Friday, January 18, 2008

Papa tak nak pergi masjid ke ?

Bila azan kedengaran, anak aku akan bertanya, "Papa tak nak pergi masjid ke ?", terutama bila aku nampak masih leka dengan surat khabar atau menonton tv.

Sesekali terasa nak bawa dia ke masjid. Tapi dia perempuan dan masih kecil lagi. Dia memang suka ke masjid. Setiap kali balik kampung, kami selalu juga singgah bersolat di masjid.

Walaupun masa aku bersama dia hanya lebih kurang sejam setengah setiap hari bekerja, aku cuba manfaatkan sepenuhnya masa yang berharga itu. Baca buku cerita, tonton tv, main komputer atau berbual-bual dengan dia. Bila waktu tidur, dia suka kalau didodoikan dengan selawat.

Thursday, January 17, 2008

Bukan nak jadi lebai

Nak jadi baik bukannya susah. Tapi nak istiqamah dengan kebaikan itu yang susah. Berperang dengan hawa nafsu bukan semudah bercakap.

Tahun baru Hijrah kali ini disambut hampir sama dengan tahun baru masihi. Tahun depan lebih hampir lagi. Hanya berbeza 2-3 hari. Aku masih ingat lagi ketika tahun hijrah disambut hampir serentak dengan tahun masihi iaitu pada tahun 1980 (1400 Hijrah). Ada duit syiling kenangan dikeluarkan olh Bank Negara Malaysia. Oleh kerana pada masa itu, aku mempunyai hobi mengumpul syiling kenangan selain mengumpul setem, aku turut tidak melepaskan peluang mengumpul duit kenangan tersebut. Umur aku masa itu ialah 12 tahun.
Mengumpul setem dan duit kenangan banyak membantu aku mengingati peristiwa bersejarah seperti itu.

Tahun ini, Alhamdulillah aku sambut tahun baru di masjid. Aku ni bukan dalam kategori orang yang suka memakmurkan masjid. Baru dalam proses ke arah itu. Walaupun aku dididik oleh Allahyarham ayahandaku supaya selalu berjemaah di surau. Sejak dari kecil hingga dihantar pula ke sekolah agama. Kalau waktu maghrib, kami anak beranak dilarang sama sekali menonton tv. Kalau tv masih terpasang, ayahanda akan terus tutup tanpa sepatah kata dan kami hanya mampu diam walau penting mana pun siaran pada waktu itu. Walaupun bukan rancangan hiburan. Waime azan sekalipun, tv mesti ditutup.

Tapi iman tak boleh diwarisi. Aku semakin lalai. Belajar di sekolah agama memaksa aku berjemaah lima kali sehari. Imamnya hebat-hebat belaka. Tapi kenakalan waktu remaja terus menghanyutkan aku.

Di KL, aku teringat-ingat didikan yang pernah aku terima sepanjang 17 tahun pertama umurku. Sesekali aku cuba menghampirkan diri dengan masjid dan majlis ilmu di masjid atau surau.

Bukan nak jadi lebai, cuma nak jadi lebih baik daripada semalam. Tahun ini, umurku dah mencecah 40 tahun (ikut kalendar masihi, setakat hari ini belum lagi; tapi ikut kalendar hijrah, dah tentunya lebih 40). Dah ada isteri dan anak. Kemana nak dididik anak dan isteri. Sedangkan arwah ayahanda begitu berusaha mendampingkan anak-anaknya dengan masjid dan surau, pun masih nakal dan lalai. Bagaimana pula aku dengan anakku ?

Semoga tahun ini aku dapat dekatkan diri semula kepada masjid. Dan yang lebih penting ialah istiqamah dengan kebaikan.

Wednesday, January 02, 2008

Air

Air sangat penting untuk hidupan.

Negara Malaysia memang dikurniakan dengan iklim panas dan lembap, dengan hujan sepanjang tahun. Bermakna Malaysia, bumi bertuah ini dikurniakan dengan air yang banyak, rezeki yang banyak. Tapi ini bukan bermakna masalah air tidak berlaku di Malaysia.

Kampung tempat tinggal aku sekarang iaitu Kampung Melayu Ampang tidak terkecuali daripada mengalami masalah air. Tekanan air rendah menyebabkan kami mengalami masalah untuk mendapatkan air. Pernah ketika hari raya, kami hadapi masalah air.

Mandi pula sebahagian daripada perkara wajib dalam Islam. Bukan wajib diamalkan setiap hari tetapi wajib pada masa tertentu. Kadang-kadang ia menjadi sunat. Bila ada masalah air, perkara wajib menjadi tergendala. Ibadah lain turut terjejas sedangkan manusia dijadikan Allah untuk beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah.

Mahu tak mahu, kami perlu laburkan sedikit wang untuk selesaikan masalah air. Kalau tak selesai sepenuhnya, sekurang-kurangnya kami berusaha selesaikan mengikut kemampuan kami. Lalu kami beli tangki tambahan dan pam air.

Pam air bukan perkara baru bagi aku. Aku dah biasa guna pam air sejak tahun 70an lagi di kampung, di Terengganu. Bezanya dulu air dipam dari perigi ke tangki. Daripada pam Hitachi, Panasonic dan Hitachi semula. Semuanya memuaskan sebelum ianya rosak selepas tempoh tertentu. Penggunaan elektrik dengan pam air nyata lebih menjimatkan berbanding bil air. Lebih menguntungkan lagi, air yang dibekalkan JBA Terengganu (kini SATU - Syarikat Air Terengganu) payau setiap kali tiba musim kemarau.

Dengan kos hampir RM4 ribu, akhirnya rancangan aku sejak sekian lama tercapai juga walaupun menggunakan wang isteriku. Pam jenama Wilo pada mulanya bermasalah selepas beberapa hari digunakan kerana voltage yang tidak stabil. Namun kini sudah berfungsi dengan baik. Air ditapis masuk ke tangki sebelum dipam ke rumah. Sekurang-kurangnya kami ada backup air bila berlaku masalah bekalan air. Tangki 1 ribu liter mampu bertahan sehari jika penggunaannya dijimatkan. Tekanan air kini sentiasa mencukupi.

Baru puas mandi.

Monday, December 31, 2007

Kahwin



Ni gambar anak saudara aku yang kedua berkahwin. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu.

Thursday, November 29, 2007

Cek RM19.75

Semalam aku terima sekeping cek daripada Celcom bernilai RM 19.75. Dulu aku ada akaun postpaid dengan Celcom. Setelah aku dapati aku tidak memerlukan akaun postpaid sebab aku bukan pengguna yang aktif, aku tamatkan saja perkhidmatannya dan beralih kepada Celcom prepaid. Memang lebih menjimatkan.

Ketika aku tamatkan akaun aku, aku pastikan semua bil ku telah dijelaskan. Tiba-tiba, dapa surat daripada Celcom, aku diberi rebat tertentu menyebabkan akaun aku terlebih bayar. Oleh kerana terlebih hanya RM19 sahaja, aku malas nak buat tuntutan semula walaupun ketika itu, aku kekurangan wang dan nilai RM19 sangat besar bagi aku. Kadang-kadang aku tak dapat nak tambah nilai Celcom xpax aku sebab ketiadaan wang. Makan pun hanya kuih-muih dan roti ganti nasi sebagai langkah jimat cermat.

Hari ini nilai RM19.75 masih bermakna kepada ku. Mungkin kepada orang lain, niainya kecil tetapi nilai amanah dan sikap tanggungjawab pihak Celcom mengembalikan wangku tanpa perlu buat tuntutan semula sangat bererti.

Terima kasih Celcom dan aku tidak menyesal beralih menjadi pelanggan Celcom.

Friday, November 02, 2007

Aduan masalah longkang ke MPAJ

Sebelum raya, aku ada buat aduan ke MPAJ melalui internet secara atas talian.
Pagi ini, aku semak status aduan aku.
Alhamdulillah, nampaknya ada perkembangan. Harap kontraktor yang ditugaskan dapat menyegerakan tindakan.

Tahniah dan terima kasih Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
clipped from aduan.mpaj.gov.my
Masalah
Tebing longkang runtuh

Ulasan
Longkang hadapan rumah saya tersumbat selepas tebingnya pecah dan runtuh. Kini jadi tempat pembiakan nyamuk.


Mohon ambil tindakan segera.


Terima kasih.

TarikhJabatanButir-butir
08/10/2007 08:02proAduan Berkait diselaras
Jab Terlibat set kepada "Jabatan Penyelenggaran Infrastruktur (jurutera)"
Status set kepada "Tiada Tindakan"
Keutamaan di tukar ke "1" dari "9"
Agensi diselaras dari " (Tiada)"
Polisi Aduan diselaras
Masa diperlukan diselaras
08/10/2007 11:21juruteraAduan Berkait diselaras
Status di tukar ke "Dalam Tindakan" dari "Tiada Tindakan"

-----
Komen Dari jurutera:
untuk semakan en zafrul
23/10/2007 14:57jurutera
Aduan Berkait diselaras

-----
Komen Dari jurutera:
dalam proses kelulusan fail

no fail:05/2/2/S116/07-dilaporkan oleh pn nisa
01/11/2007 08:59juruteraAduan Berkait diselaras
Status di tukar ke "Selesai" dari "Dalam Tindakan"

-----
Komen Dari jurutera:
dalam tindakan kontraktor
 Tambah Followup
Kembali ke ruangan Aduan Anda

 blog it

Monday, October 29, 2007

Raya dan hari-hari selepasnya

Sibuk dengan tugas menyebabkan aku tak sempat nak kemaskini blog aku. Walaupun tak aka projek, tapi sibuk cari projek. Sebelum raya, sibuk bantu siapkan tender. Tarikh tutup tender hanya 2 hari sebelum raya.

Sehari sebelum raya, kami balik kampung ke Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Hari raya tahun ni lebih meriah berbanding tahun lepas. Tahun ni ada lah duit sikit untuk beraya. Mak, seperti biasa buat nasi dagang. Nasi dagang tahun ni memang sedap. Tak banyak rumah kami kunjungi tahun ni. Kalau berkawan dengan abang-abang dan kakak-kakak yang lain, mungkin lebih banyak rumah kami pergi.

Tidak seperti tahun-tahun sudah yang biasanya aku balik ke KL pada 3 syawal, tahun ni aku balik pada 4 syawal sebab anak saudaraku, Anis Sofea bertunang pada tarikh tersebut. Selepas selesai majlis, aku terus berangkat ke KL. Jalan raya sesak daripada Chendering sampai ke pekan Marang.

Raya tahun ni, aku sempat melihat pembangunan bandar KT. Memang pesat membangun. Tahniah YAB Datuk Idris Jusoh, MB Terengganu. Tapi pembangunan akhlak, agama dan minda bagaimana pula ? Harap biarlah ianya seiring dengan pembangunan material.

Aku mula kerja semula pada 18hb (Khamis). Tak ada kerja sangat kecuali merancang projek seterusnya.

Isnin (22/10/2007), ada berita kematian. Baru semalam aku beraya ke rumah seorang saudara, hari ini dia dah meninggal. Masih terasa semalam, dia menepuk-nepuk bahuku sambil tersenyum ketika aku nak balik.

Selasa (23/10/2007), aku dan bos aku, En Abdullah pergi ke Kuala Perlis untuk menghadiri taklimat tender. Kami sampai jam 1 pagi. Rabu taklimat di Langkawi, Khamis di Pendang dan Kuala Nerang, Jumaat di Nibong Tebal dan Taiping. Malam Sabtu baru sampai rumah. Penat sungguh.

Sabtu, aku rasa kurang sihat, mungkin jangkit daripada Farah yang batuk dan selsema. Memang sekarang ni musim orang demam. Pun begitu, aku hantar Farah ke klinik homeopathi di Kg Baru, KL dan petangnya pula ke PJ, ambil anak saudaraku Wan Nur Fatin yang dah habis belajar di sana. Malamnya pula, anak saudaraku Lukman Hakim dan Ikhwan Nasir datang beraya ke rumah. Hari Ahad, aku beli multivitamin untuk pulihkan tenaga dan kesihatan yang aku rasa sedikit terjejas.

Hari ini, aku ke Mara, selesaikan masalah di sana. Petang baru rehat sikit dan sempat menulis di sini. Rasa lebih baik sekarang.

Monday, October 08, 2007

Farah dengan eksperimennya

Hari Jumaat lepas, bilik tidur kami berbau losyen hasil kerja kreatif anak aku, Farah. Atas comforter, atas lantai dan atas meja solek, habis disapu losyen. Dia lakukan bersama-sama sepupunya, Damiah. Aku jentik dia di tangan kiri dan kanannya sebagai hukuman. Sebak dia menahan tangis.

Semalam petang, dia main bedak pulak. Habis disapu bedak di baju dan seluarnya. Bertabur bedak atas permaidani. Aku jentik lagi kedua-dua tangannya sebagai hukuman. Lagi sekali airmata mengalir perlahan di kelopak matanya. Tapi dia cuba untuk tidak menangis sebab dia nampak aku sedang bersiap nak keluar (nak ikut lah tu).

Malam tadi pula, sebaik aku masuk bilik selepas pulang daripada solat terawikh di masjid, bau minyak angin menusuk hidung. Menurut kata isteriku, berkilat betis Farah dengan minyak angin. Kesan minyak tumpah ada atas comforter. Aku hanya berpesan kepada dia supaya jangan buat macam tu lagi.

Itu belum lagi dia pandai mandi sendiri. Memang kami tak benarkan dia mandi sendiri takut tergelincir di bilik air. Kalau tak, tentu syampu, losyen mandi, ubat gigi dan apa-apa saja cecair pencuci dalam bilik air tu akan jadi bahan eksperimen dia.

Kesian juga kat dia. Dia langsung tak nampak macam rasa bersalah sebelum kena hukum. Nampak macam dia bangga mungkin kerana dia sangka akan terima pujian sebab dia wangi. Tentu dia hairan kenapa kena marah dan kena hukum pula.

Nampaknya kami pun perlulah lebih berhati-hati lepas ni. Dia nampaknya semakin rancak nak jadi macam orang dewasa.

Monday, October 01, 2007

Jam tangan

Aku mula pakai jam tangan ketika umur 13 tahun. Jam digital jenama Alba bertali kulit pemberian ayahandaku itu ku pakai dari tahun 1981 hingga 1988. Jam ini kecil macam jam perempuan. Walaupun ada kawan-kawan mengejek, tapi aku sabar je. Memang lengan aku kecil, nak buat macam mana ?

Ketika jam tersebut masih elok berfungsi, aku beli jam sendiri (dgn duit biasiswa tentunya) di Pertama Kompleks pada 1988. Jam kedua ku jenama Orient. Jam analog ini cantik, berlatar warna hitam, bertali kulit. Jam ini aku pakai sehingga aku bekerja.

Awal 1990an, aku beli jam lagi. Kali ini jenama Ricoh. Jam Orient ku masih elok berfungsi, ada sedikit calar tetapi tiada tarikh. Jam Ricoh berlatar warna putih, kalis calar, ada tarikh, juga bertali kulit sebab jam bertali besi kebanyakannya besar, tak sesuai dgn tanganku yang kecil macam tangan budak-budak. Jam Ricoh tahan lasak. Cuma talinya saja yang perlu ditukar selalu terutama bila dah terkena air. Jam ini masih cantik dan berfungsi hingga hari ini dan kini dipakai oleh bapa mertua ku. Jam-jam lain sebelum tu semua dah hilang walaupun masih baik.

Semasa kahwin, aku dan isteriku beli jam yang sama rupa, jenama Roscani sebagai hantaran. Jam ini juga tahan calar, bertali besi, bersadur emas. Tapi jam ini mudah dimasuki air sejak aku tukar baterinya walaupun bertulis water resistant. Warna emasnya juga pudar selepas aku cuba basuh dengan ubat gigi. Sepatutnya aku basuh dengan cecair pencuci pinggan je. Jam ni dah tak berseri lagi, talinya juga sudah rosak dan tiada ganti.

Selepas jam tu tak boleh dipakai lagi, aku hanya pakai jam percuma pemberian isteriku yang juga diperolehi percuma, cenderahati daripada NEC. Jam bertali plastik berwarna hitam dengan cakera USB 64MB tak sesuai dengan lengan aku yang kecil, tapi aku pakai juga sebab itu saja yang ada. Nak beli jam baru pun tak mampu.

Bila jam tu dah habis bateri, aku tak pakai jam lagi. Cakera USBnya pun dah rosak. Aku guna handphone je sebagai jam walaupun waktunya selalu tersasar, tak tepat. Jam handphone ni semakin lambat dari seminggu ke seminggu. Kena betulkan jamnya selalu.

Semalam, isteriku belikan jam baru sebagai hadiah harijadi ku yang ke 39. Memang kami selalu saling lambat beri hadiah. Sebabnya kami beri peluang untuk memilih sendiri hadiah yang hendak diterima. Jam baru ku jenis Casio. Harganya tak mahal sangat tapi aku suka sangat. Memang aku tak mahu yang mahal sangat sebab kadang-kadang tu, mahal pun bukan tahan lama sangat. Jam berlatar putih, ada tarikh dan hari serta bertali besi ini padan dengan tangan ku. Aku memang sengaja mencari jam jenama buatan Jepun (walaupun dibuat di China) sebab semua jam buatan Jepun yang aku pakai sebelum ni, aku cukup puas hati.

Harap jam ni dapat bertahan lama walaupun kaca nya bukan kalis calar.

Monday, September 24, 2007

Overheat


Apa perkataan mudah dalam Bahasa Melayu untuk overheat ? Sebenarnya yang nak diceritakan, sejak aku balik dari Perlis tempoh hari, suhu enjin kereta aku asyik tinggi melampau je. Dah isi semula air, masih meninggi juga. Dah hantar ke bengkel, ditukar radiator, pun masih sama selepas beberapa hari elok. Akhirnya aku hantar lagi ke bengkel dan tukar meter suhu. Sah meter suhu dah rosak.

Ini adalah kali ke 3 aku hadapi masalah suhu melampau ni. Kali pertama dengan kereta lama. Masa tu aku dalam perjalanan ke utara juga, ada kematian di Pulau Mutiara. Terpaksa aku berhenti beberapa kali. Sampai satu tahap, enjin kereta mati sendiri kerana terlalu panas. Nasib baik enjin mati, kalau buatnya kereta terbakar, Wal'iyazubillah. Lepas kejadian tu, aku banyak berhabis duit untuk perbaik kereta tu. Akhirnya aku tukar pakai kereta baru. Masa tu, aku boleh dikatakan mampu lah juga walaupun kereta tu dah elok semula.

Kali ke dua, selepas balik daripada Cameron Highland dengan kereta baru tu la. Masa tu masih dalam jaminan lagi. Aku hantar ke pusat servis EON dan satu alat ditukar baru kerana yang asal sudah retak. Macam mana boleh retak, aku pun tak tahu. Yang pasti, suhu enjin mula meninggi ketika mendaki ke CH.

Alhamdulillah, masalah yang tu dah selesai sekarang. Harap tak timbul masalah baru sebab aku pun bukan berduit sangat sekarang ni. Nak raya lagi ni. Semalam dapat berita, abang aku yang kerja kat bandar AMBS, Trg pun dah kerja kat Johor sebab kilang lama dia, Permint Plywood dah tutup. Terpaksa dia tinggalkan anak dan isteri di pekan terpencil tu. Tahniah untuk kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya memajukan negeri dan menyediakan peluang pekerjaan yang secukupnya. (Patutla laporan menyebut kadar pengangguran di Terengganu meningkat sejak BN perintah.)

