Wednesday, December 17, 2008

Rubik Cube : Ilmu yang hilang

Dulu, saya memang mahir menyelesaikan masalah rubik cube. Saya selalunya dapat menyelesaikan dalam tempoh tak sampai 3 minit. Bukan sahaja rubic cube yang empat segi, yang tiga segi pun saya mahir. Yang tiga segi selalunya lebih mudah dan lebih cepat diselesaikan.

Selepas kahwin, kemahiran saya masih tidak hilang. Saya mula mahir bermain rubik cube sejak usia awal remaja lagi. Selepas agak lama tidak bermain, saya dapati saya masih mahir dengan permainan itu.

Raya Haji baru-baru ini, saya ternampak rubik cube di rumah mak saudara saya. Saya cuba selesaikan. Level 1, okay. Level 2 okay. Level 3, alamak saya dah lupa. Langsung tak tahu macam mana nak selesaikan. Isteri saya tergelak sinis. Dah tua agaknya. Dah mula lupa. Saya rasa, kalau ada rubik cube tiga segi pun, saya tak tahu nak selesaikan. Dulu beberapa tahun selepas kahwin, saya ada beli rubik cube 4 segi dan tiga segi, bertujuan untuk sentiasa bermain supaya kemahiran itu tidak hilang. Tetapi semua dah hilang. Dengan kemahiran saya sekali hilang.

Begitulah iktibarnya. Ilmu bila tidak diamalkan, ia akan menghilang. Maka turunlah darjat seseorang kerana berkurangnya ilmu di dada.

Oleh itu, sentiasalah berdamping dengan orang yang berilmu, berbincang tentang ilmu, menulis dengan ilmu yang ada di dada dan mengulang-ulang membaca bahan bacaan lama supaya ilmu sentiasa lekat di dada. Oh ya, ilmu itu letaknya di dada, bukan di kepala. Hati yang kotor menyukarkan kita menerima ilmu terutama ilmu yang bermanfaat.

Monday, December 15, 2008

Perjalanan balik kampung paling lama

Pada 6hb Disember lepas, saya sekeluarga bertolak pulang ke kampung (dari Ampang, Selangor ke Kuala Terengganu.) Perjalanan biasanya menagmbil masa antara 6 hingga 8 jam, bergantung kepada berapa lama dan berapa kerap berhenti rehat.

Kami bertolak jam 9:30 pagi. Perjalanan lancar hingga ke Kuantan, kecuali selepas tol Bentong. Ramai yang nak ke Kelantan di situ, berlaku sedikit kesesakan.

Di tol Jabor, kedengaran azan daripada handset. Hujan renyai-renyai bermula daripada Temerloh. Saya ambil jalan pantai, maklumlah hujan dan musim banjir. Apa-apa hal, jalan pantai banyak kedai, masjid, surau, rumah dan ramai orang lalu lalang. Kami singgah makan di Chendor, Kuantan.

Jan 2.20 petang, saya teruskan perjalanan. Jalan mula sesak sebaik memasuki Chukai. Kami singgah solat di Meraga Beris. Masuk waktu Asar, kami belum sampai Kijal lagi. Bayangkan 2 jam perjalanan, tak sampai Dungun lagi.

Kami tiba di Paka, jam 6 petang. Saya lalu jalan alternatif melalui Kampung Pak Sabah di Dungun untuk elak kesesakan di Dungun. Pun begitu, perjalanan sesak sebaik keluar jalan Pak Sabah. Jam 8.30 malam,kami baru sampai dekat Tanjung Jara. Bermakna Paka ke Tanjung Jara, 2 jam setengah.

Masuk ke Rantau Abang, baru jalan lancar semula. Kami tiba di KT jam 10 malam. Bermakna perjalanan kami mengambil masa selama 13 jam lebih. Penat sungguh. Perjalanan dari Kemaman ke KT lebih 8 jam. Memang kena banyak sabar. Jalan di Marang pula rosak teruk walaupun baru siap dibina sebelum Sukma 2008. Kalau ye pun musim hujan, takkan teruk macam tu. Siapalah kontraktor yang bertuah itu.

Tapi perjalanan dari KT ke KL pada 10 Disember cuma mengambil masa 6 jam setengah sahaja. Alhamdulillah.

Monday, December 01, 2008

Percutian di Langkawi

Minggu lepas, saya dan keluarga pergi bercuti ke Langkawi selama 3 hari 2 malam. Kami bertolak dengan kenderaan masing-masing (3 kereta drp KL) pada hari Sabtu. Kami bermalam di rumah saudara di Bukit Mertajam.

Esok harinya, kami ke Pulau Pinang, rumah bapa saudara isteri saya dan rumah kakak isteri saya di Gelugor. 11 tengah hari, baru bertolak ke Kuala Perlis. 4 buah kereta berkonvoi.

Di Kuala Perlis, kami letak kereta di parkir berbumbung, RM30 untuk sebuah kereta selama 3 hari. Tambang feri, RM18 untuk dewasa dan RM13 untuk kanak-kanak.

Tiba di jeti Kuah, kami dapat 2 buah van yang agak usang tetapi percuma. Cukup untuk 13 dewasa dan 9 kanak-kanak. Selamat duit kami. Kami ke Apartmen Centuria Resort, Kuah. Kami dah tempah 2 unit apartmen 2 bilik. Percuma. (Sebenarnya kami bayar secara tahunan.) Kami tinggal di tingkat 8. Malamnya, kami buat sambutan hari jadi anak saya secara ringkas. Semua dah kepenatan.

Suasana memang seronok dan riuh. Anak-anak cukup riang. Esok harinya kami ke Underwater world diikuti pula ke Langkawi cable car. Oleh kerana cuaca hujan, kami tak banyak berjalan. Angin yang agak kencang menyebabkan kami terpaksa tunggu sebelum kereta kabel dibuka untuk orang ramai.

Kami sempat membeli-belah di bandar Kuah. Hari ke 3, selepas check-out, kami ke galeri perdana.

Percutian selama 3 hari 2 malam saya rasa tak mencukupi untuk Langkawi. Apa tah lagi hari hujan. kalau tambah sehari lagi baru agak rehat sikit. Tak lah keletihan sangat. Kami tiba semula di KL jam 12:30 malam dan esok harinya, saya dan isteri kembali bekerja. Penat sungguh. Tapi seronok.