Wednesday, July 27, 2011

Parlimen Kedai Kopi

Pada tahun2 pertengahan 90an, ada satu web site forum. Budak2 melayu ramai berfirum di situ. Kalau tak silap namanya KEDAI KOPI.

Ada beberapa kelas dipecahkan untuk sembang politik, am, IT, test dan beberapa lagi. Paling meriah saya kira ialah sembang politik. Memang melayu kalau sembang politik tak mahu kalah.

Antara nama yang mungkin saya masih ingat ialah Damar Wulan, Ibnu Hashim, Panji Alam, Aziz, Kinabalu, Amila, Akal (IQ+), Suri, Cencorot, Al Ustaz, Tenom, Saif, Sebol, Choyot, Adiex, Alchemey dan ramai lagi.

Masa itu, internet tak berleluasa macam le ni. Kat rumah, saya cuma pakai dial up 1511 (jaring). Chat pula guna IRC. Kat pejabat canggih sikit la.

Perbahasan di forum politik selalu hangat. Kadang2 dia orang buat gathering. Geng sokong PAS dan Geng Sokong Kerajaan BN. Saya pernah join sekali jumpa. Lepas tu tak jumpa lagi dan forum tu berkubur selepas ada hackers menyamar konon drp PDRM dan buat ugutan. Admin jadi kecut perut dan tak mahu ambil risiko.

Hari ini, pengguna internet lebih berani dan bebas. Ramai sangat pengguna internet, nak monitor pun payah. Setakat ugut2 macam dulu, mungkin kena gelak je.

Sekarang masing2 mungkin dah guna nick name lain. Yang saya masih ingat cuma Kinabalu atau Datuk Halik Zaman. Dulu totok UMNO Sabah. Sekarang sokong PR.

Monday, July 25, 2011

Kamera

Masa saya kanak-kanak, kamera keluarga saya berwarna hitam. Ia berbentuk sebuah kotak. Saiznya agak besar. Nak "pukul gambar", kena gantung di leher, tengok objek daripada atas kamera dan tekan butang sebelah kanan kamera. Ia sebuah kamera hitam putih, tanpa flash.

Ketika ini, tak ramai orang kampung yang ada kamera. Gambar2 lama tersimpan dalam album yang kini disimpan oleh abang saya yang sulong.

Kemudian, abang saya beli kamera lebih moden, dengan saiz lebih kecil. Ada flash tetapi setiap kali flash digunakan, bulb akan terbakar. 10 kali snap, 10 biji bulb perlu digunakan. Ia juga kamera hitam putih. Saya masih ingat, selepas setiap kali ambil gambar, mata saya rasa berpinar2.

Kemudian abang saya beli pula kamera nipis jenama Canon. Filemnya bukan jenis 35mm. Entah apa saiznya, saya tak ingat. Ia adalah kamera warna pertama milik keluarga saya.

Kamera milik saya sendiri, saya beli pada tahun 1992 di Pertama Kompleks. Kamera kompak jenama Nikon berharga kira2 RM3xx ini berwarna hitam dan masih ada kini, masih boleh digunakan tetapi kami jarang gunakannya kerana kini zaman digital. Kualiti fotonya masih baik.

Kamera saya seterusnya ialah kamera digital yang saya beli pada tahun 1998, juga di Pertama Kompleks. Kamera jenama Fuji 2600Z ini adalah kamera digital dengan 2 Megapixel photo. Saiznya gemuk tapi dah kira canggih pada masa tu. Ia menggunakan Smartmedia 16MB sebagai medium storan. Harganya, RM16xx. Kamera ini juga mampu menghasilkan video tanpa suara. Ia banyak berjasa kepada saya tetapi ia hilang ketika makan angin di Pulau Pinang pada 2004.



Pada 2005, saya beli pula kamera Nikon E4200. Kamera 4 Megapixel ini dibeli di Ampang Point dengan harga RM1,2xx. Masih boleh digunakan hingga kini, cuma ada beberapa kecacatan. Video, kalau dirakam ada sedikit ganggunan bunyi. Penutup baterinya pula sudah longgar kerana ada pendakap yang patah. Baterinya sudah cepat habis. Kualiti foto kamera ini sangat memuaskan. Medium storannya ialah Secure Digital Card 512 MB.



Kamera terkini yang saya miliki ialah Fuji JZ300. Ia adalah kamera bajet dengan harga RM5xx sahaja. Dibeli di Midvalley Megamall ketika Maybank Treatsfair 2011. Ia adalah kamera 12 Megapixel dengan SDHC Card bersaiz 4 GB, mampu merakam HD Video dan boleh zoom sehingga 10x optical zoom.



Saya tak berapa gemar kamera Sony dan Canon, bagi kamera kompak. Kecuali kalau kamera Pro atau semi Pro, boleh dipertimbangkan jenama Canon. Saya suka Nikon. Selalunya, saya akan survey diinternet sebelum beli kamera. Cuma kali ini, lain yang saya survey, lain yang saya beli.

