Namanya Mustapha Ismail tetapi dipanggil Ayah De Harun. Dia adalah sepupu mak saya. Ayahnya adik beradik dengan nenek saya. Isterinya pun bersaudara dengan kami.

Setiap bulan, ahli akan membuat bayaran melalui wakil yang dilantik. Selalunya, wakil adalah saudara-mara terdekat dalam kelompok kumpulan. Jadi, kalau ada yang liat buat bayaran, wakil kena tanggung. Selalunya, wakil adalah seorang yang disegani. Jadi tak adalah masalah tertunggak bayaran.

Dulu, ahli boleh buat pinjaman sehingga RM15,000 seorang atau 3 kali simpanan ahli. Pinjaman adalah secara Al Qardhul Hasan tetapi ada bayaran proses iaitu upah tulis perjanjian. Sekarang, saya tak pasti sebab undang-undang boleh dipinda. Koperasi ini semakin berkembang hingga kini dan mula cuba-cuba menyertai bidang hartanah pula.

Saya bangga menjadi ahli koperasi ini walaupun tak pernah hadir mesyuarat tahunan. Hari ini, saya sudah semakin jauh dengan Koperasi ini. Saya sedang berkira-kira untuk berhenti menjadi ahli kerana hubungan yang semakin jauh ini. Apa pun, saya tetap doakan koperasi ini terus berjaya kerana ramai anak-beranak saya masih menjadi ahli malah terus bertambah.

Solat dalam kereta

Semalam, saya hampir terperangkap dalam banjir. Hujan lebat agak lama. Pejabat saya di Jalan Ipoh. Saya cepat-cepat keluar pejabat untuk ambil isteri di Jalan Raja Laut. Belum sempat solat asar, saya dah keluar kerana nak elak banjir. Saya memang menjangka banjir kilat pasti berlaku.

Oleh kerana jalan yang saya selalu lalui menuju Jalan Kuching sering banjir, saya teruskan melalui Jalan Ipoh. Rupanya banjir teruk berlaku di Jalan Ipoh dekat Perkim hingga PWTC yang amat sinonim dengan Bangunan UMNO. Kereta saya terperangkap di Jalan Ipoh. Isteri saya mohon balik dulu dengan LRT. Sementara saya berpusing balik untuk menuju ke Jalan Kuching. Kalau saya terlebih awal, mungkin kereta saya terperangkap dalam kesesakan dan kemudian tenggelam dalam banjir seperti beberapa buah kereta lain yang saya nampak.

Jam dah pukul 7 lebih, saya masih terperangkap dalam kesesakan. Saya teringat Ustaz pernah cerita bagaimana dia terperangkap dalam kesesakan, terpaksa solat sambil memandu untuk elak waktu solat luput. Saya pun terus solat Asar sebagai syarat sahaja. Niat, takbiratul ihram, baca Fatihah, rukuk, sujud sampai selesai 4 rakaat. Sampai di rumah, bilal pun azan.

Selepas solat maghrib, saya buat semula solat asar. Mudah-mudahan Allah terima solat saya dan ampunkan dosa saya.

Sunday, January 11, 2009

Kematian

Salam.

Semalam, 11 Januari 2009, salah seorang saksi nikah saya iaitu Ismail Nahrawi telah kembali ke rahmatullah di Kampung Ampang Tasik, Selangor.

Di KL dan Selangor, saya perhatikan, bila ada kematian, anak-anak atau saudara-mara terdekat akan memandikan jenazah. Begitu juga dalam hal solat jenazah. Ahli kariah turut beramai-ramai menyembahyangkan jenazah. Tiada upah untuk orang yang solat jenazah. Senang-senang boleh dapat 100 - 200 orang jemaah. Kalau kena hari Jumaat, lagi ramai yang akan turut serta.

Di Terengganu, (difahamkan juga berlaku di Kelantan dan Kedah), bila ada kematian, satu kumpulan khas akan dijemput untuk memandikan dan menyembahyangkan jenazah. Selalunya jemaah yang mengaji pondok. Ahli kariah mahupun kaum keluarga tak pandai nak buat atau pakat-pakat tak nak buat. Dan orang yang sembahyang tadi akan diberi upah. Kalau tak diberi, tanpa segan silu ada yang akan bertanya tentang upahnya. Ianya menjadi wajib. Kalau tidak nanti jadi fitnah, soksek-soksek di belakang.

Lagi satu, jenazah amat segera diuruskan di KL/Selangor. Arwah meninggal tengah hari, lepas Asar dah selesai. Terus ke kubur. Kalau di Terengganu, keesokan jam 10-11 pagi baru selesai. Lepas tu ada mengaji kubur pula walaupun banyak dipertikaikan oleh alim ulama. Tak dibuat, nanti orang kampung mengata. Alasannya, tok nenek kita dulu buat, tak ada yang kata salah pun.

Dalam hal ini, pujian daripada saya untuk orang Selangor dan KL berbanding di Terengganu.

Walahua'lam.

Sunday, January 04, 2009

Tahun baru

Bila memasuki tahun baru, bermakna telah meningkat setahun lagi umur kita. Tapi saya selalu mengira umur (dalam tahun, bukan dalam hari) mengikut tarikh lahir. Jadi umur saya meningkat pada bulan September, atau Jamadil Akhir dalam kalendar Hijri.

Tahun ini, anak saya akan ke tadika (5 tahun). Kami sasarkan dia boleh membaca sebelum usianya mencecah 6 tahun.

Saya dulu mungkin mula membaca seawal usia 6 tahun. Ayah saya adakan kelas jawi selepas solat mahrib. Pada usia 6 tahun, saya menumpang sekolah di Sek. Keb. Banggol Peradong, tempat ayah saya mengajar ketika itu. Masih saya ingat nama beberapa orang guru sekolah itu, antaranya, Cikgu Wahab, Cikgu Zahari, Cikgu Awang (guru besar), Cikgu Ismail dan Cikgu Mansor.

Sekolah tersebut dalam kedudukan sekolah ddarat. Kawan-kawan lain baru nak mengenal huruf dan nombor dalam usia 7 tahun. Hari ini, budak-budak 6 tahun dah boleh membaca.

Darjah 1, saya di Sekolah Rendah Tengku Bariah (kini Sek.Keb.Tengku Bariah). Sebelum itu, sekolah tersebut ialah Sek.Ren.Jenis (Inggeris) Pasir Panjang. Oleh kerana sekolah Inggeris telah dihapuskan, tak sempat saya belajar dalam bahasa pengantar Inggeris. Guru kelas pertama ialah Miss Wong. Bas sekolah popular ialah Bas Deraman (Durian Burung).

Selalunya, setiap tahun, kita berazam untuk menjadi lebih baik daripada tahun lepas. Hakikatnya, kita tahu siapa diri kita sebenarnya; baik jahatnya. Setakat cakap atau tulis macam orang baik-baik, mudahlah. Tapi selalu juga kita tewas, walaupun kita sedar mana buruk mana baik, mana lebih baik.

Untuk negara, saya harap tahun ini ekonomi negara tidak seteruk yang dibimbangi. Semoga tiada peristiwa-peristiwa buruk atau bencana besar melanda. Keamanan terpelihara dan rakyat harmoni. Namun itu semua hanya akan tercapai jika rakyat dan pemimpin tidak meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama dan negara.

Wassalam.