Monday, June 25, 2007

Langgar lari

Pagi ini, aku terlibat dalam satu kes langgar lari. Ketika aku memecut keretaku pada kelajuan 80km/j di lebuhraya bertingkat Ampang-KL, aku tidak sempat lagi untuk mengelak daripada melanggar makhluk Allah yang tiba-tiba melintas. Aku meneruskan pemanduanku sedang mulutku tak putus-putus menyebut kalimah haulah, "Lahawla wala quwwata illa billah".

Walaupun ianya hanyalah seekor anjing liar, naluri kemanusiaanku tetap mengasihaninya. Sudah tentu anjing tersebut tidak mampu meneruskan hidupnya hari ini. Masih terbayang bagaimana anjing tersebut tergolek dan dilanggar pula kereta lain di belakang.

Setelah hatiku masih juga belum tenang, aku ganti pula dengan kalimah "Inna lillahi wainna ilaihi raaji'uun" berulang kali. Tak terubat juga, aku bertukar pula dengan kalimah "La ilaha illallah" sehingaalah hatiku mulai tenang dan reda.

Teringat dengan kisah bagaimana seekor anjing liar yang sedang kehausan dipadang pasir diberi minum oleh seorang yang beriman yang kebetulan menemuinya berhampiran sebuah perigi. Kisah tersebut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sebuah hadith nabi. Jelas, walaupun ia seekor anjing yang dalam masyarakat Islam mazhab Syafie menilainya sebagai najis paling berat, bukan bermakna kita tidak perlu berkasihan belas kepadanya.

Keretaku pula mengalami sedikit kerosakan pada lampu dan bumper. Semoga Allah mengampuni dosaku. Pasti ada hikamh disebalik apa yang berlaku pagi ini.

Friday, June 22, 2007

Bapak jalani pembedahan kecil

Petang, aku ke HKL bersama isteri untuk menziarahi bapak. Tapi kami tak berpeluang jumpa dia sebab dia dah masuk ke bilik pembedahan sebelum pukul 5 lagi. Kami hanya tiba jam 6:30 petang. Kami hanya mampu berdoa semoga semuanya selamat dan bapak akan kembali sihat.



Kemudian kami menemani emak makan di kantin setelah menunggu bapak sejak tengah hari lagi. Emak akan terus temani bapak malam ini di hospital.



Sesampai kami di rumah, mak telefon beritahu bapak dah kembali ke wad dan semuanya sudah selamat.



Malam, dalam cuaca hujan renyai, kami pergi pula ke kenduri tahlil di rumah seseorang yang agak kaya. Setiap hadirin diberi cenderahati kain pelikat.



Streamyx belum okay lagi tapi dah tak dengar bunyi gangguan dalam line telefon. Kata isteriku, streamyx dah okay sejak malam tadi selepas aku masuk tidur.





Powered by ScribeFire.

Thursday, June 21, 2007

Masalah streamyx

Sejak seminggu dua ni, aku menghadapi masalah untuk menggunakan internet di rumah. Lampu DSL asyik berkelip saja menandakan line streamyx tak berfungsi. Kalau sehari dua boleh lah bersabar tapi dah lebih seminggu macam ni. Sedangkan aku langgan pakej 24 jam sehari untuk setiap bulan. Bil aku pun tak pernah tertunggak. Macam ni rugilah aku.



Dua hari lepas pula, kalau tak silap aku, Telekom Malaysia dapat anugerah sebagai penyedia kemudahan jalur lebar terbaik di Malaysia. Hairan aku ???





Powered by ScribeFire.

Bapak masuk hospital


Semalam, bapa mertua aku dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan. Doktor nasihatkan supaya pembedahan kecil dilakukan secepat mungkin untuk mengelakkan daripada menjadi lebih teruk. Pembedahan mungkin akan dilakukan hari ini.





Powered by ScribeFire.

Tuesday, June 19, 2007

Laporan yang tidak tepat dan mengelirukan

Restoran nasi kandar kena kompaun

BUTTERWORTH: Sebuah restoran nasi kandar di Seberang Jaya, di sini, dikompaun RM1,000 kerana menjual jus buah-buahan pada harga antara RM5.50 hingga RM6 segelas, Khamis lalu.

Cerita sebenar :-
BUTTERWORTH: Sebuah restoran nasi kandar di Seberang Jaya, di sini, dikompaun RM1,000 kerana melanggar Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana mempamerkan harga mengelirukan. Senarai harga yang dipamerkan di premis itu menyatakan harga minuman jus hanya RM2.80 segelas tetapi dijual pada harga antara RM5.50 hingga RM6 segelas.

Anda nampak perbezaannya ? Kalau restoran terbabit meletakkan tanda harga RM5.50 untuk jus minuman, tentu mereka tidak akan dikompaun.

Seminggu lepas, saya minum teh tarik di Ampang Jaya dan dicaj RM2 manakala Nasi Padprik di warung sebelahnya mengenakan caj RM5. Tiada tanda harga dipamirkan manakala warung jual makanan itu nampak jelas meletakkan harga sesuka hati (melihat kepada cara komunikasi antara pekerja dan taukeh warung ketika ditanyakan harga). Kalau warungnya kemas dan bersih macam kedai mamak, tak apa lah juga. Ini selekeh semacam je. Bagimanapun warung minuman itu nampak kemas, bersih dan moden. Bekas minuman pun nampak mahal ala-ala bistro.

Powered by ScribeFire.

Tuesday, June 12, 2007

Photo banjir

Ini sahaja yang ada. Petir sabung menyabung membahayakan keadaan. Yang aku pasti, di Ampang ni hujan lebat memang selalu disertai kilat dan petir.

Walaupun airnya hanya setinggi 2 kaki, ia sudah cukup untuk menimbulkan kegawatan di rumah jiranku.

Monday, June 11, 2007

Banjir

Malam tadi, kira-kira jam 8 malam, KL di landa banjir kilat besar. Ampang turut dilanda banjir dan kesannya dapat dilihat pagi tadi dimana sampah sarap bertaburan di atas jalan dekat masjid Jami'ul Huda Ampang.

Rumah jiran sebelah ku ditenggelami air melebihi paras lutut. Oleh kerana rumah ku agak tinggi, kira selamat lah lagi. Kalau tidak, mungkin kereta aku dah tenggelam tayar. Air di parkir keretaku mungkin setinggi buku lali sahaja. Setakat selipar hanyut je la. Bukan setakat laman rumah ku tinggi, lantai rumah pun ditinggikan lagi dua kaki daripada ruang laman. Alhamdulillah. Tapi kesian jugak tengok jiran sebelah. Rumah dia memang selalu banjir bila hujan lebat.

Aku sempat rakam gambar. Nanti aku post kemudian sebab photobucket ku ada masalah nak login.