Tuesday, December 16, 2014

Musim hujan lagi

Kampung saya tak ada sawah padi. Pulaulah kata kan.

Tapi semasa kecil, selalu juga kami pergi ke baruh (tanah sawah atau bekas sawah) di kampung2 berhampiran untuk mencari ikan pelaga yang disebut ikan sekilau. Sekarang semuanya dah jadi tapak rumah dan tapak perniagaan.

Menu lazim pada musim hujan ialah telur masin atau ikan kering masin. Ayahanda suka ikan plata masin. Makanan pada musim hujan selalunya mahal. Harga ikan sangatlah mahal. Lagi pun makanan laut tidak segar. Penggunaan peti sejuk dikalangan peniaga tidak banyak. Rumah2 kampung lagi lah tak ada peti sejuk.

Kami jarang makan ayam kecuali kalau ada kenduri kendara. Telur juga jarang dimakan. Kalau makan pun cuma telur itik sebab ia besar. Telur ayam kampung kecik2.

Untuk sarapan, kamu biasa dengan ubi rebus. Ubi kayu atau ubi stela (keledek). Kadang2 pisang rebus sahaja.

Ketika kecil, saya sempat merasa guna dapur kayu. Pada musim hujan, kayu jadi lembap. Sabut2 pun lembap. Nak hidupkan api payah, kena tiup guna corong buluh atau corong lampu yang dah tak digunakan lagi. Asap berkepul2 ke dalam rumah.

Minyak masak membeku, disebut minyak  tidur. Ketika itu, hanya minyak kelapa digunakan. Minyak sawit belum dikomersilkan. Cuaca sangat sejuk.

Bumbung rumah pun bocor di sana-sini. Ayahanda baiki sendiri sebab cuti sekolah, aktiviti guru waktu itu direhatkan.

Musim hujan, orang tak memilih makanan sangat. Semua jadi sedap sebab lapar dan duk berkurung di rumah saja. Mujurlah ayahanda ada pendapatan tetap. Kalau yang ke laut atau bertani atau bertukang, payah lah nak cari makan musim hujan. Kasihan. Dapatkah dibayangkan bagaimana kesusahan rakyat waktu itu ?

Tuesday, August 05, 2014

Antara duku, dokong dan langsat

Pokok duku belakang rumah saya (kini rumah adik saya) di kampung kini sedang lebat berbunga.

Masa saya kanak2, tahun 70an, kami kerap mengutip bunga2 duku yang berguguran, diikat pada benang dan dijadikan gelang tangan atau rantai. Sudah tentu, ia permainan orang perempuan tetapi masa tu saya masih kecil yang hanya menumpang permainan kakak2 yang lebih senior.

Ketika itu, pokok duku berbuah setiap tahun. Harga duku juga agak mahal kerana pokok duku tumbuh sendiri meliar, bukan diusahakan secara ladang. Buah duku mudah terlerai dari tangkai. Rasanya sangat manis. Bila tiba musimnya, ada yang pajak pokok yang berputik lebat. Memang menguntungkan. Pagi2, kami kutip buah duku yang luruh sendiri.

Selain buah duku, ada juga buah langsat. Pokoknya juga tinggi macam pokok duku tetapi kulitnya agak bergetah bila dikupas. Rasanya sedikit masam berbanding duku segar yang manis semata-mata.
Buah langsat terlekat erat pada tangkainya. Kadang2 sampai buah itu busuk atau buruk pun masih terlekat pada tangkai.

Buah dokong hanya saya kenali selepas tahun 80an atau 90an. Ia dikatakan dibawa daripada siam, pokoknya rendah berbanding pokok langsat, boleh dipetik dengan mudah dan banyak diusahakan secara ladang.

Rasa dokong menyerupai langsat, rupanya juga menyerupai langsat. Buahnya tak mudah terlerai dari tangkai, sama seperti langsat. Cuma kulitnya sedikit tebal, tetapi masih nipis berbanding duku Terengganu. Bagi orang tua2, dokong sebenarnya ialah langsat.

Di pantai barat, duku dikenali sebagai duku langsat atau duku Terengganu. Manakala buah duku pula berkulit tebal, di Terengganu ada yang panggil duku hutan atau duku Johor. Rasanya tak semanis duku Terengganu.

Seorang sahabat saya dari Perak pernah datang ke rumah saya pada tahun 90 dan terkejut dengan rasa buah duku segar depan rumah saya yang sangat manis. Dia kata, boleh kena kencing manis kalau macam ni.

Akhir2 ini, buah duku tidak begitu menjadi di kampung saya yang sememangnya terkenal dengan buah duku sejak saya kecil. Mungkin pokok dah tua. Mungkin sebab tiada banjir air sungai yang boleh menyuburkan pokok. Mungkin sebab banyak rumah dibina menyebabkan suhu semakin meningkat dan tidak sesejuk dulu. Bawah pokok pula, kenderaan lalu lalang atau jadi tempat parking. Ini menyebabkan akar pokok tidak sihat berbanding dulu, penuh semak samun menjadikan pokok lebih sihat.

Harga duku pula sudah jatuh kerana ada yang berjaya mengusahakan secara ladang. Selalunya, pengusaha ini adalah orang2 cina. Orang melayu hanya mengharap duku liar sahaja.

Kini, pokok dedalu banyak tumbuh menumpang pada pokok  duku. Ini menyebabkan pokok duku sakit dan mati.

Dulu banjir berlaku setiap tahun dan menjadi pesta yang menyeronokkan. Ia menjadikan bumi subur dan mencegah pembiakan anai-anai.
(saya yang paling kecik dalam perahu tu)

Friday, April 18, 2014

Amal soleh


Apabila seseorang anak adam( manusia ) meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari 3 hal iaitu,

1. Sedekah yang mengalir ( jariah ),
2. Ilmu yang bermanafa'at, dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Dalam bab menghadiahkan bacaan Al Quran kepada si mati, saya sentiasa yakin tanpa niat sedekahpun, ia pasti sampai kepada guru yang mengajar kita itu.

Antara guru saya yang mengajar saya Al Quran ialah ibu saya, ayahanda saya, nenek saya, ibu saudara saya, ustaz2 dan ustazah, juga guru2 alQuran di surau dan masjid. Banyak atau sedikit saya mengaji dengan mereka, itu bukan ukurannya kerana itu adalah urusan Allah. Allah menilai daripada berbagai sudut termasuk keikhlasan dan sebagainya. Apa yang penting saya percaya setiap kali saya membaca Al Quran, maka pahalanya pasti sampai kepada mereka, In sya Allah.

Kadang2 bila bersedekah, juga saya sentiasa niatkan untuk kedua ibu bapa saya. Ada ustaz mengatakan sama ada kita doakan secara terus, atau pun hanya sekadar beramal soleh sahaja, pahala itu tetap akan sampai kepada kedua ibu bapa kita khususnya (In sya Allah).

Tetapi kalau kita buat maksiat, dosa itu tidak ditanggung oleh kedua ibu bapa kita kerana dosa seseorang tidak akan ditanggung oleh pihak lain kecuali dirinya sendiri seperti disebut dalam Al Quran.

Anak yang tidak solat atau tidak menutup aurat misalnya tidak akan membawa ibu bapanya bersama ke neraka kecuali ibu bapa itu sendiri tidak pernah mentarbiyahkan si anak atau membiarkan dengan sengaja tanpa tidakan yang sewajarnya.

Oleh itu, perbanyakkan lah amalan soleh. Ia bukan hanya bermanfaat kepada kita tetapi juga kepada orang yang kita kasihi iaitu kedua ibu bapa (dan suami atau wali iaitu orang yang bertanggung jawab ke atas kita).