Tuesday, November 17, 2015

Malware

Dah lama tak kena malware ni.

1. Tiba2 laptop saya bertukar proxy setting setiap hari. Setiap hari saya kena betulkan proxy.
2. Beberapa minggu kemudian, laptop saya tak dapat pamir kandungan dalam Blackberry. Boleh connect melalui Blackberry Blend tetapi tak boleh melalui Blacberry Link dan tak boleh mount ke memory card dan memory device.
3. Hampir setiap kali saya klik url link dalam browser, keluar pop-up iklan. Walaupun bukan iklan yang tak senonoh, tetapi ia melambatkan kerja saya dan menyusahkan.

Saya download dan install Ad-Aware. Dulu software ini lah yang saya gunakan untuk buang segala macam malware yang menyerang komputer di sebuah maktab polis. Hanya ada 2 malware sahaja. Selepas buang malware, masalah masih tak selesai.

Download pula Malwarebytes. Software ini agak slow sikit tetapi lebih bagus.

Selepas install, update dan scan, Alhamdulillah. Selesai masalah saya walaupun mengambil masa agak lama untuk restart komputer. Mulanya, risau jugak kot2 kena format hard disk. Ada beberapa file penting yang tak dapat dipastikan dah ada backup ke belum.

Jadi jawapannya, MALWAREBYTES. In sya Allah.

Thursday, May 28, 2015

Al Fatihah untuk Cikgu Rosli

Ketika saya akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1985, prestasi mata pelajaran Fizik saya sangat teruk.

Sejak tingkatan 4, saya hanya dapat 7 atau 8 aggregate pada setiap semester. Agregate 9 dikira gagal manakala aggregate 6 dikira kepujian.

Saya selalu tak faham apa yang diajar cikgu dan fizik sangat membosankan saya.

Tetapi menjelang peperiksaan percubaan SPM, Cikgu Rosli mengambil alih tugasan mengajar. Saya sempat hadir ke klinik yang diadakan oleh Cikgu Rosli khusus untuk pelajar berjumpa in-person dengannya.

Dalam peperiksaan percubaan, tiba2 markah fizik saya naik secara mendadak. Saya rasa pelajaran fizik menjadi lebih mudah difahami selepas Cikgu Rosli mengajar.

Daripada 7 atau 8 aggregate yang saya perolehi dalam semester sebelumnya, saya perolehi 4 aggregate dalam peperiksaan percubaan dan meningkat lagi dalam peperiksaan SPM yang sebenar.

Saya sentiasa ingat dan tak akan lupa peristiwa itu kerana ia adalah antara saat yang paling manis dalam pengalaman saya menempuh SPM.

Hari ini, saya terima berita melalui group WhatsApp Kusza SPM85 bahawa Cikgu Rosli telah kembali ke rahmatullah selepas jatuh ketika di Unisza.



Hati saya sangat tersentuh menerima berita ini kerana dia adalah guru saya yang amat saya sayangi dan saya tidak pernah berkomunikasi lagi dengannya selepas mendapat keputusan SPM kerana telah terputus hubungan.

Saya berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama roh para solehin,

Ya Allah ampunkanlah segala dosa2 nya. Maafkanlah segala kesalahannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga Mu bersama roh para solehin.

Al Fatihah buat Cikgu Rosli.

Tuesday, May 26, 2015

Tahun Melawat Malaysia 2015 yang suram

Tahun ini adalah tahun melawat Malaysia. Tetapi, di mana-manapun saya pergi, suasana begitu suram.

Benarlah kata orang, kerajaan tak ada duit.

Baru2 ini, saya sempat bercuti ke Johor Bahru. Saya tercari2 tempat yang menarik dan murah atau percuma untuk dikunjungi. Semuanya muram.

Yang ada hanya tempat berbayar milik syarikat swasta seperti Legoland, Hello Kitty world. Bayaran masuknya beratus ringgit seorang. Saya pergi berenam. Semua dah dewasa kecuali seorang.

Muziumnya tutup kerana kerja selenggara. Nusajaya, pusat pentadbirannya belum siap. Masih banyak belanja yang diperlukan.

Suasananya nampak begitu tidak terjaga. Kalau ada duit, pasti tak jadi begitu.

