Tuesday, May 12, 2009

Jambatan Manir

Orang Terengganu bahasakan jambatan sebagai gghetok. Nama sebenar jambatan Manir ialah Jambatan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Jambatan ini menghubungkan kampung Pulau Rusa dengan Kg. Manir. Ia sekaligus menjadi penghubung utama K.Trg Utara dengan K.Trg Selatan. Sebelum itu, penghubungnya ialah feri yang beroperasi di Kg.Losong Feri, dan juga bot penambang.

Jambatan ini dibina pada tahun 60an. Ia telah siap dan dirasmikan pada tahun 1969 oleh Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu ketika itu. Pada hari perasmian, ramai orang kampung berdiri ditepi Sungai Terengganu yang direntasi jambatan. Ada pelbagai acara sukan air termasuk acara lumba perahu dan kejar itik. Ketika itu, umur saya baru setahun jagung. Maklumat ini saya perolehi melalui sebuah buku yang diterbitkan khas sempena keputeraan atau pertabalan Sultan Ismail. Ada beberapa keping gambar dalam buku tersebut menunjukkan suasana pada hari perasmian. Saya difahamkan, ketika dirasmikan, ia adalah jambatan ke 3 terpanjang di Malaysia.

Semasa zaman kanak-kanak, saya diberitahu, jambatan itu dibuat menggunakan kepala orang. Ada orang datang dari kampung ke kampung mencari kepala. Mati-mati, saya ingatkan kepala manusia dibubuh dalam jambatan tu. Rupanya, yang dimaksudkan "pakai kepala" ialah "tenaga kerja manusia". Macam cukai kepala, bermaksud cukai bagi setiap manusia yang hidup.

Ketika itu, saya percaya jambatan itu berhantu, apatah lagi kemalangan jalan raya sering berlaku di situ. Sebenarnya, jambatan itu agak sempit. Tiada lampu dipasang pada jambatan menjadikan suasana sungguh gelap. Lampu mula dipasang pada awal tahun 80an.

Pernah sekali, seorang abang saya tersesat/hilang ketika kami hadir mendengar ceramah Prof. Dr. Hamka di padang sekolah Manir. Ia berlaku pada waktu malam. Abang saya ditemui di atas jambatan yang merupakan satu-satunya jalan pulang, menunggu kami. Ketika itu saya tak tahu siapa Hamka dan saya mungkin sibuk dengan belon dan aiskrim sahaja.

Pada musim banjir, saya seronok bermain di atas jambatan itu, melihat air mengalir deras membawa bersama sampah sarap, pokok-pokok mati malah kayu balak hanyut. Bila ada yang tersangkut pada tiang jambatan, kren akan cuba alihkannya untuk mengelakkan jambatan runtuh.

Mungkinkah jambatan itu akan digantikan dengan jambatan baru yang lebih besar dan kukuh tidak lama lagi ? Selalunya, pembinaan di Terengganu mengambil masa yang panjang. Kontraktor efisyenlah katakan. Jambatan Kuala Ibai dulu pun mengambil masa yang sangat lama untuk dinaik taraf.

3 comments:

bride-to-be said...

sekarang hampir setiap pagi jammed situ sbb jambatan pendek tu tgh di-upgrade... agaknya kalau jambatan yg pernah jd jamb ke3 terpanjang tu di upgrade, pukul berapa dapat masuk opis... kontraktor lak 'cepat sungguh' wat keje

Yanaam said...

Di Trg, nak siapkan jambatan sejengkal pun ambil masa bertahun.

Tengoklah, projek kjaan negeri ke projek kjaan pusat. Kalau kjaan pusat mungkin cepat sikit kot. Bukan nak sindir kjaan negeri, tapi sedia maklumnya begitu.

Saya di KL pernah keluar kerja jam 6.30pg. Itu tandanya negeri makin maju.

Airlangga said...

Prof Hamka, pernah sampai Teregganu? wah saya baru tau.. tahun bila agaknya?>