Thursday, May 24, 2007

Harga makanan di Terengganu mahal ?

Aku bercadang nak balik kampung minggu depan, mungkin pada hari Isnin atau Selasa. Anak saudara aku, akan bernikah pada hari Rabu dan kenduri dibuat pada hari Khamis.

Dalam dua hari ni, dah dua kali orang cakap dengan aku, harga makanan bermasak di Terengganu mahal. Entah lah, aku memang jarang beli makanan di kedai atau makan di luar bila balik kampung. Abang iparku yang bekerja di Terengganu sendiri pun kata begitu. Dan pagi semalam, seorang kawan yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan pun kata begitu. Sambil menunjukkan sebungkus nasi lemak yang dibeli di sebuah restoran, katanya, "Ni harga dia 80 sen, kalau kat Terengganu, seringgit, tanpa ikan bilis. Cuma nasi dengan sambal kosong je."

Apa hal dengan negeri ku ? Semua orang berniaga nak untung. Tahun depan khabarnya nak sambut Tahun Melawat Terengganu. Kalau macam ni rungutan orang ramai, cemar lah nama Terengganu. Berpada-padalah mengaut untung. Ni pulak lagi gaji kakitangan kerajaan dah nak naik, pengumuman dah dibuat, cuma belum terima je lagi. Jangan naikkan lagi harga barang sudah la. Makin teruk nanti.