Seminggu sebelum itu, saya balik ke Terengganu. Suasana juga muram. Waterfront dekat Pulau Kambing nampak uzur dan tak terjaga. Muara sungai Terengganu di belakang Kampung Cina, lampu2 yang dulunya ala2 I-City Shah Alam banyak tak menyala. Suram. Tak ada bajet nak baiki lah agaknya.

Seminggu selepas ke Johor, saya pusing2 Kuala Lumpur dekat Dataran Merdeka. Pun suram. Lampu2 tak terpasang atau padam. Dataran Merdeka tak habis ubah suai lagi.

Ini tahun Melawat Malaysia. Tetapi suasana sangat tidak menarik dan suram.

Ia berbeza dengan zaman era Mahathir dulu. Berbagai acara diatur. Lampu menghiasi bandaraya. Saya kira, perancangan dibuat dengan teliti, teratur dan semua aspek diambil kira.

Tetapi tahun ini, macam tak ambil kira bajet yang cukup. Memang sah tak ada duit.

Dengarnya, ada agensi kerajaan yang memberi pinjam wang, pun tak ada bajet untuk beri pinjaman baru.

Tak hairanlah GST terpaksa juga dilaksanakan walaupun menerima berbagai kritikan dan bantahan.

Tak hairanlah 1MDB dikatakan sebagai punca.

Realitinya, memang kerajaan tak ada bajet. Sebenarnya perbelanjaan tidak seimbang.

Tahniah kepada Malaysia yang bakal memiliki Jet Eksekutif yang mewah dan selesa.

Bertuahlah kita kerana mempunyai pemimpin yang pandai berjimat sejak kecil hingga kini mampu berbelanja besar.

Thursday, April 30, 2015

Bijak berbelanja

Kalau hamba ada duit lebih, hamba nak beli itu, nak beli ini, nak buat itu, nak buat ini.

Tiba-tiba timbul idea nak lanjutkan umur pengeluaran KWSP kepada 60. Mengamuk sakan orang kita.
Nasib baik, Najib dah putuskan, pengeluaran KWSP kekal macam biasa.

Umur hamba sedang menghampiri 47 tahun. Lambat lagi nak cecah 50 untuk melayakkan pengeluaran daripada akaun 2. Akaun 2 hamba tak banyak mana pun.

Simpanan KWSP hamba sedikit berbanding saing2 sebaya hamba.

Pertama, gaji hamba tak banyak mana pun. Apatah lagi hamba mula bekerja dengan gaji RM700 sahaja dulu.

Keduanya, hamba pernah keluarkan wang simpanan daripada akaun 2 sebanyak 3 kali untuk rumah yang hamba duduki sekarang.

Ketiganya, simpanan hamba terhenti selama kira-kira 6 tahun. Satu tempoh yang panjang.

Sikit atau banyak, ia tak menghalang kita untuk merancang perbelanjaan selepas bersara.

Hamba tak merancang untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun.

Rekod lepas2, kalau hamba dapat duit banyak, hamba merancang untuk berbelanja 30%, simpan 70%.

Selepas dapat duit, perancangan berubah kepada nisbah 50:50.

Bila berbelanja, nisbahnya sudah menjadi 70:30.

Begitulah bijaknya orang kita berbelanja.

hik..hik..hik...

Friday, April 17, 2015

Merancang Kewangan

Antara kelemahan kebanyakan orang Melayu/Islam ialah kelemahan merancang dan mengurus kewangan.

Orang Melayu selalu merungut kenapa orang Melayu ramai yang miskin sedangkan orang Cina ramai yang kaya.

Ada yang mengaitkan kekayaan kaum Cina dengan rasuah sakala besar, menipu dan sabagainya.

Bagi saya hanya sebilangan kecil sahaja yang beroleh kekayaan melalui cara itu. Tetapi orang cina lebih bijak merancang kekayaan. Menipu tidak menjadikan mereka kaya raya tetapi perancangan yang bijak dan pengalaman mengurus wang dalam skala besar menjadikan mereka berjaya.

Orang cina pun ada masalah sendiri seperti suka berjudi, berpoya2, belanja kahwin dan belanja kematian yang tinggi. Tapi dia orang kaya kerana ramai yang bijak merancang perbelanjaan dan mengurus kewangan.

