Tuesday, March 23, 2010

Cubaan menipu kad kredit

Minggu lepas, saya menerima panggilan daripada nombor yang tak pasti. Hanya tertera perkataan "withheld" pada telefon bimbit.

Suara wanita mendakwa dia daripada Customer Service Centre dan mahu membuat pengesahan kad kredit saya. Dia bertanya sama ada saya masih menggunakan kad kredit Maybank. Dia kemudian membacakan 8 digit pertama kad kredit saya dan meminta saya membaca 8 digit berikutnya. Saya baca tanpa mengesyaki apa-apa. Saya sangkakan Maybank mahu berikan kad debit percuma kepada saya.

Seterusnya, dia meminta saya bacakan nombor di belakang kad (cvc code) dengan berkata, "Cuba encik tengok belakang kad tu, encik pengguna yang ke berapa ratus." Saya teringat pernah baca di internet penipuan seumpama ini. Meminta kod cvc bermakna mereka mahu membuat potongan daripada kad saya. Saya minta dijelaskan apa tujuan dia. Diterangkan kononnya untuk buat pengesahan dan saya akan dapat itu ini, insuran percuma, kad percuma dan entah apa2 lagi.

Sekali lagi dia cuba dapatkan cvc code saya dan saya menolak. Dia kata, sama ada saya terima atau tidak, dia akan tetap buat potongan sebanyak RM299 daripada akaun saya. Saya kata, mana boleh potong duit saya tanpa kebenaran saya. Dia kata potongan sudah dibuat sebentar tadi dan saya akan terima surat dan dokumen seperti yang dia sebut tadi. Dia meletakkan telefon.

Bimbang duit saya mungkin dipotong walaupun saya tidak beri kod cvc, saya terus hubungi Maybank dan minta supaya bank block kad saya dan gantikan dengan yang baru.

Keesokan hari, sekali lagi saya terima panggilan daripada Customer Service Centre dan kali ini suara seorang lelaki pula. Dia juga meminta no kad kredit saya walaupun saya katakan, kad saya sudah kena block. Saya kata, saya sudah hubungi Maybank dan Maybank nasihatkan supaya jangan beri no kad kredit kepada sesiapa pun. Terus dia letak telefon.

Berhati-hatilah. Ramai penipu termasuk dari kalangan orang Melayu sebab mereka percaya cara haram itu lebih banyak membawa keuntungan yang cepat. Sebab itu tauke judi, tauke arak, tauke babi, ibu dan bapak ayam dan tauke dadah semua kaya raya dan hidup mewah.

Sebagai orang Islam, carilah redha Allah.

No comments: