Tuesday, August 05, 2014

Antara duku, dokong dan langsat

Pokok duku belakang rumah saya (kini rumah adik saya) di kampung kini sedang lebat berbunga.

Masa saya kanak2, tahun 70an, kami kerap mengutip bunga2 duku yang berguguran, diikat pada benang dan dijadikan gelang tangan atau rantai. Sudah tentu, ia permainan orang perempuan tetapi masa tu saya masih kecil yang hanya menumpang permainan kakak2 yang lebih senior.

Ketika itu, pokok duku berbuah setiap tahun. Harga duku juga agak mahal kerana pokok duku tumbuh sendiri meliar, bukan diusahakan secara ladang. Buah duku mudah terlerai dari tangkai. Rasanya sangat manis. Bila tiba musimnya, ada yang pajak pokok yang berputik lebat. Memang menguntungkan. Pagi2, kami kutip buah duku yang luruh sendiri.

Selain buah duku, ada juga buah langsat. Pokoknya juga tinggi macam pokok duku tetapi kulitnya agak bergetah bila dikupas. Rasanya sedikit masam berbanding duku segar yang manis semata-mata.
Buah langsat terlekat erat pada tangkainya. Kadang2 sampai buah itu busuk atau buruk pun masih terlekat pada tangkai.

Buah dokong hanya saya kenali selepas tahun 80an atau 90an. Ia dikatakan dibawa daripada siam, pokoknya rendah berbanding pokok langsat, boleh dipetik dengan mudah dan banyak diusahakan secara ladang.

Rasa dokong menyerupai langsat, rupanya juga menyerupai langsat. Buahnya tak mudah terlerai dari tangkai, sama seperti langsat. Cuma kulitnya sedikit tebal, tetapi masih nipis berbanding duku Terengganu. Bagi orang tua2, dokong sebenarnya ialah langsat.

Di pantai barat, duku dikenali sebagai duku langsat atau duku Terengganu. Manakala buah duku pula berkulit tebal, di Terengganu ada yang panggil duku hutan atau duku Johor. Rasanya tak semanis duku Terengganu.

Seorang sahabat saya dari Perak pernah datang ke rumah saya pada tahun 90 dan terkejut dengan rasa buah duku segar depan rumah saya yang sangat manis. Dia kata, boleh kena kencing manis kalau macam ni.

Akhir2 ini, buah duku tidak begitu menjadi di kampung saya yang sememangnya terkenal dengan buah duku sejak saya kecil. Mungkin pokok dah tua. Mungkin sebab tiada banjir air sungai yang boleh menyuburkan pokok. Mungkin sebab banyak rumah dibina menyebabkan suhu semakin meningkat dan tidak sesejuk dulu. Bawah pokok pula, kenderaan lalu lalang atau jadi tempat parking. Ini menyebabkan akar pokok tidak sihat berbanding dulu, penuh semak samun menjadikan pokok lebih sihat.

Harga duku pula sudah jatuh kerana ada yang berjaya mengusahakan secara ladang. Selalunya, pengusaha ini adalah orang2 cina. Orang melayu hanya mengharap duku liar sahaja.

Kini, pokok dedalu banyak tumbuh menumpang pada pokok  duku. Ini menyebabkan pokok duku sakit dan mati.

Dulu banjir berlaku setiap tahun dan menjadi pesta yang menyeronokkan. Ia menjadikan bumi subur dan mencegah pembiakan anai-anai.
(saya yang paling kecik dalam perahu tu)