Thursday, September 13, 2007

Selamat Hari Jadi

Semalam Hari Jadi aku. Tapi oleh kerana sibuk dengan tender dan kerja-kerja keluarga, aku tak sempat nak pos ke internet.

Pagi, aku hantar isteriku ke klinik, periksa tekanan darah yang didakwa terlalu tinggi oleh doktor. Memang tinggi pun, 170 ! Tapi bila balik rumah dan check dengan alat yang dibeli sendiri, tak sampai 140 pun. Ish boleh caya ke doktor ni ?

Pagi semalam juga aku dan kawan sepejabat sibuk siapkan tender yang perlu dihantar sebelum jam 12 t/hari. Setengah jam sebelum tender ditutup, ketika kami dok kelam kabut, tiba-tiba dapat panggilan, tarikh tutup tender dilanjutkan ke 14hb. Sabar je la. Kawan aku tu siap tak tidur malam sebab nak siapkan tender. Aku percaya ramai lagi petender-petender lain pun sama. Mungkin ramai yang dah hantar pun. Ini yang buat aku bengang dengan pegawai kerajaan ni. Dah la dokumen tender banyak yang salah. Bayangkan hanya sehari sebelum tender ditutup, masih ada pembetulan baru dihantar melalui email.

T/hari, aku dan isteri ke KWSP untuk urusan rumah dan petang ke bank pula. Letih aku.

Monday, September 10, 2007

Taklimat tender di Beseri, Perlis dan Hari Keluarga

Minggu lepas, aku dan dua orang kawan aku menghadiri satu taklimat tender di IKM Beseri, Perlis. Aku pandu kereta aku dan kami menginap di sebuah hotel cikai di Alor Star memandangkan hotel di Perlis semuanya dah penuh.

Perjalanan drp KL ke Alor Star memakan masa lebih 6 jam kerana kami berhenti rehat agak lama di R&R Tapah dan Gurun. Perjalanan drp Alor Star ke Beseri mengambil masa hampir 1 jam. Seperti biasa, aku tak berani pandu laju-laju. Santai je.

Selepas taklimat, kami terus ke Bukit Kayu Hitam. Tak ada apa sangat. Nampak kurang meriah je, tak macam masa aku pertama kali datang pada 1994 dulu. Khabarnya, di Padang Besar lagi teruk. Sebab tu kami tidak ke Padang Besar.

Dalam perjalanan pulang, kereta aku ada masalah suhu tinggi ketika tiba di Tanjung Malim. Terpaksa kami berhenti di Hulu Bernam. Selepas solat dan makan, kami isi air ke tangki kereta yang dah hampir kontang. Masalah tak berapa nak selesai. Suhu tetap lebih tinggi drp biasa.

Hari Sabtu, aku hantar kereta ke bengkel. Tukar terus radiator sebab radiator lama tu nampak teruk. Agaknya, selepas kemalangan pada tahun 2003, radiator kereta tu diganti dgn radiator 2nd hand yang dah bocor tetapi dipatri di sana-sini.

Hari minggu, kami sekeluarga ke Nur Lembah Pangsun di Hulu Langat. Ada hari keluarga anjuran pejabat isteriku. Aku tak rasa enjoy sangat. Entah lah. Tak macam dulu. Dulu aku pernah join Hari Keluarga dia orang, memang best. Sekarang semuanya dah berlalu. Suasana dah tak semesra dulu.





Monday, September 03, 2007

Bayar hutang dan hiburkan hati



Selepas dapat gaji hari tu, aku banyak habiskan untuk bayar hutang. Maklumlah, dah berbulan-bulan tak dapat gaji. Bayar hutang adik 2 ribu, hutang kad kredit 3 ribu. Sebahagian lagi aku guna untuk belanja sendiri; bawa keluarga ke Pulau Pinang, jalan-jalan makan angin.

Lima hari di P.Pinang, tak lah puas. Seronok tengok anak aku bukan main ceria dan mesra dengan abang dan kakak kandung dia. Jalan-jalan, makan-makan. Memang seronok. Farah paling suka aku bantu dia naik basikal. Teringin benar dia nak naik basikal. Tak puas-puas asyik nak naik basikal. Aku janji dengan dia nak belikan basikal pada hari jadi dia yang ke 3, bulan November nanti.

Gambar di atas dirakam daripada satu tempat makan dekat Queensbay.

Tuesday, August 21, 2007

Gaji dah dapat, apa lagi ?

At last dapat jugak gaji pada 16 Ogos lepas. Walaupun belum dapat semua yang tertunggak, sekurang-kurangnya ada lah juga "oksigen" untuk bernafas. Dah bayar hutang adik separuh, hutang kad kredit suku. Tinggal lah seciput.

Esok kami sekeluarga akan bertolak ke P.Pinang. Dah lama tak makan angin ni. Farah bukan main seronok lagi bila sebut nak ke Penang. Pagi semalam lagi, dia dah pikul beg mainannya. Bila atuknya bertanya, "Nak ke mana tu ?".

"Farah nak gi Penang." Jawabnya penuh yakin.

"Bukan hari ni lah." Aku menyampuk.

InsyaAllah aku akan kembali menulis di sini selepas balik nanti.

Nota : Hadiah hari jadi isteri (Julai 26) pun belum dibeli lagi ni. 19hb Ogos baru ni, ulangtahun perkahwinan kami. Pun tak bagi apa-apa. Cuma belanja makan je. Nasib baik isteri aku bukan jenis meminta-minta. InsyaAllah nanti aku akan belikan jugak walaupun harganya mungkin tak seberapa, sekurang-kurangnya ada tanda hati.

Monday, August 13, 2007

Farah demam

Hanya sehari selepas mama nya pulang dari Johor, badan Farah dah mula panas. Dia juga selesema dan sedikit batuk-batuk. Kesian aku tengok dia resah semacam bila nak tidur. Bila disapukan vicks, dia meronta-ronta. Dia memang tak suka disapu dengan vicks. Memang sah dia demam sebab rindukan mamanya walau pun mama nya dah balik.

Kami segera bawakan dia ke klinik. Alahmdulillah, demamnya tak berpanjangan. Keesokan harinya, dia dah mula semakin sihat terutama sebelah petangnya. Cuma selesema dan batuknya yang mungkin menagmbil masa untuk sihat sepenuhnya.

Dengan poket yang kering, anak yang kurang sihat dan isteri yang sibuk dengan kerja pejabat, aku tak dapat nak ke mana pada hujung minggu. Isteriku kerja pada Sabtu dan Ahad. Kalau tidak, dah tentu kami pergi jalan-jalan menghiburkan keluarga yang dah lama tidak kami lakukan.

Friday, August 10, 2007

Duit belum masuk

Kalau ikutkan email daripada pihak HP, duit akan dimasukkan ke akaun syarikat kami pada hari semalam. Bos sibuk siapkan cek untuk bayar gaji kita orang. Tak sabar-sabar rasanya nak bank-in cek.

Tiba-tiba, setelah disemak, duit HP belum diterima. Alamak. Poket aku dah kering betul ni. Berapa hari lagi nak kena tunggu. Hutang dah melambak tak berbayar.

Sabar! Sabar!

Mama Farah dah balik

Malam kelmarin, Farah dengan marah bertanya , "Papa, Mama mana ?". Aku cakap lagi, "Mama kat Johor." Nampak muka nya sayu dan sedih. Aku peluk dia. Aku cuba telefon mamanya tetapi tidak berjawab. Aku katakan kepadanya, "Mama dah tidur dah."

Selepas membacakan buku cerita untuknya, aku cuba telefon lagi. Juga tidak berjawab dan aku katakan sekali lagi kepadanya, "Mama dah tidur dah." Kemudian dia tertidur.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, dia bergolek-golek dan mengigau, "Mama dah tidur dah." Kesian tengok dia, rindu benar nampaknya. Sejurus, mama dia telefon. Katanya ada majlis penutup dan telefon bimbit terpaksa disenyapkan. Tak dapat nak bercakap dengan Farah sebab dia dah tidur.

Semalam, aku cuti. Aku bawa Farah pergi ambil mama dia di Hentian Putra. Seronok bukan main nampaknya. Malam tadi, bukan main gembira dia sebelum tidur, berbeza betul dengan malam-malam sebelumnya.

Pagi tadi, apabila terjaga dari tidur, dia nampak mama nya sedang bersiap nak pergi kerja. Dia tanya, "Mama nak pergi mana Ma ?". "Mama nak work." Jawab mama nya. Tiba-tiba dia berkata, "Tak payah !". Nak tergelak kami mendengarnya. Tak apalah, "Esok kan mama cuti. Esok kita jalan-jalan okey ?" Agaknya dia bimbang mama nya nak tinggalkan dia lagi.

Tuesday, August 07, 2007

Papa nak jumpa mama ke ?

"Papa nak pergi mana ?"

"Papa nak pergi kerja."

"Papa nak jumpa mama ke ?"

"Mama jauh. Mama ada kat Johor."

"Jumpa mama lah." Dia semacam minta aku supaya jumpa mama dia.

Nampaknya anak aku dah mula rindukan mama dia. Kalau ada mama dia, hari-hari nak gaduh dengan mama. Dah tak ada. Mula lah dia mencari-cari pula. Pagi-pagi lagi dah sebut pasal mama. Lepas tu dia nak ikut aku pergi kerja pula. Berkerut-kerut dahi dia , tak puas hati kerana tak dapat ikut aku pergi kerja.

"Nanti hari Khamis kita pergi ambil mama ya". Aku cuba pujuk dia sebelum meninggalkan dia dengan Obek dia (ibu saudara).

Monday, August 06, 2007

Mimpi guru besar

Malam tadi aku bermimpi guru besar sekolah masa aku darjah 2 - 4 di Sek. Keb. Pulau Rusa, K. Terengganu. Masa tu tahun 1976 - 1978.Aku tak ingat sangat jalan cerita mimpi tu. Nama guru besar itu ialah Pn. Hasnah. Kenapa tiba-tiba mimpi insan berjasa lebih 30 tahun lepas ? Entah lah.

Cikgu tu pasti dah pencen kalau umurnya masih ada. Semoga Cikgu Hasnah sentiasa sejahtera dan dirahmati Allah.

Isteri pergi kursus


Semalam, aku dan anak aku pergi hantar isteriku ke terminal bas Hentian Putra. Isteriku dihantar berkursus di JB selama 5 hari , sehingga hari Khamis.

Anak aku yang tak faham apa-apa mulanya nampak riang je sambil melambai tangan kepada isteriku yang telah menaiki bas Maraliner. Bila aku dukung dia dan bawa balik ke kereta, dia mula nampak resah dan berkata, "Farah nak ikut Mama lah". Aku kata, "Mama pergi Johor". Dia kata lagi, "Farah nak pergi Johor lah". Mungkin dia risau melihat aku seolah-olah meninggalkan mamanya di hentian bas yang nampak menakutkan kerana agak gelap tu.

Setiba di rumah, dia nampak macam nak menangis. Aku cuba tenangkan dia. Nasib baik ada Cik Ti dia kat rumah, terubatlah sedikit keresahan dia.

Malamnya pula, dia tak nak tidur walau pun dah dapat bercakap dengan mama di telefon. Baru 5 minit selepas bercakap, dia sibuk nak telefon lagi mama dia dengan cuba menekan nombor pada handphone ku, "Nak telefon mama", katanya.

Biasanya, bila dah mengantuk, pantang diajak, dia akan terus masuk ke bilik. Tapi kali ini lain pula. Akhirnya selepas dipujuk, aku dukung dia ke bilik dan seperti biasa, dia tidur selepas dibacakan buku ceritanya.

Kesian Farah.