Tuesday, December 21, 2010

Anak yatim

Masa saya kanak2, ada 2 buah keluarga yatim dekat rumah saya.

Yg pertama dikenali sebagai Pak Cik Embong. Pak Cik meninggal sekitar tahun 73. Dia meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak perempuan yang semuanya masih kecil. Pada masa itu, bukan keluarganya sahaja yang susah malah orang kampung yang lain pun hidup susah juga. Jadi terpaksalah Mak Cik berdikari mencari rezeki membesarkan anak2. Nasib baik, dia memiliki perniagaan kedai runcit. Walaupun buta huruf, dia meneruskan perniagaannya dengan bertawakal kepada Allah selain menaruh kepercayaan kepada Cina2 yang datang bawa bekalan runcit dengan van atau lori. Semua urusan kira2 diserah kepada Cina2 itu sehingga anak2nya besar dan pandai mengira sendiri, barulah urusan itu diserah kepada anak2nya. Ayahanda saya pun yg bayar secara bulanan juga kena kira sendiri bila cukup bulan. Rekod buku hutang ditulis oleh anak2nya. Tak tahulah sama ada Mak Cik pernah kena tipu atau tidak tetapi perniagaannya terus bertahan hingga hari ini.

Keluarga kedua dikenali sebagai Hj Wahab. Dulu, payah nak cari orang yg pergi haji dalam usia muda. Saya tak pasti bagaimana Hj Wahab boleh pergi haji. Hj Wahab juga meninggal sekitar tahun 73 dan dia juga meninggalkan perniagaan kedai runcit. Hj Wahab meninggalkan seorang balu, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Empat beradik ini menjadi yatim piatu selepas si ibu pula meninggal pada tahun 80. Hj Wahab dan isterinya mengidap asma.

Anak lelakinya bernama Bukhari dan Muslim. Bukhari selalu membantu ibunya membuat kerja rumah seperti membasuh kain baju di sungai. Masa tu tak ada mesin basuh. Mak saya selalu membandingkan saya adik beradik dengan kesabaran Bukhari. Kami adik beradik malas basuh pakaian sendiri, semua serah pada mak sedang Bukhari kena buat sendiri malah baju adik2nya pun dibasuh, dijemur hampir setiap hari.

Hari ini, kita dapat lihat, anak2 disuruh jemur dan angkat kain pun malu dan malas. Belum kena basuh dengan berus lagi. Bertuahlah dan bersyukurlah anda jika memiliki suami dan anak yang masih sudi membantu menjemur, mengangkat dan melipat kain baju. Bukan semua orang bertuah seperti anda.

Jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur. Ada orang lain yang nasibnya lebih malang daripada kita.