Monday, October 01, 2007

Jam tangan

Aku mula pakai jam tangan ketika umur 13 tahun. Jam digital jenama Alba bertali kulit pemberian ayahandaku itu ku pakai dari tahun 1981 hingga 1988. Jam ini kecil macam jam perempuan. Walaupun ada kawan-kawan mengejek, tapi aku sabar je. Memang lengan aku kecil, nak buat macam mana ?

Ketika jam tersebut masih elok berfungsi, aku beli jam sendiri (dgn duit biasiswa tentunya) di Pertama Kompleks pada 1988. Jam kedua ku jenama Orient. Jam analog ini cantik, berlatar warna hitam, bertali kulit. Jam ini aku pakai sehingga aku bekerja.

Awal 1990an, aku beli jam lagi. Kali ini jenama Ricoh. Jam Orient ku masih elok berfungsi, ada sedikit calar tetapi tiada tarikh. Jam Ricoh berlatar warna putih, kalis calar, ada tarikh, juga bertali kulit sebab jam bertali besi kebanyakannya besar, tak sesuai dgn tanganku yang kecil macam tangan budak-budak. Jam Ricoh tahan lasak. Cuma talinya saja yang perlu ditukar selalu terutama bila dah terkena air. Jam ini masih cantik dan berfungsi hingga hari ini dan kini dipakai oleh bapa mertua ku. Jam-jam lain sebelum tu semua dah hilang walaupun masih baik.

Semasa kahwin, aku dan isteriku beli jam yang sama rupa, jenama Roscani sebagai hantaran. Jam ini juga tahan calar, bertali besi, bersadur emas. Tapi jam ini mudah dimasuki air sejak aku tukar baterinya walaupun bertulis water resistant. Warna emasnya juga pudar selepas aku cuba basuh dengan ubat gigi. Sepatutnya aku basuh dengan cecair pencuci pinggan je. Jam ni dah tak berseri lagi, talinya juga sudah rosak dan tiada ganti.

Selepas jam tu tak boleh dipakai lagi, aku hanya pakai jam percuma pemberian isteriku yang juga diperolehi percuma, cenderahati daripada NEC. Jam bertali plastik berwarna hitam dengan cakera USB 64MB tak sesuai dengan lengan aku yang kecil, tapi aku pakai juga sebab itu saja yang ada. Nak beli jam baru pun tak mampu.

Bila jam tu dah habis bateri, aku tak pakai jam lagi. Cakera USBnya pun dah rosak. Aku guna handphone je sebagai jam walaupun waktunya selalu tersasar, tak tepat. Jam handphone ni semakin lambat dari seminggu ke seminggu. Kena betulkan jamnya selalu.

Semalam, isteriku belikan jam baru sebagai hadiah harijadi ku yang ke 39. Memang kami selalu saling lambat beri hadiah. Sebabnya kami beri peluang untuk memilih sendiri hadiah yang hendak diterima. Jam baru ku jenis Casio. Harganya tak mahal sangat tapi aku suka sangat. Memang aku tak mahu yang mahal sangat sebab kadang-kadang tu, mahal pun bukan tahan lama sangat. Jam berlatar putih, ada tarikh dan hari serta bertali besi ini padan dengan tangan ku. Aku memang sengaja mencari jam jenama buatan Jepun (walaupun dibuat di China) sebab semua jam buatan Jepun yang aku pakai sebelum ni, aku cukup puas hati.

Harap jam ni dapat bertahan lama walaupun kaca nya bukan kalis calar.

No comments: