Thursday, January 21, 2010

Orang Pulau Rusa comel-comel

Ketika saya sekolah rendah, saya biasa dengar orang kata, orang Pulau Rusa (kampung saya) comel-comel. Dalam bahasa Terengganu, comel bermaksud cantik, walaupun orang itu besar dan tinggi. Oleh kerana saya masih belum akil baligh, saya tidak memandang perempuan dengan perasaan berahi. Jadi tak tahu lah saya betul ke orang kampung saya cantik ?

Bila saya di sekolah menengah, pun begitu juga. Bila jumpa orang, baik di kedai atau ketika menunggu bas, orang tanya, "Mung orang mana wang ?" (Wang = awang). Bila jawab Pulau Rusa, mereka pasti akan kata, orang Pulau Rusa comel-comel.

Bagi saya orang Pulau Rusa ke, Paloh ke, Manir ke, Besut ke, Kemaman ke, kalau dah masuk alam remaja, mulalah kita nak kelih dua tiga kali bila nampak perempuan muda. Orang mana yang hodoh-hodoh ?

Biasa juga kita dengar, orang Kelantan comel-comel. Habis tu orang negeri kamu tak cantik ke ?

Bila sudah berkahwin, dan umur pun dah makin banyak, saya mula lebih memahami bahawa kecantikan itu sangat sementara sifatnya. Apa perasaan anda jika anda atau orang yang anda kasihi tiba-tiba menjadi tidak cantik kerana kemalangan atau sakit dan sebagainya ? Apakah anda akan tinggalkan dia ? Anda malu untuk mengaku dia adalah anak atau isteri atau kekasih anda ?

Walaupun kecantikan itu sudah ditarik balik oleh Allah daripada kita dan pasangan kita, ia mungkin dipinjamkan pula oleh Allah kepada nak-anak kita. Yang penting akhlak, sopan susila dan budi bicara yang cantik. Juga akal dan iman yang sempurna.

Berkahwin bukan untuk hidup bersama sehari dua atau setahun dua. Kita membesar dibawah jagaan ibu kita mungkin selama 20 atau 30 tahun sahaja. Itu pun sebahagian besar kita merantau, di asrama atau rumah sewa. Tempoh sebenar mungkin tak sampai pun 15 tahun. Tetapi kita mahu sebumbung dengan isteri sehingga akhir hayat. Mungkin memakan masa 30, 40 atau 50 tahun. Dan kita tak mahu berjauhan dengan pasangan kita berbulan-bulan seperti kita tinggalkan ibu kita dulu.

Saya pernah kena outstation selama 2 bulan. Alangkah sunyinya rasa. Baru 2 bulan. Hidup rasanya benar-benar tak terurus. Makan minum, pakaian, teman berbual. Keadaan mungkin berbeza kalau kita lakukan atas kerana minat sendiri. Hakikatnya, saya tidak selesa berjauhan dengan isteri.

Berbalik kepada orang comel-comel. Saya pernah turun makan di bandar Cukai, Kemaman. Kebetulan, semua budak-budak perempuan yang keluar masuk kedai tu semuanya cantik-cantik. Daripada pekerjanya hinggalah kepada pelanggannya. Jadi saya pun buat kesimpulan mudah, semua orang Kemaman comel-comel belaka.

He..he..he.. Na Na Na Na Na Terengganu Kite....

Tuesday, January 19, 2010

Pulau Kapas

Antara banyak pulau-pulau peranginan di Terengganu, Pulau Kapas adalah satu-satunya yang pernah saya kunjungi. Itu pun pada akhir tahun 70an atau tahun 80. Saya ikut saja orang, naik bot nelayan di jeti Marang di pekan yang kelihatan seperti sebuah pekan koboi.

Kami pergi pada hari Jumaat kerana pada masa itu, hanya hari Jumaat sahaja cuti mingguan. Memang ramai muda-mudi pergi berkelah pada hari Jumaat dan meninggalkan solat Jumaat dengan selamba.

Kami bawa jaring yang kemudiannya digunakan untuk menangkap ikan. Ikan laut cepat mati, bukan macam ikan darat. Letak je dalam bekas plastik, kejap lagi dah mati. Saya seronok main di pantai. Saya jumpa satu tin minuman dan saya bermain-main dengan tin itu yang bertulis Anglia-Shandy tanpa mengetahui ianya adalah tin arak.

Abang saya menyelam dan memetik batu karang dan kemudiannya dibawa balik. Saya tak pasti apakah masa itu, undang-undang memelihara alam yang melarang kita merosakkan hidupan laut sudah wujud. Yang pasti, kehidupan pada masa itu agak jahil. Kami tinggalkan solat Jumaat, kami mandi di pantai Pulau Kapas bercampur lelaki dan perempuan dan tak ada seorangpun yang memakai tudung. Budaya memakai tudung belum ada.

Tak puas rasanya saya ke sana. Selepas itu, saya bercita-cita untuk ke sana lagi tetapi hingga hari ini, saya tak pernah ke sana semula.

Tuesday, January 12, 2010

Lakum deenukum, waliadeen

Dalam Islam, Allah adalah Tuhan. Tuhan adalah Allah. Tiada Tuhan selain Allah.


Allah is God. God is Allah. There is no God but Allah.


Jadi kenapa kita benarkan kristian guna perkataan God atau Tuhan tetapi tidak Allah ?


Kita heboh kerana kristian mahu guna perkataan Allah sebagai Tuhan. Alasan kita kristian mempunyai niat jahat untuk menyesatkan umat Islam. Selama ini kristian tidak begitukah ? Atau kita baru sedar begitu ? Atau kita saja baru nak buat kecoh ? Bukankah kristian dan yahudi akan sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat manusia terutama yang muslim ?


Selama ini, kita boleh terima perbezaan akidah dengan kristian. Kristian tolak kenabian Muhammad s.a.w. Kristian tolak Al Quran sebagai kalam Allah. Semua itu bukan penghinaan ? Semua itu bukan menyesatkan ? Semua itu tidak berniat mengelirukan umat Islam ?

Saya rasa kita semakin cenderung menggunakan kuasa untuk mengekang kristian (dan ajaran sesat). Tetapi kita masih mengabaikan aspek memperkuatkan akidah. Aspek memperkuatkan akhlak. Aspek memperkuatkan iman. Aspek mempertingkatkan ketaqwaan.

 

Sebab itu kita alpa dengan anak isteri kita yang tidak menunjukkan keteguhan syariah. Kalau akidahnya kuat, tak mungkin syariahnya lemah.

Thursday, January 07, 2010

Fraud email

Inilah sebahagian daripada fraud email yang kerap kita semua terima. Kononnya daripada pihak bank. Ada yang letak logo Trust Verisign, Ada yang letak logo BNM dan macam-macam lagi.

fraud.spam

Walaupun kebanyakan kita dah tahu ianya adalah penipuan, tapi masih ada yang kadang-kadang macam terpukau. Selalunya terus dibakulsampahkan, entah kenapa suatu hari kita jadi macam bengong, lalai dan terus klik.

Saya pernah sengaja klik hyperlink yang diberi dan masukkah user id dan password palsu. Misalnya user name saya letak “KauIngatAkuBodoh” dan passwordnya “TipahTertipu”. Boleh login juga. Cuma tak boleh tengok baki akaun je. Dia hanya minta masukkan password baru.

Berhati-hatilah selalu.

Wednesday, December 30, 2009

Sakit paru-paru

Sewaktu saya kecil, makanan asasi saya ialah biskut, bukan nasi. Setiap kali nak pergi sekolah, selepas sarapan, saya mengadu sakit perut kepada mak saya.

Sebenarnya, saya bukan sakit perut. Cuma perut saya rasa tak selesa dan selalu nak termuntah selepas sarapan. Saya perlu berehat dan bertenang sekejap sebelum berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya kira-kira 800 meter dari rumah. Abang saya terpaksa menunggu saya dan ini menjadikan kami selalu lewat sampai.

Risaukan keadaan saya, mak saya selalu bawa saya ke hospital HKT. Ketika itu bangunan 8 tingkat hospital belum ada. Saya pergi dengan bas pada hari Sabtu. Hari Sabtu adalah hari yang ramai orang kampung ke bandar KT. Bas selalu penuh bila tiba di kampung saya sebab kampung saya dah tak jauh daripada pusat bandar.

Setiba di bandar, kami akan menaiki teksi (beca roda 3) untuk ke hospital (saya sebut pistal). Tambang teksi 80 sen. Kesian pakcik yang kayuh beca tu bila jalan menaiki bukit. Macam tak larat je. Ada yang terpaksa turun dan tolak je teksi tu bila beca dah tak bergerak. Bila turun bukit, dia boleh releks sikit.

Satu hari, doktor x-ray dada saya untuk memeriksa apa masalah sebenar saya. Ada masalah pada paru-paru saya. Doktor kemudiannya mengsyorkan saya ditahan di wad. Ini menambahkan masalah dalam keluarga saya. Adik beradik saya semua masih bersekolah. Siapa nak jaga saya di hospital. Siapa nak uruskan makan minum keluarga. Ayah saya pun bekerja, siapa nak siapkan semuanya ? Dan saya pula tak faham masalah keluarga. Saya suruh juga mak saya tunggu saya di hospital.

Ketika itu barangkali belum ada wad kanak-kanak di HKT. Saya tinggal di wad bersama-sama orang dewasa lelaki. Cuma katil kanak-kanak di kumpulkan di satu sudut.

Mak saya beri alasan, doktor tak bagi dia tidur di dalam wad, jadi dia tidur di luar. Saya rasa mak saya balik ke rumah setiap malam. Mana mungkin perempuan nak tidur di luar wad lelaki malam-malam. Pag-pagi, saya selalu marah mak saya sebab masuk lambat.

Doktor mencadangkan saya dibedah. Mungkin kerana HKT belum ada kelengkapan dan pakar, pembedahan dicadangkan dibuat di Pulau Pinang. Kami tak ada saudara mara di PP. Kalau ke sana, siapa nak temankan ? Di mana nak tinggal ? Kami juga tiada kenderaan. Semua mengharapkan pengangkutan awam. Di bandar yang asing bagi kami, tentu susah. Ayah dan mak saya menolak dan akhirnya saya dibenarkan balik tanpa rawatan lanjut.

Alhamdulillah, umur saya masih panjang sehingga kini. Cuma setiap kali saya di x-ray sebelum masuk Kusza, UTM atau bekerja, saya selalu risau takut tak lepas. Doktor pasti akan banyak soal dan saya tak tahu nak jawab.

Paling teruk, saya batuk tak berhenti pada sekitar tahun 1989/90. Ia banyak mengganggu pelajaran saya. Ketika mula nak kerja, doktor menasihatkan saya masuk chest clinic di Jalan Pahang. Klinik dada ini bersekali dengan klinik TB. Lagilah saya takut, takut tak diterima masuk kerja. Akibatnya laporan doktor saya lambat siap dan saya lambat 'confirm'. Selepas diberi sejenis antibiotik, batuk saya mula reda dan doktor menunjukkan perbezaan pada gambar xray sebelum dan selepas pengambilan antibiotik. Saya lega. Saya ingatkan umur saya masa tu dah tak panjang lagi.

Sekarang, kalau saya batuk pun tak lah seteruk dulu. Dulu, bila balik bercuti, mak selalu tegur, "Di ni batuk sokmo. Dok (tak) pernah mak dok dengar Di dok batuk." Sekarang mak tak dapat mendengar lagi kecuali dengan alat bantuan pendengaran. Moga hati mak tak risau lagi dengan kesihatan saya.

Monday, December 14, 2009

Terima kasih Indah Water

Minggu lepas, salah satu tandas dalam rumah saya tersumbat. Saya telah menghantar email aduan kepada IWK. Email saya berbentuk aduan + pertanyaan kerana saya tidak pasti, adakah saya membuat aduan kepada pihak yang betul ?

Email saya dihantar pada jam 11:28 malam 9 Disember 2009. Seperti biasa, email saya di sertakan dengan alamat, no telefon, jenis rumah dan no akaun IWK supaya mereka dapat merujuk rekod mereka.

Esok harinya, iaitu pada jam 9:37 pagi, saya menerima panggilan daripada pihak IWK. Petugas IWK menerangkan kepada saya apa yang boleh mereka bantu dan berjanji akan menghantar pekerja ke rumah saya pada hari Sabtu (12 hb) kerana 11hb adalah hari cuti umum di Selangor. Saya turut menerima email balasan daripada IWK memaklumkan kes saya telah dirujuk ke pejabat IWK Gombak.

Pada hari yang dijanjikan, seawal jam 9:26 pagi, pekerja IWK sudah menelefon saya dan memaklumkan mereka akan tiba bila-bila masa. Saya langsung tidak rasa tertunggu-tunggu kerana mereka tiba dengan cepat.

Mereka juga cekap melaksanakan tugas mereka. Sebelum jam 11 pagi, mereka sudah berjaya menyelesaikan masalah saya.

Terus terang saya katakan, saya sungguh berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. 4 perkara yang jelas menjadi budaya kerja mereka :

1. Cepat bertindak terhadap aduan pengguna.
2. Menepati janji.
3. Cekap dan cepat menyelesaikan aduan.
4. Mesra pelanggan (pekerja yang datang ke rumah mahupun yang melayani melalui telefon).

Tempoh 3 hari (2 hari jika tidak kerana cuti umum) adalah tempoh yang manasabah. Terima kasih saya ucapkan kepada Indah Water dan syabas juga kerana melaksanakan tugas dan tanggung jawab dengan berkesan dan cekap.

Kekalkan budaya kerja cemerlang untuk rakyat Malaysia.

.......................................................

Maybank yang perkhidmatannya HANCUS !!!

Dua minggu lepas, isteri saya membuka akaun di Maybank secara online. Dia diminta hadir ke cawangan bank terdekat yang dipilihnya selepas 3 hari.

Pada hari yang dijanjikan, isteri saya ke cawangan bank tersebut. Kelam kabut pegawai bank tersebut mancari permohonan isteri saya tapi tak jumpa pun. Macam-macam alasan diberikan sambil cuba menyalahkan pelanggan konon salah pilih cawangan bank. Dah sistem online bank yang cadangkan cawangan tersebut.

Sudahnya, isteri saya terpaksa mengisi semula borang di situ. Buang masa betul. Habis yang diisi secara online untuk apa ? Eksyen je lebih. Sistem online konon tapi tak guna.

Pernah saya mohon kad ATM baru kerana kad ATM saya rosak. Bila mesin pembaca kad pengenalan mereka gagal memadankan cop jari pada KP saya, pegawai tu boleh cakap, "Kad pengenalan awak palsu kot".

Kepala hotak dia. Macam tu cara melayani pelanggan ? Saya tiada masalah pun menggunakan IC saya hingga hari ini baik di pejabat KWSP mahupun di pejabat pendaftaran negara (Kajang).

Memang teruklah Maybank punya khidmat pelanggan.

Wednesday, December 09, 2009

Kisah pengayuh beca

Ini cerita tentang pengayuh beca. Di Terengganu, beca roda tiga dipanggil teksi.

Satu ketika dulu, di sebuah bandar di Terengganu, terdapat kira-kira 150 orang pengayuh beca. Beca yang dikayuh bukan milik mereka tetapi disewa dengan towkey dengan kadar RM 5 sehari.

Seorang ahli parlimen (MP) berazam untuk membantu kumpulan pengayuh beca tersebut. MP telah mendorong mereka menubuhkan persatuan pengayuh beca. Yurannya RM 1 setahun.

Dalam mesyuarat, MP mencadangkan supaya mereka berpakat mengumpul dana supaya satu hari nanti, mereka dapat memiliki beca sendiri. Mereka setuju. MP mencadangkan kadar RM 1 sebulan untuk mengumpul dana. Mereka mula kecoh tidak setuju. Kata mereka, "Nak bayar yuran UMNO RM 1 setahun pun payah, apatah lagi nak bayar RM 1 sebulan ?"

Lalu MP memberi cadangan mereka mengumpul duit 20 sen sehari. Anehnya, mereka telah bersetuju dengan sebulat suara. Walhal 20 sen sehari jauh lebih banyak daripada RM 1 sebulan. Akhirnya, mereka berjaya memiliki beca sendiri dan tidak perlu lagi membayar sewa kepada orang tengah. Orang tengah pula tidak dibenarkan membaharui lesen kecuali beca diusahakan sendiri.

Cerita di atas adalah kisah benar. Moralnya, fikirlah sendiri.

Wednesday, November 25, 2009

Tauliah mengajar agama dan baca khutbah

"Tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam." Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Shah Alam.


Ketika saya belajar di sebuah IPT suatu masa dulu, khatib (di masjid dalam kampus) yang menyampaikan khutbah tidak semstinya seorang ustaz. Kadang-kadang pensyarah sains komputer, kadang-kadang pensyarah pengajian tamadun Islam yang jadi khatib.

Ketika saya belajar di Kusza, kadang-kadang pelajar Kusza jadi khatib di masjid di kampung-kampung setelah mendapat kebenaran JHEAT. Bukan ada kelulusan formal lagi. Tengah belajar lagi. Yang belum dapat keputusan SPM pun boleh jadi khatib. (Ketika itu, masjid Kusza belum siap).

Yang penting, khatib boleh baca Quran dan hadith dengan lancar. Kalimah-kalimah arab disebut dengan betul. Imam-imam kampung lagi teruk bacaannya. Khutbah dalam tulisan jawi gamaknya. Selidik dibaca seledek, seberat zarrah di sebut seberat zaharah. Tapi itu di kampung, bukan bandar besar macam Shah Alam yang penduduknya berpendidikan tinggi.

Apapun, saya amat tidak setuju Ahli Parlimen tak dibenarkan menyampaikan kuliyah agama di masjid-masjid dan surau-surau. Sampaikan khutbah pun tak boleh baca. Sepatutnya wakil rakyat dibenarkan asalkan sebutannya baik dan isi penyampaiannya tidak menyesatkan. Tak kira lah dia dari parti mana. Yang penting dia Islam dan beriman. Bomba, polis dan askar pun boleh baca. Apatah lagi pensyarah. Pegawai-pegawai kerajaan pun boleh diberi tauliah sementara untuk waktu tertentu mengikut suasana dan keadaan semasa. Carilah kelainan sedikit. Zaman dah berubah. Bukan ustaz-ustaz saja yang boleh baca khutbah. Menteri dan Sultan pun boleh jika elok sebutannya.

Kalau sultan nak sampaikan khutbah atau tazkirah, macam mana ? Apa alasan nak diberi untuk diberi kebenaran atau tidak ? Tiada pendidikan formal ? Sebutan tak betul ? Ada berani ke ? Mana tahu kalau-kalau Sultan saja nak test pegawai JAIS nak tengk setakat mana ketegasan dan keberanian pegawai JAIS.

"Sebaik-baik orang adalah yang paling baik bacaan al-Qur'annya di antara mereka, orang yang paing memahami agama Allah di antara mereka, orang yang paling bertaqwa kepada Allah di antara mereka, orang yang paling sadar menyuruh orang kepada kebaikan, orang yang paling sadar mencegah orang lain dari kemungkaran, dan orang yang paling baik hubungan silaturrahimnya di antara mereka." (HR Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

"Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya." (Riwayat Muslim)

Doa memohon perlindungan Allah daripada wabak taun

Selain menjaga kebersihan, elok juga dihafal doa ini dan diamalkan setiap hari.
Doa ini bukan hanya untuk wabak taun tetapi untuk apa juga wabak penyakit.

Doa Elak Wabak Penyakit(2)

Monday, November 23, 2009

Taun di Terengganu

Khabarnya, kuman Taun di Terengganu pada kali ini berbeza dengan kuman taun yang biasa. Ia tidak bertindak balas dengan vaksin yang biasa digunakan.

Semasa saya kecil, saya masih ingat, bila selesai musim banjir, kementerian kesihatan akan datang menabur klorin ke dalam telaga yang menjadi sumber utama air kepada penduduk kampung ketika itu. Selain itu, kami juga dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan mencegah penyakit taun.

Pihak kementerian akan datang pada hari yang dijadualkan di satu tempat berhampiran sebuah kilang padi. Ketika itu, tiada dewan atau balai raya di kampung Pulau Rusa Hulu. Cuma ada sebuah wakaf. Kini, tapak wakaf itu telah didirikan sebuah dewan. Disitulah kami mendapatkan suntikan. Terlebih dahulu, masjid menjadi tempat untuk kementerian menyebarkan makluman tarikh dan tempat. Pengumuman dibuat pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Untuk penduduk Pulau Rusa Hilir dibuat pada hari lain dan ditempat lain.