Tuesday, July 19, 2011

Cikgu Harun

Cikgu Harun adalah seorang guru yang disukai oleh kebanyakan pelajarnya. Pendekatannya lembut dan mesra. Tidak garang.

Cikgu Harun suka bercerita. Selalunya, bila dah nak habis kelas, baki beberapa minit itu digunakan untuk bercerita. Murid-muridnya suka mendengar Cikgu Harun bercerita.

Selalunya, kelas yang menjadi sasaran ialah kelas darjah satu dan dua.

Cerita Cikgu Harun selalunya tak dihabiskan terus. Ketika sedang bercerita, loceng berbunyi. Cikgu tidak meneruskan ceritanya dan akan disambung pada lain hari. Murid-murid selalunya kecewa, geram dan tak sabar nak dengar kesudahan cerita. Kalau waktu nak balik, murid-murid sanggup tunggu untuk balik lewat asalkan cerita itu dihabiskan.

Hari berikutnya, cerita tak semestinya disabung. Ada murid-murid yang minta cerita disambung sebelum kelas bermula, tetapi tak diendahkan oleh Cikgu Harun. Bila dah nak habis kelas, belum sempat nak sambung cerita, loceng pula dah berbunyi. Kadang-kadang, cikgu lupa atau buat2 lupa nak sambung cerita.

Sebenarnya itu semua tektik sahaja. Begitulah cara Cikgu Harun mengambil hati pelajarnya. Cikgu Harun itu ialah ayah saya.

Semasa kami kanak2, ayah saya juga suka bercerita selepas waktu makan malam. Kami adik beradik akan duduk bersila depan kerusinya untuk mendengar cerita. Entah daripada mana dia mendapat idea cerita, saya pun tak tahu.

Dulu, rumah kami memang ada banyak buku. Abang2 dan kakak2 saya guna buku teks yang dibeli. Sukatan pelajaran pula tak sama antara satu sama lain.

Bila cuti sekolah, kami akan membaca buku2 itu walaupun sudah dibaca beberapa kali, terutama yang ada cerita di dalamnya.

Ada seorang ustaz, dulu adalah bekas pelajar ayah saya. Kini dia menjadi guru kepada saya pula (di masjid) dan guru kepada anak saya (di sekolah).

Semoga Allah memberkati ilmu yang telah disampaikan, dan semoga Allah mengampunkan dosa guru2 kita semua selagi mana mereka berpegang kepada Islam.

Monday, July 11, 2011

Warna kuning

Saya tak ada warna kegemaran. Ada benda yang saya suka kalau warnanya merah, Ada pula yang warna hijau, putih, biru, hitam atau apa saja.

Saya ada 3 helai baju berwarna kuning. 2 helai adalah baju batik kaftan untuk tidur sahaja. Sejuk dipakai. 1 helai kemeja T berkolar. Ia adalah baju yang diperolehi pada satu hari keluarga tempat saya kerja dulu. Kebetulan warna temanya tahun itu ialah kuning.

Walaupun tiada warna kegemaran, saya sebenarnya tak gemar dengan warna kuning. Pertama, kerana warna kuning selalu digunakan oleh bomoh2 dengan amalan khurafat. Ia juga warna kegemaran golongan agamawan yang taksub dengan tokoh2 tertentu seperti wali2 di Indonesia. Bukan salah warna kuning, bukan juga salah si wali itu.

Warna kuning juga dekat dengan tok cha Buddha. Dalam satu seminar, ada yang kata warna kuning hampir dengan penyakit manakala warna biru lebih hampir dengan penawar.

Ada satu hadis Rasulullah yang menyebut Rasulullah tidak gemar dengan warna kekuning-kuningan.

Tetapi peristiwa Sabtu lepas melonjakkan keinginan saya untuk membeli sehelai baju kuning. Tiada logo "Bersih"pun tak apa.

Selepas balik dari Kuantan pada hari Sabtu tersebut, anak saya tiba2 nak pakai baju kuning. Kebetulan rumah sukannya ialah rumah kuning. Walhal sepanjang jalan ke KL, dia asyik bertanya pasal baju kuning kepada neneknya yang kuat UMNO itu. Neneknya bersungguh2 jelaskan, tak boleh pakai baju kuning buat masa ni sebab demonstrasi haram BERSIH yang sebenarnya kotor. Kata neneknya lagi, depa nak buat kerosakan, nak buat kacau bilau dan macam-macam lagi.

Saya tak sambut perbualan anak saya sebab tak mahu cari gaduh dengan mertua. Saya memandu sambil buat tak dengar. Agaknya anak saya macam tak puas hati sebab dia kan rumah kuning. Balik rumah, selepas cuci muka, tangan dan kaki, tiba2 dia pakai baju kuning untuk tidur. Tapi sempat juga di pesan kpd saya, jangan pakai baju kuning, nanti polis tangkap.

Saya cuba terangkan, tak apa. Tapi saya tak mahu kelirukan dia lagi. Dia masih kanak2 lagi. Suatu hari nanti, dia akan faham juga InsyaAllah.