Sunday, December 24, 2006

Banjir di selatan semenanjung

Dalam minggu ini, banjir paling buruk dilaporkan telah berlaku di Johor, N. Sembilan dan Melaka. Paling teruk ialah di Johor. Bagi negeri-negeri yang tak pernah dilanda banjir air sungai, memang mereka tak biasa dan tak bersedia dengan fenomena sebegini.

Melihat kepada gambar rakan-rakan di Bincang.net, aku percaya kerugian yang ditanggung amat tinggi. Bayangkanlah kalau kedai, bank dan supermarket semua tenggelam. Restoran-restoran semua nampak bumbung saja. Maklumlah, tak bersedia lah katakan. Tentu tiada siapa menjangka air akan melimpah sebegini teruk. Kenderaan tidak dialihkan ke tempat selamat. Mana nak tahu di mana tempat yang selamat kalau tempat anda tak pernah banjir ? Barang-barang perniagaan pun tidak sempat dipindahkan. Air kalau dah melimpah, memang tak sempat nak buat apa dah. Tambah lagi kalau barang perniagaan yang banyak macam kedai.

Teringat suasana masa dikampung semasa kecil. Banjir berlaku setiap tahun pada musim tengkujuh. Oleh kerana tiap-tiap tahun banjir, orang kampung dah bersedia. Bila air sungai Terengganu yang selebar hampir satu kilometer tu melimpah, kenderaan dialihkan ke tempat selamat. Kawasan tu, memang banjir tak pernah cecah setiap tahun. Semua rumah ada sekurang-kurangnya sebuah perahu walaupun kecil dan hanya muat untuk 2 orang dewasa, tapi memadai untuk digunakan waktu kecemasan. Kedai-kedai pun ada tingkat atas yang sudah dipastikan selamat sebagai stor sementara barang-barang bila banjir. Kegiatan jual beli berjalan seperti biasa. Aku cukup seronok kekedai pada masa banjir kerana suasana yang berlainan daripada biasa.

Makanan pun, orang kampung dah bersedia. Musim hujan dan sejuk begini, ikan kering masin, telur masin, ubi kayu, ubi stayler, pisang rebus dan berbagai makanan yang kurang popular menjadi begitu menyelerakan sekali.

Bila banjir mula melanda, kecoh seketika, alihkan barang-barang di bawah rumah. Ayam itik, perabot, dan berbagai yang sempat diikat akan diikat pada tiang rumah. Rumah kampung semua tinggi-tinggi mengikut sejarah paras banjir yang biasa melanda. Rumah aku setinggi 6 kaki kerana banjir setinggi 5 kaki di depan rumah adalah perkara biasa. Pernah juga banjir melebihi 6 kaki melanda tetapi masa tu aku mungkin belum lahir atau aku masih bayi. Jika ia berlaku, adik beradik lelaki saja yang bersedia dan tunggu di rumah manakala yang perempuan dipindahkan ke tempat selamat.

Bila banjir dah surut, sekali lagi kecoh bersihkan perabot yang tenggelam dan kawasan laman daripada lumpur. Barang-barang yang hanyut akan dicari semula kerana biasanya pasti ada yang tersangkut dalam semak.

Perkara yang agak menakutkan ialah banyaknya ular ketika banjir. Ular, biasanya pandai berenang dan aku cukup takut bila ular melintas ketika sedang naik perahu. Nak mandi memang masalah sebab air kotor, tapi kami mandi juga dan airnya sentiasa mengalir agak deras. Lagi satu masalah besar ialah bila nak buang air besar. Aku tak tahu bagaimana orang perempuan berak pada masa banjir. Lelaki biasanya akan naik perahu dan ketempat yang semak dan sunyi untuk membuang.

Hmm.. panjang juga kalau dah menulis. sesekali fikir, tak ada apa yang nak ditulis. Tapi kalau dah mula, boleh tahan juga idea mencurah-curah.

Baiklah, lain kali tulis lagi. Bye..


No comments: