Monday, February 07, 2011

CNY 2011 - Beratus kenderaan tersadai di Genting Sempah

Semalam, bertolak dari rumah di KT jam 10 pagi. Singgah beli keropok di Losong, singgah lagi beli sata di Marang, tambah kesesakan sana sini sepanjang jalan di Terengganu (lalu jalan pantai), sampai di masjid geliga jam 2 petang. Selepas makan dan solat, bergerak pula ke Kuantan, singgah di Kuantan jam 4 petang. Dari KT ke Kuantan selama 6 jam sudah dikira tempoh yang sangat panjang dan meletihkan.

Jam 5 petang, bergerak pula ke KL. Anak nak sangat singgah makan di R&R. Saya pilih R&R Temerloh. Jalan mula sesak di Lancang sejauh 8 - 10 KM sebelum tol Karak.

Selepas tol, jalan ok sekejap sebelum sesak semula sejauh 10 - 15 KM sebelum tol Bentong.

Selepas tol Bentong, tiada tanda kesesakan berakhir. Mula niat jamak ta'khir sebab tak ada harapan sempat solat jamak taqdim.

Sepanjang jalan hingga ke terowong Genting Sempah, jalan sesak yang amat sangat. Beratus2 kenderaan rosak di laluan kecemasan, laluan tengah malah laluan laju juga. Bayangkan, bukan berpuluh lagi malah beratus. Punya teruk nya kesesakan. Ditambah dengan jalan yang menaiki bukit. Mana boleh nak tolak kereta ke tepi, tolak ke depan naik bukit, tolak ke belakang lawan arus.

Alhamdulillah, kereta saya yang dah dalam kategori kereta tua tak buat hal. Kesian kepada keluarga besar dalam kereta lain. Ada yang dipenuhi kanak-kanak, ada yang bawa baby. Bayangkan kalau kerosakan berlaku. Yang lelaki, nak terkencing, pergi je ke longkang lebuhraya, yang perempuan ? Yang dari KL nak datang beri bantuan pun pasti terperangkap juga. Khabarnya, pagi ini, masih banyak kenderaan rosak yang tersadai di tepi lebuhraya. Ada yang bermalam di tepi lebuhraya sahaja.

Ini pengalaman pertama saya melihat kesesakan sebegini teruk di lebuhraya Karak. Saya bercadang singgah solat di R&R Genting Sempah tetapi laluan ditutup. Terpaksa teruskan perjalanan. Anehnya, selepas terowong, jalan menjadi lancar hingga ke Ampang.

Saya tak singgah solat di mana2 sebaliknya solat jamak ta'khir di rumah. Saya sedar, sepatutnya kena buat di luar mukim supaya kekal dalam perjalanan tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tidak manasabah untuk saya singgah di R&R Gombak semata2 untuk solat jamak ta'khir, kena que untuk ke tandas sedang kita tengah dok tahan daripada tadi lagi. Anak pula dah tidur. Tak kan nak kena kejutkan dia untuk kita turun solat. Esok dia nak sekolah. Jam sudah hampir pukul 11 malam.

Saya ijtihad sendiri. Saya sedar, Islam tidak menyusahkan umatnya. Saya teringat sebuah hadis riwayat Muslim bahawa nabi s.a.w. pernah solat jamak tanpa apa2 sebab, hanya sekali sahaja. Ulama mentafsirkan bahawa baginda bertujuan menunjukkan kepada umatnya, bahawa boleh solat jamak, tetapi tidak boleh menjadi amalan.

Dalam keadaan seperti saya di atas, sudah boleh dikira darurat. Bukan menjadi amalan saya solat jamak di rumah. Namun dalam masalah di atas, solat di rumah nyata lebih selesa, khusyuk dan saya tidak menyusahkan anak dan isteri saya. Selalunya, saya akan cuba singgah di mana2 untuk solat dalam perjalanan. Cuma saya tak buat jamak qasar sebab saya yakin, qasar hanya untuk yang dalam perjalanan sahaja sedangkan saya sudah sampai di rumah. Jamak tak semestinya untuk musafir.

Sesampai di rumah, saya tidak bertangguh lagi, terus mandi dan solat. Semoga Allah mengampunkan saya jika saya salah.

No comments: