Sunday, December 26, 2004

Nur Adlina dikhatankan

26/12/2005 / 14 Zulkaedah 1425H - Nur Adlina dikhatankan di Klinik We Care, Klang Gate oleh Dr. Zaidi.

Friday, December 17, 2004

Jaring Wireless Broadband

Jaring telah melancarkan perkhidmatan broadbandnya. (The Star, TechCentral 11 Dec 2004).

Aku segera melayari laman web jaring untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Malangnya, Kampung Melayu Ampang tidak termasuk dalam senarai kawasan yang diliputi.

Selepas itu, hampir setiap hari, aku cuba dapatkan maklumat mengenai Jaring Broadband di internet. Paling banyak komen pengguna boleh didapati di Lowyat.net.

Khabarnya, kelajuan jaring broadband tidak sehebat Streamyx. Tapi, perkhidmatannya lebih cepat. Baru 2 hari order, dah boleh dapat. Aku turut daftarkan nama untuk nyatakan minat kepada perkhidmatan ini pada hari Rabu (15/12/2004). Sehari selepas itu, nama Kampung Melayu Ampang sudah termasuk dalam kawasan liputan.

Tapi aku tak mahu terburu-buru untuk melanggan. Baru 2 minggu lepas, ada pihak yang mendakwa daripada Telekom yang secara sukarela mahu daftarkan namaku untuk Streamyx. Aku segera bersetuju. Sudah setahun aku tunggu. Aku dah daftarkan sejak Disember tahun lepas tapi permohonanku dibatalkan kerana rumah ku berada diluar kawasan liputan.

Sehingga hari ini, status permohonanku masih belum boleh dilihat secara on-line. Lagi pun, bajet kena kontrol. Kalau bajet mengizinkan, Insya Allah, aku akan gunakan broadband tahun depan.

Monday, December 13, 2004

Banjir di Pulau Rusa

Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu. Itulah nama kampung tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. Pada tahun-tahun 70an dan sebelumnya, banjir pasti melanda setiap tahun pada bulan November atau Disember. Banjir di kampung ku, tidak seperti banjir kilat di KL, secepat kilat melanda dan secepat kilat juga ia surut. Banjir di Terengganu, airnya mengalir deras mengambil masa setengah hari untuk naik dan mungkin 2-3 hari untuk surut semula. Bagaimanapun, sejak tahun 80an, kejadian banjir tidak lagi menjadi lumrah. Kali terakhir banjir melanda ialah pada tahun 1986. Pada masa itu, banjir separas 5 kaki di halaman depan rumahku dan perahu masih boleh digunakan lagi. Kini perahu pun sudah rosak.

Bagaimanapun, tahun ini Allah takdirkan banjir melanda semula di kampung ku. Walaupun paras air hanya separas lutut (di halaman rumah ku), namun ia cukup untuk mengejutkan orang kampung. Aku hanya terima SMS daripada adik ku di kampung. Pada hari banjir melanda, tiada hujan lebat yang turun kecuali rintik-rintik sekali-sekala.

Aku tak dapat bayangkan suasana hari ini bila banjir melanda. Sudah terlalu banyak perubahan di kampung. Dulu, orang kampung sentiasa bersedia menghadapi banjir. Perahu ada di setiap buah rumah. Setiap tahun, perahu dibaiki untuk memastikan ianya boleh digunakan. Mobiliti masih terkawal. Rumah tidak berpagar membolehkan perahu menyusur merentasi halaman rumah sesiapa sahaja yang dilanda banjir. Kedudukan rumah semuanya tinggi-tinggi. Jika berlaku banjir, perabot masih selamat dan tak perlu dirisaukan sangat.

Bagaimana pula kini ? Mengikut pemerhatian aku, kebanyakan yang masih menghuni kampungku ialah orang-orang tua dan cucu-cucunya. Rumah sudah mula dibina rendah, sekurang-kurangnya ruang dapurnya rendah. Bagaimana agaknya mereka menghadapi suasana banjir ? Kalau terputus makanan, bagaimana nak dapatkannya ? Mujur ada telefon. Setiap rumah sudah ada telefon berbeza dengan dahulu.

Banjir ada juga hikmahnya. Sejak tiada banjir, masalah anai-anai semakin menjadi-jadi. Banjir dapat menghapuskan anai-anai hingga ke sarangnya. Kampung dan sungai menjadi lebih bersih kerana banjir di Pulau Rusa, airnya mengalir deras. Sungai yang kotor kini sudah tidak boleh digunakan untuk mandi-manda, hanya untuk memancing dan menjala udang sahaja. Tentu seronok bermain air di kampung. Tetapi, di rumahku, yang tinggal hanya ibu dan adik ku. Nasib baik dia lelaki. Ada lah juga tenaga empat kerat untuk membantu jika keadaan mencemaskan.

Syukurlah, semuanya selamat dan air sudah surut. Tidak lah aku risau di sini. Kalau aku dapat masukkan gambar banjir di sini kan ke best ? Gambar masa kanak-kanak. Gambar hitam putih. Tapi semuanya ada di kampung.

Monday, December 06, 2004

Hadiah percuma untuk dimenangi !!!

Laporan akhbar hari ini mengenai seorang berbangsa India yang tiba-tiba memenangi hadiah loteri bernilai RM1.2j dan seorang wanita yang ditipu selepas memasukkan wang RM700 ke dalam akaun seseorang untuk memenangi sebuah TV menarik perhatian ku. Aku pernah alami perkara yang hampir serupa.

Pada bulan puasa lepas (Ramadhan 1425H), aku telah dihubungi oleh seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Hidayah daripada sebuah syarikat. Dia mendakwa, syarikat tersebut adalah syarikat subsidiari kepada National Panasonic. Nama ku telah terpilih daripada ribuan nama yang ada dalam fail mereka kerana telah menghantar kad warranty pembelian produk National Panasonic. Hadiah mesti diberikan kepada pelanggan untuk mengurangkan pembayaran cukai.

Aku diminta ke pejabat mereka di Klang dengan membawa salinan k/p dan k/p isteri, salinan lesen dan buku bank atau buku tabung haji. Walaupun aku kurang yakin, aku pergi juga. Mana lah tahu ada nasib.

Disana, aku diperkenalkan dengan Hidayah, seorang gadis manis bertudung, nampak boleh tahan. He..he.. Dia mengisi butir-butir diriku di atas sekeping borang.

Dalam pejabat tu, kuperhatikan kipas angin yang digunakan bukan daripada jenis National atau KDK. Itu sahaja barang elektrik yang aku nampak. Bunyi radio berkumandang tetapi tak nampak jenama nya.

Hidayah menerangkan kepada ku bahawa aku berpeluang memenangi hadiah yang bernilai minimum RM8000 (wang tunai) sehingga kepada sebuah kenderaan MPV Kia. Kemenangan adalah dijamin. Ada 6 jenis hadiah untuk dimenangi oleh 20 orang yang bertuah. Tapi oleh kerana aku hanya ada 3 kad warranty (sepatutnya kena ada 7), aku perlu buat pilihan seperti berikut.

Pilihan 1 : Belanja 4 produk National yang bernilai sekurang-kurangnya RM2000 setiap satu dimana-mana kedai elektrik dan serahkan kad warranty tersebut. Selepas itu, aku boleh buat cabutan hadiah, pergi kedai, beli hadiah tu dan bawa balik.

Pilihan 2 : Serahkan wang RM5000 sebagai deposit kepada mereka dan aku terus boleh buat cabutan dan memenangi hadiah on the spot. Kalau tak ada duit, bagi dulu deposit RM500 dan selebihnya boleh diserahkan sebelum Jun 2006. Cabutan hanya boleh dibuat selepas deposit penuh RM5000 dijelaskan. Wang deposit RM5000 ini boleh dituntut semula dengan memulangkan semula resit kupon selepas Jun 2006.

Mereka minta aku membuat keputusan serta merta sama ada menerima atau menolak tawaran mereka. He..he.. buku bank dah ada, tak cukup duit, teruslah ke bank atau tabung haji berdekatan.

Persoalannya, kalau nak bagi hadiah, kenapa mesti ada deposit sampai RM5000 ? Apa tujuan deposit tersebut ? Alasan perbandingan dengan Sijil Simpanan Premium tak dapat aku terima kerana itu dijamin oleh kerajaan dan ia adalah satu daripada bentuk simpanan.

Seperti biasa, dalam perjalanan ke Klang, aku membaca surah Al Fatihah banyak-banyak dalam kereta, meminta supaya Allah tunjukkan kepada ku jalan orang yang diberi nikmat, dan bukan jalan yang sesat lagi merugikan. Hanya kepada Nya kita sembah dan mohon pertolongan.

Selepas berfikir sejenak, aku buat keputusan untuk menolak tawaran hadiah tersebut. Aku diminta menulis di atas borang tadi, "Saya bersetuju untuk menolak tawaran hadiah tersebut." Tanda tangan.

Terlepaslah peluang aku hendak memenangi hadiah kereta "percuma" sebelum Raya. Aku tak tahu sejauh mana jujurnya syarikat tersebut tapi aku tahu dimana pejabat syarikat tersebut beroperasi. Malaslah aku nak siasat syarikat tu. Namun aku yakin bahawa aku telah membuat keputusan yang tepat.

Thursday, December 02, 2004

Anak ku, Farah Nur Adlina

Sudah tiga hari, aku dan isteriku membawa pulang bayi yang diambil sebagai anak angkat dari Pulau Pinang. Bayi yang bernama Farah Nur Adlina itu dilahirkan pada 20 November bersama 7 Syawal. Alhamdulillah, bayi tersebut kini sihat dalam jagaan kami.

Isteriku, kini lebih banyak berjaga daripada tidur pada malam hari. Aku macam biasa, tak banyak sangat berjaga. Nur Adlina pun masih kecil dan lembik. Isteriku lebih pandai menguruskan bayi sebab dia sudah biasa juga menjaga anak-anak saudaranya sebelum ini yang dibawah jagaan ibu mertuaku. Walaupun aku juga pernah menjaga anak saudaraku, tetapi aku hanya biasa bila bayi dah besar sedikit.

Kebetulan pula, sejak Khamis minggu lepas, badan aku kurang sihat; selsema dan sedikit demam. Bagaimanapun, aku bersyukur kerana kami kini sudah memiliki seorang bayi yang sihat dan comel. Semoga hidup kami selepas akan lebih berseri dan bahagia.