Wednesday, November 12, 2008

Pergi Zoo

Hari minggu lepas, saya bawa keluarga pergi zoo.

Tuesday, November 04, 2008

Suatu ketika dulu

Saya amat tertarik bila membaca kisah zaman dulu-dulu yang dipaparkan dalam bentuk komik atau kartun. Karya Budak Kampung Dato Lat contohnya, mahupun karya yang pernah dipaparkan dalam majalah Gila-Gila suatu masa dahulu. Saya dah lama tak baca Gila-Gila.

Alangkah bertuahnya mereka yang berbakat seni dengan kebolehan menceritakan detik masa dulu melalui kartun. Dua hari lepas,saya beli illustrated biography tentang Dr. Mahathir Mohamed. Dipaparkan kisah hidup Tun Dr. M. Tetapi ia dilukis oleh orang lain. Tentu lebih menarik jika ilustrasi itu dibuat sendiri oleh tuan empunya diri. Sayang sekali, saya tiada bakat seperti itu.

Ketika zaman kanak-kanak saya, bulan November begini, iaitu ketika cuti sekolah semakin hampir, pihak sekolah (Sek. Keb. Pulau Rusa) akan mengisi masa murid-muridnya dengan aktiviti persembahan kesenian. Antaranya bacaan puisi, pantun, drama, syair, nasyid dan nyanyian serta tarian. Persembahan akan diadakan pada hari terakhir persekolahan. Jadi latihan akan dibuat terutama pada 2 minggu terakhir persekolahan. Saya tak pernah ponteng sekolah walaupun dah habis periksa.

Saya selalu terpilih untuk buat persembahan. Sejak dalam darjah dua, saya sudah terlibat dengan persembahan. Mungkin kerana abang saya yang sulung, agak dikenali kerana sering terlibat dalam aktiviti kesenian di negeri Terengganu. Dia pernah menyertai pertandingan nasyid kebangsaan melalui kumpulan nasyid Nurul Iman (sebuah kumpulan nasyid UMNO). Penyanyi utamanya ketika itu ialah Hajjah Zaleha Nik (kini ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu). Abang saya sering bermain gambus, gitar atau biola. Dia juga biasa mengiringi kumpulan nasyid ke persembahan Musabaqah Al-Quran di Kuala Lumpur ada masa itu.

Berbalik kepada cerita saya, saya lebih suka melihat lakonan rakan-rakan, sama ada lakonan dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Saya rasa aktiviti seperti ini banyak membantu kanak-kanak aktif dengan aktiviti sihat, meningkatkan penguasaan bahasa dan komunikasi. Teringat saya, sebuah sekolah (Sekolah Menengah di kawasan Manir) yang menghadapi masalah disiplin pelajar akhirnya berjaya mengawal masalah tersebut selepas pelajar-pelajarnya yang nakal dilibatkan dengan aktiviti lakonan drama dan teater. Tetapi saya tak pernah berlakon kecuali menyanyi dan nasyid. Saya pernah menyertai pertandingan nasyid peringkat sekolah Kuala Terengganu Selatan tetapi kalah. Tilawah Al-Quran pun saya masuk, kalah juga. (Tak sedap la tu, sebab tu la kalah).

Bila di sekolah menengah, saya masuk ke sekolah agama. Tiada aktiviti seni di sini. Malah aktiviti seni seakan dipandang negatif. Ada guru yang selalu menyindir majalah gila-gila yang pada masa itu mempopularkan ungkapan "Kalau ada duit, semua boleh jadi". Syirik katanya. Melukis gambar manusia pun dilarang. Sebenarnya, ungkapan itu adalah sindiran kepada masyarakat yang terlalu memandang duit sebagai segala-galanya. Hari ini pun, kalau nak projek, kena bagi duit; nak undi, kena bagi duit. Namun masyarakat kita, kena sindir dan perlipun, buat selamba derk je.

Semasa di Kusza pula, ada kawan-kawan yang selalu sinis dengan lakonan dan nyanyian. Ada pelajar yang sanggup merosakkan arial TV ketika ramai pelajar sedang menonton kerana menganggap menonton TV itu haram. Radio transistor saya pun sering disembunyikan kawan-kawan kerana dianggap melalaikan.

Saya percaya, orang yang anti TV dan radio dulu; hari ini pun ada TV dan radio di rumahnya. Sama ada dia menonton drama, cerita, berita atau hiburan atau hanya mendengar ceramah agama dan alunan Al-Quran seisi keluarga.