Monday, December 06, 2004

Hadiah percuma untuk dimenangi !!!

Laporan akhbar hari ini mengenai seorang berbangsa India yang tiba-tiba memenangi hadiah loteri bernilai RM1.2j dan seorang wanita yang ditipu selepas memasukkan wang RM700 ke dalam akaun seseorang untuk memenangi sebuah TV menarik perhatian ku. Aku pernah alami perkara yang hampir serupa.

Pada bulan puasa lepas (Ramadhan 1425H), aku telah dihubungi oleh seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Hidayah daripada sebuah syarikat. Dia mendakwa, syarikat tersebut adalah syarikat subsidiari kepada National Panasonic. Nama ku telah terpilih daripada ribuan nama yang ada dalam fail mereka kerana telah menghantar kad warranty pembelian produk National Panasonic. Hadiah mesti diberikan kepada pelanggan untuk mengurangkan pembayaran cukai.

Aku diminta ke pejabat mereka di Klang dengan membawa salinan k/p dan k/p isteri, salinan lesen dan buku bank atau buku tabung haji. Walaupun aku kurang yakin, aku pergi juga. Mana lah tahu ada nasib.

Disana, aku diperkenalkan dengan Hidayah, seorang gadis manis bertudung, nampak boleh tahan. He..he.. Dia mengisi butir-butir diriku di atas sekeping borang.

Dalam pejabat tu, kuperhatikan kipas angin yang digunakan bukan daripada jenis National atau KDK. Itu sahaja barang elektrik yang aku nampak. Bunyi radio berkumandang tetapi tak nampak jenama nya.

Hidayah menerangkan kepada ku bahawa aku berpeluang memenangi hadiah yang bernilai minimum RM8000 (wang tunai) sehingga kepada sebuah kenderaan MPV Kia. Kemenangan adalah dijamin. Ada 6 jenis hadiah untuk dimenangi oleh 20 orang yang bertuah. Tapi oleh kerana aku hanya ada 3 kad warranty (sepatutnya kena ada 7), aku perlu buat pilihan seperti berikut.

Pilihan 1 : Belanja 4 produk National yang bernilai sekurang-kurangnya RM2000 setiap satu dimana-mana kedai elektrik dan serahkan kad warranty tersebut. Selepas itu, aku boleh buat cabutan hadiah, pergi kedai, beli hadiah tu dan bawa balik.

Pilihan 2 : Serahkan wang RM5000 sebagai deposit kepada mereka dan aku terus boleh buat cabutan dan memenangi hadiah on the spot. Kalau tak ada duit, bagi dulu deposit RM500 dan selebihnya boleh diserahkan sebelum Jun 2006. Cabutan hanya boleh dibuat selepas deposit penuh RM5000 dijelaskan. Wang deposit RM5000 ini boleh dituntut semula dengan memulangkan semula resit kupon selepas Jun 2006.

Mereka minta aku membuat keputusan serta merta sama ada menerima atau menolak tawaran mereka. He..he.. buku bank dah ada, tak cukup duit, teruslah ke bank atau tabung haji berdekatan.

Persoalannya, kalau nak bagi hadiah, kenapa mesti ada deposit sampai RM5000 ? Apa tujuan deposit tersebut ? Alasan perbandingan dengan Sijil Simpanan Premium tak dapat aku terima kerana itu dijamin oleh kerajaan dan ia adalah satu daripada bentuk simpanan.

Seperti biasa, dalam perjalanan ke Klang, aku membaca surah Al Fatihah banyak-banyak dalam kereta, meminta supaya Allah tunjukkan kepada ku jalan orang yang diberi nikmat, dan bukan jalan yang sesat lagi merugikan. Hanya kepada Nya kita sembah dan mohon pertolongan.

Selepas berfikir sejenak, aku buat keputusan untuk menolak tawaran hadiah tersebut. Aku diminta menulis di atas borang tadi, "Saya bersetuju untuk menolak tawaran hadiah tersebut." Tanda tangan.

Terlepaslah peluang aku hendak memenangi hadiah kereta "percuma" sebelum Raya. Aku tak tahu sejauh mana jujurnya syarikat tersebut tapi aku tahu dimana pejabat syarikat tersebut beroperasi. Malaslah aku nak siasat syarikat tu. Namun aku yakin bahawa aku telah membuat keputusan yang tepat.

No comments: