Monday, June 20, 2011

Aku anak orang "kaya"

Kata isteri saya, keluarga dia suka makan telur sebab dulu, itulah sahaja lauk yang mampu dibeli. Telur yang paling murah.

Keluarga saya pula, dulu hanya makan nasi lauk ikan. Dulu, di Terengganu, ikanlah yang paling murah. Dapat makan ayam sekali sekala pada musim kenduri saja. Mungkin sebab kampung saya di tepi sungai dan tak jauh drp kuala sungai. Jadi senang dapat ikan.

Di sekolah, bila diedar borang buku teks, saya selalu diberikan surat, tidak layak terima pinjaman buku teks.Kononnya saya anak orang kaya. Hanya kerana ayah saya seorang guru.

Semiskin2 orang lain, ayah mereka pakai kereta. Ayah saya cuma pakai kapcai 65cc. Sebelum tu, dia pergi mengajar naik basikal je. Guru lepasan darjah 6, berapa senlah sangat gajinya nak sara 8 orang anak. Semiskin2 isteri saya, merasa juga keluarganya pakai Honda Accord, Volkswagen, Volvo, Mercedes.

Ayah saya tak pernah ceritakan susahnya dia mencari rezeki nak besarkan anak2. Pernah dibuat peraturan, tak boleh minum susu kecuali sekali sehari. Ibu saya bekerja ambil upah jahit baju. Pada masa cuti sekolah, ayah saya buat perabot dan jual atau untuk pakai sendiri.

Bila saya dah besar, baru saya tahu, itu semua adalah tanda2 keluarga kami bukan orang senang. Kalau dah senang, tak payahlah susah2 mak bersengkang mata malam2 untuk jahit baju.

Kalau kami keluarga senang, tak adalah kami pakai kasut sampai berlubang di tumit atau terkoyak ternganga di depan. Stokin pun pakai ikat dengan getah gelang. Tiap2 tahun, pakai beg yang sama sampai lunyai.

Syukurlah mak pandai menjahit. Dapat jimat belanja bila pakaian sekolah dan pakaian raya semuanya dijahit sendiri. Walaupun tak secantik pakaian orang lain, tapi bagi kami, pakaian yang mak jahit sangat cantik.

Tiap2 hari pergi sekolah bawa bekal. Sangat jarang saya beli di kantin. Anak orang lain yang "miskin" beli dua tiga jenis makanan.

Ketika tinggal di asrama Kusza pula, bila makanan di dewan makan tak sedap, orang lain makan di kafeteria. Saya pula, telan saja apa yang terhidang. Orang pakai kasut mahal2 dan berjenama, saya pakai saja kasut yang RM12 sepasang.

Tapi ayah saya pandai berjimat. Bukan kedekut tapi jimat. Kedekut tu kan haram. Jimat tu kan wajib. Dengan sifat jimatnya itulah, kami semua mampu teruskan kehidupan dengan selesa hingga tampak "macam kaya" di mata orang kampung. Dengan duit yang dijimat itulah, ayah dapat terus membantu ibu2 saudaranya yang jauh lebih miskin daripada kami ketika anak2 mereka masih kecil hingga akhirnya mereka mula bekerja dan dapat hidup lebih selesa daripada kami.

Selamat hari bapa, Ayahanda ku Harun bin Muhammad. Al Fatihah untuk mu, juga untuk bonda ku Habsah binti Abas.

Thursday, June 16, 2011

Mungkinkah keldai dadah dipukau ?

Saya baru tonton video rompakan pukau dan hypnosis. Bagi saya, hypnosis juga sejenis pukau. Memang ia boleh digunakan untuk tujuan baik tetapi hakikatnya ia adalah pukau yang hukumnya haram.

Sama seperti sihir, boleh saja guna alasan untuk tujuan yang baik tetapi hakikatnya, ia adalah haram mengikut syariat.

Ada juga terbaca dalam akhbar mengenai orang hilang, baik perempuan, mahupun lelaki dan kanak2. Saya percaya ramai antara mereka yang dipukau. Tidak mustahil, keldai dadah juga telah dipukau untuk membolehkan kegiatan jahat diletak di bahu pihak lain.

Tapi, mungkin juga ada pihak yang guna alasan dipukau untuk elak daripada didakwa atau dipersalahkan.

Oleh itu, amalkanlah membaca al Quran, terutama ayat kursi, ayat2 mu'wwizatain terutama sebelum tidur. Ada juga doa untuk elak pukau. Amalkan membaca ayat kursi setiap kali selepas solat 5 waktu.

Moga kita semua dilindungi Allah.