Abang dan kakak saya menasihatkan supaya kami menyerahkan tangan sebelah kiri untuk disuntik kerana lazimnya, tangan yang disuntik menjadi lemah selama beberapa hari, nak angkat lengan pun tak larat. Nak timba air perigi tentulah payah sebab perlu guna kedua-dua tangan. Suntikan diberi percuma.

Selain itu, penduduk kampung turut berikhtiar sendiri dengan membaca tahlil "Lailaha illallah" beramai-ramai mengelilingi kampung. Solat jumaat pula disertai dengan bacaan qunut nazilah menolak taun.

Namun apa yang lebih penting ialah menjaga kebersihan. Pada masa itu, tiada tandas untuk setiap rummah. Semua membuang dalam semak je. Kalau ada pun tandas tepi sungai. Orang perempuan tentu susah nak membuang dalam semak atau dalam sungai. Bimbang kena skodeng dengan budak-budak nakal. Istinjak pun di sungai. Selamba je selak kain dan duduk tepi sungai. Memang aib sungguh, tapi barangkali alah bisa tegal biasa atau dah terpaksa. Bila saya dah semakin besar, saya pun turut rasa malu dengan pemandangan yang mengaibkan itu. Namu perlahan-lahan, budaya mula berubah dan setiap rumah mula dilengkapi dengan tandas dan air paip bersih.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Bila kita cuai menjaga kebersihan, itu ukuran iman kita taklah sebesar mana. Kata ustaz Wan Sohor, tandas awam di eropah berkilat, bersih sungguh. Kita, nak cuci tamdas rumah seminggu sekali pun malas. Sepatutnya tandas dicuci setiap hari.

Itu baru bab tandas. Belum lagi kebersihan diri, tangan, bekas makanan dan makanan itu sendiri. Jangan lupa amalkan membaca "Bismillahillazi layadhurru maasmihi syai'un fil ardh wala fissamaa' wahuassami'ul alim" sebelum makan. Semoga kita semua terpelihara daripada wabak penyakit mahupun gangguan sihir melalui makanan dan minuman. Insya Allah.

Thursday, November 05, 2009

Hobi melihat gambar

Antara hobi saya ialah melihat gambar. Saya sendiri kurang pasti, gambar yang bagaimana yang menjadi kesukaan saya. Apa yang menjadikan gambar itu menarik perhatian saya, melekakan saya, mengasyikkan saya dan menjadikan saya, tergeleng-geleng kepala dan tersenyum sendirian kerana kagum dengan kecantikan gambar itu.

Semasa kecil, saya melihat selonggok surat yang dibuang emak saya untuk dibakar. Saya tertarik dengan setem-setem pada sampul surat itu, aya ambil kesemua setem itu dan mula mengumpul setem dengan bimbingan kakak saya. Sebenarnya, saya seronok melihat gambar yang berbagai dan begitu berseni pada setem-setem itu.

Kemuncaknya ialah ketika usia 12 tahun, saya berpeluang bertukar-tukar setem dengan kawan-kawan sekolah. Kini setem-setem saya disimpan oleh abang saya yang sulong. Sebelum saya, abang saya dan kakak saya juga mempunyai hobi mengumpul setem. Semua album setem masih ada tersimpan.

Kalau nak dikatakan warna warni pada gambar yang menjadi tarikan, gambar hitam putih pun saya suka juga. Dulu saya menjadi pembeli tetap majalh Fantasi yang diterbitkan oleh Creative Enterprise. Gambar poster dalam majalah itu saya tampal di dinding bilik saya. Saya asyik dan leka melihatnya berkali-kali. Tak kisahlah walau gambar itu sudah disunting dengan photoshop. Tak kisahlah gambar kanak-kanak atau mungkin orang tua atau gambar perempuan, gambar pemandangan, tumbuhan, bangunan ataupun gambar fantasi.

Hari ini, berbagai gambar menarik boleh didapati di internet. Saya download dan simpan dalam hard disk saya. Kalau boleh, saya nak cetak dan tampal di dinding dan tengok puas-puas. Cuma kosnya mungkin agak tinggi. Memang manusia sanggup berhabis wang kerana hobi.

Wednesday, October 28, 2009

Sikap peminat bola sepak Terengganu

Peminat bola sepak di Terengganu agak kurang bijak menunjukkan sokongan kepada pasukan. Masing-masing cuba nak jadi juara. Bayangkan pasukan dikir barat, kalau ramai sangat tok juara, riuh rendah macam pasar.

Peminat di Selangor nyata lebih bijak. Mereka bersorak secara berirama. Mereka bersatu suara. Kalau menyanyi, mereka menyanyi lagu yang sama beramai-ramai menjadikan suasana bersemangat, bergemuruh dan menghiburkan. Tak kisah siapa yang mulakan. Melayukah, Indiakah, Cinakah, itu semua tak jadi soal. Bila buat mexican wave, mereka mudah lakukan. Mereka ada lagu pasukan. Bila lagu pasukan dikumandangkan, mereka turut menyanyi beramai-ramai. Kadang-kadang mereka menyanyi lagu "Inilah barisan kita". Bila dapat gol, mereka menyanyi lagu "Kesian dia". Mereka beli topi, baju dan berbagai cenderahati dengan warna pasukan tanda sokongan.

Peminat Terengganu, macam tak bersemangat, teragak-agak nak tunjukkan sokongan. Baru suku stadium buat mexican wave, dah terhenti. Kalau mexican wave pertama dah berjaya, kali kedua dah tak jadi. Tiada lagu pasukan. Tak tahu nak menyanyi lagu apa. Sayang duit nak beli cenderahati warna pasukan, atau mungkin tak ada duit, atau mungkin malu.

Hanya selepas tahun 90an, baru Terengganu ada pasukan sorak (kelab peminat). Tak pasti sekarang masih hidup lagi ke dah mati. Mereka menyanyi lagu jong-jong inai. Pun begitu tak begitu mendapat sokongan daripada penyokong yang bukan ahli kelab. Masing-masing hanya nak mengejek saja. Kelab peminat sendiripun kena ejek.

Begitulah antara sikap negatif peminat bola sepak Terengganu yang saya perhatikan. Ketika di KL, ada peminat Kelantan hadir memberi sokongan kepada Terengganu, tetapi kadang-kadang peminat ini kurang dihargai. Tak dijadikan kawan, malah ada cakap-cakap belakang, "Bukan orang kita, Mat Kelantan".

Saya bukan nak memandang rendah kepada orang Terengganu. Saya harap suasana hari ini di KT sudah berubah dan berbeza. Kali terakhir saya menonton pasukan Terengganu ialah perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Perak di stadium Bukit Jalil. Terengganu menang. Sikap penyokong Terenganu di KL pada masa itu sudah jauh berubah. Lebih sepakat.

Hari ini, peminat bola sepak lebih beri tumpuan kepada EPL. Mungkin tak salah kalau saya katakan, ramai anak muda malu nak tonjolkan sokongan kepada pasukan tempatan kecuali kalau dah masuk final.

Oh ya, apa cerita dengan bumbung stadium di Terengganu. Terengganu memang terkenal dengan teknologi bumbungnya yang rapuh. Dah mula baiki ke belum. Laporan bumbung runtuh pun senyap je. Pembangkang pun tak mahu cucuk sikit, sekali sekala kat DUN. Itu duit rakyat tu. Rakyat nak tahu hasil siasatan. Tak kan MB beli kambing je dengan ketua pembangkang, terus senyap. Hampeh betul.

Monday, October 26, 2009

Bola sepak

Pasukan Terengganu telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2009 selepas berjaya mengalahkan Selangor.

Semasa saya di sekolah kebangsaan (tahun 70an), saya pernah dibawa oleh abang saya menonton perlawanan bola sepak di stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Saya cukup anti dengan pasukan Selangor sebab Terengganu selalu kalah dengan Selangor. Lebih kecewa lagi, menonton pasukan kita kalah di gelanggang sendiri. Ketika itu, Selangor memang pasukan yang gagah selain Singapura. Menariknya, Singapura agak alahan dengan pasukan Terengganu, mudah dijinakkan.

Kali pertama saya masuk stadium, perlawanan berlangsung siang hari. Mungkin lampu limpah stadium belum ada di KT. Ketika itu, perlawanan bola sepak piala emas raja-raja. Penonton tak lah ramai sangat. Piala emas raja-raja bukan tarikan utama kalau dibandingkan dengan Piala Malaysia. Sebab itu abang saya berani bawa saya.

Penonton dibenarkan duduk di tepi padang (atas trek olahraga yang ketika itu berwarna hitam). Setiap kali pasukan Terengganu berjaya menjaringkan gol, peminat akan serbu masuk ke stadium memeluk pemain yang menjaringkan gol. Pasukan polis bertungkus lumus mengawal keadaan, Alhamdulillah tiada perkara buruk yang berlaku.

Perlawanan akhir, antara Terengganu dengan Perlis, juga berlangsung waktu petang. Terengganu menang 3-2 tetapi permainan Perlis lebih bagus. Penjaga gol Perlis juga lebih cekap berbanding penjaga gol Terengganu, Zulkifli Abas. Rasa berdebar-debar melihat penjaga gol Terengganu tangkap bola tak kemas langsung. Penjaga gol Perlis, bola melekat di tangannya.

Kejadian bakar bas pernah berlaku ketika perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan (tak ingat tahun bila). Tahun ini, ia belaku di Kelantan pula, juga dengan Negeri Sembilan.

Pada tahun 70an, perlawanan bolasepak boleh diikuti di radio. Cara ulasan dibuat, bukan main cemas kita mendengarnya, terutama perlawanan Piala Merdeka. Ketika itu pasukan Malaysia setanding Korea Selatan. Pernah ditunjukkan di TV, perlawanan Malaysia dengan Burma (Myanmar). Malaysia belasah Burma 9-1. Hari ini, Myanmar lebih kuat daripada pasukan kebangsaan kita.

Itulah serba sikit yang saya masih ingat. Kalau ada yang tersasar sikit-sikit tu, maaf lah sebab bukan saya ingat sepenuhnya.

Friday, October 09, 2009

Dari hal makanan

Rasulullah tak pernah merungut tentang makanan. Kalau suka, makan. Kalau tak suka, tinggalkan. Tak ada nak bising-bising, tak sedaplah, kurang itulah, kurang inilah.

....................................

Saya cuba untuk tidak cerewet pasal makanan dalam Ramadhan tahun ini. Apa sahaja yang dibuat atau disediakan, saya tumpang saja. Yang saya suka, saya makan. Yang tak suka, saya tak sentuh.

Tapi, pada penghujung Ramadhan, tiba-tiba suatu hari, hidangannya ialah roti kentang. Bukan saya tak pernah cuba, tapi kata orang Terengganu, dok leh gi. Kemudian, biras saya pula belikan nasi dagang. Rupa-rupanya nasi dagang Kelantan. Dan saya tak suka nasi dagang Kelantan, baik kuahnya mahupun nasinya. Dia ingat nasi dagang Kelantan sama je macam nasi dagang Terengganu.

Dengan rasa penuh kesal, saya keluar beli nasi. Dalam hati, saya akui saya gagal menghadapi ujian ini. Saya masih cerewet pasal makanan.

....................................

Dah lama saya tak makan bubur lambuk Terengganu. Saya balik kampung, saya beli bubur lambuk di Pasar Cabang Tiga. Balik rumah, mak saudara saya pula beri bubur lambuk juga. Saya makan penuh berselera. Anak saya pun nampaknya suka dengan bubur lambuk Terengganu. Saya pernah suap dia bubur lambuk KL dan dia tak suka. Bubur lambuk Terengganu tak dicampur santan seperti bubur lambuk KL.

Isteri saya langsung tak nak cuba rasa.

....................................

Berhari raya di Terengganu, kami beli kuah kacang segera dari sebuah restoran di Taman Permata,KL. Sebelum itu, kami dah cuba kuah kacang segera di Carrefour. Kami dapat percuma sebab Carrefour cuai tidak masukkan harganya dalam komputer. Selepas jenuh menunggu, akhirnya mereka memohon maaf dan beri percuma. Rasanya tak sesedap yang biasa kita makan.

Kuah kacang Taman Permata sedap. Tapi, baru saya tahu, kuah kacang Terengganu tak sama dengan kuah kacang di Pantai Barat. Kuah kacang Terengganu dicampur santan (terbalik dengan bubur lambuk tadi). Kuah kacang KL adalah kuah sate. Kuah kacang Terengganu adalah kuah nasi kapit (nasi himpit).

....................................

Berhari raya di rumah abang saya, dia hidangkan laksa. Tiga jenis kuah disediakan. Kuah laksa penang, kuah laksa Terengganu (kuah putih) dan kuah laksa Terengganu versi mak saya (kuah kuning). Kuah putih, lebih kurang macam kuah laksam. Kuah kuning, tak sama dengan kuah merah yang biasa dibuat. Rasanya, memang sedap. Baru saya tahu, saya dah lama tak makan laksa dengan kuah macam tu. Selalunya, yang popular ialah kuah putih atau kuah merah.

....................................

Bab masak memasak ni, saya memang tak tahu langsung dan tak pernah nak cuba memasak. Isteri saya pula langsung tak nak cuba memasak masakan Terengganu walaupun dah beberapa kali dia belajar dengan mak saya dulu.

Jadi, saya simpan jelah rasa rindu saya dengan masakan Terengganu. Sebenarnya, tiada masalah kalau saya sendiri cuba memasak. Isteri saya tentu takkan biarkan saya memasak sendirian.

Isteri saya lebih suka masak spagheti daripada menggoreng keropok. Tapi bila saya nak goreng keropok, dia tak benarkan dan dia yang akan gorengkan juga.

.....................................

Perkahwinan adalah satu perkongsian dan juga pengorbanan. Bukan sekadar berkongsi yang sedap-sedap, tetapi juga berkongsi yang tak sedap. Yang tak sedap itulah pengorbanan.

Arwah ayah saya, tak suka bau tempoyak. Kalau mak saya teringin sangat nak makan nasi dengan tempoyak, kena makan sendiri-sendiri. Tunggu ayah habis makan atau makan jauh-jauh daripada ayah. Itu satu contoh pengorbanan juga.

Saya mungkin rindu masakan Terengganu, dan itu juga satu pengorbanan. Demi kasih sayang, pengorbanan kadang-kadang nampak remeh dan mudah tetapi bila kita hanya nampak seolah-olah hanya kita yang berkorban, lalu hilanglah kesabaran.

Bila berkahwin, kita selalunya hanya nampak yang sedap-sedap sahaja. Banyak harta, kita berkongsi. Tinggi pangkat, dihormati, kita kongsi (tumpang tuah). Nikmat seks, kita kongsi. Persamaan minat dan hobi, kita kongsi.

Bila susah ? Bila hilang pendapatan ? Bila sakit ? Bila dilanda musibah ? Bila berbeza pendapat, berbeza selera, berbeza hobi ? Berbeza budaya ?

Friday, October 02, 2009

Mimpi malam tadi

Malam tadi malam Jumaat. Saya bermimpi dipatuk ular.

Ketika itu saya sedang berbaring atas rusuk kanan. Seekor ular berwarna coklat datang kepada saya. Saya cuba mendiamkan diri (berpura-pura jadi objek mati). Ular itu melintasi badan saya dan tiba-tiba ia diam dibelakang badan saya. Saya mula panik dan takut, berapa lama perlu saya berdiam diri ? Tiba-tiba kepala saya mula bergerak sedikit untuk saya lari. Belum sempat lari, ular itu mematuk saya.

Saya terjaga dari tidur ketika saya cuba menjerit. Jam pukul 4.45 pagi. Sejurus kemudian, isteri saya bangun untuk bersahur. Saya ceritakan kepadanya. Dia tanya, "Ada perempuan suka kat abang ke ?".

:);)

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya



Hati-hati memandu.

Tuesday, September 08, 2009

Virus H1N1

4 September 2009, saya terima mesej daripada adik saya di Terengganu, dia disahkan dijangkiti H1N1. Mungkin keadaannya tak serious, dia diarahkan kuarantin diri di rumah. Nasib baik, mak saya sudah dihantar ke rumah kakak saya sejak awal ramadhan lagi.

Sungguhpun tak serious, bimbang la jugak. Adik saya seorang tu je. Sebatang kara pulak tu. Tak kahwin-kahwin lagi.

Semalam, saya sms dia tanya khabar. Katanya dah okey sikit, tapi masih selsema dan batuk. Demam dah baik.

Ini yang suspen ni. Tahun ni, giliran raya di Terengganu. Seperti biasa, 2 hari sebelum raya, mesti balik. Oleh kerana mak dah tak boleh masak, kenalah anak menantu buat kerja. Yang berkeluarga di Terengganu, mesti nak raya di rumah sendiri. Jadi, yang jauh di matalah kena buat semua.

Isteri saya dah risau. Maklumlah, masakan orang Terengganu dia tak mahir. He..he..he.. Sabarlah sayang.

Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan 2

Setiap bulan ramadhan, seorang makcik datang menjual cendol dari rumah ke rumah. Dia datang dengan menjunjung bakul besar atas kepalanya. Cendol disukat dengan cetong yang ditebuk dengan paku untuk keluarkan airnya. Mak saya hidangkan cendol degan santan yang sudah siap dicampur air gula tanpa ais.

Masa itu, tiada peti ais. Kalau nak minum ais, pergi beli naik basikal. Dekat jalan besar ada jual, ais diliputi habuk kayu (dipanggil habuk gergaji). Boleh juga dibeli di kedai makan Pak Ador atau Kedai Mamat. Ais dibungkus dengan surat khabar lama. Kalau lambat, ais habis.

Kadang-kadang, mak buat air cikong (laicikang). Ayah akan beli bahan-bahannya dikedai india muslim atau kedai cina muslim. Yang pasti, ada pisang kaki kering, ada halwa kundor, kismis, kurma kering, mata kucing kering, gula batu. Kami minum panas-panas.

Kadang-kadang kami berbuka dengan roti yang dibeli di kedai Israil. Nama india pemilik kedai tu, Mohd Israil. Roti cicah sekaya buatan mak. Sekaya tu tak manis sangat, pekat sikit je daripada kuah durian.

Bebrapa minit sebelum berbuka, kami sama-sama duduk menunggu di depan hidangan makanan, sambil melihat-lihat jam dan mendengar radio alunan bacaan Al Quran atau alunan muzik timur tengah.

Bila berbuka, kami tak tunggu bunyi bedil (isyarat berbuka di K.Terengganu). Kami dengar azan radio je. Pernah sekali, sebuah bot meletup di kuala sungai Terengganu ketika hampir waktu berbuka. Bunyinya sama dengan bunyi bedil. Ramai orang kampung tersilap dan berbuka awal.

Kami sekeluarga berbuka atas tikar yang dibentang kain saprah. Berebut-rebut, yang berpuasa dengan yang tak berpuasa. Yang tak puasa macam saya dan abang saya pun tunggu orang azan, baru makan sama-sama. Amalan ayah saya, yang berpuasa dengan yang tak puasa boleh berbuka bersama-sama. Yang penting mesra dan "quality time". Amalan bapa mertua saya pula, yang berpuasa sahaja makan bersama. Yang tak puasa kena tunggu orang puasa habis makan.

Malam, bila saya dah besar sikit, baru saya ikut pergi terawih. Selalu kami ke surau bawa lampu suluh sebab tak ada lampu jalan. Sebelum sampai ke surau, kena pula lintasi tanah perkuburan. Saya buat tak cukup 20 rakaat. Ikut suka je berapa nak buat. Pernah ketika kami balik surau, nampak ada kambing kat tanah perkuburan tu. Kami suluh nampak matanya bersinar. Ingatkan anjing, mencicit kami lari takut dikejar. Kampung saya tak ada orang Cina dan tak ada anjing liar sebenarnya, cuma kadang-kadang ada anjing tersesat.

Waktu sahur, saya cukup liat nak bangun. Selalu saya marah mak saya kerana kononnya tak kejutkan saya bersahur. Mak kata, dah kejutkan tetapi saya buat tak tahu atau saya cakap tak nak.

Ketika ada tok, dialah yang siapkan makanan untuk sahur. Dah siap hidang, baru dia kejutkan semua. Bila tok sakit angin ahmar, dia akan ketuk-ketuk dinding kejutkan mak dan ayah untuk siapkan sahur. Bila tok tiada, barulah kami ada jam loceng.