Thursday, May 17, 2012

Solat subuh


Sejak saya remaja, saya memang hadapi satu masalah paling besar iaitu sukar bangun solat subuh.
Mungkin ia bermula kerana tiada kesungguhan ketika itu. Tetapi, bila umur semakin meningkat, walaupun kita bersungguh mahu bangun, ia masih tidak terbuat.

Pernah saya pasang 3 jam loceng di keliling saya tetapi masih gagal menyedarkan saya hingga terbit matahari.

Pernah saya menghukum diri sendiri dengan tidur di atas papan plywood, buangkan keselesaan tilam yang tebal lagi lembut tetapi masih juga tak berjaya. Jangan kata nak bangun tahjjud, bangun bersahur pun payah. Bangun untuk makan dan bola pun tak terbuat.

Nak kata, tidur lewat, tak juga. Saya dalam kategori tidur agak awal walaupun tak awal sangat.
Wuduk sebelum tidur, doa, zikir, 4 qul; semua saya amalkan tetapi masih tak berjaya.
Selepas kahwin, saya masih liat bangun subuh walau ditegur oleh isteri.

Namun tahun2 kebelakangan ini, saya jadi mudah terjaga waktu subuh malah kadang2 sebelum waktu subuh pun dah terjaga.

Lama-kelamaan, saya terfikir, mungkin usaha dan doa aku selama ini sudah dimakbulkan Allah. Dia mahu aku solat subuh di awal waktu, atau jemaah di masjid atau bangun tahjud.
Jadi saya ringankan badan, bangun, mandi dan ke masjid.

Di masjid, rupanya ramai budak2 yang solat subuh di masjid. Malu rasanya tengok budak2 sekolah pun solat subuh di masjid sedang kita baru nak berjinak.

Solat subuh di masjid rupa-rupanya menyeronokkan. Malas cuma ketika nak bangun. Selepas mandi, badan jadi ringan dan rasa rugi pula kalau tak ke masjid. Keseronokannya paling terasa bila kita tiba di masjid. Rasa macam kita sedang mengecapi satu kejayaan pada masa itu. Lagi seronok kalau sempat solat sunat fajar (qabliyah subuh). Terasa rugi atau sedikit kesal kalau tak sempat solat sunat.

Di masjid Ampang, muat kira2 60 orang satu saf. Solat subuh, boleh dapat hampir 3 saf. Campur jemaah muslimat, ada lebih kurang 150 - 200 orang jemaah subuh. Kadang2 boleh dapat lebih daripada itu. Hari Ahad, selepas kuliyah subuh, ada sarapan pula. Memang menarik dan murah rezeki.

Sekarang ni, jam 5 pagi je, otomatik terjaga. Dah tak payah kunci jam atau alarm phone lagi. Tapi set alarm juga la kot2 terlepas karang, menangis dibuatnya.

Mungkin faktor usia. Tapi syukurlah kerana masih diberi nyawa, kesihatan dan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah dengan lebih khusyuk dan sempurna.

Kalau nak beri tips, saya tak tahu apa tips nya. Dah terjaga tu, bangun saja lah. Gosok gigi dan mandi. Kesegaran terasa selepas gosok gigi lagi.

Solat subuh di masjid rupanya lebih mudah berbanding solat2 fardhu yang lain. Masa lain, kita sibuk dengan urusan dunia, jauh daripada masjid atau diganggu dengan benda2 lain termasuk kesesakan. Subuh, mudah saja. Tiada kesesakan, tiada gangguan tetamu, kawan, anak isteri, urusan kerja, makan minum dan sebagainya.

Kalau anda tak punya cukup kekuatan untuk bangun solat, berpakatlah dengan teman yang lebih kuat, Insya Allah.

Wednesday, May 16, 2012

Nikmat mengaji & mengingat Al Quran

Pagi tadi, anak saya yang berumur 8 tahun mengungkit tetang bacaan surah As Syams yang saya baca dalam solat maghrib malam tadi. Saya perasan, saya ada terulang baca ayat 2 kali.

Saya ingatkan, dia tak perasan sebab dia tak kata apa2 selepas selesai solat. Rupanya, pagi ni ketika nak hantar dia ke sekolah, baru dia sebut.

Satu ketika ketika saya bujang, saya lupa surah Al Fil. Bukan panjang mana pun. Lima ayat je. Tapi lupa dan tak boleh nak sudahkan. Saya terpaksa baca surah lain. Lepas solat, kawan saya gelakkan saya. Baca surah mudah macam tu pun tak ingat. Kantoi !!!

Pernah satu ketika dalam satu solat Jumaat, seorang bilal gagal azan dengan betul. Bilal itu bukan orang baru. Hampir setiap minggu, dia lah muazzin solat jumaat. Tapi hari itu, dia tesilap, ditegur imam, mengulang semula dan tersilap lagi. Berulang kali dia cuba tapi tetap silap. Akhirnya di teruskan juga walaupun silap.

Macam tak manasabah. azan pun boleh lupa. Tapi bila Allah takdirkan kita lupa, bila Allah tarik sedikit ingatan kita, habis ...

---------------------------------

Dulu, seawal darjah 2, kebanyakan budak2 kampung dah mengaji Quran besar. Cuma saya agak lewat sedikit sebab selalu ponteng. Ada beberapa orang guru Al Quran termasuk jiran sebelah rumah saya.

Ada yang berjaya khatam awal. Tapi bila mengaji semula, mereka tak mampu baca dengan lancar. Setakat boleh baca sendiri, merangkak2.

Kata anak saya, di sekolah dia, tak ramai rakan sebayanya yang pandai baca Quran dengan lancar. Mereka semua sekolah agama. Hari ini, budak2 pun banyak komitmen menyebabkan mereka kekurangan masa untuk mengaji Al Quran.

Alhamdulillah, anak saya antara yang boleh baca dengan lancar walaupun belum khatam muqaddam. Ada juga yang lebih baik daripada dia. Anak ustaz2 lah tu.

Berapa baris Al Quran yang mampu anda baca setiap hari ? Jika anda kekal mendampingkan diri dengan Al Quran, ia akan menjadi syafaat kepada anda ketika di alam kubur hingga anda diiring ke syurga. Wow. Best nya. Ia juga akan membawa manfaat kepada kedua ibu bapa anda walaupun amalan mereka sedikit. Yang penting mati dalam husnul khatimah, mati dalam iman.

Tahlil tu tak penting. Yang penting, kekalkan mendampingi Al Quran setiap hari. Baca, dengar, teliti maknanya, belajar dan mengajar Al Quran. Ibu bapa anda di alam kubur pasti beroleh manfaat kerana ia termasuk amalan soleh.

Tuesday, May 08, 2012

Bila anak mahu bercakap pasal politik


Satu hari di Pulau Pinang bersama keluarga kandung Farah


Satu hari, anak saya bertanya pasal politik. Anak saya bersekolah di sekolah agama swasta yang diusahakan oleh aktivis PAS. Rata-rata anak2 di situ mengikut kata ibu ayah mereka. Mereka "orang PAS".

Saya kurang selesa nak bercakap pasal politik dengan anak saya. Saya rasa dia belum cukup bersedia untuk memahaminya.

Mungkin tak jadi masalah kalau kebanyakan ahli keluarga anda sokong satu parti politik yang sama. Masalahnya, ayah dan ibu kandung anak saya adalah aktivis UMNO P.Pinang. Anak saya akrab dengan keluarga kandungnya. Mertua saya pula aktivis UMNO di K. Lumpur.

Tahun lepas, ketika Bersih 2.0, kami dalam perjalanan pergi dan balik Kuantan. Dalam kereta, anak saya di "basuh" oleh neneknya bahawa Bersih itu kotor, jahat dan macam2 lagi. Saya malas nak berperang dengan mertua saya. Saya diam je. Tak mahu anak saya jadi keliru.

Kali ini, bersih 3.0, anak saya dapat tahu, kawan2 sekolahnya semua sokong Bersih. Dia jadi keliru. Mak saudaranya pula kata bersih itu orang gila.

Jadi dia tanya saya. Saya kata, "Papa sokong Bersih." Dia tanya pasal PAS. Saya kata, "Papa orang PAS."

Ketika saya darjah 2 (usia anak saya sekarang), bila saya bercakap pasal politik, ayah saya senyum dan sesekali ketawa kecil. Dia tak cakap pun pendirian politiknya. Ketika itu, tak lah rumit sangat  (tahun 1976). PAS dan UMNO sama2 dalam BN.

Tahun 77, berlaku pergolakan politik hebat. Bukan sekadar PAS vs UMNO tetapi PAS vs PAS terutama di Kelantan. UMNO juga bergolak di Melaka, Perak dan beberapa negeri lagi. Komponen BN lain juga bergolak seperti di Sabah. Dalam erti kata lain, berada dalam satu parti BN bukan bermakna orang Melayu sudah bersatu dan rakyat boleh bernafas lega. Itu hanya khayalan yang di reka untuk rakyat bermimpi. Hakikatnya, orang politik tetap akan bergasak untuk berebut kuasa.

Anak saya suka bertanya. Kalau saya jawab, dia akan bertanya dan bertanya. Nak cerita detail, nanti dia tak faham atau keliru dan makin banyak bertanya.

Saya cuma beritahu dia, "Papa sokong PAS. Nenek dan ayah sokong UMNO. Farah jangan cakap banyak pasal PAS depan nenek sebab Papa tak mahu bergaduh." Dia jawab, "Alaa... pasal PAS dengan UMNO pun nak gaduh."

Saya kata, "Nanti bila Farah dah besar sikit, baru kita boleh cakap pasal ni." Anak saya dah pandai baca. Hari2 dia boleh baca fitnah akhbar Utusan yang dilanggan mertua saya. Hari2 dia boleh dengar hasutan TV3. Tak mudah nak jelaskan. Tak mudah untuk berkata polis itu jahat, zalim dan sebagainya. Polis sebenarnya hanya jalankan arahan pihak atasan.

Harapan saya, Pakatan Rakyat akan menang besar dalam PRU akan datang. Supaya senang saya nak jelaskan kepada anak saya. Supaya apa yang saya kata selari dengan laporan TV tertentu. Kita tunggu pilihan raya. Mungkinkah akan jadi begitu ? Atau keadaan akan bertambah rumit ?
Posted by Picasa