Monday, December 13, 2004

Banjir di Pulau Rusa

Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Itulah nama kampung tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Pada tahun-tahun 70an dan sebelumnya, banjir pasti melanda setiap tahun pada bulan November atau Disember. Banjir di kampung ku, tidak seperti banjir kilat di KL, secepat kilat melanda dan secepat kilat juga ia surut. Banjir di Terengganu, airnya mengalir deras mengambil masa setengah hari untuk naik dan mungkin 2-3 hari untuk surut semula. Bagaimanapun, sejak tahun 80an, kejadian banjir tidak lagi menjadi lumrah. Kali terakhir banjir melanda ialah pada tahun 1986. Pada masa itu, banjir separas 5 kaki di halaman depan rumahku dan perahu masih boleh digunakan lagi. Kini perahu pun sudah rosak.

Bagaimanapun, tahun ini Allah takdirkan banjir melanda semula di kampung ku. Walaupun paras air hanya separas lutut (di halaman rumah ku), namun ia cukup untuk mengejutkan orang kampung. Aku hanya terima SMS daripada adik ku di kampung. Pada hari banjir melanda, tiada hujan lebat yang turun kecuali rintik-rintik sekali-sekala.

Aku tak dapat bayangkan suasana hari ini bila banjir melanda. Sudah terlalu banyak perubahan di kampung. Dulu, orang kampung sentiasa bersedia menghadapi banjir. Perahu ada di setiap buah rumah. Setiap tahun, perahu dibaiki untuk memastikan ianya boleh digunakan. Mobiliti masih terkawal. Rumah tidak berpagar membolehkan perahu menyusur merentasi halaman rumah sesiapa sahaja yang dilanda banjir. Kedudukan rumah semuanya tinggi-tinggi. Jika berlaku banjir, perabot masih selamat dan tak perlu dirisaukan sangat.

Bagaimana pula kini ? Mengikut pemerhatian aku, kebanyakan yang masih menghuni kampungku ialah orang-orang tua dan cucu-cucunya. Rumah sudah mula dibina rendah, sekurang-kurangnya ruang dapurnya rendah. Bagaimana agaknya mereka menghadapi suasana banjir ? Kalau terputus makanan, bagaimana nak dapatkannya ? Mujur ada telefon. Setiap rumah sudah ada telefon berbeza dengan dahulu.

Banjir ada juga hikmahnya. Sejak tiada banjir, masalah anai-anai semakin menjadi-jadi. Banjir dapat menghapuskan anai-anai hingga ke sarangnya. Kampung dan sungai menjadi lebih bersih kerana banjir di Pulau Rusa, airnya mengalir deras. Sungai yang kotor kini sudah tidak boleh digunakan untuk mandi-manda, hanya untuk memancing dan menjala udang sahaja. Tentu seronok bermain air di kampung. Tetapi, di rumahku, yang tinggal hanya ibu dan adik ku. Nasib baik dia lelaki. Ada lah juga tenaga empat kerat untuk membantu jika keadaan mencemaskan.

Syukurlah, semuanya selamat dan air sudah surut. Tidak lah aku risau di sini. Kalau aku dapat masukkan gambar banjir di sini kan ke best ? Gambar masa kanak-kanak. Gambar hitam putih. Tapi semuanya ada di kampung.

No comments: