Tuesday, March 10, 2009

TV pertama yang pernah saya tonton

Saya masih ingat hari ayah saya beli TV. Walaupun pada masa itu, saya tak tahu tahun berapa, umur saya berapa tahun dan hari apa. Yang pastinya, ketika TV mula dipasang, keluar gambar Taufik Latif membaca intisari rancangan. Masa tu belum lewat petang lagi. Mungkin Hari Sabtu atau Ahad. Hari Jumaat ialah hari cuti umum, dan selalunya kedai-kedai di bandar KT banyak yang tutup.

Pada masa itu, hanya hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja yang ada siaran jam 3 petang. Hari-hari lain, siaran bermula jam 5 petang. Hanya ada 2 saluran iaitu saluran 5 dan saluran 8. TV tersebut jenama Toshiba, 20 inci, ada kaki dan ada pintu yang boleh dikunci. Tak ramai orang kampung yang ada TV. Hanya rumah cikgu-cikgu je yang ada. Cikgu Taha, Cikgu Awang dan ayah saya Cikgu Harun.

Waktu petang, ramai budak-budak datang menonton cerita jepun yang dialih bahasa iaitu "Giant Robot". Habis air setempayan depan rumah (dicebok dengan cetong) digunakan untuk cuci kaki. Rancangan Ultraman juga diminati. Setiap malam Sabtu, disiarkan Tayangan Gambar Melayu. Kadang-kadang ada cerita seram. Memang betul-betul seram sebab masa itu semak samun masih banyak dan tiada lampu jalan. Selain menonton di rumah ke tiga-tiga cikgu ini, orang kampung terutama yang lelaki juga menonton di kedai makan Pak Dor.

Ayah saya selalu kunci TV pada waktu maghrib. Kadang-kadang, ketika kami leka menonton, tiba-tiba ayah saya tutup TV. Ia selalunya bila kami tidak hiraukan jadual rutin, sama ada pergi mandi, mengaji, solat atau dah nak maghrib. Bila dia tutup, tak ada siapa yang berani membantah. Semua segera bersurai, dan ayah saya tidak membebel. Dia cuma tutup dan kunci je. Sepatah pun dia tak kata.

Satu hari dalam tahun 1982, saya jumpa "warranty card" TV Toshiba tersebut dan tercatat tarikh beli 10 Oktober 1970. Bermakna pada masa itu, umur saya 2 tahun :).

Antara rancangan yang saya suka tengok waktu petang ialah Toto. Rupanya ia adalah rancangan judi. Ada juga rancangan Ganda Wang Anda yang kemudiannya dihentikan selepas diketahui ia juga satu bentuk judi. Semua rancangan berbentuk judi ditamatkan siarannya selepas PAS menyertai BN. Iklan arak seperti Guiness Stout juga dihentikan selepas pembentukan BN. Itulah antara hikmahnya. Cuma PAS gagal menghentikan loteri kebajikan masyarakat walaupun hebat dibahaskan. Loteri itu ditamatkan pada zaman Mahathir.

TV itu mula rosak pada tahun 1980. Hampir setiap tahun ia terpaksa dibaiki. Seorang anak muda kampung saya bernama Najah (anak ustaz ??? - dah lupa) datang membaiki TV.

Tahun 1982, ayah saya beli TV baru, TV warna jenama Panasonic 16 inci. TV warna mula dilancarkan pada Disember 1978 oleh Tun Hussein Onn. Intisari rancangan di surat khabar akan memaklumkan rancangan-rancangan yang disiarkan dalam warna. Saya masih ingat, saya baca waran sebab ejaannya "wau"+"ra"+"nun" (akhbar Utusan Melayu). TV Singapura lebih dulu ada siaran warna.

3 comments:

Bila Diary Bercerita said...

Yang saya ingat dulu-dulu mesti ada lesen TV. Teringat pada satu ketika Abah pernah sorok TV gara-gara kecoh kononnya ada orang nak buat semakan lesen TV

Yanaam said...

He..he..

Saya selalu risau bila amaran kerap disiarkan di TV tetapi ayah saya jenis buat tak tahu je. Menarik nya, masa tak ada lesen, tak ada orang datang periksa. Bila ada lesen, baru ada orang datang periksa. Selamat.

Agaknya ayah dah tahu daripada kawan-kawan dia.

Nafastari said...

Wah, saya sangat seronok membaca catatan yang sebegini! Terus menulis.