Thursday, January 31, 2008

Drill

Dah lama terfikir nak beli alat drill, aku nekad walaupun ekonomi aku belum stabil, aku beli juga kat Carrefour Wangsa Maju. RM169 aku belanjakan untuk beli drill jenama Black & Decker.

Pertama kali guna alat drill, memang tak ada skill. Dulu kat kampung guna gerudi untuk gerudi kayu je atau disebut juga putarlela untuk korek kayu. Mudah je. Cuma perlu tenaga yang kuat. Orang kenger macam aku ditambah pula dengan skill yang kurang, memang akan menyebabkan hasil kerja yang sedikit kurang sempurna. Bukan cacat, cuma kurang kemas.

Tapi berhasil juga dan hasilnya berjaya. Lepas ni, banyak lagi nak korek lubang. Nak gantung gambar, jam dan macam-macam lagi. Tunggulah hari cuti nanti, boleh lah buat.

Thursday, January 24, 2008

Friday, January 18, 2008

Papa tak nak pergi masjid ke ?

Bila azan kedengaran, anak aku akan bertanya, "Papa tak nak pergi masjid ke ?", terutama bila aku nampak masih leka dengan surat khabar atau menonton tv.

Sesekali terasa nak bawa dia ke masjid. Tapi dia perempuan dan masih kecil lagi. Dia memang suka ke masjid. Setiap kali balik kampung, kami selalu juga singgah bersolat di masjid.

Walaupun masa aku bersama dia hanya lebih kurang sejam setengah setiap hari bekerja, aku cuba manfaatkan sepenuhnya masa yang berharga itu. Baca buku cerita, tonton tv, main komputer atau berbual-bual dengan dia. Bila waktu tidur, dia suka kalau didodoikan dengan selawat.

Thursday, January 17, 2008

Bukan nak jadi lebai

Nak jadi baik bukannya susah. Tapi nak istiqamah dengan kebaikan itu yang susah. Berperang dengan hawa nafsu bukan semudah bercakap.

Tahun baru Hijrah kali ini disambut hampir sama dengan tahun baru masihi. Tahun depan lebih hampir lagi. Hanya berbeza 2-3 hari. Aku masih ingat lagi ketika tahun hijrah disambut hampir serentak dengan tahun masihi iaitu pada tahun 1980 (1400 Hijrah). Ada duit syiling kenangan dikeluarkan olh Bank Negara Malaysia. Oleh kerana pada masa itu, aku mempunyai hobi mengumpul syiling kenangan selain mengumpul setem, aku turut tidak melepaskan peluang mengumpul duit kenangan tersebut. Umur aku masa itu ialah 12 tahun.
Mengumpul setem dan duit kenangan banyak membantu aku mengingati peristiwa bersejarah seperti itu.

Tahun ini, Alhamdulillah aku sambut tahun baru di masjid. Aku ni bukan dalam kategori orang yang suka memakmurkan masjid. Baru dalam proses ke arah itu. Walaupun aku dididik oleh Allahyarham ayahandaku supaya selalu berjemaah di surau. Sejak dari kecil hingga dihantar pula ke sekolah agama. Kalau waktu maghrib, kami anak beranak dilarang sama sekali menonton tv. Kalau tv masih terpasang, ayahanda akan terus tutup tanpa sepatah kata dan kami hanya mampu diam walau penting mana pun siaran pada waktu itu. Walaupun bukan rancangan hiburan. Waime azan sekalipun, tv mesti ditutup.

Tapi iman tak boleh diwarisi. Aku semakin lalai. Belajar di sekolah agama memaksa aku berjemaah lima kali sehari. Imamnya hebat-hebat belaka. Tapi kenakalan waktu remaja terus menghanyutkan aku.

Di KL, aku teringat-ingat didikan yang pernah aku terima sepanjang 17 tahun pertama umurku. Sesekali aku cuba menghampirkan diri dengan masjid dan majlis ilmu di masjid atau surau.

Bukan nak jadi lebai, cuma nak jadi lebih baik daripada semalam. Tahun ini, umurku dah mencecah 40 tahun (ikut kalendar masihi, setakat hari ini belum lagi; tapi ikut kalendar hijrah, dah tentunya lebih 40). Dah ada isteri dan anak. Kemana nak dididik anak dan isteri. Sedangkan arwah ayahanda begitu berusaha mendampingkan anak-anaknya dengan masjid dan surau, pun masih nakal dan lalai. Bagaimana pula aku dengan anakku ?

Semoga tahun ini aku dapat dekatkan diri semula kepada masjid. Dan yang lebih penting ialah istiqamah dengan kebaikan.

Wednesday, January 02, 2008

Air

Air sangat penting untuk hidupan.

Negara Malaysia memang dikurniakan dengan iklim panas dan lembap, dengan hujan sepanjang tahun. Bermakna Malaysia, bumi bertuah ini dikurniakan dengan air yang banyak, rezeki yang banyak. Tapi ini bukan bermakna masalah air tidak berlaku di Malaysia.

Kampung tempat tinggal aku sekarang iaitu Kampung Melayu Ampang tidak terkecuali daripada mengalami masalah air. Tekanan air rendah menyebabkan kami mengalami masalah untuk mendapatkan air. Pernah ketika hari raya, kami hadapi masalah air.

Mandi pula sebahagian daripada perkara wajib dalam Islam. Bukan wajib diamalkan setiap hari tetapi wajib pada masa tertentu. Kadang-kadang ia menjadi sunat. Bila ada masalah air, perkara wajib menjadi tergendala. Ibadah lain turut terjejas sedangkan manusia dijadikan Allah untuk beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah.

Mahu tak mahu, kami perlu laburkan sedikit wang untuk selesaikan masalah air. Kalau tak selesai sepenuhnya, sekurang-kurangnya kami berusaha selesaikan mengikut kemampuan kami. Lalu kami beli tangki tambahan dan pam air.

Pam air bukan perkara baru bagi aku. Aku dah biasa guna pam air sejak tahun 70an lagi di kampung, di Terengganu. Bezanya dulu air dipam dari perigi ke tangki. Daripada pam Hitachi, Panasonic dan Hitachi semula. Semuanya memuaskan sebelum ianya rosak selepas tempoh tertentu. Penggunaan elektrik dengan pam air nyata lebih menjimatkan berbanding bil air. Lebih menguntungkan lagi, air yang dibekalkan JBA Terengganu (kini SATU - Syarikat Air Terengganu) payau setiap kali tiba musim kemarau.

Dengan kos hampir RM4 ribu, akhirnya rancangan aku sejak sekian lama tercapai juga walaupun menggunakan wang isteriku. Pam jenama Wilo pada mulanya bermasalah selepas beberapa hari digunakan kerana voltage yang tidak stabil. Namun kini sudah berfungsi dengan baik. Air ditapis masuk ke tangki sebelum dipam ke rumah. Sekurang-kurangnya kami ada backup air bila berlaku masalah bekalan air. Tangki 1 ribu liter mampu bertahan sehari jika penggunaannya dijimatkan. Tekanan air kini sentiasa mencukupi.

Baru puas mandi.