Orang melayu mengambil mudah dengan takaful. Mereka kebanyakannya menganggap takaful sebagai nilai tambah sahaja jika ada duit lebih. Khairat kematian dikira memadai.

Orang cina mengangap insuran satu keperluan. Mereka mahu setiap kematian akan menerima bayaran.

Bila mak ayah dia orang mati sebelum umur 80 atau 100 tahun misalnya, mereka akan terima wang. Kalau ada anak2, isteri atau suami mati, mereka terima bayaran. Walaupun mereka menangis bagai nak rak ketika kematian, tapi mereka tahu, duit masyuuuk.

Dengan itu, mereka mudah menerima "durian runtuh" secara tiba2.

Orang melayu menganggap ia sebagai kebendaan, mata duitan atau tidak yakin dengan rezeki Allah. Suami meninggal, jangan bimbang. Allah dah tetapkan rezeki kita dan rezeki anak2.

Bagi saya, ia bukan begitu. Kalau kita yakin dengan rezeki Allah, kenapa kita bising bila Cina kaya dan Melayu miskin ?

Pampasan kematian itu untuk kita merancang kehidupan dengan lebih baik. Ia mungkin boleh menjaga kita daripada dibelenggu hutang, menyusahkan saudara mara dan anak pinak. Ia juga mungkin akan menjadi modal berniaga kecil2an dan akhirnya berjaya.

Mungkin Allah takdirkan kematian itu sebagai satu permulaan untuk kita memperolehi rezeki. Tetapi ia tidak terjadi secara sendiri kecuali kita merancang persediaan (bukan merancang kematian insan tersayang).

Jangan biarkan kematian anda atau insan tersayang di sisi anda berlalu secara percuma.

Bagi saya, kad perubatan itu penting jika anda mampu tetapi jika tidak mampu, memadai dengan takaful tanpa kad perubatan.

Jumlah pampasan yang besar tidak penting, asalkan anda mampu untuk terus membayar setiap bulan.

Saya tak pasti berapa bayaran bulanan dan jumlah pampasan yang boleh dituntut hari ini. Tetapi dengan sumbangan hanya RM20 sebulan, anda mungkin sudah meletakkan nyawa anda atau nyawa insan tersayang untuk dibayar RM20,000 atau lebih.

Saya cadangkan anda mengambil takaful dalam usia yang masih muda supaya bayaran bulanan tidak membebankan. Rm50 satu nyawa adalah paling minimum bagi saya.

Bukanlah kita mahu durian runtuh melalui kematian insan tersayang. Tetapi saya rasa tidak rugi untuk kita membuat investment untuk merancang pelbagai kemungkinan yang kita sendiri tidak pasti menanti di hadapan.

Saya tidak setuju dengan pendapat, jangan tinggalkan apa2 wang dan harta kepada waris anda bila anda mati kerana mereka akan bergaduh kerana harta itu.

Tetapi saya bersetuju, meninggalkan harta yang terlalu banyak akan meninggikan risiko berebut harta pusaka.

Ketika ayahanda  saya meninggal, dia meninggalkan wang tunai lebih seratus ribu ringgit sahaja dalam akaun tabung hajinya. Kami tiada masalah membahagikan secara adil, saksama tanpa sebarang ungkit mengungkit atau perebutan. Mungkin kerana nilainya tidak sebesar mana. Begitu juga dengan bonda saya, jumlah yang ditinggal hampir sama sahaja.

Sekali lagi kami menerima durian runtuh. Jumlah yang masing2 terima tak lah besar mana kerana kami berbahagi 8 beradik. Tetapi ia semakin mendekatkan ingatan kita terhadap arwah ibu bapa.

Jika kita mahu meninggalkan generasi yang sedikit kukuh ekonominya, buatlah sedikit persediaan. Mereka kena bersaing dalam dunia yang semakin materialistik. Jangan tinggalkan generasi yang meminta2, tidak mampu berdikari dan semakin jauh ketinggalan dari segi ekonomi dengan kaum dan penganut agama lain.

Sudah tentu, selain harta benda, kita juga kena wariskan mereka dengan ilmu, iman dan takwa supaya mereka menjadi generasi yang kuat dan disegani. Tetapi wang dan harta adalah salah satu agen penguat semangat untuk mereka bersaing selain mampu meningkatkan keyakinan diri.

Monday, April 06, 2015

Makan angin

Dulu, selalu juga pergi bercuti2 dalam negara. Paling seronok bila ber "family day".

Jalan2 sendiri tak lah seronok sangat sebab kami hanya berdua. Boring, tak ada kawan nak bergurau senda.

Sejak kami ada anak, hampir tak ada percutian yang menyeronokkan. Saya kira yang paling seronok ialah percutian ke Langkawi pada 2008. Dah lama tu. Pergi ramai2 dengan keluarga anak beranak isteri saya.



Yang paling saya ingat, percutian yang tak menjadi kerana boss tak luluskan cuti walaupun semuanya sudah siap booking, berbulan sebelumnya.

Yang terakhir ialah pada Februari 2013. Percutian 2 hari sahaja yang diatur oleh isteri. Tetapi pada hari kami dijadualkan bertolak, saya kena kerja. Nasib baik destinasinya dekat saja. Sempat sampai pada waktu maghrib. Bagaimanapun, jelas nampak kami sekeluarga tak gembira sangat. Saya teringat2 dengan masalah kerja. Stress betul. Saya rasa isteri saya dapat lihat wajah saya yang tidak ceria.

Manakala hari keluarga tempat kerja isteri saya pula tidak menceriakan saya juga. Mood saya "down" betul.



Yang lain, balik kampung sahaja. Itu pun seronok juga tetapi tempat dikunjungi sama saja. Atau menziarahi saudara sakit. Ya bukan percutian tetapi sikit sebanyak release juga rasa tekanan kerja.



Insya Allah, saya sudah merancang untuk pergi bercuti beberapa bulan lepas. Selalunya tempahan tak berjaya. Itu yang malas nak booking tap kali ni berjaya pula.

Semoga percutian kali ini lebih "menjadi" selepas sekian lama.

Tuesday, March 10, 2015

Kudung kaki

Ketika saya masih kanak2, ada seorang saudara saya yang kudung kakinya. Khabarnya, kakinya terpaksa dipotong selepas dia kemalangan di tempat kerja. Dia bekerja dalam bidang perkapalan di Singapura dan kemudian ditimpa barangan berat. Kakinya dipotong di paras paha.

Dia kehilangan pekerjaan, terpaksa membesarkan keluarga dengan anak2 yang masih kecil. Saya tak pasti anaknya berapa orang. Salah seorangnya sebaya abang saya.

Satu ketika, dia mengalami tekanan perasaan yang berat sehingga mengganggu jiwanya. Ada kanak2 yang mentertawakannya; memang begitu sikap sesetengah budak kampung, suka ketawakan orang yang kurang sihat akalnya. Bila dah besar, baru boleh berfikir dengan rasional. Orang tua sepatutnya menegur perbuatan budak2 yang suka mengejek malangnya ada juga orang dewasa yang turut sama mentertawakan golongan yang tidak bernasib baik seperti itu.

Saya tak ingat bila dia meninggal. Saya hanya ingat semula tentang dia bila saya bertemu anaknya ketika bapa saudara saya buat kenduri kahwin sepupu saya.

Selain dia, suami kepada ibu saudara kandung saya juga terpaksa dipotong kakinya kerana kemalangan ditempat kerja. Kakinya ditimpa balak dan ibu saudara saya pengsan bila mendengar berita kemalangan tersebut.  Kakinya dipotong paras betis.

Ayah Ngah sedang mencuba kaki baru.


Walaupun terpaksa membesarkan anak2 yang agak ramai, alhamdulillah, ada orang kampung yang sudi beri kerja kepadanya. Walaupun kudung kakinya, dia masih gagah dan handal memanjat pokok duku, mengutip hasil dan menggali kubur bila diperlukan. Dia juga gigih memasak gulai kawah bila ada kenduri kendara.

Alhamdulillah, dia tidak alami masalah tekanan jiwa dan masih bertahan hingga hari ini walaupun sudah sangat uzur. Anak cucunya sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Jika kita ditimpa kesusahan, ingatlah ada orang yang lebih susah daripada kita, dan perbanyakkan sedekah ketika susah.