Monday, November 21, 2011

Ais kerim, jeruk dan roti


Gambar dipinjam daripada website orang lain tanpa izin. he..he..

Dulu, tak ramai orang kampung yang ada peti sejuk. Yang ada, akan buat ais kerim malaysia dan dihantar ke kedai runcit berhampiran untuk dijual. Harganya 10 sen satu. Ada perasa kacang, jagung, sirap, asam masin, santan, milo dan macam2.

Ais kerim cukup laris pada waktu tengah hari dan petang, ketika nak start bersukan. Sesekali ada penjaja aiskrim datang. Orang tua2 selalu cakap, jangan beli aiskrim tu. Itu pelarian Vietnam yang jual. Dia orang tak basuh berak. Ada juga yang terpengaruh dengan cakap2 orang tua2 yang tak mahu anak cucunya beli aiskrim yang mungkin lebih mahal sikit dan lebih sedap pula rasanya. Pada hal, si penjaja itu melayu Muslim daripada kampung sebelah. Kesian dia kena fitnah. Paling saya suka ialah aiskrim "Suntolia".

Selain penjaja aiskrim, ada juga penjaja jeruk. Seorang Cina yang kurus lagi tinggi orangnya, mengayuh basikal dari kampung ke kampung. Yang ni, tak ada pula yang kata tak basuh berak. Selera orang Terengganu, suka hirup air cuka jeruk tu. Saya pun suka makan jeruk, antaranya jeruk pauh, kelubi, kedondong, cermai dan betik.

Seorang lagi penjaja yang terkenal ialah Mamat India jual roti kaya. Orang nya juga tinggi dan kurus. Ada budak2 kampung yang nakal suka memanggil Mamat India ni dengan panggilan menghina. Kononnya dia akan kejar kalau dipanggil begitu. Saya tak pernah buat sebab saya tengok tok saya melayan dia dengan baik dan dia cukup menghormati tok saya. Saya rasa tak patut kita saja2 nak buat orang marah atau nak hina orang. Roti kaya Mamat tak lah sedap sangat tapi saya tetap suka makan sekali sekala. Sekaya yang mak saya buat lagi sedap.

Tuesday, November 15, 2011

Berzanji dan kenduri

Saya pernah belajar berzanji dengan ayah saya ketika saya di sekolah rendah. Tetapi saya hanya baca bacaan rawi yang pertama sahaja iaitu "Al jannatu" dan tak pernah cuba baca yang lain.

Kini tiada lagi orang yang tahu berzanji di kampung saya, sekurang2nya di kejiranan rumah saya. Kami adik beradik boleh baca tapi tak pernah berkumpul untuk berlatih. Jadi tak bolehlah nak mengaku pandai.

Akhir2 ini, kalangan salafi selalu mengkritik bacaan berzanji kerana dikatakan bid'ah. Ada yang kata isi kandungannya keterlaluan dan lebih baik ditinggalkan saja.

Saya sendiri jadi serabut. Selepas mengetahui beberapa maksud dalam bacaan berzanji daripada Ustaz Daud Che Ngah, saya rasa lebih selesa untuk mninggalkan amalan berzanji.

Saya tak anggap ianya bid'ah kerana ia tidak lebih sekadar hiburan masyarakat Melayu masa dahulu. Ia bukan ibadah. Sama macam masyarakat hari ini berhibur dengan cara berparti. Kan lagi teruk dan melalaikan. Berhibur dengan nasyid juga bukan sunnah, bukan bid'ah. Ia sekadar hiburan yang terkawal supaya tidak terlalu lalai dan lupa dengan Allah.

Tetapi isi kandungan kitab berzanji memang saya kurang selesa. Memang keterlaluan pada pendapat saya. Ini menyebabkan bila saya dijemput ke majlis berzanji (sekadar meraikan majlis, bukan sebagai pembaca), saya jadi kurang selesa. Tak hadir, nanti tak bergaul dengan masyarakat pula.

Mertua saya pula tak pernah miss buat majlis "cukur jambul" cucu2nya yang sentiasa diisi dengan bacaan rawi dan berzanji. Lalu saya anggap ia sebagai hiburan, melahirkan kegembiraan kerana menyambut cucu baru. Tentang isi kandungannya, masyarakat Melayu rata2nya tak faham apa pun maksud dalam berzanji.

Saya harap satu hari nanti, majlis cukur jambul direformasikan dengan adat baru yang mesra syariat Islam, baik di segi akidah mahupun syariatnya.

Saya tidak lagi bercita2 untuk menurunkan ilmu berzanji kepada anak cucu malah kalau boleh saya akan terangkan kepada anak cucu saya, gantikan ia dengan amalan lain seperti doa selamat dan sedikit kenduri kecil. Boleh juga diselitkan dengan selawat dan tak perlu jemput ramai2 orang, cukup sekadar saudara terdekat dan jiran terdekat sahaja.

Tinggal di KL yang rumah saudara mara isteri berhampiran, rimas sebab tiap2 minggu tak ada masa untuk bersama keluarga sendiri, asyik kenduri, kenduri, kenduri. Nak kemana2 pun rasa tak bebas. Kenduri kahwin lah, kenduri cukur jambul lah, kenduri birthday lah, kenduri kesyukuran lah, kenduri pergi haji lah, kenduri doa selamat lah, jamuan hari raya sampai sebulan dan macam-macam lagi. Itu dah bukan sederhana namanya.

Kalau kecil2an kan senang, tak lah membazir, banyak belanja, banyak masa terpakai dan ganggu privacy masa berkeluarga. He..he.. Ini hanya pendapat peibadi saya je. Adakah saya tak suka bersosial ? Tapi kalau tiap2 hari cuti je, ada jemputan sana sini, memang tak rasa bebas. Nasib baik saya bukan wakil rakyat. Memang tak layak pun jadi wakil rakyat atau pemimpin masyarakat. Sebab tak mesra rakyat. Ha..ha..

Thursday, November 10, 2011

Jiwa kacau

Masa saya kanak2, di stesen bas KT, ada seorang lelaki yang selalu menyanyi lagu2 Ahmad Jais. Suara lelaki kurang siuman itu ada mirip2 suara Ahmad Jais. Entah ke mana perginya sekarang. Dia dipanggil Ahmad.

Seorang lelaki agak berumur selalu berjalan2 melintasi kampung saya. Setiap kali orang kampung beri pakaian kepada dia, dia akan pakai. Berlapis2 pakaiannya. Selalunya orang kampung akan minta dia berdikir atau bersilat sebelum beri sesuatu kepadanya. Ia menghiburkan kanak2 dan orang tua. Yang penting, dia tak mengancam keselamatan orang ramai. Dia dipanggil Dolah.

Bila umur saya 12 tahun lebih, seorang perempuan jiwa kacau selalu berkeliaran di kampung saya. Air liur selalu meleleh daripada mulutnya. Ibu saudara saya selalu beri dia minum air dan biskut. Semakin lama, semakin jauh dia berkeliaran. Khabarnya hingga ke Kelantan. Ada yang kata, ada lelaki yang ambil kesempatan ke atas perempuan berjiwa kacau itu. Entah lah. Dia dipanggil Minah.

Seorang lelaki tua berambut tidak terurus tak berbaju selalu berjalan2 melintas kampung. Ada yang kata, dia salah menuntut ilmu. Diceritakan, ayah atau abangnya dulu pernah diburu polis penjajah, rumahnya dilempar bom asap tetapi orang didalamnya lesap dan terlepas. Lelaki yang dipanggil Che Leh ini pernah dadakwa ditemui di Mekah, dan ditegur di sana. Bila kembali ke kampung, orang bertanya kepadanya, ada pergi ke Mekah ke ? Jawabnya, "Jawab dah kan ?" Dia akhirnya mati dibunuh oleh saudaranya sendiri yang menjadi penagih dadah.

Satu lagi cerita aneh mengenai Che Leh, dia pernah ke KL dengan teksi semata2 nak minum kopi. Ada beberapa orang saudaranya (yang perempuan) ikut sebab nak shopping. Che Leh tiada masalah duit. Jadi tambang teksi ditanggung sepenuhnya. Dalam perjalanan, dia cuma makan beras mentah. Selepas minum kopi di Chow Kit, diapun ajak balik. Bengang semua orang termasuk drebar teksi yang kepenatan. Dalam perjalan pulang, teksi kena tahan polis sebab curiga dengan Che Leh yang makan beras dan bawa parang.

Seorang cikgu muda menjadi tak siuman selepas ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di pedalaman Dungun. Ada yang kata, cikgu itu kena buatan orang. Kesian cikgu yang sudah ada anak itu. Walaupun ada yang cuba mengubatinya, tetapi gagal. Pernah saya lihat budak2 melastik batu kepadanya. Dia lari masuk ke dalam semak. Saya tengking budak2 itu dan mereka semua bertempiaran lari.

Seorang budak perempuan berjaya mendapat SPM gred 2. Ketika itu, gred 2 adalah satu pencapaian yang baik dalam masyarakat di situ. Malangnya, perempuan itu menjadi tak siuman selepas itu. Ada yang kata terkena buatan orang. Tapi mak budak tu sendiri pun macam orang tak siuman juga. Mungkin budak tu jadi macam tu sebab tertekan dengan mak nya yang kurang siuman. Dia ada hubungan saudara dengan isteri saya. Pernah dia tumpang tinggal dengan saya dan isteri saya. Masa tu dia masih comel lagi. Serba salah saya dan isteri saya. Nak halau, tak tahu nak cakap macam mana. Nak biarkan, jadi fitnah pula. Maklumlah, jiwa kacau. Nanti dibuatnya benda2 yang diluar jangka, tak ke parah ?

Adiknya pula, lelaki, selalu solat di masjid. Lepas solat subuh pun, dia buat solat sunat. Keluar dari pagar masjid, tiba2 dia sujud tepi jalan. Pernah dia mandi dalam kolah masjid. Dia selalu temankan ibunya yang berjiwa kacau itu kemana2.

Yang perempuan, akhirnya diangkut JKM selepas datang maklumkan kepada Mak mertua saya. Sepatutnya, pegawai JKM pergi jumpa bapa budak tu sebab bapa dia masih ada, cuma dah ada keluarga lain dan tak pedulikan anak2nya yang berjiwa kacau itu.

Seorang nyonya masuk ke restoran dan membebel2 tak henti. Semua orang dimarahinya. Dia pecahkan pinggan dalam restoran itu. Akhirnya dia dihalau keluar. Sejak itu, kalau dia datang, dia akan dihalau segera untuk elakkan perkara lebih buruk. Pakaiannya kadang2 kemas dan bersih. Solekannya cantik. Cuma kadang2 agak berserabai. Di mana dia tinggal ? Siapa yang jaga dia ? Entahlah.

Orang tak siuman ni, makan minumnya tak terurus. Tetapi mereka jarang sakit. Di mana merka berteduh ? Siapa yang beri merka makan ? Rezeki mereka tak pernah terputus. Betahun2, masih merayau2 dalam lingkungan kawasan yang agak jauh tetapi masih kuat dan bertenaga.

Kadang-kadang, mereka melucukan, kadang-kadang menakutkan, ada yang mengancam nyawa, kadang-kadang kesian tengok mereka. Kalau bukan saudara kita, kita mungkin tertawakan mereka, atau kita usik dia, suruh itu ini. Kalau orang tu saudara kita, apa perasaan kita ? Malu pun ada, kesian pun ada, nak tolong tapi tak tahu macam mana. Saudara mara terdekat pun tak tolong apa2, inikan pula kita yang mungkin hanya bau2 bacang.

Syukurlah jika kita masih diberi akal. Jika kita masih diberi kekuatan jiwa menempuh segala ujian Allah.

Thursday, November 03, 2011