Wednesday, December 17, 2008

Rubik Cube : Ilmu yang hilang

Dulu, saya memang mahir menyelesaikan masalah rubik cube. Saya selalunya dapat menyelesaikan dalam tempoh tak sampai 3 minit. Bukan sahaja rubic cube yang empat segi, yang tiga segi pun saya mahir. Yang tiga segi selalunya lebih mudah dan lebih cepat diselesaikan.

Selepas kahwin, kemahiran saya masih tidak hilang. Saya mula mahir bermain rubik cube sejak usia awal remaja lagi. Selepas agak lama tidak bermain, saya dapati saya masih mahir dengan permainan itu.

Raya Haji baru-baru ini, saya ternampak rubik cube di rumah mak saudara saya. Saya cuba selesaikan. Level 1, okay. Level 2 okay. Level 3, alamak saya dah lupa. Langsung tak tahu macam mana nak selesaikan. Isteri saya tergelak sinis. Dah tua agaknya. Dah mula lupa. Saya rasa, kalau ada rubik cube tiga segi pun, saya tak tahu nak selesaikan. Dulu beberapa tahun selepas kahwin, saya ada beli rubik cube 4 segi dan tiga segi, bertujuan untuk sentiasa bermain supaya kemahiran itu tidak hilang. Tetapi semua dah hilang. Dengan kemahiran saya sekali hilang.

Begitulah iktibarnya. Ilmu bila tidak diamalkan, ia akan menghilang. Maka turunlah darjat seseorang kerana berkurangnya ilmu di dada.

Oleh itu, sentiasalah berdamping dengan orang yang berilmu, berbincang tentang ilmu, menulis dengan ilmu yang ada di dada dan mengulang-ulang membaca bahan bacaan lama supaya ilmu sentiasa lekat di dada. Oh ya, ilmu itu letaknya di dada, bukan di kepala. Hati yang kotor menyukarkan kita menerima ilmu terutama ilmu yang bermanfaat.

No comments: