Nak jadi baik bukannya susah. Tapi nak istiqamah dengan kebaikan itu yang susah. Berperang dengan hawa nafsu bukan semudah bercakap.
Tahun baru Hijrah kali ini disambut hampir sama dengan tahun baru masihi. Tahun depan lebih hampir lagi. Hanya berbeza 2-3 hari. Aku masih ingat lagi ketika tahun hijrah disambut hampir serentak dengan tahun masihi iaitu pada tahun 1980 (1400 Hijrah). Ada duit syiling kenangan dikeluarkan olh Bank Negara Malaysia. Oleh kerana pada masa itu, aku mempunyai hobi mengumpul syiling kenangan selain mengumpul setem, aku turut tidak melepaskan peluang mengumpul duit kenangan tersebut. Umur aku masa itu ialah 12 tahun.
Mengumpul setem dan duit kenangan banyak membantu aku mengingati peristiwa bersejarah seperti itu.
Tahun ini, Alhamdulillah aku sambut tahun baru di masjid. Aku ni bukan dalam kategori orang yang suka memakmurkan masjid. Baru dalam proses ke arah itu. Walaupun aku dididik oleh Allahyarham ayahandaku supaya selalu berjemaah di surau. Sejak dari kecil hingga dihantar pula ke sekolah agama. Kalau waktu maghrib, kami anak beranak dilarang sama sekali menonton tv. Kalau tv masih terpasang, ayahanda akan terus tutup tanpa sepatah kata dan kami hanya mampu diam walau penting mana pun siaran pada waktu itu. Walaupun bukan rancangan hiburan. Waime azan sekalipun, tv mesti ditutup.
Tapi iman tak boleh diwarisi. Aku semakin lalai. Belajar di sekolah agama memaksa aku berjemaah lima kali sehari. Imamnya hebat-hebat belaka. Tapi kenakalan waktu remaja terus menghanyutkan aku.
Di KL, aku teringat-ingat didikan yang pernah aku terima sepanjang 17 tahun pertama umurku. Sesekali aku cuba menghampirkan diri dengan masjid dan majlis ilmu di masjid atau surau.
Bukan nak jadi lebai, cuma nak jadi lebih baik daripada semalam. Tahun ini, umurku dah mencecah 40 tahun (ikut kalendar masihi, setakat hari ini belum lagi; tapi ikut kalendar hijrah, dah tentunya lebih 40). Dah ada isteri dan anak. Kemana nak dididik anak dan isteri. Sedangkan arwah ayahanda begitu berusaha mendampingkan anak-anaknya dengan masjid dan surau, pun masih nakal dan lalai. Bagaimana pula aku dengan anakku ?
Semoga tahun ini aku dapat dekatkan diri semula kepada masjid. Dan yang lebih penting ialah istiqamah dengan kebaikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment