Thursday, May 28, 2015

Al Fatihah untuk Cikgu Rosli

Ketika saya akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1985, prestasi mata pelajaran Fizik saya sangat teruk.

Sejak tingkatan 4, saya hanya dapat 7 atau 8 aggregate pada setiap semester. Agregate 9 dikira gagal manakala aggregate 6 dikira kepujian.

Saya selalu tak faham apa yang diajar cikgu dan fizik sangat membosankan saya.

Tetapi menjelang peperiksaan percubaan SPM, Cikgu Rosli mengambil alih tugasan mengajar. Saya sempat hadir ke klinik yang diadakan oleh Cikgu Rosli khusus untuk pelajar berjumpa in-person dengannya.

Dalam peperiksaan percubaan, tiba2 markah fizik saya naik secara mendadak. Saya rasa pelajaran fizik menjadi lebih mudah difahami selepas Cikgu Rosli mengajar.

Daripada 7 atau 8 aggregate yang saya perolehi dalam semester sebelumnya, saya perolehi 4 aggregate dalam peperiksaan percubaan dan meningkat lagi dalam peperiksaan SPM yang sebenar.

Saya sentiasa ingat dan tak akan lupa peristiwa itu kerana ia adalah antara saat yang paling manis dalam pengalaman saya menempuh SPM.

Hari ini, saya terima berita melalui group WhatsApp Kusza SPM85 bahawa Cikgu Rosli telah kembali ke rahmatullah selepas jatuh ketika di Unisza.



Hati saya sangat tersentuh menerima berita ini kerana dia adalah guru saya yang amat saya sayangi dan saya tidak pernah berkomunikasi lagi dengannya selepas mendapat keputusan SPM kerana telah terputus hubungan.

Saya berdoa semoga rohnya ditempatkan bersama roh para solehin,

Ya Allah ampunkanlah segala dosa2 nya. Maafkanlah segala kesalahannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga Mu bersama roh para solehin.

Al Fatihah buat Cikgu Rosli.

No comments: