Monday, April 04, 2016

Cerita saya tentang dedak


Ketika umur saya kurang 15 tahun, antara tugasan harian saya ialah memberi makan ayam itik peliharaan dengan dedak. Kerapnya saya menghidu bau dedak dan melihat rupa dedak menjadikan saya boleh kenal kualiti dedak yang digemari atau tidak digemari ayam itik.

Kami tak penah bela lembu kambing. Jadi hanya ayam itik sahaja yang saya terbiasa. Selalunya, saya akan campurkan nasi semalam yang diletakkan oleh ibu saya dalam besen ke dalam baldi. Kadang2 nasi itu dicampur juga dengan hampas kelapa. Keluarga kami tak pernah makan nasi semalam. Semua akan di"derma"kan kepada ayam itik. Nasi itu kemudian dicampurkan dengan air paip, dicampur dedak, digaul2 dengan tangan.

Ayam itik akan berebut2 mengelilingi saya menunggu makanan kegemaran mereka siap dibancuh. Campuran yang sudah sebati itu akan diletak dalam besen atau periuk buruk di belakang rumah. Ayam itik tidak dikurung, dibiarkan lepas bebas. Waktu petang, itik akan dikurung ke reban yang disebut "gok". Ayam pula sudah terdidik naik ke reban yang tingginya sama tinggi dengan rumah (lebih kurang 6-7 kaki tingginya).

Ketika itu, musang jarang sampai ke kawasan rumah saya. Ancaman paling kerap ialah biawak dan tikus tanah. Tikus tanah suka makan anak ayam dan anak itik manakala biawak suka makan telur. Biawaknya besar2 juga.

Bila ada ternakan demam atau sakit, ayahanda akan sembelih dan saya dan abang2 saya akan siang di sungai belakang rumah. Hari ini, kita dinasihatkan jangan makan ternakan yang sakit. Bimbang penyakit itu terkena pula kepada kita. Dulu, ayam itik juga makan najis manusia, muntah dan minum air "chor". Hari ini kita terima whatsapp berantai supaya memilih ternakan yang minum air yang bersih, organik dan sebagainya. Macam2 lah.

Kehidupan kita sudah berubah. Dan perubahan itu menjadikan kos sara hidup kita semakin tinggi.

Kata orang tua2, ayam makan dedak, kita makan ayam. Jadi kita juga makan dedak. Hmmm... boleh terima ke logik macam gitu. Macam tak betul je. :)

No comments: