Tuesday, April 05, 2011

TV hitam putih

TV warna mula diperkenalkan di Malaysia pada Disember 1978.

Dulu, kebanyakan rumah tak ada TV. Kalau nak tengok tv, orang kampung akan ke kedai kopi berdekatan. Di kampung saya, ada sebuah kedai makan. Pemiliknya dipanggil Pak Dor. Bila ada perlawanan tinju atau bola sepak piala merdeka, kedai Pak Dor menjadi tumpuan. Yang ada duit, minum kopi secawan dan tonton tv sampai puas. Yang tak ada duit, berdiri saja tepi pintu. Ada juga yang mengintai dari tepi tingkap saja.

Skrin tv dilitupi plastik biru. Nak jaga mata takut rosak barang kali.

Di sekolah pula, tv pendidikan jadi sasaran cikgu untuk menonton tinju. Muhammad Ali, lagenda tinju yang cukup diminati. Oleh kerana perlawanan tinju selalunya hari Ahad dan hari Ahad, tiada siaran tv pendidikan, bolehlah enjoy. Bila ada perlawanan tinju, budak2 tak belajar. Selalunya selepas waktu rehat.

Bola sepak piala merdeka, selalu diikuti melalui radio. Suspen sungguh dengar pengulas sukan membuat ulasan. Laju macam keretapi terutama bila bola di depan gol. Hanya perlawanan separuh akhir dan akhir dapat ditonton di tv. Ketika itu, Malaysia adalah sebuah pasukan yang kuat. Korea Selatan pun takut dengan Malaysia. Takat Jepun tu, senang2 je kena ratah dengan Mokhtar Dahari, Shukor Salleh, Isa Bakar, Soh Chin Aun dan James Wong.

Air batu, juga hanya dijual di kedai Pak Dor. Air batu satu bar di gergaji menjadi 3 bahagian. Sepuluh sen satu. Kemudian dibungkus dengan surat khabar lama. Letak atas para basikal. Air batu campur juga dijual dengan harga 10 sen sebungkus.

Rumah saya hanya ada tv warna pada tahun 82. Itu pun selepas tv hitam putih kami asyik rosak.