Wednesday, December 17, 2008

Rubik Cube : Ilmu yang hilang

Dulu, saya memang mahir menyelesaikan masalah rubik cube. Saya selalunya dapat menyelesaikan dalam tempoh tak sampai 3 minit. Bukan sahaja rubic cube yang empat segi, yang tiga segi pun saya mahir. Yang tiga segi selalunya lebih mudah dan lebih cepat diselesaikan.

Selepas kahwin, kemahiran saya masih tidak hilang. Saya mula mahir bermain rubik cube sejak usia awal remaja lagi. Selepas agak lama tidak bermain, saya dapati saya masih mahir dengan permainan itu.

Raya Haji baru-baru ini, saya ternampak rubik cube di rumah mak saudara saya. Saya cuba selesaikan. Level 1, okay. Level 2 okay. Level 3, alamak saya dah lupa. Langsung tak tahu macam mana nak selesaikan. Isteri saya tergelak sinis. Dah tua agaknya. Dah mula lupa. Saya rasa, kalau ada rubik cube tiga segi pun, saya tak tahu nak selesaikan. Dulu beberapa tahun selepas kahwin, saya ada beli rubik cube 4 segi dan tiga segi, bertujuan untuk sentiasa bermain supaya kemahiran itu tidak hilang. Tetapi semua dah hilang. Dengan kemahiran saya sekali hilang.

Begitulah iktibarnya. Ilmu bila tidak diamalkan, ia akan menghilang. Maka turunlah darjat seseorang kerana berkurangnya ilmu di dada.

Oleh itu, sentiasalah berdamping dengan orang yang berilmu, berbincang tentang ilmu, menulis dengan ilmu yang ada di dada dan mengulang-ulang membaca bahan bacaan lama supaya ilmu sentiasa lekat di dada. Oh ya, ilmu itu letaknya di dada, bukan di kepala. Hati yang kotor menyukarkan kita menerima ilmu terutama ilmu yang bermanfaat.

Monday, December 15, 2008

Perjalanan balik kampung paling lama

Pada 6hb Disember lepas, saya sekeluarga bertolak pulang ke kampung (dari Ampang, Selangor ke Kuala Terengganu.) Perjalanan biasanya menagmbil masa antara 6 hingga 8 jam, bergantung kepada berapa lama dan berapa kerap berhenti rehat.

Kami bertolak jam 9:30 pagi. Perjalanan lancar hingga ke Kuantan, kecuali selepas tol Bentong. Ramai yang nak ke Kelantan di situ, berlaku sedikit kesesakan.

Di tol Jabor, kedengaran azan daripada handset. Hujan renyai-renyai bermula daripada Temerloh. Saya ambil jalan pantai, maklumlah hujan dan musim banjir. Apa-apa hal, jalan pantai banyak kedai, masjid, surau, rumah dan ramai orang lalu lalang. Kami singgah makan di Chendor, Kuantan.

Jan 2.20 petang, saya teruskan perjalanan. Jalan mula sesak sebaik memasuki Chukai. Kami singgah solat di Meraga Beris. Masuk waktu Asar, kami belum sampai Kijal lagi. Bayangkan 2 jam perjalanan, tak sampai Dungun lagi.

Kami tiba di Paka, jam 6 petang. Saya lalu jalan alternatif melalui Kampung Pak Sabah di Dungun untuk elak kesesakan di Dungun. Pun begitu, perjalanan sesak sebaik keluar jalan Pak Sabah. Jam 8.30 malam,kami baru sampai dekat Tanjung Jara. Bermakna Paka ke Tanjung Jara, 2 jam setengah.

Masuk ke Rantau Abang, baru jalan lancar semula. Kami tiba di KT jam 10 malam. Bermakna perjalanan kami mengambil masa selama 13 jam lebih. Penat sungguh. Perjalanan dari Kemaman ke KT lebih 8 jam. Memang kena banyak sabar. Jalan di Marang pula rosak teruk walaupun baru siap dibina sebelum Sukma 2008. Kalau ye pun musim hujan, takkan teruk macam tu. Siapalah kontraktor yang bertuah itu.

Tapi perjalanan dari KT ke KL pada 10 Disember cuma mengambil masa 6 jam setengah sahaja. Alhamdulillah.

Monday, December 01, 2008

Percutian di Langkawi

Minggu lepas, saya dan keluarga pergi bercuti ke Langkawi selama 3 hari 2 malam. Kami bertolak dengan kenderaan masing-masing (3 kereta drp KL) pada hari Sabtu. Kami bermalam di rumah saudara di Bukit Mertajam.

Esok harinya, kami ke Pulau Pinang, rumah bapa saudara isteri saya dan rumah kakak isteri saya di Gelugor. 11 tengah hari, baru bertolak ke Kuala Perlis. 4 buah kereta berkonvoi.

Di Kuala Perlis, kami letak kereta di parkir berbumbung, RM30 untuk sebuah kereta selama 3 hari. Tambang feri, RM18 untuk dewasa dan RM13 untuk kanak-kanak.

Tiba di jeti Kuah, kami dapat 2 buah van yang agak usang tetapi percuma. Cukup untuk 13 dewasa dan 9 kanak-kanak. Selamat duit kami. Kami ke Apartmen Centuria Resort, Kuah. Kami dah tempah 2 unit apartmen 2 bilik. Percuma. (Sebenarnya kami bayar secara tahunan.) Kami tinggal di tingkat 8. Malamnya, kami buat sambutan hari jadi anak saya secara ringkas. Semua dah kepenatan.

Suasana memang seronok dan riuh. Anak-anak cukup riang. Esok harinya kami ke Underwater world diikuti pula ke Langkawi cable car. Oleh kerana cuaca hujan, kami tak banyak berjalan. Angin yang agak kencang menyebabkan kami terpaksa tunggu sebelum kereta kabel dibuka untuk orang ramai.

Kami sempat membeli-belah di bandar Kuah. Hari ke 3, selepas check-out, kami ke galeri perdana.

Percutian selama 3 hari 2 malam saya rasa tak mencukupi untuk Langkawi. Apa tah lagi hari hujan. kalau tambah sehari lagi baru agak rehat sikit. Tak lah keletihan sangat. Kami tiba semula di KL jam 12:30 malam dan esok harinya, saya dan isteri kembali bekerja. Penat sungguh. Tapi seronok.

Wednesday, November 12, 2008

Pergi Zoo

Hari minggu lepas, saya bawa keluarga pergi zoo.

Tuesday, November 04, 2008

Suatu ketika dulu

Saya amat tertarik bila membaca kisah zaman dulu-dulu yang dipaparkan dalam bentuk komik atau kartun. Karya Budak Kampung Dato Lat contohnya, mahupun karya yang pernah dipaparkan dalam majalah Gila-Gila suatu masa dahulu. Saya dah lama tak baca Gila-Gila.

Alangkah bertuahnya mereka yang berbakat seni dengan kebolehan menceritakan detik masa dulu melalui kartun. Dua hari lepas,saya beli illustrated biography tentang Dr. Mahathir Mohamed. Dipaparkan kisah hidup Tun Dr. M. Tetapi ia dilukis oleh orang lain. Tentu lebih menarik jika ilustrasi itu dibuat sendiri oleh tuan empunya diri. Sayang sekali, saya tiada bakat seperti itu.

Ketika zaman kanak-kanak saya, bulan November begini, iaitu ketika cuti sekolah semakin hampir, pihak sekolah (Sek. Keb. Pulau Rusa) akan mengisi masa murid-muridnya dengan aktiviti persembahan kesenian. Antaranya bacaan puisi, pantun, drama, syair, nasyid dan nyanyian serta tarian. Persembahan akan diadakan pada hari terakhir persekolahan. Jadi latihan akan dibuat terutama pada 2 minggu terakhir persekolahan. Saya tak pernah ponteng sekolah walaupun dah habis periksa.

Saya selalu terpilih untuk buat persembahan. Sejak dalam darjah dua, saya sudah terlibat dengan persembahan. Mungkin kerana abang saya yang sulung, agak dikenali kerana sering terlibat dalam aktiviti kesenian di negeri Terengganu. Dia pernah menyertai pertandingan nasyid kebangsaan melalui kumpulan nasyid Nurul Iman (sebuah kumpulan nasyid UMNO). Penyanyi utamanya ketika itu ialah Hajjah Zaleha Nik (kini ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu). Abang saya sering bermain gambus, gitar atau biola. Dia juga biasa mengiringi kumpulan nasyid ke persembahan Musabaqah Al-Quran di Kuala Lumpur ada masa itu.

Berbalik kepada cerita saya, saya lebih suka melihat lakonan rakan-rakan, sama ada lakonan dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Saya rasa aktiviti seperti ini banyak membantu kanak-kanak aktif dengan aktiviti sihat, meningkatkan penguasaan bahasa dan komunikasi. Teringat saya, sebuah sekolah (Sekolah Menengah di kawasan Manir) yang menghadapi masalah disiplin pelajar akhirnya berjaya mengawal masalah tersebut selepas pelajar-pelajarnya yang nakal dilibatkan dengan aktiviti lakonan drama dan teater. Tetapi saya tak pernah berlakon kecuali menyanyi dan nasyid. Saya pernah menyertai pertandingan nasyid peringkat sekolah Kuala Terengganu Selatan tetapi kalah. Tilawah Al-Quran pun saya masuk, kalah juga. (Tak sedap la tu, sebab tu la kalah).

Bila di sekolah menengah, saya masuk ke sekolah agama. Tiada aktiviti seni di sini. Malah aktiviti seni seakan dipandang negatif. Ada guru yang selalu menyindir majalah gila-gila yang pada masa itu mempopularkan ungkapan "Kalau ada duit, semua boleh jadi". Syirik katanya. Melukis gambar manusia pun dilarang. Sebenarnya, ungkapan itu adalah sindiran kepada masyarakat yang terlalu memandang duit sebagai segala-galanya. Hari ini pun, kalau nak projek, kena bagi duit; nak undi, kena bagi duit. Namun masyarakat kita, kena sindir dan perlipun, buat selamba derk je.

Semasa di Kusza pula, ada kawan-kawan yang selalu sinis dengan lakonan dan nyanyian. Ada pelajar yang sanggup merosakkan arial TV ketika ramai pelajar sedang menonton kerana menganggap menonton TV itu haram. Radio transistor saya pun sering disembunyikan kawan-kawan kerana dianggap melalaikan.

Saya percaya, orang yang anti TV dan radio dulu; hari ini pun ada TV dan radio di rumahnya. Sama ada dia menonton drama, cerita, berita atau hiburan atau hanya mendengar ceramah agama dan alunan Al-Quran seisi keluarga.

Friday, October 31, 2008

Hari Keluarga di Teluk Batik, Perak



Gambar-gambar Hari Keluarga di Teluk Batik, 2008. Kami meninap di Marina Cove Resort. Naik kapal TLDM Sri Inderapura. Kapal ini terlibat dalam misi ke Somalia baru-baru ini. Kami diberi air mineral Kristal keluaran Somalia.

Tuesday, October 21, 2008

Monday, October 20, 2008

Suatu hari di kedai kasut

 

Seronok tengok diri sendiri di cermin.
Posted by Picasa

Sunday, October 19, 2008

Rumahku syurgaku


Inilah rumah saya di Ampang

Saturday, October 18, 2008

Thursday, October 16, 2008

Wednesday, October 15, 2008

Posting


Gambar anak

Tuesday, October 07, 2008

Suatu hari di Hari Raya

Dua hari sebelum raya, isteri saya mahu pagar rumah dicat semula. Memang dah teruk benar rupa tembok pagar rumah saya. Dah 6 tahun pun. Saya dan biras saya (ayah kandung anak saya) pergi beli cat dan peralatan yang perlu.

Petangnya, kami mula bekerja membersihkan tembok batu tersebut. Sehari sebelum raya, isteri saya dan biras saya mula mengecat tembok tersebut dengan cat undercoat. Tengah hari, kami mula mengecat tembok dengan cat baru. Penat dan haus tak terhingga. Cuaca pula panas terik. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga kami sudahkan kerja walaupun tak 100 peratus. Hasilnya memuaskan. Anak-anak saudara turut tolong membantu.

Raya kedua (Khamis), ketika kami bersiap untuk balik kampung, tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita rumah kakak ipar saya (kakak isteri saya) di lorong 6 terbakar. Rumah yang terbakar sebenarnya ialah rumah di belakang rumahnya tetapi kemudian turut merebak ke rumahnya. Nenek yang tinggal bersama kakak nampak trauma dengan kejadian itu. Kebakaran bermula jam 6 pagi. Nasib baik, hanya sebahagian kecil yang rosak. Namun saya menjangka kerugian sekitar 10 ke 15 ribu ringgit. Rumah sebelah kiri dan kanan nampak rosak lebih teruk lagi. Talian 999 tidak berjawab. Semua sedang bercuti agak nya. Nasib baik, talian 994 masih berfungsi dan bersambut pula. Seorang penyewa rumah tersebut warga Indonesia terkorban dalam kebakaran itu.

Saya balik juga ke kampung pada hari tersebut selepas semuanya nampak mulai reda. Saya hanya sehari di Terengganu. Hari Sabtu dah balik ke KL. Sehari di Terengganu memang tak cukup. Sekurang-kurangnya 6 buah rumah adik beradik dan bapa/ibu saudara mesti dikunjungi. Mak pula tak sihat. Matanya sudah tak nampak dan telinganya sudah tak dengar. Dengan menggunakan alat bantuan pendengaran, bolehlah dengar sikit-sikit. Itu pun kena cakap dekat telinganya. Mak dah tak boleh masak. Anak dan cucu lah yang membantu semuanya. Nak beraya di Terengganu bukan untuk seronok-seronok macam dulu. Kami balik kerana mak. Biarlah kami tak seronok dan tak meriah. Yang penting dapat jumpa mak.

Jalan di Terengganu pula asyik sesak saja di musim perayaan sebegini. Hari Sabtu, orang Terengganu dah sibuk nak hantar anak ke asrama. Jadi hari Jumaat dah balik ke rumah masing-masing. Kakak yang tinggal di Kuantan juga balik pada hari Jumaat kerana anaknya nak balik ke asrama pada hari Sabtu atau Ahad. Anak yang dah kerja juga kena balik pada hari yang sama. Semua kena balik cepat. Mak menangis sedih bila diberitahu anak-cucu dah nak balik. Sebelum ini, mak tak pernah menangis bila anak-cucu balik ke rumah masing-masing. Saya turut tak dapat menahan sebak. Anak mana yang tak sedih bila melihat air mata ibunya mengalir.

Kami bertolak jam 3.30 petang ke KL. Singgah di Chendering, ambil anak saudara. Jalan pula sesak di Ajil. Hujan turun hampir sepanjang perjalanan sampai ke KL. Kami tiba di KL jam 12 tengah malam.

Alhamdulillah, selamat walaupun letih. Raya kali ini banyak suka dukanya. Sebab itu saya mahu simpan dalam blog ini sebagai memori.

Monday, September 22, 2008

Demam di Ramadhan 1429 (2008)

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tiba-tiba, pada 15 Ramadhan tahun ini, aku terkena demam panas. Agak teruk juga kali ini, berbanding demam Ramadhan tahun-tahun dulu.

Walaupun cuba untuk bertahan, namun tertewas juga akhirnya. Kalau demam sehari dua, mungkin mampu lagi bertahan. Tetapi bila demam hingga 3 hari masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu reda, terpaksalah berkorban juga.

Maka tahun ini, aku telah miss puasa 1 hari dan miss terawikh 4 malam. Bila terlantar sakit, apa yang anda buat ? Membaca tak larat, tidur tak lena, makan tak lalu, menatap pc tak larat, tengok tv pun tak mahu. Termenung je dan terkenang-kenang masa lalu.

Thursday, April 17, 2008

Bapa mertua sakit

Berak dan kencing pun sebenarnya satu nikmat. Biasanya, bila disebut nikmat, kita membayangkan sesuatu yang menyeronokkan, memberi kepuasan dan kita mahukan begitu, lagi dan lagi berulang-ulang. Tidak puas atau tidak cukup hanya sekali.

Saya pernah mendengar kuliah Ustaz Shamsuri Ahmad dalam kasetnya, bagaimana bila seorang yang ditimpa penyakit, tak dapat kencing. Betapa azabnya menanggung sakit. Terpaksa dibawa ke hospital. Bila doktor memasukkan tiub, alangkah sakitnya. Dan bila air kencing berjaya keluar, alangkah nikmat dan leganya.

Semalam, bapa mertua saya pula terpaksa dimasukkan ke wad dan dioperate kerana tak dapat berak. Mungkin lucu bunyinya tetapi bagaimana kalau kita atau saudara mara kita yang menanggungnya. MasyaAllah. Begitulah nikmat dan rahmat Allah yang kita perolehi hari ini sering kita lupakan.

Aku hanya mampu berdoa semoga Allah menjauhkan sebarang musibah dan ujian yang tak tertanggung oleh kami. Semoga bapak cepat sembuh.

Tuesday, April 01, 2008

Monday, March 31, 2008

Lima hari balik kampung

Hari 1
----------

Selasa, 25 Mac 2008, aku bergegas balik kampung. 8:30 pagi, isteri aku belikan tiket bas Maraliner. Jam 10 pagi, bas bertolak ke KT. Balik sendirian keseorangan bukanlah pilihan aku. Aku lebih suka balik dengan anak dan isteri. Mak aku dilaporkan sakit dan sudah dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Nur Zahirah (HTNZ). Aku balik secara kecemasan dan tidak pasti berapa lama akan berada di kampung. Aku boleh cuti berapa lama nak cuti tapi tidak bagi isteriku yang bekerja dengan kerajaan.

Setiba di KT, aku terus turun depan hospital dan naik ke wad 8. Di sana, ada Ayah Su dan Cu, Che De dan adik aku Zainal. Mak tak larat nak buka mata dan bercakap pun. Bila dia celik mata, dia tak nampakpun anak lelaki ke 4 nya ada depan dia. Hanya tahu selepas diberitahu. Ramai juga yang datang melawat Mak petang ni.

Di rumah, tak ada sesiapa kecuali aku dan adik aku. Adik pula sibuk berulang alik ke hospital. Malam tu, Che De tolong jaga mak. Makanan tak ada kat rumah. Hanya ada tumis udang yang dah basi. Makan je nasi dengan sayur. Baru tahu peritnya hidup tanpa isteri di sisi.

Hari ke 2
----------

Pagi, Abang Zaimi dah balik dari JB. Pun balik seorang dengan bas. Anak-anak dia sekolah. Isterinya pun mengajar.

T/hari, kami bertiga ke HTNZ. Mak nampak lebih baik selepas dimasukkan air empat botol. Makan pun dah mula berselera sikit. Ayah Teh tiba dengan anaknya yang lelaki (baru lepas SPM). Abang Zaimi tunggu sampai petang.

Petang, Abang Zahari pula sampai dengan 2 orang anaknya yang belum bersekolah. Dia baru sampai pukul 2 pagi tadi dari Johor. Dia akan mula kerja di Terengganu semula mulai 15 April ini. Empat anak lelaki Mak ada depan Mak. Mak nampak lebih sihat. Makan pun berselera. Ramai orang datang melawat Mak petang ni. Suara Mak dah boleh didengar pada jarak yang agak jauh, tanda dia gembira dan makin sihat.

Hari ke 3
----------

T/hari, Mak Teh tunggu mak. Doktor dah benarkan mak balik walaupun mak masih perlu bantuan untuk ke bilik air. Kami bawa mak balik pada jam 3 petang.

Petang, Abang Zahari sekeluarga balik dari bandar AMBS. Kak Har (anak perempuan ke 3) jaga mak malamnya. Bila ada Kak Har dan Kak Nah (isteri abang Zahari), makan minum tidak menjadi masalah lagi. Yang penting makan minum Mak terjaga. Malamnya, Abang Zaimi balik semula ke JB.

Hari ke 4
----------

Abang Zahari sekeluarga balik ke AMBS pada malamnya. Aku dah beli tiket bas untuk balik ke KL esok. Mak masih lemah tetapi beransur sihat. Yang penting dia dah berselera untuk makan dan tidak lupa makan ubat. Kesihan Mak tinggal sorang-sorang. Anak lelakinya yang bongsu kerja tak tentu masa. Siang malam kerja. Tinggal lah mak sendirian. Aku bila sendirian kat kampung pun dah rasa sunyi sangat. Kalau setiap hari macam tu, mahu akupun jatuh sakit.

Hari ke 5
----------

Aku bertolak ke KL dengan bas Maraliner juga. Sengaja ambil bas pagi sebab aku tak tahan sejuk waktu malam. Ada perempuan muda, cantik di kerusi sebelah kiri. Aku duduk sorang-sorang di sebelah kanan. Nasib baik aku tak tergoda. :)

Monday, March 17, 2008

Gambar di Kuantan


Bukan keris UMNO


BERITA HARIAN - 17 Mac 2008
---------------------------
MELAKA: Kehilangan 14 senjata lama termasuk lapan keris antik, tiga keris biasa dan tiga pucuk pistol Portugis yang disimpan di dalam peti kaca di Muzium Sejarah dekat sini, pagi kelmarin, kemungkinan besar turut membabitkan 'orang dalam'.


Hujung minggu lepas, aku dan keluargaku ke Kuantan, menziarahi seorang saudara yang sakit. Dalam kesempatan itu, kami ke pantai Teluk Chempedak. Ketika itu air surut. Kami terjumpa sebilah keris hampir tertimbus didalam pasir. Keris bersarung itu tentulah bukan keris Umno (sebab keris Umno tak bersarung). Sarung dan hulunya nampak baru. Aku petik gambarnya. Kami tak usik keris tu, takut entah ada sesiapa yang buang saka kat situ. Orang melayu ni kan masih ada yang amal ilmu sihir.

Thursday, February 14, 2008

Pilihan raya ke 12

Parlimen Malaysia telah dibubarkan semalam selepas mendapat perkenan YDP Agong. Hari ini, SPR telah memutuskan hari penamaan calon ialah pada 24 Februari dan pilihan raya akan diadakan pada 8 Mac, 2008.

Semua orang mengulas pasal pembohongan seorang Perdana Menteri yang baru sehari sebelumnya menafikan pembubaran parlimen. Pak Lah yang digelar secara sinis sebagai Imam Hadhari menjelaskan, beliau terpaksa berbohong kepada media dan rakyat kerana belum mendapat perkenan YDP Agong.

Mungkin beliau terlupa hendak mengucapkan Insya Allah sebagaimana terkandung dalam Al-Quran, surah Al Kahfi ayat 24. Bukan susah pun. Paling tidak, boleh dijawab no comment atau Wallahu A'lam. Apa salahnya rakyat dapat meneka sehari lebih awal. Kalau tak dapat perkenanpun, semua orang tahu itu hak YDP Agong. Sejarah di Malaysia telah membuktikan Agong tidak pernah cenderung untuk campur tangan dalam soal politik kecuali ada alasan yang sangat kuat untuk berbuat begitu. Setakat ini alasan yang kuat itu belum terjadi.

Akhir kata, kembalilah kepada Al-Quran, petunjuk orang-orang yang bertaqwa.

Tuesday, February 12, 2008

Nak pitam

Hari minggu yang lepas, aku bawa anak aku Farah bermain-main di taman permainan KLCC. Kami tiba agak lewat, lebih kurang jam 11 pagi dan cuaca pun dah panas. Aku temankan anak aku bermain-main di kawasan yang agak teduh, namun bahang panas tetap terasa.

Selepas kira-kira sejam bermain, kami nak balik. Anak aku teringin pula nak bermain buaian. Aku tunggu di sebelahnya. Tiba-tiba ada seorang kanak-kanak berbangsa India jatuh daripada buaian. Sebelum tu, memang dia bermain dengan cara yang agak berbahaya, laju dan tinggi. Aku pula berasa sangat bimbang melihat anak India tersebut, nampak kesakitan seolah-olah berlaku kecederaan dalaman, menyebabkan mata aku mula berpinar-pinar nak pitam.

Aku cuba kawal diriku, duduk perlahan-lahan sambil beri isyarat kepada isteriku. Isteriku cuba tenangkan aku dan mengajak aku duduk dibangku berdekatan. Sejurus kemudian, aku tak dapat kawal keadaan dan terpaksa berlari ke longkang berdekatan. Selepas kira-kira 10 minit di situ, kami berpindah ke bangku lain yang lebih teduh. Selepas rasa agak lega sedikit, kami beransur pulang. Alhamdulillah aku tak pitam terus kat situ dan boleh memandu pulang dengan selamat.

Thursday, January 31, 2008

Drill

Dah lama terfikir nak beli alat drill, aku nekad walaupun ekonomi aku belum stabil, aku beli juga kat Carrefour Wangsa Maju. RM169 aku belanjakan untuk beli drill jenama Black & Decker.

Pertama kali guna alat drill, memang tak ada skill. Dulu kat kampung guna gerudi untuk gerudi kayu je atau disebut juga putarlela untuk korek kayu. Mudah je. Cuma perlu tenaga yang kuat. Orang kenger macam aku ditambah pula dengan skill yang kurang, memang akan menyebabkan hasil kerja yang sedikit kurang sempurna. Bukan cacat, cuma kurang kemas.

Tapi berhasil juga dan hasilnya berjaya. Lepas ni, banyak lagi nak korek lubang. Nak gantung gambar, jam dan macam-macam lagi. Tunggulah hari cuti nanti, boleh lah buat.

Thursday, January 24, 2008

Friday, January 18, 2008

Papa tak nak pergi masjid ke ?

Bila azan kedengaran, anak aku akan bertanya, "Papa tak nak pergi masjid ke ?", terutama bila aku nampak masih leka dengan surat khabar atau menonton tv.

Sesekali terasa nak bawa dia ke masjid. Tapi dia perempuan dan masih kecil lagi. Dia memang suka ke masjid. Setiap kali balik kampung, kami selalu juga singgah bersolat di masjid.

Walaupun masa aku bersama dia hanya lebih kurang sejam setengah setiap hari bekerja, aku cuba manfaatkan sepenuhnya masa yang berharga itu. Baca buku cerita, tonton tv, main komputer atau berbual-bual dengan dia. Bila waktu tidur, dia suka kalau didodoikan dengan selawat.

Thursday, January 17, 2008

Bukan nak jadi lebai

Nak jadi baik bukannya susah. Tapi nak istiqamah dengan kebaikan itu yang susah. Berperang dengan hawa nafsu bukan semudah bercakap.

Tahun baru Hijrah kali ini disambut hampir sama dengan tahun baru masihi. Tahun depan lebih hampir lagi. Hanya berbeza 2-3 hari. Aku masih ingat lagi ketika tahun hijrah disambut hampir serentak dengan tahun masihi iaitu pada tahun 1980 (1400 Hijrah). Ada duit syiling kenangan dikeluarkan olh Bank Negara Malaysia. Oleh kerana pada masa itu, aku mempunyai hobi mengumpul syiling kenangan selain mengumpul setem, aku turut tidak melepaskan peluang mengumpul duit kenangan tersebut. Umur aku masa itu ialah 12 tahun.
Mengumpul setem dan duit kenangan banyak membantu aku mengingati peristiwa bersejarah seperti itu.

Tahun ini, Alhamdulillah aku sambut tahun baru di masjid. Aku ni bukan dalam kategori orang yang suka memakmurkan masjid. Baru dalam proses ke arah itu. Walaupun aku dididik oleh Allahyarham ayahandaku supaya selalu berjemaah di surau. Sejak dari kecil hingga dihantar pula ke sekolah agama. Kalau waktu maghrib, kami anak beranak dilarang sama sekali menonton tv. Kalau tv masih terpasang, ayahanda akan terus tutup tanpa sepatah kata dan kami hanya mampu diam walau penting mana pun siaran pada waktu itu. Walaupun bukan rancangan hiburan. Waime azan sekalipun, tv mesti ditutup.

Tapi iman tak boleh diwarisi. Aku semakin lalai. Belajar di sekolah agama memaksa aku berjemaah lima kali sehari. Imamnya hebat-hebat belaka. Tapi kenakalan waktu remaja terus menghanyutkan aku.

Di KL, aku teringat-ingat didikan yang pernah aku terima sepanjang 17 tahun pertama umurku. Sesekali aku cuba menghampirkan diri dengan masjid dan majlis ilmu di masjid atau surau.

Bukan nak jadi lebai, cuma nak jadi lebih baik daripada semalam. Tahun ini, umurku dah mencecah 40 tahun (ikut kalendar masihi, setakat hari ini belum lagi; tapi ikut kalendar hijrah, dah tentunya lebih 40). Dah ada isteri dan anak. Kemana nak dididik anak dan isteri. Sedangkan arwah ayahanda begitu berusaha mendampingkan anak-anaknya dengan masjid dan surau, pun masih nakal dan lalai. Bagaimana pula aku dengan anakku ?

Semoga tahun ini aku dapat dekatkan diri semula kepada masjid. Dan yang lebih penting ialah istiqamah dengan kebaikan.

Wednesday, January 02, 2008

Air

Air sangat penting untuk hidupan.

Negara Malaysia memang dikurniakan dengan iklim panas dan lembap, dengan hujan sepanjang tahun. Bermakna Malaysia, bumi bertuah ini dikurniakan dengan air yang banyak, rezeki yang banyak. Tapi ini bukan bermakna masalah air tidak berlaku di Malaysia.

Kampung tempat tinggal aku sekarang iaitu Kampung Melayu Ampang tidak terkecuali daripada mengalami masalah air. Tekanan air rendah menyebabkan kami mengalami masalah untuk mendapatkan air. Pernah ketika hari raya, kami hadapi masalah air.

Mandi pula sebahagian daripada perkara wajib dalam Islam. Bukan wajib diamalkan setiap hari tetapi wajib pada masa tertentu. Kadang-kadang ia menjadi sunat. Bila ada masalah air, perkara wajib menjadi tergendala. Ibadah lain turut terjejas sedangkan manusia dijadikan Allah untuk beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah.

Mahu tak mahu, kami perlu laburkan sedikit wang untuk selesaikan masalah air. Kalau tak selesai sepenuhnya, sekurang-kurangnya kami berusaha selesaikan mengikut kemampuan kami. Lalu kami beli tangki tambahan dan pam air.

Pam air bukan perkara baru bagi aku. Aku dah biasa guna pam air sejak tahun 70an lagi di kampung, di Terengganu. Bezanya dulu air dipam dari perigi ke tangki. Daripada pam Hitachi, Panasonic dan Hitachi semula. Semuanya memuaskan sebelum ianya rosak selepas tempoh tertentu. Penggunaan elektrik dengan pam air nyata lebih menjimatkan berbanding bil air. Lebih menguntungkan lagi, air yang dibekalkan JBA Terengganu (kini SATU - Syarikat Air Terengganu) payau setiap kali tiba musim kemarau.

Dengan kos hampir RM4 ribu, akhirnya rancangan aku sejak sekian lama tercapai juga walaupun menggunakan wang isteriku. Pam jenama Wilo pada mulanya bermasalah selepas beberapa hari digunakan kerana voltage yang tidak stabil. Namun kini sudah berfungsi dengan baik. Air ditapis masuk ke tangki sebelum dipam ke rumah. Sekurang-kurangnya kami ada backup air bila berlaku masalah bekalan air. Tangki 1 ribu liter mampu bertahan sehari jika penggunaannya dijimatkan. Tekanan air kini sentiasa mencukupi.

Baru puas mandi.